Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 22 Oktober 2014

KEJUTAN

 Gambar:lingchinmee.blogspot.com




Bau kemenyan membuatkan tidurnya terjaga.  Bau itu semakin lama semakin kuat menerja hidungnya.  Bau harum kemboja pula menyinggah, menyapa hidungnya.  Keduanya bersatu membangkitkan haruman yang mampu mendirikan bulu romanya.    Matanya memandang kiri dan kanan.  Tidak kelihatan apa-apa.  Dia bingas bangun dari pembaringan.  Pintu bilik di buka perlahan.  Perlahan-lahan dia melangkah mencari dari mana datangnya bau kemenyam.  Rumah warisan milik keluarganya yang diperbuat sepenuhnya dari kayu jati, kelihatan amat menyeramkan.  Bunyi cengkerik yang bernyanyi riang, bersahut-sahutan menampar cuping telinga.  Kicauan burung hantu di tengah malam membuatkan dia seram sendiri. 

Dia membuka satu persatu ruang bilik di dalam rumah itu.  Tidak kelihatan apa-apa pun.  Tidak mungkin di luar rumah?  Semakin bingung jadinya.  Bunyi seperti orang menumbuk juga mula  kedengaran. Bunyi guli  yang digolekkan juga mengusik telinganya.  Apa pulalah yang berlaku sebenarnya ini?   Kakinya semakin terketar-ketar menahan rasa ketakutan yang tidak dapat ditahan lagi.  Sudahlah tinggal sendirian di rumah yang mempunyai lapan bilik itu memang menyeramkan.  Jika tiada hantu sekalipun,  kain langsir yang bergerak ditiup angin  pasti disangka ada lembaga di situ.  Cukup menakutkan.  Jantungnya berdegup kencang menahan rasa takut yang terusan menendang.  Ke mana pergi kedua orang tuanya?  Adik-beradiknya?  Kenapa dia ditinggalkan sendiri?  Menahan rasa takut yang boleh membuatkan nyawanya dicabut.

Dia sudah berada di ruang tamu.  Gelap dan tidak berlampu.  Teraba-raba dia berjalan mencari pintu utama.  Namun tidak jumpa.  Kenapa rumahnya gelap-gelita?  Sedangkan, sebelum dia tidur tadi rasanya ada lampu yang terpasang.   Hampir sahaja dia melanggar kerusi  yang terdapat di ruang tamu. Baru beberapa hari di rumah itu mana mungkin dia menghafal setiap barangan dan sudut yang terdapat di situ.  Entah di mana pula suis lampu.   Terasa hendak menangis sahaja.  Kalaulah dibuatnya tiba-tiba muncul hantu berambut panjang mengerbang, seperti yang ditayangkan di dalam televisyen, mahu mati terkejut  dia di situ.  Bagaimana agaknya rupa hantu yang sebenar, adakah  yang merangkak seperti dalam drama Jepun, atau melompat seperti hantu cina, atau seperti cerita Indonesia, berbedak putih semuanya.  Mungkin juga seperti pocong, berbungkus dan muka berulat.  Semakin difikir, semakin  seram rasanya!  Berbagai doa dan bacaan yang dia tahu dibaca satu persatu.  Terkumat-kamit bibirnya.  Seram sejuk tubuhnya. Telapak tangannya mula berpeluh.  Hendak menjerit meminta tolong?    Rumah itu agak jauh dari rumah orang lain.  Tanah lot yang terletak satu kilometer barulah ada rumah orang lain. 

Kalau dia mati seorang diri di situ pasti tiada siapa yang tahu.  Benarkah hantu itu wujud? Semakin difikirkan semakin takut jadinya.   Dia meneruskan langkah, semakin terasa dia berada di tengah-tengah ruang tamu.  Ada sofa kulit dan meja kopi di situ.  Telefonn bimbitnya pun entah ke mana.  Sudah sikap semula jadi suka letak merata-rata.  Jadi seperti ini baru tercari-cari.    Bau kemenyan semakin kuat menerjah hidungnya. Asap keputihan yang kelihatan di dalam kegelapan malam itu membuatkan dia semakin takut.  Semakin bimbang. 

Suaranya bagaikan tersekat dikerongkong. Terasa sesak nafasnya.  Terasa berat kepalanya.  Boleh pengsang jika tidak kena gayanya.     Terasa kakinya memberat untuk melangkah.  Terasa kejang seluruh urat nadinya.  Bagaikan ingin rebah menyembah lantai.  Bau kemboja juga begitu dekat sekali.  Mahu menjerit, suaranya bagaikan tidak keluar. Hendak berlari terasa berat pula kaki ini.  Badannya terasa  berpeluh, ketakutan.    Ya ALLAH kau berilah kekuatan, detik hati kecilnya..  Dia terus mengucapkan kalimah syahadah, kalau mati sekalipun dia sudah bersedia.  Setiap orang akan mati, tetapi bukanlah mati kerana dicekik hantu.  Dia cuba gagahkan diri mendekati pintu depan rumah itu.  Ingin segera sampai, ingin segera keluar dari kegelapan yang menakut.  Bau wangi  yang menyeramkan.  Kata orang bau kemenyan adalah  cara mengundang jin dan hantu datang.  Benarkah?  Semakin dia memikirkan hal tersebut, semakin takut menendang tangkai hatinya. 

Akhirnya… Ya ALLAH, dengan begitu susah dan payah dia sampai juga ke pintu utama.  Dia memulas tombol  pintu dan membuka daun pintu seluas-luasnya.  Dan…

“Surprise!  Selamat hari lahir…” jeritan kedengaran di laman rumah.
Lampu terpasang terang benderang.  Ramai orang di laman rumah.  Matanya  yang terasa mengecil kerana ketakutan,  terbuka luas.  Tubuhnya yang lemah tadi bagaikan direntap pergi, berdiri kukuh, kononnya tiada apa yang berlaku kepada diri. 

“Kau takut ke, Nita?”   tanya mamanya yang mendekati.  Lantas tangannya dipegang erat.   

Bergetar tanganku ketika itu.  Mama hanya melemparkan senyuman dan memelukku.  Cis!  Kejutan yang boleh membunuh! Detik hati kecilku.   Dia memaniskan  muka semanis mungkin, degupan jantungnya  masih belum hilang. 

“Eh, taklah….” Katanya perlahan.  Kalaulah mereka tahu betapa takutnya dia.  Bau  yang disangkakan kemenyan tadi hanyalah bau setanggi yang dibakar untuk menyegarkan dan memberi  haruman pada ruang laman yang dihias indah.  Bodohnya dia kerana takut kepada sesuatu yang dia tidak  nampak.  Kalaulah dia pengsan tadi, pasti ramai yang akan ketawakannya.  Esok barulah hari lahirnya.  Sengaja mereka menyambutnya ditengah malam.  Memang mengejutkan betul.

2 ulasan: