|
Anak patung di ribaan dipeluk manja. Dibelai bagaikan insan
hidup yang memerlukan kasih dan sayang. Maria tersenyum sendiri. Bercakap
sendiri.
Halijah
yang turut berada di ruang tamu memandang dengan mata yang penuh dendam dan
kebencian. Biarlah anak kecil itu darah daging sendiri, memanglah dia inginkan
seorang cucu tetapi bukan daripada perempuan bernama Mastura. Nampaknya sampai
matilah dia tiada cucu. Maria? Tidak termasuk dalam senarai sebagai cucunya.
Kejamkah dia? Halijah mencebik. Maria yang sedang bermain seorang diri
dipandang sepi.
“Ibu!”
Katrina memanggil, menuruni tangga. Wajah Maria dipandang sinis.
“Kenapa?”
Halijah membelek wajah Katrina yang sudah bersolek dan berpakaian kemas. Hendak
ke mana pula menantu mudanya itu?
“Minta
duit poketlah.” Katrina duduk di sebelah Halijah.
“Mana
ibu ada duit?” Halijah mendengus kasar. Sukar juga apabila duit tiada di
tangan.
“Takkan
nak kena minta dengan perempuan itu, ibu?”
Katrina seperti orang bingung.
“Kenalah
minta! Kalau tak jangan harap kau dapat duit!” Lengking suara Halijah. Sakit
juga hatinya jika asyik merengek macam anak lapar susu. Sudah besar panjang
pandai-pandailah bawa diri.
“Kenapa
ibu diamkan aje? Takkan nak meminta seperti pengemis? Baik tadah tangan di luar
sana, sekurang-kurangnya tidak perlu merendakan maruah di hadapan perempuan
yang entah dari mana asal usulnya?” hina Katrina tidak ingat-ingat.
“Kau
nak ibu buat apa? Desak dia? Tak ingin ibu tengok muka dia, berserabut
jadinya!” Halijah menjeling.
“Ibu…
Rina nak pakai duit sikitlah. Bosan duduk rumah. Ingat hendak buka perniagaan
sendiri. Ibu boleh bantu, kan?” Katrina membelai lembut lengan ibu mertuanya.
“Ibu
mana ada duit?” Halijah mengalihkan pandangannya ke arah lain. Hari-hari minta
duit. Macamlah dia bank. Tidak boleh Katrina minta dengan orang tuanya sendiri?
Bukankah orang tuanya juga ada syarikat sendiri. Kenapa minta dengan dia?
“Alah,
kedekutlah ibu. Dahlah harta Abang Ashraf satu pun saya tak dapat, minta dengan
ibu... ada pula alasannya,” Katrina mencebirkan bibirnya. Terasa juga hati.
“Rina
pandai ke berniaga? Nak jual apa? Perniagaan apa yang Rina tahu buat?”
“Alah,
bukan susah pun berniaga. Ada kedai, produk, buat iklan lepas itu juallah,”
Katrian menyengih.
“Berapa?”
sepatah sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya. Ingat senang nak berniaga?
Ada duit sahaja, boleh buka kedai. Tidak tahu betapa susahnya hendak memajukan
satu perniagaan sehingga berjaya. Berapa ramai tersungkur dan tidak boleh
bangun-bangun? Bukan semua orang tahu berniaga dan rezekinya dengan berniaga.
Antara sembilan daripada sepuluh pintu rezeki adalah dengan berniaga. Tetapi
bukan semua orang. Mampukah menantunya itu menguruskan sebuah perniagaan?
Hendak uruskan diri sendiri pun belum tentu.
“Dalam
200 ribu.” Semakin lebar senyuman Katrina.
“Jual
apa tu? Sampai 200 ribu?” Terbeliak mata Halijah mendengar jumlah yang diminta.
“Alah,
ibu... jual baju dari luar negara, tentulah mahal.” Katrina memandang wajah ibu
mertua yang banyak duit itu. Dia tahu ibu mertuanya ada simpanan sendiri. Kalau
tidak, tentulah dia sudah mengamuk tahap gaban apabila semua harta diberi
kepada cucu tunggalnya.
“Baju
jenama apa yang Rina nak jual? Jangan pilih fesyen yang bukan-bukan pula. Ini
Malaysia, bukan negara Barat!” tegur Halijah. Jangan menantunya pilih pakaian
ala artis-artis luar negara, jenuh hendak menjual. Orang Malaysia memanglah
moden tetapi masih menjaga adab dalam berpakaian. Tidaklah terlalu menjolok
mata. Nanti ada yang tersembol keluar mata mereka melihat fesyen ala Lady Gaga.
“Tahulah,
ibu... Rina nak jual fesyen terkini, yang belum orang lain jual. Fesyen terhad
dan hanya seorang sahaja yang pakai di Malaysia. Biar gempak. Nanti mesti ramai
artis Malaysia datang ke kedai Rina, nak minta tajaan pakaian di stesen
televisyen dan syarikat penerbitan filem dan drama. Apa kata ibu? Bagus tak
perancangan Rina?” Katrina membayangkan kejayaan butiknya nanti. Modal? Dia
memandang wajah ibu mertuanya semula. Orang tua itu adalah lubuk emasnya.
“Nanti
ibu bagi.” Terpaksalah Halijah bersetuju. Dia juga yang memaksa wanita itu
berkahwin dengan anaknya. Baharu sahaja berumah tangga sudah ditinggal
selama-lamanya. Nasib baik sanggup bermadu. Menantu pujaanlah katakan. “Jangan
membazir pula modal yang ibu beri. Ibu pun takkan nak biar Rina mengemis dengan
perempuan tu.” Dia sendiri tidak akan meminta dengan menantunya itu. Tahulah
dia bagaimana hendak mendapatkan semula hartanya. Kau tunggu sahajalah Mastura,
detik hati kecil Halijah.
“Ibu
jaga cucu ibu ke?” Katrina menjeling ke arah Maria. Kenapalah dia tidak perasan
budak itu ada di situ? Buat sakit hati sahaja.
“Tak
ada maknanya.” Halijah memuncungkan bibirnya.
“Suti!
Suti!” jerit Katrina. Ingatkan ibu mertuanya sudi menjaga Maria. Mastura entah
keluar ke mana.
“Ya,
puan?” Suti tergesa-gesa keluar dari dapur.
“Bawa
budak ni masuk. Sakit mata aku tengok!” arah Katrina.
“Baik,
puan.” Suti mendukung Maria dan membawanya masuk ke dalam bilik. Apalah punya
manusia? Ini anak yatim dan darah daging sendiri pun benci. Suti mengeluh
sendiri.
“Maria
duduk sini ya, tengok cerita kartun. Kak Suti ada kerja di luar. Jangan keluar
ke mana-mana ya, sebentar juga lagi emaknya pulang,” pujuk Suti. Dia tahu Maria
kesunyian tinggal di situ. Tiada kawan bermain. Kalau hantar ke sekolah ada
juga teman. Nantilah dia syorkan kepada puannya.
“Kak
Suti, nak air.” Maria menyengih.
“Okey,
Kak Suti buatkan. Tunggu sini tau. Di luar itu ramai orang jahat. Jangan keluar
tanpa ada sesiapa yang teman,” nasihat Suti.
Maria
mengangguk laju. Emaknya juga berpesan perkara yang sama. Harus hati-hati.
“Suti, Mastura ke mana?” tanya Halijah
sewaktu melihat kelibat Suti keluar dari bilik Mastura.
“Katanya
mahu ke kantor arwah suaminya,” kata Suti jujur. Itulah yang diberitahu oleh
majikannya.
“Buat
apa ke sana?” tanya Katrina pula.
“Hisy,
puan ini... manalah saya tahu. Itu kan urusan Puan Mastura.” Suti ketawa. Rasa
kelakar pula pertanyaan penghuni rumah itu. Dia bukan PA majikannya. Kalau dia
tahupun perlukah dia memberitahu mereka yang dilihatnya tidak senang dengan
kehadiran majikannya itu.
“Menjawab
ya!” marah Katrina.
“Dah
puan bertanya, saya jawablah. Kenapa marah?” Suti menggeleng. Pelik sungguh
dengan sikap manusia. Tadi bertanya, bila dijawab, marah pula. Langkah diayun
ke dapur semula. Air oren untuk Maria dituang ke dalam gelas. Dia kembali ke
dalam bilik. Kedua manusia itu masih berada di sofa. Seharian duduk di rumah,
tanpa buat apa-apa kerja, tidak penat dan letih agaknya. Tahunya makan tidur
sahaja. Suti ketawa sendiri memikirkan kata-katanya. Pandai mengomentar orang
lain.
“Hoi!
Buat air untuk kami!” pinta Katrina agak kasar.
Dahi
Suti berkerut. Amboi! Kasarnya bahasa. Tidak bolehkah minta baik-baik? Manusia
kan ada budi bahasanya? Tidak boleh dilawan, nanti sukar jadinya.
“Baik
puan. Mahu hantar minuman ni kepada Maria.” Suti menghilangkan diri di dalam
bilik.
“Sibuk
aje melayan budak tu.” Katrina menjeling. Ibu mertuanya yang sedang membaca
dipandang sekali imbas. Apa yang seronok sangat membaca agaknya? Dia tidak
minat langsung. an satu hobi, maaf cakaplah. Tidak sesuai dengan dirinya. “Ibu!
Bosanlah duduk rumah. Jomlah keluar, membeli-belah ke, pergi makan ke? Asyik
berkurung sahaja di rumah.”
“Nak
ke mana, Rina? Ibu letihlah. Letih fikir bagaimana hendak dapatkan semula harta
ini.” Halijah mempamerkan muka kelatnya.
“Ke
mana aje! Jauh dari rumah ni!” kata Katrina. Memang dia bosan pun. Sudahlah
tidak bekerja, berkurung sahaja di rumah. Ibu mertuanya bagaikan tidak seronok
hendak ke mana-mana. Tidak mengapalah, orang tua, tapi dia masih muda. Masih
perlu cari hiburan.
Sebut
pasal hiburan, sudah lama dia tidak ke kelab. Adrian sudah beberapa hari tidak
menelefonnya. Ke mana sahajalah lelaki itu pergi? Rindu mengapai hati. Rindu
arwah suami? Hish, tidak kena langsung hendak rindukan orang yang langsung
tidak bertahta di hatinya. Yang bertahta di hatinya adalah harta arwah
suaminya. Namun kini harta itu pun semakin menjauh, semuanya gara-gara arwah
suaminya yang mengubah wasiat yang telah dibuat sebelum ini. Kenapa? Tiba-tiba
pula itu? Adakah? Tidak mungkin? Katrina mengaru kepalanya.
“Rina!
Rina! Berkhayal lagi ya?” Halijah bingkas bangun. Pinggangnya sudah lenguh
kerana terlalu lama duduk di situ. Dia mengatur langkah ke biliknya. Ingin
berehat seketika sebelum mengatur strategi baharu mengalahkan menantu sulungnya
itu. Dia mendiamkan diri bukan bermakna dia kalah tetapi sedang mencari akal
bagi mendapatkan semual haknya.
“Ibu
nak ke mana pula tu?” Katrina mendengus kasar.
“Berehat!”
kata Halijah sambil melambaikan tangan.
“Rina
keluar sekejap!” jerit Katrina sebelum melangkah pergi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan