Mastura sibuk memunggah barang-barangnya masuk ke bilik tetamu.
Dia tersenyum sendiri. Pandai-pandai mereka memberinya bilik kecil itu,
kemudian hendak jadikan dia pembantu rumah. Ingat zaman Ibu Mertua atau Antara
Dua Darjat? Dia pun sekolah juga. Entah berapa banyak novel yang telah
dibacanya kisah ibu mertua seksa menantu atau madu buli madu.
Dia akan pertahankan haknya sehingga ke titisan darah
terakhir. Dia bukan insan lemah yang mudah dikotak-katikkan. Kalau ikutkan
hati, boleh sahaja dia keluar dari rumah itu. Kalau tidak kerana memikirkan
rancangan yang diatur dengan pak longnya, tidak mahu dia berlama di rumah itu.
Kehadiran
peguam keluarga itu membuatkan ketiga-tiga penghuni rumah itu berkumpul di
ruang yang sama. Masing-masing saling memandang ke arah lain. Mastura mengulit
dan membelai Maria yang duduk di pangkuannya. Halijah menyilang kaki sambil
duduk penuh bergaya. Katrina bermain dengan jari-jemarinya menunggu dengan
sabar apa yang bakal dibacakan oleh peguam bernama Haji Arshad itu nanti.
“Lambat
lagi ke, Tuan Arshad?” tanya Katrina tidak sabar. Sampul surat yang hendak
dibuka, bukannya payah mana pun. Sengaja hendak melengah-lengahkan masa. Kalau
dia dapat separuh daripada harta tersebut, dia akan keluar dari rumah itu.
Tidak sanggup serumah dengan madunya itu. Buat sakit hati dan jiwa sahaja.
Bukan
dia tidak sayang ibu mertuanya tetapi menjaga dan membela bukan kerjanya. Orang
tuanya sendiri dia tidak rawat, inikan pula hanya bekas ibu mertua. Biar
tarafnya sama dengan ibunya sendiri. Bukan dia tidak hormat, tetapi tidak
mungkin dia menghabiskan usia mudanya dengan menjaga orang tua itu. Dia
berharap biar madunya tidak dapat sesen pun. Sebelum majlis pernikahan, wasiat
harta arwah suaminya telah diubah atas permintaan ibu mertuanya. Wasiat diberi nama
agar tidak dituntut oleh orang lain terutama isteri tua arwah suaminya.
“Sabarlah,
Rina.” Halijah memujuk. Gelojoh sangat. Macamlah harta itu hendak lari ke
mana-mana. Atau dia sendiri yang hendak lari? Wajah kelat menantunya ditatap
seketika. Cantik, tetapi wajah yang tiada serinya. Dia mengalihkan pandangan ke
arah Mastura yang sedang mengulit Maria, cucunya yang langsung tidak pernah
dipegang dan disentuh, hanya pada hari pertama dia berlagak baik. Konon
meraikan kehadiran kedua-dua beranak itu. Di dalam hati ada duri dan tanahnya
tandus. Mana mungkin ada taman, berbunga mekar kasih dan sayang kepada kedua
beranak itu. Membiarkan benih-benih dendam dan kebencian tumbuh subur tanpa
siraman kasih dan sayang.
Dia
lihat tiada reaksi teruja ingin mengetahui apa yang ditinggalkan oleh arwah
suaminya. Mungkin sudah banyak agaknya harta dia sendiri? Kalau tidak, mana
mungkin dia mengajikan tiga orang pembantu rumah? Setakat ini kau menang. ‘Kau
tunggulah. Kau ingat aku akan duduk berpeluk tubuh aje?’ detik hati kecilnya.
“Baiklah,
saya baca wasiat yang telah dibuat oleh arwah Wan Ashraf Wan Kamarudin pada
hari arwah ditemui meninggal di dalam keretanya. Harap pihak Puan Hajah Halijah
dan menantu bersabar dengan ujian yang menimpa.” Haji Arshad memulakan bicara.
Membacakan wasiat yang telah ditulis oleh pelanggannya.
“Saya,
Wan Ashraf Wan Kamarudin, ketika membuat wasiat ini dalam keadaan sedar, sihat
dan tiada penyakit nyanyuk atau ada orang lain yang mempengaruhi keputusan yang
dibuat. Segala harta peninggalan saya, saham syarikat di dalam dan luar negara,
rumah yang diduduki oleh ibu saya semuanya saya serahkan kepada penama Wan
Mastura binti Wan Harun sebagai pemegang amanah harta yang akan diwariskan
kepada anak saya, Wan Maria binti Wan Ashraf.
Kepada
isteri kedua saya, Katrina yang sememangnya dilahirkan dari keluarga yang
berada dan berharta rasanya tidak memerlukan semua warisan saya. Kepada ibu
saya, dia boleh terus tinggal di rumah itu. Wan Mastura binti Wan Harun
dilantik sebagai penjaga harta ini.
Mastura
tidak boleh keluar dari rumah yang diduduki sekarang sehinggalah Maria berusia
21 tahun dan mampu berdikari. Katrina pula akan diberi alaun sebanyak RM1500
sebulah sahaja. Ehsan dari saya sebagai suaminya.
Saya
harap tiada sebarang pertikaian berlaku. Keputusan yang dibuat adalah muktamad.
Sebarang pemindahan harta tidak akan dibenarkan berlaku. Jika itu berlaku
segala harta ini akan diserahkan kepada Baitulmal.
Tidak
dibenarkan juga ditukar milik jika perkara itu berlaku, seperti perkara di atas,
seluruh harta akan diserahkan kepada pihak Baitulmal.” Haji Arshad menarik
nafas panjang. Selesai tugasan pertama. Dia pasti ada yang akan berkicau,
meraung dan mengaum bagaikan singa lapar kerana harta itu hanya diserahkan
kepada Maria seorang sahaja, Mastura sebagai pemegang amanah menjaga harta
tersebut.
Apa
lagi? Menyirap darah Halijah dan Kartina ketika Haji Arshad membaca wasiat itu.
“Kau
silap baca ke, Arshad?!” jerit Halijah, tidak percaya dengan apa yang dia
dengar tadi. Dia tidak pekak. Telinganya bersih, tiada sebarang kekotoran.
Jelas di pendengarannya.
“Rina
tak dapat apa-apa? Hanya RM1500 sebulan? Nak makan apa? Baju Rina sehelai aje
dah harga beribu-ribu ringgit. Ibu! Mana aci?” rengek Katrina, marah dan geram.
Lain yang diharapkan, lain yang jadi. Mahu sahaja dia tembak peguam yang sudah
lama menjadi peguam keluarga ibu mertuanya itu. Buat sakit mata dan sakit
telinga sahaja mendengar butiran wasiat.
Bila
pula arwah suaminya tukar wasiat tersebut? Takkan sebelum meninggal? Hisy,
bila? Katrina mengetap bibir. Rasa mahu digigit lidahnya biar putus. Janji
sudah dibuat dengan kedua-dua orang tuanya untuk memberi beberapa ratusan ribu
ringgit. Dalam keadaan begini bukan ratusan ribu, ratusan ringgitpun belum
tentu.
“Puan
hajah... Puan Katrina. Inilah yang telah ditulis oleh arwah sebelum dia menemui
ajal pada hari yang sama. Harap puan hajah dan Katrina terima dengan hati yang
terbuka. Kerja saya sudah selesai. Puan Mastura tolong tandatangan di sini
tanda penyerahan harta ini kepada puan sebagai pemegang amanah kepada Maria,
anak puan yang merupakan waris tunggal harta-harta ini,” kata Haji Arshad.
Mastura
terdiam. Segala keputusan arwah suaminya pasti disanggah oleh kedua-dua insan
yang berada di hadapannya. Api kebencian sedang marak menyala di mata
masing-masing. Kalau mereka harimau atau binatang buas sudah pasti dia dan
Maria ditelan hidup-hidup tidak tunggu lagi. Biar lenyap di muka bumi.
“Dia
tidak berhak dapat harta ini!” jerkah Halijah.
“Saya
tidak boleh berbuat apa-apa, puan hajah. Tidak boleh ada pemindahan. Kalau itu
berlaku, semua orang tidak akan dapat apa-apa. Itulah yang telah tertulis di
dalam wasiat ini,” terang Haji Arshad.
“Apa
dah kau buat, Ashraf?!” jerit Halijah seperti orang hilang akal. Wajah Mastura
ditenung dengan kejam. “Apa yang kau bagi anak aku makan, hah?! Sampai semua
harta dia beri kepada kau dan anak kau aje?” Melengking suaranya bagaikan
halilintar memecah bumi. Kalah kilat jika terdengar pancaran suara Halijah itu.
“Mas
mana ada buat apa-apa?” Mastura membela diri. Dia tidak akan mendiamkan diri
jika dihina. Bukan dia gila harta. Bukan dia mengemis dengan suaminya. Itu
adalah hak Maria, anaknya.
“Berani
kau jawab, ya?!” Halijah mengangkat tangan, namun pantas ditahan oleh Haji
Arshad.
“Puan
Hajah Halijah! Mastura menantu awak. Mulai sekarang dialah yang menguruskan
segala keperluan puan. Lagi satu, puan tidak boleh menghalau dia dari rumah
ini. Kalau dia keluar dari rumah ini, puan dan Katrina tidak akan dapat
apa-apa,” terang Haji Arshad. Kecewa dengan sikap wanita yang sudah berumur
itu.
“Semua
ini tipu! Bohong!” Macam orang hilang akal, Halijah tidak tentu arah. Bagaimana
mungkin semua hartanya jatuh ke tangan menantu yang dibencinya itu? Kenapa
Ashraf sekejam itu, sanggup menyerahkan harta kepada isteri tuanya? Dia dan
Katrina gigit jari?
Dia
mundar-mandir mencari jalan. Wajah Haji Arshad dipandang dengan berang. Kalau
Gunung Berapi Kelud meledak hebat, lebih hebat letusan hatinya ketika itu.
“Puan
hajah,wasiat ini ditulis sendiri oleh arwah. Saya tidak mampu berbuat apa-apa.
Tugas saya sudah selesai. Saya mohon diri dahulu. Jika ada sebarang masalah
datanglah ke pejabat.” Haji Arshad menunduk hormat. Beg bimbit dicapai terus
berlalu keluar. Tidak mahu berlama, nanti lain jadinya. Biarlah mereka mengamuk
sesama sendiri. Kerjanya hanya menyampaikan kehendak pelanggannya. Walaupun
sudah lama menjadi peguam keluarga itu, sikap wanita itu tidak pernah berubah.
Suka mengarah dan memberontak. Menyerang tanpa berfikir diri itu sudah cukup
tua untuk mengamuk bagaikan orang muda.
Halijah
mengetap bibir. Wajah Mastura yang duduk di hadapannya terasa bagaikan kecil
sahaja. Mahu sahaja dia menerpa dan bergomol dengan menantunya itu.
“Ibu!
Apa Abang Ashraf dah buat? Semua harta diserahkan kepada Mastura! Apa semuanya
ni? Sia-sia aje kahwin dengan Abang Ashraf, habuk aje yang tinggal!” amuk
Katrina.
“Suti!”
panggil Mastura.
“Ya,
puan?” Suti berlari anak mendekati majikannya.
“Bawa
Maria masuk bilik. Buka televisyen untuknya,” arah Mastura.
Suti
akur. Dia mendukung Maria dan masuk ke dalam bilik. Dia keluar semula untuk
menjalankan kerja di dapur.
Mastura
memandang wajah kedua-dua insan yang menjadi teman serumahnya itu. Teman
serumah? Mahu tergelak pun ada. Seorang madu dan seorang lagi ibu mertua. Entah
apa ujian yang bakal dihadapinya nanti. Kenapalah arwah meninggalkan semua
harta di bawah seliannya? Boleh pusing kepala 360 darjah. Duit simpanan dan
saham syarikat yang diletakkan atas namanya sejak dia berkahwin dengan arwah
suami sudah jauh lebih daripada cukup. Aduhai, bagaimana dia hendak menghadapi
dua insan yang sedang memandangnya bagaikan singa lapar? Bila-bila masa sahaja
mereka akan menerkam. Dirinya bagaikan mangsa sahaja di mata mereka.
“Mas
tak tahu-menahu pasal harta ini ibu... Rina,” ujarnya, memandang wajah mereka
silih berganti. Seram pun ya juga. Mereka berdua, dia hanya sendirian.
“Jangan
nak pura-pura tak tahu! Entah-entah kau pujuk Abang Ashraf tukar semua harta
atas nama kau! Bukan ke arwah meninggal selepas berjumpa kau!” Tinggi nada
suara Katrina.
“Betul,
Rina. Saya tak tahu-menahu.” Mastura meyakinkan mereka. Siapa yang harus
disalahkan? Arwah suaminya atau peguam yang menurut sahaja kehendak
pelanggannya. Semua ini membingungkan dirinya sendiri. Kenapa pula suaminya
meletakkan dirinya sebagai pemegang amanah? Bukan ibu mertuanya?
“Dasar
perempuan tak sedar diri!” marah Halijah berapi-api. Memang hatinya sedang
marah, panas dan menggelegak.
“Ibu!”
Mastura benar-benar kecewa. Dia sedar dirinya tetapi janganlah dirinya dihina.
Kenapalah mereka tidak mahu memahami keadaan? Arwah suaminya sendiri yang
membuat keputusan, bukan dia yang memaksa. Kalaulah dia tahu semua harta
diletakkan atas namanya sebagai pemegang amanah, sudah pasti dia menolak.
Biarlah sebahagian sahaja menjadi milik anaknya. Itu sudah lebih dari cukup.
Dia masih kuat. Masih boleh bekerja. Masih boleh berdikari. “Mas cuma menjadi
pemegang amanah sahaja ibu, Rina. Harta yang ada semuanya milik Maria, anak
arwah.”
“Samalah
tu! Kau kan mak Maria?!” Katrina bercekak pinggang. “Dasar perempuan pisau
cukur!” tuduhnya.
“Hei,
aku sudah cukup bersabar dengan perangai pura-pura kau itu, Rina! Jangan sedap
hati aje menuduh aku pisau cukur? Kalau aku pisau cukur, dah lama rambut kau
aku cukur bagi botak! Main sedap mulut aje. Kau ingat bila aku berlembut dan
diam, kau boleh tuduh dan buat sesuka hati. Okey, nak main kasar, ya? Mulai
hari ini, segala perbelanjaan aku yang tentukan! Faham?!” kata Mastura agak
kasar. Sedap sahaja menuduh dia pisau cukur? Faham ke tidak apa makna pisau
cukur? Dia isteri arwah yang sah dan Maria adalah anak arwah dan sememangnya
layak mendapatkan sebahagian daripada harta arwah. Tapi kalau semuanya
diserahkan kepada Maria, apa yang hendak dikata?
“Amboi,
garangnya? Dah tunjuk tembelang ya?” Halijah menjegilkan mata.
“Bukan
itu maksud Mas, ibu!” Mastura merenung wajah ibu mertunya yang kelat. Dia
mengangkat kaki berlalu dari situ. Kalau berlama, pasti ada yang hilang akal
nanti. Silap hari bulan ada yang mati katak kejap lagi. Pasal harta,
masing-masing hilang arah nanti. Dia melangkah masuk ke dalam biliknya. Daun
pintu dikunci dari dalam.
Dia
memandang wajah Maria. Rasa mahu melonjak gembira lantaran semua harta
diletakkan atas nama anaknya. Apatah lagi namanya diletakkan sebagai pemegang
amanah. Hisy, tadi itu bukan ayat pura-pura. Jangan salah faham pula. Dia
memang tidak meminta harta arwah suaminya diletakkan namanya, tetapi jika sudah
diberi, takkan dia hendak menolak? Bak kata orang tua-tua, rezeki jangan
ditolak, musuh jangan dicari. Dapat harta, musuh juga tiba bersama.
http://mall.karangkraf.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan