AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 28 September 2014

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 7





Berdebar-debar hati Katrina menunggu kehadiran madunya atau bekas madu. Suami mereka sudah tiada, sekarang akan tinggal bersama di bawah satu bumbung. Tidak perlu ada rasa cemburu kerana suami milik mereka sudah pergi meninggalkan hati mereka sepi. Matanya asyik memandang ke arah pagar. Bagaikan menyambut bakal suami sahaja. Katrina mula mundar-mandir. Jari jemari bermain sesama sendiri. Degupan jantung berdegup kencang.
Halijah gelisah di dalam bilik. Hatinya benci, namun terpaksa. Rancangan menantu kedua ada baiknya. Sudah lama sakit di hati. Sudah lama memendam rasa. Sengketa yang bersarang di dada menumbuk sehingga ke jantung hati.  Dia membetulkan baju, langkah di atur menuju ke ruang tamu. Wajah menantu keduanya ditatap sekali imbas. Wajah itu juga bagaikan membungkus seribu masalah yang tidak selesai.
“Mereka masih tidak sampai lagi, Rina?” Halijah duduk di sofa kulit yang masih kelihatan baharu, bukan ada sesiapa yang hendak lanyak.
“Belum ibu. Entah kenapa lambat pula mereka sampai?” Katrina mendekati ibu mertuanya. Dia melabuhkan punggung di sebelah. Mata mereka saling bertemu.
“Bagaimana rancangan kita? Sudah diatur seperti yang dirancang?” Halijah bertanya bagaikan seorang pengurus.
“Sudah tentulah ibu. Perempuan itu harus menerima balasan. Kerana dialah Abang Ashraf meninggal. Belum sempat kami bersama, duka sudah memanggil, sakit hati Rina. Sudahlah dia merampas Abang Ashraf daripada Rina!” mengapi-apikan perasaan ibu mertuanya. Tidak akan dibenarkan hubungan madunya bersambung rasa dengan ibu mertuanya. Biar mereka menjadi musuh selamanya sehingga ke akhirat.  Dendam tetap membara dan membakar, menyala-nyala.
Kereta Myvi dipandu masuk ke laman rumah agam itu. Mastura melangkah keluar, Maria didukung dan dibawa masuk.  Rumah yang begitu asing bagi mereka berdua. Buat hatinya berdebar-debar. Mampukah dia berlama di rumah itu. Rumah yang penghuninya bersengketa dengan diri. Wajah Maria yang tenang dipandang sekali imbas. Semoga ada bahagia buat anaknya di sini. Abang Ashraf, semoga kehilangan abang ada hikmahnya, detik hati kecil Mastura. Semakin hampir dengan pintu semakin seram sejuk tubuhnya. Lututnya terasa lemah dan lambat sekali kakinya melangkah.
Berdiri di muka pintu berwarna perang tua itu bagaikan berdiri di pintu menuju ke neraka. Jauh pula anggapannya. Kalau sudah takut menerjah diri itulah jadinya. Daun pintu diketuk perlahan. Memberi salam dan menunggu dengan sabar. Daun pintu dibuka daripada dalam. Dua wajah yang dikenali memandang dengan wajah manis. Benarkah itu? Ibu mertuanya melemparkan senyuman manis menyambut kehadirannya.
Katrina menerpa menyambut Mastura dengan senyuman terukir di bibir. Wajah pucat Mastura dipandang dengan kerutan di dahi. Apakah wanita itu takut hendak ke mari? Kenapa harus takut? Adakah sudah dapat meneka apa yang bakal berlaku? Katrina menarik tangan Mastura masuk ke dalam rumah.
Halijah menarik tangan Maria turut dibawa masuk.
“Mas, selamat datang ke teratak Villa Cinta Bahagia,” sambut Katrina.
Mastura mengangkat kening. Cantiknya nama Villa Cinta Bahagia, harap penghuni di dalamnya mampu memberi kebahagiaan.
“Ibu gembira, Mas sudi tinggal di sini.” Halijah melemparkan senyuman. Maria yang di sebelah dibelai manja. Biarpun hanya pura-pura, biar tampak nyata dan tidak kelihatan pura-pura.  Sesekali memandang wajah Katrina juga menjalankan aksi yang sama. Bagus sungguh menantu keduanya berlakon, layak menjadi pelakon filem. Dia tersenyum bangga.
“Terima kasih kerana sudi menerima kehadiran Mas di sini.” Mastura masih berdiri kakinya bagaikan tidak memijak lantai. Terlalu bimbang dan takut agaknya. Berbagai rasa bermain di benaknya.
“Okey, bilik Mas di belakang. Mudah untuk bergerak, lagipun Maria tidak sesuai turun naik tangga.” Katrina membawa Mastura menuju ke bilik tempatnya menginap selama berada di rumah itu. Bilik yang terletak hampir dengan dapur.
Berkerut wajah Mastura. Bukan masalah bilik tetapi apa yang bermain difikirannya kenapa di dapur?
“Maaaflah walaupun rumah ini besar, namun bilik tidaklah banyak. Tidak kisahkan duduk di sini?” Katrina membuka pintu bilik.
Bilik yang besarnya 10 kaki x 10 kaki. Terdapat sebuah katil bujang, dan sebuah almari. Langsirnya begitu usang dan buruk. Kata rumah orang kaya dan berada, kenapa keadaan bilik itu begitu daif kelihatannya. Kipas pun tiada. Mahu mandi peluh dia dua beranak.
Mastura melangkah masuk. Dia membuka tingkap. Habuk di sana-sini. Dia tidak boleh merungut. Duduk sahajalah di mana di tempatkan. Asalkan ada tempat untuk merehatkan mata sudah cukup buatnya. Untuk sementara.
Maria duduk di birai katil sambil merenung wajah Mastura. Katrina entah ke mana menghilang. Bayang mertuanya juga tidak kelihatan. Tiba-tiba mereka menghilang.
“Kenapa kita tinggal di bilik ini mak?” Maria mula bersuara.
“Jangan merungut. Esok kita ubah semuanya.” Mastura merngerling manja.
Maria mengangguk bagaikan mengerti maksud emaknya.
Mastura terus membersihkan apa yang patut.  Tidak mungkin dia tidur di dalam keadaan berabuk dan kotor begitu. Katil pun sudah hampir roboh. Sebelah dari pintu almari sudah hampir tertanggal. Mastura menarik nafas panjang. Banyak kerja yang harus dia lakukan. Kalau hendak selesa kenalah usaha sendiri. Biar rumah orang, kenapa tidak buat seperti rumah sendiri. Keselesaan untuk diri sendiri juga. Telefon dicapai, nombor didail. Menelefon seseorang.
Katrina mundar-mandir di dalam bilik ibu mertuanya. Dia telah mengatur rancangan bagaimana hendak memalukan madunya itu. Pertama sekali bagi madunya tinggal di bilik pembantu rumah. Bukan tiada bilik lain, sengaja mereka atur begitu, biar Mastura tahu tahap dia hanya seorang pembantu rumah. Anak kampung berangan hendak jadi orang kaya, perasan. Jangan harap. Katrina mencebik.  Rancangannya pasti berjaya dengan kerjasama ibu mertuanya yang begitu membenci madunya itu. Katrina ketawa di dalam hati. Nanti ketawa kuat-kuat apa pula kata mertuanya nanti. Sudah hilang akal agaknya.
“Ibu tengoklah nanti. Bila kita bagi dia duduk dalam keadaan tidak selesa, pasti dia akan memberontak.  Melawan. Masa itu bolehlah ibu nak maki kata dia anak durhaka. Kuat melawan.”  Katrina tersenyum riang. Halijah turut tersenyum.
“Betul kata Rina. Lebih-lebih lagi kalau ibu marah depan orang. Ibu akan buat dia malu.” Semakin lebar senyuman Halijah membayangkan bagaimana dia hendak memalukan  Mastura.
“Apa pula dia sedang buat di bilik itu agaknya ya, ibu?” Katrina membayangkan keadaan Mastura yang tidak selesa, tinggal di bilik sempit, perabut yang rosak. Katil dan tilam yang hanya sesuai dibuang sahaja. Puas hati dia dapat mempermainkan madunya itu.
“Biarkan dia, ibu nak tengok berapa lama dia tahan tinggal di sini!” Halijah mengetap bibir. Selama ini arwah anaknya terlalu menyayangi isterinya itu. Sanggup mengenepikan perasaannya sebagai seorang ibu demi cinta. Bertahun-tahun anaknya tidak pulang berjumpa dengan dia. Pasti Mastura telah menghasut anaknya itu. Dia tidak akan dapat menerima keadaan itu.
Dalam sibuk kedua anak menantu itu berbincang. Mastura sudah pun pulang. Walaupun dia baharu sahaja berada di kawasan perumahan itu namun tidaklah susah hendak keluar mencari barang-barang keperluan. Bangi sahaja pun. Banyak rumah kedai, dan banyak juga kedai perabut. Apa yang penting duitnya. Mastura tersenyum sendiri.
“Mak, laparlah.” Sambil mengusap perutnya.
“Jom, kita ke dapur. Tengok apa yang ada.” Tangan Maria digapai. Terlupa pula hendak membeli makanan waktu keluar tadi. 
Mastura mengerutkan dahi. Apa yang dia hendak masak? Apa yang ada di rumah itu. Ke mana perginya ibu mertua dan madunya itu. Pembantu rumahpun tiada. Rumah besar tetapi tiada pembantu rumah? Mastura mengeluh sendiri. Dia membuka peti sejuk, banyak bahan mentah di dalamnya. Ada telur. Badan masih letih, takkan dia hendak masak pula. Nanti tersalah masak marah pula tuan punya rumah. Dia membuka almari mencari beras. Nasi juga belum dimasak. Sudah hampir menjelang asar.  Takkan ibu mertunya dan madunya tidak makan malam. Atau mereka ada rancangan untuk bawa dia makan di luar. Maklumlah perkara biasa meraikan tetamu yang pertama kali berada di rumah itu. Perkara biasa bagi orang melayu dan Islam. Kehadiran tetamu membawa rezeki.
Dia mengambil sebiji telur dan sebungkus maggi. Hanya itu buat mengalas perut sementara menunggu makan malam.  Bau tumisan maggi mengamit rasa lapar. Mastura melemparkan senyuman kepada Maria yang setia menunggu.
“Kita makan maggi dahulu, malam nanti baharu kita makan nasi,” pujuk Mastura.
Maria mencebik.
Mastura mengusap rambut ikal Maria. Persis rambut arwah suaminya. Bila terkenangkan arwah buat hatinya sayu. Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat dia menerima kasih dan sayang. Semoga kehadiran dia dan anaknya benar-benar diterima.


No comments:

Post a Comment