Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 21 Oktober 2014

KATAKAN TIDAK PADA RASUAH!


Perlahan-lahan dia melangkah, berhati-hati, matanya liar memerhati kiri dan kanan.  Senjata M16 yang kemas  menghala ke hadapan, memuncung ke arah sasaran, turut bergerak mengikut pandangan matanya.  Hutan belukar yang menebal sehingga sukar untuk dia melangkah.  Perlu berhati-hati takut ada musuh yang menanti. 

“Hassan…” sayup-sayup kedengaran suara memanggilnya. 

Hassan mengecilkan mata.  Baju celoreng yang tersarung ditubuh kotor terkena lumpuh. Kasut but yang dipakai turut dpenuhi tanah lumpur yang melekat bagaikan tidak mahu pergi.  Semakin memberat terasa langkahnya.  Dia mendekati teman sekerjanya yang duduk mencangkung, matanya tepat memandang ke hadapan.  Hassan turut mencangkung di sebelah Rudi. Senjata temannya itu terhala ke arah sesuatu.    Dia menguis Rudi.
“Ada musuh di hadapan,” beritahu Rudi perlahan.   
Hassan mengangguk perlahan.  Mereka berdua dihantar untuk meninjau kawasan sempadan terlebih dahulu sebelum  batalionnya turun padang memulakan operasi.  Mata mereka membulat ke satu arah semak yang bergerak seperti ada sesuatu di dalamnya.   Dahi mereka berkerut serentak.
“Kau rasa, musuh yang bagaimana?” tanya Hassan.  Matanya masih memerhati dan menunggu, apa yang bakal muncul di situ.
“Binatang buas agaknya?” teka Rudi.
“Jom  kita pergi lebih dekat lagi,”  ajak Hassan dengan berani.
“Hish! Sabarlah dulu, jangan terburu-buru… aku baling batu dulu… kalau binatang  buas pasti ia lari.  Kalau manusia pasti dia bertindak  lebih dari itu,” kata Rudi  sambil dia mencari sesuatu untuk digunakan bagi menentukan apakah itu.

Rudi berdiri, senjata M16 disandangkan ke bahu. Dia menghayun tangan ke belakang kepalanya dengan batu sebesar penumbuknya digenggam kuat.   Dia membaling ke arah semak yang  bergerak itu. 
Dush!  Batu itu jatuh ke dalam semak. 

“Aduh!”  terdengar suara  mengerang kesakitan.   Berdiri beberapa orang dari celahan semak tersebut.

Rudi dan Hassan menyengih.  Mereka  mendekati, dengan muncung senjata dihalakan ke arah manusia yang berdiri dalam keadaan tercenggan, terkejut dan ketakutan itu.

“Angkat tangan!”  jerit Hassan.  Dia mendekati sekumpulan manusia yang menyorok di dalam semak tersebut.  Beraninya… getus hati kecilnya.

Kumpulan lelaki itu ada lima orang.  Wajah mereka pucat melihat muncung senjata dihalakan kepada mereka.  Tangan diangkat, mata liar, wajah pucat lesi.    Pakaian mereka penuh dengan palitan lumpuh.  Jelas terpancar keletihan di wajah mereka. 

“Kalian siapa?  Buat apa di sini?” tanya Rudi, serius.  Tiada sekeping senyuman terlahir di bibirnya.


“Kami dari Negara seberang!’ kata salah seorang lelaki dari  kumpulan  itu. Wajahnya pucat lesi, bibirnya bergetar mungkin ketakutan.  Matanya tepat ke arah  muncung senjata.

“Buat apa di sini?” tanya Hassan, matanya pula agresif memandang seorang demi seorang yang berdiri sambil tangan mereka ke atas. 
“Tunggu tekong datang ambil,” kata seorang lagi. 

“Tekong?  Oo… kalian pendatang tanpa izin?”  Rudi mencebik.  Apa hendak jadi agaknya. Selalu sahaja menyusahkan orang lain.  Tidak bolehkah masuk Negara ini secara baik, walaupun untuk bekerja.  Mereka  ini sebenarnya menyusahkan diri sendiri juga.  Kalau terlepas tidak mengapa, jika tertangkap, parahlah padahnya.

“Jalan! Bergerak!’ arah Hassan sambil menolak tubuh salah seorang dari mereka dengan muncung senjata.

Kelima lelaki itu bergerak ke depan.  Mereka berjalan keluar dari kawasan hutan belukar dan menuju ke kem yang terletak tidak jauh dari situ.  Ke lima-lima lelaki yang bert-shirt  dan berseluar panjang disuruh duduk mencangkung depan balai.  Rudi dan Hassan memeriksa mereka seorang demi seorang.  Perkenalan diri tidak ada.

“Pendatang tanpa izin lagi?”  tanya pegawai yang bertugas. 

“Ya tuan,” jawab Hassan sambil berdiri tegak dan memberi tabik hormat kepada pegawainya.
“Bawa mereka ke dalam!” arah Tuan Ibrahim, tegas.

kelima lelaki itu dibawa masuk ke dalam balai yang sudah tersedia lokap di dalamnya.  

Hassan dan Rudi tersenyum puas kerana tinjauan mereka  berjaya  menangkap sekumpulan pendatan tanpa izin yang hendak menyelinap masuk ke sempadan Negara. 

***

Wajah lelaki berbangsa Melayu yang duduk menghadap Tuan Ibrahim dipandang lama.  Hendak sahaja dia basuh  lelaki tersebut.  Sekeping sampul surat di atas meja dijeling sekali sekala.  Tiada sebarang kata keluar dari mulut lelaki itu, hanya senyuman yang terukir.  Tuan Ibrahim mengerutkan dahi.
“Jangan banyak fikirkan tuan, kita selesaikan perkara ini segera,” pinta lelaki Melayu  itu.
“Mana boleh macam itu… ini rasuah namanya!”  tempelak Tuan Ibrahim dengan mata  dijegilkan.
“Mana ada rasuah, tiada siapa yang tahu,”  lelaki Melayu  yang segak bergaya itu tidak mahu mengalah. 
“Awak ini bangsa apa?  Kenapa buat kerja seperti ini?  Bukankah kerja ini salah?  Awak tak ada keluargakah?” tanya Tuan Ibrahim bertalu-talu.
“Saya bukan nak bincangkan tentang diri saya, tapi saya nak bawa keluar lima lelaki pendatang asing tu.  Tuan terima sahajalah imbuhan yang saya beri, lain kali senanglah sikit kerja saya,”  getus lelaki itu lagi.
Tuan Ibrahim menyandar di kerusinya.  Akalnya deras berfikir.  Matanya terus menilai.  Lelaki di hadapannya langsung tidak berasa bersalah dengan tindakannya membawa masuk pendatang tanpa izin malah berbangga pula ingin menyuapnya dengan wang ringgit.  Hatinya diulit galau dengan sikap  lelaki di hadapannya itu. 

“Apa yang tuan nak fikirkan lagi.  Terima  sahajalah, tiada siapa yang tahu,”  kata lelaki itu lagi, terus mengesa.
“Awak sedar tak apa  yang awak buat ini?  Awak mencemarkan nama baik bangsa kita sendiri, sudahlah awak bawa masuk pendatang tanpa izin ke Negara kita, lepas tu awak tawarkan rasuah pada saya, malu saya hendak mengaku awak ini, sama bangsa dan seagama dengan saya!”  lengking suara Tuan Ibrahim.  Berapi perasaannya ketika  itu.  Dia bukan manusia tamak haloba yang tiada perasaan.  Pakaian seragam  yang dipakai bukan untuk dia menjual maruah bangsa dan negaranya sendiri. 

“Berapa ramai orang seperti tuan makan rasuah!  Selama ini saya tiada masalah pun, tuan sahaja yang terlebih alim!”  kata lelaki itu kasar.
“Awak jangan menuduh tanpa bukti!” Marah Tuan Ibrahim.  Mukanya mencuka.  Mahu sahaja lelaki di hadapannya itu ditembak dengan M16 yang berada di sebelahnya.  Orang seperti ini hanya mementingkan diri sendiri dan mampu menghancurkan Negara.
Lelaki itu terus ketawa. 

Semakin panas hati Tuan Ibrahim.

“Siapa nama awak?” tanya Tuan Ibrahim.  Dia menekan intercom.

“Razali…” kata lelaki itu.
“Razali… saya tahan awak atas tuduhan membawa masuk pendatang tanpa izin dan cuba merasuah saya.  Sarjan, bawa lelaki ini ke dalam lokap.  Esok kita serahkan kepada pihak polis!” Mata Tuan Ibrahim singgah pada dua orang pegawainya yang baru melangkah masuk. 
“Hei!  Tuan mana boleh tahan saya!”  Razali cuba meronta.  Tangannya sudah pun digari oleh seorang lelaki yang dipanggil Sarjan tadi.
“Nasihat saya Razali, jadilah  bangsa yang menghargai dan menyayangi Negara sendiri.  Awak tidak kenal pun kelima-lima pendatang tanpa izin itu, bagaimana jika mereka pengganas, pembunuh atau perompak.  Macam-macam boleh berlaku Razali.  Awak tak fikirkan ke keselamatan Negara ini, rakyat Negara ini, hatta keluarga awak sendiri, jangan hanya tahu cari keuntungan  yang tidak halal ini.  Banyak cara untuk cari duit, tapi bukan dengan cara ini.  Saya tidak akan mengkhianati Negara saya, bangsa saya dan agama saya sendiri!  Orang seperti awak tidak layak jadi rakyat Negara ini!  Sarjan… bawa dia pergi!” kata Tuan Ibrahim panjang lebar.  Sakit hati dan sakit mata memandang wajah yang tiada langsung rasa keinsafan dan bersalah itu.  Kalaulah ramai lagi manusia seperti Razali di Negara ini.  Boleh terjual Negara ini tanpa disedari. 


Rudi dan Hassan duduk menghadap Tuan Ibrahim yang kelihatan amat gelisah itu.  Mereka saling berpandangan.  Wajah cemberut pegawai atasan mereka mengundang rasa tidak selesa di hati.
“Saya dah tahan tekong yang membawa masuk kelima-lima pendatang tanpa izin itu. Dia hendak merasuah saya,”  jelas Tuan Ibrahim.
“Hah! Merasuah tuan?” Rudi terkejut.  Berani sungguh lelaki itu.  Dia tidak tahu siapa Tuan Ibrahim.  Bukan sahaja rasuah, orang kampung sebelah bagi ayam tanda terima kasih pun dia tidak terima.  Rudi menggeleng.  Memang kenalah sangat, kata Rudi dalam hati.
“Dia tak kenal tuan,”  Hassan tersenyum.
“Saya ucapkan tahniah kepada kalian berdua kerana berjaya menangkap mereka.  Saya akan perhebatkan lagi kawalan di sempadan.  Kita tidak mahu rakyat Negara seberang, sewenang-wenangnya masuk ke Negara kita.  Bukan kita tidak benarkan, tapi gunalah saluran yang betul. Saya harap tiada orang bawahann saya yang sanggup menerima suapan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan Negara.”  Tuan Ibrahim mengangkat kening.
Rudi dan Hassan saling  berpandangan. 
“Insya-ALLAH tuan… kami akan bekerja dengan jujur. Rasuah memusnah Negara, bangsa dan agama.  Kami bekerja kerana ingin mencari rezeki yang halal keluarga kami,” kata Hassan.  Tidak pernah terlintas di hati ingin berbuat begitu.  Dia tidak akan memberi keluarganya makan dengan duit yang tidak halal.  Biarlah kecil pendapatan yang diterima tetapi berkat.
“Bagus Hassan… saya harap kita teguh dengan pegangan kita.  Kita bekerja ini pun satu ibadah, ALLAH memerhati.  Kalian jangan takutkan saya, tapi takutlah dengan ALLAH yang memerhati setiap saat.  Teruskan tugas kalian berdua,” nasihat  Tuan Ibrahim.

“Baik tuan!” jawab  Rudi dan Hassan serentak.

Jika setiap rakyat di Negara ini jujur, bertanggungjawab, ikhlas dan takut kepada ALLAH dan yakin rezeki yang baik itu akan menghasilkan yang baik juga  maka tiada siapa berani mengambil RASUAH.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan