Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 25 Oktober 2014

HATI SEORANG...

Jahatnya aku?  Kejamkah aku?  Memang benar aku jarang berada disampingnya.  Tugasku sebagai penceramah bebas membuatkan waktu dan masaku amat terhad untuk keluarga.  Tidakkah dia fahami itulah maca pencarianku.  Aku pendakwah, kerjaku berdakwah.  Mana boleh berada di rumah sepanjang masa.  Mana datangnya duit yang  aku  serahkan kepada keluarganya?  Takkan itu pun tidak boleh fikir?  Siapa boleh tahan, jika pulang sahaja aku disambut dengan wajah yang cemberut. Rumah bersepah macam tongkang pecah.  Langsung tidak berkemas.  Malulah dengan jiran tetangga.  Kalau ditegur ada sahaja alasannya.  Anaklah yang selalu menjadi mangsa.  Anak juga yang buruk nama. 

Jika lagi dibebel, mulalah minta pembantu rumah.  Bukan aku tak nak bagi, lainlah kalau isteri aku itu bekerja. Ini tidak, duduk rumah jaga anak-anak.  Itu sahaja.  Makan minumku juga tidak terjaga.  Bukan hendak cari salah isteriku sendiri, tetapi itulah hakikatnya.  Banyak membeli dari masak di rumah.  Mana boleh tahan. Taukey balak pun boleh jual seluar dalam, kalau sudah hari-hari beli.  Kalau setakat beli nasi lemak RM1.00 tidaklah aku kisah sangat.  Ini tidak, asyik beli Mcdonald, KFC, Nasi Arab, Pizza Hut, cuba bayangkan berapa perbelanjaan sebulan? Aku bukan ahli perniagaan, dapat duit berkepuk-kepuk.  Bukit kalau ditara, lama-lama rata juga.

Balik rumah ada sahaja yang menyakitkan hati.    Pagi keluar, malam baru dia sampai di rumah.  Ingatkan ketika di rumah bolehlah berehat dan menenangkan fikiran.  Langsung tidak, wajah isteri yang cemberut seperti asam keping sudah tua menganggu gugat perasaannya.  Dia tidak minta lebih, dia hanya minta isterinya memahami perasaannya.  Perasaan seorang suami yang inginkan seorang isteri yang menyediakan segala keperluan seadanya.  Bukan dia minta hidangan ala  restoran lima bintang, dia hanya minta menu biasa-biasa sahaja.  Bukan dia minta layanan bagaikan seorang Raja, sekadar biasa, bagaimana seorang isteri selayaknya sahaja.  Tidak lebih dan tidak kurang.  Salahkah?  Bukan hendak menunjuk dirinya baik dan sempurna.  Dia juga manusia biasa, ada kelebihan dan ada kelemahan.  Tidak minta banyak, seadannya sahaja. 

Hari ini, entah apa yang telah merasuk isteriku, dia telah menfailkan cerai di mahkamah.  Terkejut aku dibuatnya.  Apa salahku?  Kenapa harus berpisah?  Sudah hilangkah pertimbangan dalam dirinya?  Hanya kerana aku tidak menurut kehendaknya maka aku tidak lagi sesuai menjadi suaminya?  Patutlah talak itu di tangan suami.  Kalau di tangan seorang isteri, entah berapa kali agaknya mereka bercerai.  Bergaduh sahaja, minta cerai!  Mudahnya!

“Abang! Awak mesti ceraikan saya, hari ini juga!” pinta Abidah tanpa ada rasa bersalah atau segan dalam diri.

“Bawa bersabar dan mengucap, Bidah!   Saya tak nak awak menyesal!”  Aku cuba memujuk.
“Saya  tak boleh dah hidup dengan abang! Tak tahan asyik kena tinggal sahaja.  Sampaikan waktu  melahirkan anak-anak kita pun abang tak ada.  Mana boleh tahan! Saya nak suami  yang sentiasa berada di sisi, tengok dan pujuk ketika saya sakit bersalin.  Saya seorang diri besarkan anak-anak!”   Air mata yang mengalir di tolak dengan hujung jari. 
“Saya keluar cari nafkah untuk awak dan anak-anak, bukan saya keluar bersuka ria?  Saya cari duit nak bagi awak hidup senang!   Takkan itu pun awak masih tak faham?”  Aku benar-benar marah.  Kalau aku cakap bodoh kang, naik angin pula.
“Takkan sampai seminggu?” lengking Abidah.
“Ya ALLAH, susahnya bercakap dengan awak, Bidah?”  Aku pening memikirkan sikapnya.
“Itulah tugas saya, cuba awak fahami.  Awak berkahwin dengan seorang pendakwah bebas, cuba awak tanya isteri Ustaz Azhar Idrus, isteri Ustaz Don dan ustaz  yang lain-lain… mereka juga seperti abang! Takkan itu pun tak boleh nak fikir?”  Aku memicit kepala yang semakin sakit.  Sakit dengan sikap isteri yang tidak mahu memahami perasaannya, tugasnya.  Sakit hati dengan perasaan tidak tentu hala  isterinya itu.
“Saya tak mampu bersabar lagi! Tahu tak?”  jerit Abidah seperti orang hilang akal.
“Hanya kerana saya tidak ada masa untuk awak, awak nak saya lepaskan awak?  Awak dah gila agaknya Bidah?””  Aku menggeleng kesal.
“Memang gila!  Gila duduk berkurung dengan anak-anak awak yang nakal dan degil itu, gila kerana awak jarang ada untuk saya!   Gila kerana awak asyik nak berceramah sahaja, saya awak pinggirkan!”  jerkah Abidah.
“Ya ALLAH, kerja saya menyampaikan ilmu yang saya ada kepada masyarat.  Tugas awak sebagai isteri saya adalah menguruskan rumah dan anak-anak.  Saya pulang bawa balik duit untuk awak dan  anak-anak, takkan itu pun awak tak boleh faham?”   tetap berlegar perkara yang sama.  Aku sendiri tidak faham. 

“Saya nak pulang ke rumah  orang tua saya.  Awak tak payah pujuk atau rayu saya lagi!”  tempelak  Abidah dengan muka berendam air mata. 
Buat apa menangis?  Bukan aku yang hendak tinggalkan dia. Dia yang minta cerai!  Kalau hendak balik, baliklah.  Tidak usah bercerita atau memberitahu.  Pergilah! Aku  tidak akan larang,  Tapi anak-anak?  Aku hanya terbayangkan wajah anak-anak.  Sebak dadaku.  Rasa berdosa menghenyak hatiku.  Mana mungkin aku berpisah dengan mereka?  Mereka adalah sebahagian daripada diriku.     Mataku terasa berair.  Terlalu payah untuk aku membayangkan terpaksa berpisah dengan mereka. 
“Awak tak pandang dan tengok wajah anak-anakkah, Bidah? Awak tak kasihan dengan mereka? Hanya kerana saya tak menurut kehendak awak, awak sanggup pisahkan saya dengan mereka?” soalku bertubi-tubi.

“Kerana anak-anaklah saya buat semua ini!”
“Awak hanya mementingkan diri sendiri sahaja, kalau kerana anak-anak awak tak buat seperti ini, awak hanya tahu mencari salah saya!”   Hampir hilang sabar jadinya.  Langsung tidak mahu mendengar kata.  Sikapnya yang hanya mementingkan diri memeningkan kepala.  Kalaulah dia cuba memahami akan erti tanggungjawab seorang isteri, tentu dia tak memekak dan memekik seperti ketika ini, malu dengan jiran tetangga sahaja.  Orang boleh sahaja mentertawakan dirinya.

“Awak tak faham perasaan saya.  Saya nak awak selalu ada di sisi saya.  Jaga anak-anak bersama saya. Keluar berjalan dengan saya… pergi bercuti, pergi membeli-belah, seperti orang lain!  Orang biasa,”  adu Abidah dengan penuh harapan.
“Kalau begitu tak perlu makan, tak perlu ada rumah, tak perlu kenderaan, Hendak bayar dengan apa?”  marahku.  Bagaikan bercakap dengan manusia yang tidak punya hati dan perasaan sahaja.  Mana pergi akalnya yang sihat?
“Susahlah bercakap dengan awak, saya tak suruh awak tak bekerja, tapi lebihkan masa bersama saya dan anak-anak!” jerkahnya.
“Kalaulah semua lelaki  menurut kehendak isteri, pasti tiada yang menjadi askar atau polis di Negara ini!” aku juga meninggikan suara. 

“Saya bukan berkahwin dengan tentera atau polis!”  dia masih tidak mahu kalah.
“Ikut suka awaklah!” aku sudah malas hendak bertekak.  Aku mengatur langkah.  Meninggalkannya meroyan sendirian.  Lagi dilayan, lagi menjadi-jadi.  Hanya meminta aku memahami dirinya, apakah dia memahami diriku?

Sukarkah memahami hati seorang suami? Atau suami tidak pernah mahu memahami hati seorang isteri?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan