Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 20 Oktober 2014

SESAL KEMUDIAN TIADA BERGUNA 11

SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA 11

                Rasa ingin meraung sekuat hatinya.  Biar satu dunia tahu apa yang sedang dirasakan ketika dan saat ini.  Malu juga menjejaki dalam hati.  Mana tidaknya, suaminya ditangkap di hadapan orang ramai.  Banyak mata yang memandang.   Melihat dengan penuh kehairan, tidak kurang juga mengejek seperti menghina. Rasa maruahnya tercicir satu persatu di tepi jalan.  Bagai direntap  maruah dan harga dirinya.  Mana dia hendak letak muka, apabila semua orang  yang mengenali dia dan suami mengetahui tentang kejadian ini.  Tentu berita ini akan cepat tersebar.  Semua orang akan tahu, keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan rakan sekerja suaminya.
                Air matanya  mengalir laju.  Sudahlah dia tidak bekerja, semua yang ada di dalam rumah ini masih ada hutangnya.  Matanya memandang persekitaran ruang tamu yang berhias mewah.  Semakin parah rasanya.  Ada sebahagian barang-barang dalam rumah masih terikat dengan hutang.  Mana dia hendak cekau duit?  Siapa yang akan membantunya?  Manalah dia tahu suaminya mengamalkan rasuah?  Adakah salah dirinya?  Mungkin dia terlalu mendesak suaminya ingin hidup mewah, ingin kesenangan.  Dia cemburu dengan jiran sebelah menyebelah, hidup mereka begitu mewah, barangan dalam rumah semuanya mahal-mahal belaka.  IKEAlah, Vantagelah… mana boleh tahan, kalau setakat menjamu mata.  Dia juga ingin miliki seperti itu.  Membeli belah pula bukan calang-calang tempat One Utama, Curve,  kain tudung pula Kalau tidak Ariani, Fareeda… Takkan dia nak beli tudung di pasar malam?  Semua itu mengamit selera dan rasa ingin memilikinya.
                Hanna merebahkan diri di sofa.  Seharian berendam air mata, masalah tidak juga selesai.  Apa yang harus dia lakukan?  Kepada siapa dia harus mengadu?  Simpati siapa boleh diraih? Akalnya bagaikan tidak mahu berhenti berfikir.  Jiwanya tidak tenteram lagi sejak suaminya ditahan di penjara.  Rasa rindu yang menyapa ditolak ke tepi. 
                “Hanna…!  Hanna!” panggil seseorang dari luar rumah. 
                Dahinya berkerut, memikirkan suara siapakah itu.  Dia bingkas bangun.  Air mata di pipi dilap perlahan.  Membetulkan kain tudung dan baju kurung yang tersarung di tubuhnya yang agak berisi.  Langkah diatur ke pintu.  Perlahan-lahan daun pintu dibuka.  Berdiri di hadapannya, orang yang amat di  kenali dan orang yang telah melahirkan dia ke dunia ini. 

                “Apa dah jadi Hanna?”  tanya  tetamu  yang datang secara tiba-tiba itu.
               
                Seorang wanita  berusia lewat 50-an memandang wajah Hanna dengan rasa penuh simpati.  Mariam menggeleng kesal.
                “Mak!”  Hanna menerpa memeluk  emaknya.
                “Kita masuk dulu,”  ajak  Mariam, tangan  Hanna ditarik masuk ke dalam rumah.  Cepat-cepat daun pintu ditutup.
                Hanna menyambung tangisannya.  Bertambah hiba hatinya.  Apa yang harus dia katakan kepada emaknya.
                “Macam mana sampai boleh jadi begini?  Benarkah Alias ambil rasuah?  Kau tak tahukah?” soal Mariam bertubi-tubi.  Dia sendiri terkejut mendengar berita yang diberitahu kepadanya oleh besannya pagi tadi.  Mahu gugur jantungnya.  Nasib baik darah tingginya tidak  naik.  Kalau tidak mahu rebah menyembah lantai.
                “Hanna tak tahu pun  Abang Alias ambil rasuah?” Hanna menangis lagi.  Dia memang tidak tahu, dia tidak pernah bertanya mana suaminya mendapatkan duit untuk membayar segala hutang piutang yang ada.  Duit untuk membeli-belah, pergi bercuti, semuanya tidak pernah ditanya, diselidik.  Tidak pernah mensyaki apa-apa.  Dia beranggapan duit yang ada adalah dari gaji yang diterima oleh suaminya.
                “Ya ALLAH!”   Benarlah cakap besannya.  Kejap lagi pasti mereka sampai ke sini.  Mariam duduk di sofa. 

                Hanna duduk di sebelah emaknya.  Dia menarik tangan Mariam dicium dan dipeluk erat.  Terasa ingin melepaskan beban yang sedang ditanggungnya ketika ini.
                “Kejap lagi sampailah orang tua Alias.  Sabarlah Hanna.  Mak pun tak tahu nak cakap apa, perkara sudah terjadi.  Mak tak sangka Alias sanggup khianat dirinya sendiri, khianat dengan tempat dia mencari rezeki,  khianat dengan agama, khianat dengan keluarganya juga.  Hancur berkecai hatinya.  Ingatkan menantunya seorang yang jujur. 
                “Mereka sudah tahu jugakah, mak?”   Hanna  mengeluh. 
                “Tentulah… Kawan Alias yang telefon emak mertua kau,”  Mariam mendengus kasar.
                “Ya ALLAH, apa Hanna nak cakap nanti, mak?”  Hanna hiba.  Apa pula anggapan mertuanya nanti.  Sakit kepalanya memikirkan hal ini. 
                Suara orang membeli salam mematikan bualan mereka. 
                “Pergilah buka pintu, tentu  keluarga mertua kau tu,”  suruh Mariam.
                “Mak!”  Hanna bimbang.
                “Tak apa, pergilah!”  Mariam menolak tubuh  Hanna.
                Dengan hati yang penuh berdebar-debar Hanna memusat pandangannya ke tombol pintu.  Dia menjawab salam dan membuka daun pintu, berhati-hati, bagaikan orang takut dihukum mati sahaja lagaknya.  Dia menarik nafas dan melepasnya perlahan-lahan.  Terasa sesak dadanya.  Terasa berat hatinya hendak menerima kedatangan tetamu itu.
                “Hanna…!”  wajah kelat Rozana terpancar jelas.  Dia menolak Hanna dan melangkah masuk.  Berjubah hitam dan bertudung ringkas, berkaca mata, tiada senyuman yang terukir.  Matanya meliar memerhati keadaan di dalam rumah.  Keningnya terangkat.
                “Mama… ayah,”  sapa Hanna. Tiada sebarang kata daripada ayah mertuanya.
                “Kau pun ada Yam?” Rozana mendekati besannya.  Tangan bertaut.  Dia terus duduk di sebelah besannya, Mariam.
                “Cantik rumah kau?”  kata Aziz, ayah mertua Hanna.
                “Terima kasih ayah,” hanya itu yang keluar dari mulut Hanna.  Apa lagi yang ingin dia katakana.  Sudah lama juga mertuanya tidak datang ke rumahnya.    Tentulah banyak perubahannya.
                “Padanlah Alias ambil rasuah, kau beli barang-barang mahal dalam rumah ini!” tuduh Rozana.  Matanya dijegilkan. 
                “Kak Rozana, janganlah tuduh anak saya pula?  Anak saya tak tahu Alias ambil rasuah?”  Mariam kurang senang mendengar kata-kata  besannya.  Tuduh tak kena gaya, takkanlah anaknya menjadi penyebab.  Sudah tanggungjawab Alias menyediakan kehidupan yang baik untuk anak dan isterinya.          
“Cuba kau tengok dalam rumah ini  Yam, waktu kita datang sebelum ini, mana ada semua ini. Semua perkakas baru. Ruang tamu bukan main cantik lagi.  Kau tak tengok di laman rumah ini, siap ada mini taman lagi, mana datang duitnya?   Gaji Alias bukannya besar, tak mungkin mampu menyediakan semua ini,” leter Rozana. 
“Sudahlah awak nak salahkan Hanna pun dah tak berguna lagi.  Anak kita sudah pun ditahan oleh pihak polis.  Kita fikirkan jalan untuk membebaskannya,”  pujuk Aziz.  Tidak mahu berlaku pertengkaran.  Perkara sudah jadi, tiada guna bising-bising lagi.
“Hanna tak tahu pun Abang Alias ambil rasuah!  Hanna tak pernah suruh dia buat kerja gila itu!”  Hanna cuba mempertahankan dirinya sendiri.  Memang benar, dia tidak tahu langsung apa yang dilakukan oleh suaminya.  Pernah juga dia bertanya sekali, suaminya hanya menjawa, ‘adalah’.  Kalau bertanya berkali-kali, pasti herdikan yang diterima.  Dia tidak mahu mencampuri urusan kerja suaminya.  Tugasnya adalah menguruskan rumah tangga, jaga anak-anak. Tugas suaminya menyediakan semua keperluan dia dan anak-anak.
“Takkan kau tak boleh tanya, waktu dia membeli semua keperluan dalam rumah ini! Mama rasa kau boleh nilai sendiri, tengok gazebo di luar tu…, bukannya murah, takkan kau tak tahu?” tempelak Rozana.
“Kak Rozana, kalau kita cari salah Hanna, sudah tiada gunanya. Mari kita fikirkan bagaimana hendak membebaskan Alias. Harap sangat dia tidak mengaku salah.  Kalau dia mengaku, kita takn mampu berbuat apa-apa,”  Walaupun sakit hati mendengar tuduhan besannya, baiklah dia berdiam diri, nanti  berlaku pertengkaran antara mereka, menambah sakit di hati, menambah beban di jiwa. 
“Sebab dia dah mengaku bersalahlah, akak berhak marah, Yam!  Apa dah kau buat Hanna?  Kau nak sangat hidup mewahkan?  Macam jiran sebelah menyebelah kau?  Mereka bekerja suami isteri, berpendidikan tinggi… Kau?  Kenapa pendek sangat akalkau?  Ukurlah baju di badan sendiri… jangan ikut nafsu… tengok apa yang kau dapat?  Kalau suami kau tu Pengarah, bergaji belasan ribu sebulan, bolehlah minta itu, ini….  Kereta sampai dua buah, untuk apa?  Setakat nak hantar anak ke sekolah, naik bas sekolah pun boleh!” marah Rozana, hatinya terpahat pilu.  Anak tunggalnya di lokap polis.  Sudah mengaku bersalah pula itu.  Hukuman pasti akan berjalan tidak lama lagi. 
“Awak jangan marah sangat, Ana… kang naik darah tinggi awak,”  Aziz mengeluh kesal.  Matanya masih memerhatikan susun atur rumah anak tunggalnya itu.  Kemas dan cantik.  Perabut serba mewah, hiasan yang indah.  Dia mengeluh.
“Awak nak saya tengok dan tersenyumkah bang?  Anak kita   akan ditahan di penjara, sebab ikutkan citarasa tinggi menantu kita ini! Terikut-ikut hidup mewah orang lain.  Gaji tak besar mana,, duduk rumah teres dua tingkat, di kawasan elit pula tu, kononnya nak jaga status, isteri Pegawan!  Dapat kuaters, tolak, tak ada kelas!  Kau jahanamkan masa hadapan anak mama!  Kau ingat lepas keluar penjara, ada orang nak ambil  Alias  bekerja?  Dia pecah amanah, ambil rasuah! Kau faham tak?  Masa hadapan dia sudah hancur, maruah kami dienjak-enjak!  Malu kami dengan jiran sekeliling, malu dengan rakan sekerja Alias.  Malu dengan diri sendiri.  Seolah-olah mama gagal mendidik anak!  Bukankah kau puncanya?” tuduh Rozana.  Dia sudah hilang pertimbangan.  Dia tidak sanggup melihat masa hadapan anak tunggalnya yang gelap.  Semua kerana ingin memenuhi kehendak isteri yang tiada hati dan perasaan.
“Kak!”  Semakin panas telinga  Mariam mendengar tuduhan besannya terhadap anak  perempuannya yang masih menangis sejak tadi.
“Kau tengok perangai anak kau Yam, kalau dia tak meminta  yang bukan-bukan, Alias tidak akan buat kerja terkutuk itu.  Makan rasuah samalah seperti mencurah bara api ke dalam tekak!  Kau tak takut dosakah?  Kau tak takut atau malu dengan orang di sekeliling?  Kau tak mahu dicemuh sebagai isteri pengkhianat?  Sanggup kau ambil rasuah?”marah Rozana berapi-api.
Bertubi-tubi dia diasak.  Tidak berani melawan, nanti bertambah buruk jadinya.  Suaminya sudah mengaku bersalah?  Kenapa dia tidak tahu?  Benarkah suaminya ambil rasuah?  Malunya! Mana dia hendak letak muka?  Pasti dia akan diketawakan oleh jiran tetangga yang rata-rata bekerja dan mewah hidup mereka. 

                “Entah berapa tahun pula Alias akan ditahan, esok baru dia akan dibawa ke mahkamah dan menerima hukuman, sebab dia sudah mengaku!  Menyesal dan menangis air mata darah sekalipun tak mampu mengubah keadaan!  Kau terimalah padah atas kehendak dan nafsu serakah kau tu!” marah Rozana masih tidak hilang.  Rasa membahang duduk di rumah itu.  Geram memanah tangkai hatinya.  Dia benar-benar marah, geram dan benci dengan sikap membazir menantunya itu.
“Kak Rozana, sabar ya… esok kita ikut ke mahkamah, kita dengar apa keputusannya,” pujuk Mariam, sejak tadi cuba bertenang, sedangkan dalam hati hanya ALLAH jua yang tahu.  Terbakar dan hangus sama sekali.
“Esok kita ke sana bersama-sama.  Jangan salahlah Hanna seorang.  Sepatutnya  anak kita tu, memikirkan kesan dari perbuatannya, dia boleh sahaja sekat kehendak Hanna, tidak ikutkan.  Diakan pemimpin keluarga, ketua kepada keluarganya sendiri.  Dia sepatutnya mendidik dan mengajar Hanna, bukan menurut.  Nak marah pun sudah tiada gunanya.  Tidak mengaku bersalah, segala bukti sudah jelas.  Mungkin ini adalah terbaik untuknya, untuk muhasabah diri, agar tidak lagi melakukan perbuatan terkutuk ini.  Memanglah tak rasa apa-apa waktu mendapat upahan berpuluh ribu ringgit.  Malah suka, gembira, dapat hidup senang dan mewah, tapi berapa lama?  Rezeki tak berkat ini tak lama, pasti malang akan menimpa, sudah berkali-kali ayah pesan dan nasihat, langsung tak diterima pakai,”  Aziz mengeluh kesal.  Bukan dia tidak pernah nasihatkan.  Bukan dia tidak pernah beritahu, pekerjaan seperti anaknya memang banyak dugaannya.  Kalau tidak kuat, pasti terjerat.  Jika tidak berhati-hati pasti musnah sendiri. 
Hanna tidak mampu berkata apa-apa.  Dia hanya menunduk dan mendengar setiap butir bicara yang keluar dari mulut orang tuanya.  Emaknya tidak bersuara lagi.  Mamanya juga begitu.  Menangis air mata darah sekalipun tidak mungkin dapat menyelamatkan suaminya.  Salah dirinyakah?  Meminta tanpa memikirkan kesannya.  Keinginan tinggi yang terjerut dengan hawa nafsu tanpa sempadan ini memusnahkan kehidupan keluarganya.  Suami di penjara, anak-anak tentu akan berasa malu jika perkara itu tersebar luas nanti.  Suaminya akan dituduh pecah amanah! Suaminya akan dituduh sebagai pemakan rasuah.  Penjara akan menjadi tempat tinggal suaminya.  Dia pula terpaksa berhadapan dengan masyarakat, dengan dunia, mendengar kata-kata nista, cemuhan dan ejekan.  Malu tidak terkata.  Nasi sudah menjadi bubur, basi dan tak mungkin mampu dijamah.  Hilang pertimbangan dalam diri menghancurkan hidup suaminya.  Apa guna lagi rumah cantik, barangan mewah, emas dan berlian memilit di badan jika semua itu adalah dari wang haram!  Air matanya terus mengalir, menangisi nasib diri.  Kegelojohan mengikut rentak hidup orang lain akhirnya memakan diri.   Hanna pasrah kerana apa yang berlaku adalah  sikap borosnya yang tidak mengukur baju di badan sendiri…

(Gambar Kredit kepada arifsamsudin.blogspot.com)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan