Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 22 Oktober 2014

Sri Diah Shaharudin









Radhiah Shaharudin atau Sri Diah Shaharudin, ibu kepada  3  orang anak dan isteri kepada Ahmad Sa’abun, merupakan  anak jati Kuala Lumpur.   Mendapat pendidikan sepenuhnya di Kuala Lumpur juga.  Berkelulusan dalam bidang penulisan kreatif dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.  Seorang yang penuh motivasi diri dan berkarisma.    Beliau bermula dengan menulis puisi seawall pada usia 16 tahun.  Karya-karya waktu itu banyak tersiar di akhbar-akhbar untuk pelajar, d akhbar hujung minggu dnan juga di bulletin-buletin belia.  Dari situ minat beliau terus bercambah untuk mengembang lagi bakat dalam bidang penulisan dengan menulis novel pula.   Novel pertama beliau lahir ketika berusia 17 tahun, ketika itu  beliau sedang menunggu keputusan SPM.

TRAGEDI MALAM MINGGU merupakan novel pertama beliau.  Karya itu menjadi pendorong untuk beliau terus menulis dan menulis.  Maka lahirlah satu demi satu cerpen mula tersiar di akhbar perdana dan di majalah-majalah sastera.  Detik-detik merangkak mencari nama dan pengaruh itu menjadi momen yang paling indah buat beliau.  Bukan mudah menjadi penulis, namun beliau berjaya mengatasi segala onak dan duri untuk bergelar penulis.    Sukar untuk dilupakan sehinggalah ke hari ini beliau sudah melahirkan beratus judul puisi, cerpen-cerpen dan juga 14  judul novel.Novel merupakan genre yang amat beliau gemari.  Seorang wanita yang berkerjaya, isteri dan ibu yang baik dan bertanggungjawab.  Mempunyai keluarga yang amat memahami minat beliau dalam dunia penulisan dan kerjaya.  Beliau juga banyak memenangi anugerah penulisan sejak bergelar penulis.  Segala ilmu yang diperolehi ketika belajar dahulu  digunakan sebaik mungkin, baik sebagai penulis mahu pun dalam kerjaya.

Karya-karya Sri Diah banyak berpijak kepada dunia realiti dan ditulis berdasarkan dari pengalaman sebenar yang diperolehi dari majalah kelolaannya, cerita dari jiran, kenalan dan juga dari pembacaan.  Karya beliau banyak berkisar pada kehidupan dunia korporat, keruntuhan rumah tangga, perebutan kuasa dalam perniagaaan dan tipu muslihat manusia yang tidak pernah  puas dengan kuasa dan kekayaan dunia.  Itulah karya-karya Sri Diah yang amat dekat dengan kita.

29 tahun berkhidmat di Kumpulan Media Karangkraf.  Bermula sebagai penyunting di Akhbar Bacaria, kemudian menjadi Editor Majalah Nona.  Akhirnya beliau menjaga  Bahagian Majalah Karangkraf yang ketika itu mempunyai  28 majalah.  Tugasan itu dijalankan dengan baik dan penuh rasa tanggungjawab.  Beliau bekerja di situ  dengan segala suka dan duka, pernah mengendalikan Akhbar   Sinar Harian dari Kelantan sehinggalan sekarang sudah beredar di lapan negeri dalam Semenanjung.   Usai menguruskan bahagian majalah dan akhbar kini beliau diberi mandat mengendalikan  3 buah bahagian paling besar di Kumpulan Media Karangkraf iaitu Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bistari.   Pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang menjalankan tugas tidak pernah mematahkan semangatnya untuk melahirkan ramai lagi penulis dan melahirkan karya-karya yang  bermutu.   Ketika diajukan soalan,  bila mahu pencen, dengan selamba beliau menjawab, “Bos  masih mahu khidmat saya, selagi tidak nyanyuk, saya akan terus bekerja.”

Kuala Lumpur, Di mana Suamiku, merupakan karya beliau yang pertama saya  baca.  Ketika itulah mengenali Sri Diah, hanya melalui nama dan karya.  Tidak pernah bersua muka.  Meminati karya-karya beliau seterusnya.    Beliau juga telah menghasilkan Antologi Cerpen dengan ITBM.  Pertama kali bersua muka dengan Puan Sri Diah ketika Jualan Gudang di Karangkraf pada tahun 2012.  Saat-saat indah yang akan saya kenang sehingga ke akhir hayat.  Orangnya peramah dan mesra.  Tidak lokek dengan senyuman.   Walaupun usia sudah menganjak awal 50-an, beliau masih cantik dan manis orangnya.  Kini bagaikan sukar untuk saya mempercayai, selalu dapat bertemu dan bermesra dengan beliau.  Seorang yang bercakap lembut tetapi tegas.  Seorang yang amat dihormati dan disegani.  Mudah diajak berbual, betukar-tukar pendapat dan suka bergurau.  Mudah didekati.  Semoga beliau terus sihat dan bersemangat dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.  Ternanti-nanti karya terbaru beliau.  Semoga ada nukilan manis  untuk para peminat  beliau di luar sana.


Info- Alaf 21, Blog beliau dan  FB.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan