AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 29 September 2014

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 8



Solat Isyak selesai ditunaikan. Dia masih menunggu di sejadah. Berzikir dan mengingati Penciptanya. Hanya kepada Yang Esa dia bebas berbicara, meluahkan apa yang dirasa. Dalam masa yang sama tidak lupa mendoakan kesejahteraan arwah suami tercinta. Hanya itu yang mampu dilakukan untuk insan tersayang.
Perut sudah terasa pedihnya. Tidak ada sesiapakah di rumah? Sunyi dan sepi. Mastura mengerut dahi, asyik berkerut sahaja nanti cepat kerepot sebelum masanya. Kain telekung ditanggal. Dia membuka pintu. Dapur gelap gelita. Lampu dipasang. Mastura ke ruang tamu. Tiada bayang sesiapa. Bagaikan tiada penghuni.  Ke mana mereka pergi? Perut yang lapar minta di isi. Tentu Maria juga lapar. Apa susah, restoran bersepah di kawasan Bangi.  Sedap dengan tidak sahaja. Susah sangat telefon sahaja Pizza Hut, Mcd atau KFC. Mastura kembali ke dalam biliknya.
“Maria, lapar tak? Kalau lapar kita keluar makan, nak tak?” Mastura membelai lembut rambut Maria.
“Lapar sikit aje.” Maria menyengih. Baharu berumur 5 tahun tetapi petah berkata-kata.
“Kalau macam itu, kita keluar makan. Nanti sudah kenyang baru boleh tidur lena.” Dia menukar pakaian. Maria sudah bersedia. Hendak ke mana lagi. KFClah jawabnya.
Malam yang panjang dan panas membuatkan kedua beranak itu tidur dalam keadaan tidak selesa. Beberapa kali Maria terjaga. Puas dia mengipas anaknya dengan suratkhabar. Dirinya sendiri berpeluh. Hendak tidur di luar nanti apa pula kata ibu mertuanya. Mahu tidak mahu terpaksalah dia bertahan untuk malam itu.
Mata yang mengantuk membuatkan dia tidak melayan sangat keadaan panas yang memenuhi ruang biliknya. Sesekali terjaga pun kerana rengekan Maria yang tidak selesa. Berpeluh tubuh anaknya. Bilik itu hanya ada tingkap nako yang kecil sahaja. Kalau buka luas pun tiada angin yang menerjah masuk.
Azan subuh dari masjid berhampiran mengamit Mastura segera bangun. Peluh didahi dilap dengan tuala di tangan.  Lampu dibiar terpasang. Maria juga berpeluh. Cuaca panas sangat sangat malam tadi. Namun, syukurlah sekurang-kurangnya dia masih dapat melelapkan mata.  Mastura bingkas bangun menuju ke bilik air. Usai mandi dan mengambil wuduk terus dia menunaikan solat subuh.  Membaca mathurat dan Yassin untuk mendapatkan ketenangan diri. Dia juga berdoa semoga arwah suaminya di tempatkan bersama orang-orang beriman.
Dia membiarkan Maria tidur, malam tadi lenanya terganggu kerana panas. Mastura melangkah ke dapur yang gelap gelita. Lampu di pasang. Cahaya mentari masih belum merembas keluar. Bunyi kokokan ayam bersahut-sahutan memeriahkan suasana nyaman di waktu dinihari.
Apa yang harus dia lakukan?  Buat sarapan pagi? Apa salahnya dia memasak? Mungkin mertuanya tidak akan marah, malah dia ingin mertuanya merasa masakan air tangannya sendiri. Manalah tahu dengan memasak dapat memikat hati ibu mertuanya itu.
Melihat barang-barang mentah di dapur membuatkan dia bercadang hendak menggoreng bihun sahaja. Sayur sawi, kobis, udang dan ayam dibawa keluar dan dipotong. Udang dibuang kulitnya agar mudah makan. Bihun telah siap direndam. Dia menghidupkan cerek eletrik untuk masak air. Apa agaknya minuman kegemaran ibu mertuanya. Ada kopi, teh dan milo. Mungkin mereka minum ketiga-tiga minuman tersebut. Mastura membancuh seteko kecil air milo. Maria suka minum milo.
Usai masak, dia menghidangkan makanan tersebut di meja makan. Dia tersenyum gembira. Rasa sempurna masakannya itu. Mastura masuk semula ke dalam biliknya. Maria sudah terjaga rupanya.
“Maria, jom mandi. Lepas itu kita bersarapan ya.” Mastura mendukung Maria dan membawanya ke bilik air. Dia tersenyum sambil memeluk Maria. Wajah Maria yang tak tumpah wajah suaminya membuatkan hatinya terusik. Rindu menerpa tiba-tiba. Bagaikan masuk terbayang wajah itu tersenyum dan memanggil namanya. Kenapa cepat sangat suaminya meninggalkan dia. Mastura beristighfar, dia tidak boleh mempersoalkan takdir ILAHI. Sudah sampai ajal suaminya.
Menunggu seketika di meja makan. Terjengah-jengah menanti kehadiran ibu mertua dan madunya. Takkan mereka masih tidur lagi. Sudah jam 8.00 pagi. Mastura mendengus.
“Maria tunggu sini, mak pergi cari nenek dan mak uda.” Mastura berjalan menuju ke tingkat atas rumah tersebut. Dia memerhati keadaan di tingkat tersebut. Hiasanya lebih cantik, lebih mewah dan indah. Terdapat beberapa buah pintu. Entah mana satu bilik ibu mertua dan madunya.
 Teringat rumahnya sendiri. Rumah teres dua tingkat lot tepi yang dibeli oleh suaminya telah diubah suai sepenuhnya. Cukup mewah untuk insan seperti dia yang berasal tiada apa-apa. Dia bersyukur dengan pemberian ALLAH SWT kepadanya. Namun dia tidak pernah menggunakan kekayaan suaminya untuk kepentingan diri dan keluarganya. Di rumah itulah terbina syurganya dan suami. Kini syurga itu telah tiada. Kenangan bersama suaminya juga sudah lebur bersama percikan api yang telah membahang rumah tersebut sehingga menjadi abu. Musnah segala-galanya. Pada hari itu jugalah suaminya menghilangkan diri. Dia fikirkan ke mana, rupanya bernikah lagi.
“Cari apa?” tegur satu suara.
Mastura menoleh. Wajah ibu mertua yang masih berbaju tidur dipandang sekali imbas. Dia melemparkan senyuman.
“Hendak jemput ibu sarapan bersama. Mas sudah siapkan sarapan.” Hatinya berbunga riang jika ibu mertuanya sudi menjamah masakannya.
“Rajinnya kau. Kejap lagi aku turun.” Halijah melangkah masuk ke dalam biliknya semula.
Mastura turun semula ke tingkat bawah. Rumah agam itu benar-benar terasa sunyi. Bagaimanalah ibu mertuanya boleh tinggal sendirian. Rina baharu sahaja datang tinggal di situ setelah berkahwin dengan arwah suaminya.
Mastura meletakkan dua biji cawan dan sepasang pinggan di meja. Sambil itu dia menyuap Maria yang berselera sekali menjamah bee hon goreng yang dimasaknya tadi. Cili kicap juga disediakan.
“Rajinnya.” Katrina mengenyitkan mata ke arah ibu mertuanya yang sudah pun mengambil tempat di meja makan.
“Kalau malas tak payah jadi menantu aku.” Halijah menjeling.
Mastura hanya tersenyum.
“Malam ini kami ada buat jamuan. Aku hendak kau yangn memasak. Jemputan dalam 100 orang. Kawan, saudara-mara dan kenalan aku,” kata Halijah tanpa memandang langsung wajah Mastura.
“Mas hendak masak apa, ibu? Manalah Mas biasa masak sebanyak itu?” Manalah dia pernah memasak untuk 100 orang. 10 orang pun sudah kira ramai. Biar betul? Apakah ibu mertuanya hanya bergurau dengannya.
“Hey, pandai-pandailah kau! Aku cuma sediakan barang-barang yang kau perlu masak, takkan hendak membantah pula?” Halijah menjeling tajam.
Mastura terdiam.
“Ala, buat sahajalah Mas, itu penghormatan untuk awak.” Katrina tersenyum manis.
Mastura serba salah. Memang benar dia tidak pernah memasak untuk 100 orang. Menu apa yang hendak dia masak? Bukannya pandai sangat. Masak untuk arwah suaminya bolehlah. Belum pernah dia memasak untuk tetamu yang sebegitu ramai. Kalau suaminya hendak buat rumah terbuka atau kenduri doa selamat, mereka akan menempahnya pada katering.
“Jangan bagi alasan, aku tahu siap sahaja.” Halijah menghabiskan air milonya dan berlalu meninggalkan ruang makan itu.
Katrina hanya tersenyum sinis.
Mastura tidak terkata apa-apa. Dia terpaksa akur kehendak ibu mertuanya. Nanti dikatakan suka melawan pula. Baiklah ikut sahaja rentak mereka. Usai mengemas meja makan, Mastura masuk semula ke biliknya. Maria perlu ditidurkan seketika. Wajah kantuk anaknya ditatap seketika.
“Ibu! Siapa ada pesan perabut dan barangan eletrik ini!” laung Katrina dari ruang tamu. Jenuh dia bertengkar dengan pemandu lori berbangsa India yang menghantar barang-barang tersebut.
“Mana saya ada pesan perabut? Begitu juga barang eletrik!” Dahi Halijah berkerut seribu. Dia kehairanan. Set bilik tidur, penghawa dingin dan kipas. Televisyenpun ada. Bertambah kehairanan menghenyak fikirannya.
“Mak cik saya datang hendak pasang astro,” beritahu seorang lelaki, yang muncul tiba-tiba.
“Astro? Bukankah rumah ini sudah ada Astro?” Katrina sendiri bingung seketika.
“Mahu pasang satu lagi,” kata lelaki berbangsa cina itu.
“Maaf… Mas yang pesan. Awak boleh bawa masuk ikut pintu dapur, bilik di belakang ya. Astro pun di bilik belakang juga,” terang Mastura. Wajah mereka yang memandangnya dengan penuh tandatanya langsung tidak dihiraukan.
“Dia… Dia beli perabut baharu? Pasang Astro pula.” Mendidih darah Halijah mendengar dan melihatnya. Dia sengaja menyediakan bilik yang tidak selesa untuk menantunya itu.
“Macam mana ini ibu? Dia lebih bijak daripada kita.” Katrina mengetap bibir. Sakit juga hatinya. Dia ingatkan Mastura akan merasa terdera dan terseksa, rupanya tidak. Perempuan itu lebih pandai. Menempah perabut untuk keselesaan sendiri. Pandai-pandai sahaja dia membuat keputusan tanpa bertanya. Lain yang diharapkan, lain pula terjadi.
“Biarkan dia, kita masih banyak peluang lagi.” Halijah tidak mahu cepat mengaku kalah. Dia menghenyakkan tubuh di sofa. Malam ini dia ada rancangannya tersendiri. Perempuan itu ingat dia bijak. Halijah mengetap bibir menahan rasa marah di hati.
Katrina berfikir panjang. Apa yang tidak kena dengan rancangan mereka. Bilik yang sempit dan perabut yang buruk tidak sedikit pun menganggu perasaan Mastura. Malah dia lebih bijak mengatur. Perabut baharu ditempah sendiri tanpa pengetahuan mereka. Banyak pula duitnya?
Mastura tersenyum panjang apabila semua perabut dan barang eletrik sudah sampai. Penghawa dingin juga sudah siap terpasang. Kipas juga dibeli, tak mungkinlah dia akan memasang penghawa dingin sepanjang hari. Nanti melambung pula bil eletrik rumah itu. Kain langsir juga sudah ditukar baharu. Peti televisyen sudah pun dipasang bersama siaran Astro untuk anaknya Maria. Tidaklah sunyi sangat. Biarlah ibu mertua dan madunya hendak berkata apa-apapun. Dia hanya inginkan keselesaan untuk anaknya sahaja. Bukan dirinya.
Maria kelihatan amat gembira, agaknya sudah merasa selesa dengan suasana baru bilik tersebut. Lebih nyaman. Mastura memeluk Maria penuh rasa sayang di hati.


No comments:

Post a Comment