AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 25 October 2014

HAIZA NAJWA





Haiza Najwa nama yang kukenali sebelum aku bergelar penulis lagi.  Pertama kali mengenalinya di dalam grup yang diuruskannya CINTA NOVEL MALAYSIA, ketika itu aku sedang berusaha untuk mendapatkan tempat dalam dunia penulisan terutama novel. Di dada grup itulah hasil pertamaku dipaparkan untuk dinilai dan dibedah.  Ketegasannya menegur karyaku kadang-kadang menyentap hati.  Atas tegurannya juga, aku mampu mengubah cara penulisanku dengan baik. 

Dilahirkan  54 tahun dahulu, tempat lahirnya di Alor Setar kedah, kedua orang tuanya berasal dari Negeri Sembilan.  Seorang pelajar yang cemerlang ketika di sekolah, terutamanya dalam Bahasa Inggeris dan Kesusteraan.  Beliau tidak berminat menjadi seorang guru walaupun telah diberi peluang di sebuah Maktab Perguruan, sebaliknya menyambung pelajaran di Tingkatan Enam di Johor Bharu.  Ketika di tingkatan enamlah, beliau memupuk  hobinya dan ketika itulah karya-karyanya mula diterbitkan oleh The New Thrills.   Selepas mendapat Sijil Higher School Certificate ( HSC), beliau bekerja di sebuah pusat peranginan di Genting Highlands.  Tidak tahan dengan cuaca sejuk, beliau kembali ke Kuala Lumpur dan menyambung pelajaran dalam bidang Kesetiausahaan.  Beliau bekerja sebagai steno dan setiausaha kepada beberapa buah firma antarabangsa dan dalam negeri.   

Selepas berkahwin, Haiza  Najwa  memulakan perniagaan dan membuka kedai, namun terpaksa melupakannya demi menumpukan perhatian kepada anak-anak.  Kehidupannya amat bahagian bersama suami dan anak-anak.  Namun disangka panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.  ALLAH menguji dirinya, suami beliau yang amat penyayang disahkan menghidap kanser tahap akhir.  Hancur luluh hatinya.  Terasa dunia ini gelap dan bagaikan tidak percaya dia akan ditinggal pergi.  Apatah lagi suaminya disahkah hanya ada enam bulan sahaja untuk hidup.  Saat-saat yang paling menyedihkan dalam hidupnya.  Air mata mengalir tanpa henti, setiap kali memandang wajah suaminya tercinta.  Nyawanya bagaikan direntap pergi.  Tidak mampu meluahkan dengan kata-kata melainkan air mata menjadi peneman dan meluahkan segala-galanya yang terbuku di hati.   Kasih seorang suami tetap utuh di hati.  Suaminya telah memujuk dan menghidupkan semula hobi menulis yang sekian lama dikuburkannya sejak berkahwin.  Beliau menulis di sisi suami yang sedang tenat melawan penyakit yang sedang dihadapi.  Dengan linangan air mata akhirnya novel pertama TAK SEINDAH IMPIAN  di bawah terbitan Rhythm berjaya  diterbitkan dan sempat dilihat suami.  Dua minggu kemudian suaminya  yang amat dicintai dan disayangi akhirnya menghembuskan nafas terakhir.  Masih terkenangkan bagaimana bangganya arwah suami ketika naskah pertama itu berjaya diterbitkan, malah menguar-uarkan kepada sesiapa  sahaja  yang menziarahinya ketika hayat dikandung badan, betapa hebatnya isteri tercinta.    Namun ALLAH lebih menyayangi arwah suaminya.


Menangis air mata  darah sekalipun suaminya tidak akan kembali ke sisi.  Dia harus kuat, bangun dan meneruskan hidup demi anak-anak tercinta.  Dua bulan sesusah kematian arwah suaminya, lahir sebuah lagi buku di bawah label syarikat yang sama dengan tajuk GERHANA CINTA EDIKA.  Beliau terus menulis dan menulis demi melupakan kesedihan yang tidak tertanggung di hatinya. Dalam kesibukannya menulis beliau jugalah menjadi ayah membesarkan anak-anak seorang diri.  Sehingga kini sudah berbelas novel telah berjaya dibukukan.  Lima daripadanya adalah di bawah terbitan ALAF 21, Novel-novel beliau dengan Alaf 21 sering memasuki carta novel terlaris di MPH.    Semakin hari, semakin melupakan kesedihan orang tersayang, namun rasa kasih dan cinta tidak pernah hilang dari sanubari malah semakin utuh dan semakin diingati.  Beliau sudah dapat menghilangkan rasa sedih yang berbuku di hati.  Anak-anak penambah ceria di hati. 

Mengenali beliau secara peribadi, membuatkan saya berbangga mengenali wanita yang kuat dan bersemangat ini.  Seorang yang tegas, sukar tersenyum namun tidak sombong malah seorang yang setiakawan, sering membantu rakan-rakan seperjuangan yang memerlukan pertolongan.  Tidak kedekut ilmu, malah aktif di FB dengan grupnya  CINTA NOVEL MALAYSIA.    Antara karya garapan beliau adalah…


    Tak Seindah Impian (Rhythm)
    Gerhana Cinta Edika (Rhythm)
    Misteri Dania (ZIS Services)
    Bukan Klon Bukan Duplikat (Creative Enterprise)
    Kasih Villa Cinta (Kaki Novel)
    Sentuhan Cinta (Alaf 21)
    Kumohon Kasih (Alaf 21)
    Kalimah Jiwa (Alaf 21)
    Ilusi Hati (Alaf 21)
    Aku Yang Menanti (Alaf 21)
    Jangan Ganggu Lenaku (Alaf 21)

Kini beliau terus melangkah, menulis dan menulis disamping melihat anak-anak membina kehidupan yang utuh di dunia ini. 

Info : WIKIPEDIA

No comments:

Post a Comment