Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 20 Oktober 2014

IKAN DI LAUTAN GARAM



Puas dia merayu, memohon keizinan dan meminta kebenaran.  Namun kedua orang tuanya masih tidak membenarkan.  Takut benar mereka hendak melepaskan dia keluar dari kampung itu.  Umurnya sudah 18 tahun.  Dia ingin menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.  Memegang  segulung ijazah, mencapai cita-cita dan impian bergelar siswazah.  Pening sudah kepalanya berpusing 360 darjah. Puas dia meyakinkan kedua orang tuanya, dia akan selamat berada di mana sahaja.  Tahulah dia menjaga diri.  Tanamkanlah keyakinan terhadapnya.  Itulah harapannya.  Kenapa sukar benar mereka hendak memahaminya.
Dedaun pepohon kelapa yang melambai-lambai bagaikan melambai hatinya agar terus menetapkan hati untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sukar benar orang tuanya hendak mengerti dan memahani. Takut biarlah bertempat.
“Mak dan ayah bimbang Ton, kalau kau duduk di Bandar seorang diri.  Sekarang ini macam-macam cerita tentang pelajar universiti keluar di dada akhbar, dalam televisyen.  Semuanya cerita tak baik.  Mak tak mahu perkara itu berlaku pada Ton,” luah Mak Salmah dengan  muka cemberut.
Borang permohonan kemasukan ke IPTA yang diserah oleh anaknya tadi  ditatap sahaja dengan pandangan yang kosong.  Wajah cemberut anak gadisnya juga menjadi santapan mata. 
“Bolehlah mak… mak pujuklah ayah,”  rayu  Zaiton dengan penuh mengharap.
“Hish…  tak payahlah belajar tinggi-tinggi. Orang perempuan kalau belajar tinggi pun akhirnya ke dapur juga,”  kta Mak Salmah sambil tersenyum.  Harap sangat anaknya mengerti.
“Mak ni!  Pelajaran penting mak, kalau tak bekerja pun sekurang-kurangnya untuk mendidik anak-anak, bolehlah mak!” masih merayu.  Berkaca matanya.  Hiba hatinya.  Geram pun sedikit demi sedikit mendekati.  Marah juga mula hendak bertapak.
“Nantilah, mak cakap dengan ayahkau,”  Mak Salmah tidak mahu memanjangkan lagi perbualan mereka.  Tidak jadi kerja jadinya.
***

Pak Kasim membersihkan kebunnya yang mula ditumbuhi lalang.  Di bawah perdu pokok, dedaun semalu yang meliar dibuang berhati-hati, takut terluka jari.  Hembusan angin tengahari bersama terikan matahari terasa membahang di tubuh dan muka.  Dia mengesat peluh yang membasahi dahi dan mukanya. 
“Kau masih tak benarkan Zaiton sambung belajar ke Kasim?” tanya   Pak Harun, jiran sekampung di kebun sebelah.
“Hish, bimbang saya Bang Harun, macam-macam jadi di universiti tu, ajaran sesat, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, kena tangkap khalwat… takut saya jadinya.  Anak saya sudahlah Zaiton satu-satunya.  Kalau jadi apa-apa pada dia… tak boleh saya nak bayangkan,”  kata Pak Kasim dengan wajah penuh kebimbangan.
“Bukan semua begitu Kasim, hanya kes terpencil.  Anak aku semuanya belajar di luar Negara. Alhamdulillah.. tak pula jadi perkara seperti itu.  Apa yang penting kekuatan dalaman mereka.  Kau kena yakin dengan Zaiton, berilah dia peluang.  Dia pelajar pintar. Sayang kalau tidak sambung belajar.” Pak Harun berhenti menebas lalang yang tumbuh meliar.  Dia mendekati Kasim yang duduk mencangkung mencabut pokok-pokok renek tumbuh menjalar di kebunnya.
“Entahlah Bang Harun, berbelah bagi hati saya ini.  Kalau ikutkan hati susah saya nak lepaskan anak gadis saya itu.  Di lain bahagian hati saya pula simpati dengan dia.  Apa harus saya lakukan, bang?”  Pak Kasim berhenti mencabut rerumput tadi.  Mereka berdua duduk di bawah pokok yang rendang sambil membuka bekal yang dibawa.
“Kau dah beri dia pelajaran dunia dan akhirat… kau dah didik dengan pelajaran agama yang secukupnya.  Zaiton itu anak yang baik, pelajar yang cemerlang.  Selama dia membesar depan mata kau, ada dia buat perkara yang mampu menguris hatikau?  Tidak pernah, kan?  Berilah dia belajar tentang hidup di dunia luar sana.  Berilah dia peluang membuktikan bahawa dia adalan ikan yang hidup di lautan garam, namun tidak masin, hanya setelah hendak digoreng,”  Pak Harun ketawa perlahan.  Ikan walaupun tinggal di lautan yang bergaram dan masin namun isinya langsung tidak dipengaruhi oleh kemanisan air laut itu.  Ketahanan yang sepatutnya dicontohi oleh sesiapa sahaja.
“Tak tahulah bang…”  Pak Kasim mengeluh lagi. 
“Kasim… kasihanilah dia, ini untuk masa depan dia.  Masa depan kita sudah hampir sampai ke penghujungnya, tapi perjalanan hidupnya masih panjang.  Ketika kita hidup ini tak mengapalah, kita boleh membantu dan mempertahankannya.  Bagaimana jika kita menutup mata? Pada siapa  dia hendak bergantung harap?  Kalau dia berpelajaran dan mendapat pekerjaan yang baik, boleh jugalah dia menyara dirinya sendiri.  Sebagai orang tua, kita doakan sahajalah dia selamat berada di mana sahaja,”  pujuk Pak Harun.
“Nantilah saya fikrkan, Bang  Harun,”  kata Pak  Kasim.  Setelah meneguk segelas air kopi dan menjamah nasi goreng  yang dibekalkan oleh isterinya, dia dan Pak Harun menyambung tugas harian mereka semula.

***

Zaiton membelek borang IPTA yang diambilnya beberapa hari yang lepas.  Penat beratur panjang di pejabat pos.  Ingatkan orang tuanya terbuka dalam hal seperti ini. Zaiton mendengus kasar.  Penat lelah dia berusaha untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan  SPM dengan harapan dia boleh menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.  Dia ingin menjadi seorang doktor.  Keputusan yang diperolehi melayakkan dia meneruskan cita-citanya.  Tidak pernah dia menduga, orang tuanya akan menjadi batu penghalang dia mencapai cita-cita yang diimpikan sejak kecil lagi.  Baginya kerja sebagai seorang doktor adalah mulia.  Membantu orang lain tanpa mengenal erti kepenatan, siang dan malam. 
Dia menghempaskan tubuhnya di katil.  Hendak menangis atau marah kepada kedua orang tuanya pun tiada guna.  Mereka ibu dan ayahnya, dia hanya seorang anak.  Tentu  kebimbangan mereka bersebab.  Dia tidak boleh salahkan mereka.  Kerana beberapa berita yang disajikan  di dada akhbar dan televisyen membuatkan kedua orang tuanya bimbang bersebab.   Di tangkap berkhalwat.  Melahirkan anak luar nikah, berhenti belajar sebelum waktunya.  Jadi GRO di waktu malam.  Bersekedudukan lelaki dan perempuan, pergaulan bebas yang tiada batas.  Tidak kurang juga pengaruh ajaran sesat yang semakin berluas-luasa.  Semua ini membimbangkan orang tuanya. 

Dia tidak salahkan mereka.  Kalau dia duduk di tempat mereka pun, dia akan bertindak sama seperti mereka.  Melindungi satu-satunya anak gadis yang mereka miliki.  Zaiton  bingkas duduk bersila. Dia memandang sekeliling biliknya.  Bilik yang sudah lama dihuni sejak dia meningkat kanak-kanak lagi, sudah diajar tidur sendiri.  Dia tidak boleh membiarkan fikiran kedua orang tuanya diganggu gugat dengan cerita seperti itu.  Biarpun benar tetapi itu adalah kes kecil.  Masih ramai lagi yang baik-baik dan berjaya.  Dia ingin menjadi manusia yang berjaya, baik di dunia mahupun di akhirat.  Dia tidak boleh membiarkan berita seperti itu mempengaruhi fikiran orang tuanya.  Dia perlu membuktikan bahawa gadis kampung sepertinya tidak akan terpengaruh dengan kehidupan sosial yang tiada batas itu.  Bukan semua pelajar di pusat pengajian tinggi suka bergaul bebas.  Hanya segelintir sahaja. Masih ramai lagi mengamalkan cara kehidupan seorang perempuan Melayu dan beragama Islam.  Ilmu perlu dicari, kejayaan perlu digali.  Bukan hanya menunggu dan mengharap. 

***

Hidangan malam yang terhidang membuatkan tekaknya tertarik untuk segera menjamah lauk-pauk air tangan emaknya.  Ikan kembung masak kari, ulam pegaga bersama sambal kelapa.  Ikan kembung goreng dan ikan masin telah siap terhidang.  Ayah dan emaknya masih di masjid.  Usai solat Isyak barulah mereka pulang ke rumah.    Dia tidak mengikut kerana cuti bulanan yang diberi ALLAH kepada setiap kaum Hawa di muka bumi ini.  Dia menutup lauk-pauk tersebut dengan tudung saji.  Dia menunggu dengan sabar kepulangan orang tua tercinta.  Tanpa mereka tiadalah dia lahir ke dunia ini.  Tidak mahu menjadi anak durhaka atau mengecilkan hati mereka.   Dia sudah mengambil keputusan, dia akan ikut sahaja kehendak kedua orang tuanya.  Hanya dia yang mereka miliki di dunia ini.    Tiada dua dan tiada tiga.  Biarlah dia pendam segala impian  yang selama ini tersemat  di hati yang paling dalam.  Mungkin ini terbaik untuknya.  Ini juga kehendak  ALLAH untuknya.  Dia reda dan pasrah. 

Tidak mahu lagi bertekak dan bertegang urat dengan kedua orang tuanya.  Tidak mahu lagi mereka bermasam muka dengannya.  Biarlah!  Mungkin bukan rezekinya.  Mungkin rezeki anak-anaknya nanti yang akan menyambung cita-citanya.  Dia harus memikirkan perasaan orang tuanya dari perasaan sendiri.  Anak yang baik adalah mereka yang mendengar kata orang tuanya.   Buat apa dia berjaya jika hati orang tuanya terluka?   Dia belajar dan berjaya pun untuk mereka juga.  Biarlah dia pendam perasaan kecewa itu di hati yang  paling dalam.     Zaiton menyandar di kusyen.  Televisyen pun tidak dibukanya.  Melayan perasaan sendiri.  Biarlah dia menangis sendirian dari melihat air mata emak dan ayahnya.  Tidak tergamak rasanya.  Merekalah nyawanya. 
Bunyi derumah motosikap ayahnya membuatkan dia bingkas bangun.  Daun pintu utama di buka.  Dia menunggu dengan sabar kedua orang tuanya turun dari motosikal.  Senyuman diukirkan khas buat mereka, insan yang bertahta di hatinya.
“Dah hidang makan malam?” tanya Mak Salmah sambil melangkah naik.
Zaiton menyambar tangan Mak Salmah dan turut melangkah ke dapur.
“Perut ayah dah berbunyi kelaparan, siang tadi makan nasi goreng pun sikit sahaja,”  Pak Kasim mendahului langkahnya ke dapur.    Di ikuti Zaiton dan Mak Salmah.
Setelah mengambil tempat duduk masing-masing di meja makan, mereka menjamah dengan penuh selera.  Sesekali berbual kosong.  Terdengar gelak ketawa mereka.

Usai makan malam.  Secangkir kopi dihidangkan di ruang tamu.  Daun tingkap yang terbuka menjadi tempat Pak Kasim berehat sambil menikmati angin malam. 
Mak Salmah pula pasti duduk menjahit sarung bantal yang dijahit tangan.  
Zaiton pula akan meniarap di sebelah Mak Salmah sambil membaca buku.  Itulah rutin harian mereka di sebelah malam.  Hanya sesekali menonton televisyen jika ada cerita yang menarik hati.
“Ton… mak dan ayah dah fikir masak-masak.  Ayah ingin melihat Ton berjaya.  Ayah dan mak ingin melihat Ton menjadi manusia berguna, kepada agama, bangsa dan Negara.  Walaupun berat hati ayah hendak melepaskan Ton pergi. Namun ayah tidak boleh mementingkan diri sendiri.    Ayah dan emak izinkan Ton sambung belajar,”  kata Pak Kasim.  Matanya tepat memandang wajah Ton yang  telah pun duduk bersila di sebelah isterinya.
“Benar ini mak, ayah?  Mak dan ayah ikhlas, kan?”  Zaiton benar-benar teruja.  Keputusan yang tidak disangka disaat-saat  dia sudah pun membuat keputusan untuk tidak lagi meminta dan merayu. 
“Benar Ton,  cuma satu sahaja pesan emak dan ayah, jagalah diri baik-baik.  Jaga nama baik emak dan ayah.  Jaga batasan pergaulan lelaki dan perempuan. Jagalah adab dan kesopanan seorang perempuan Melayu dan beragama Islam.  Mak dan ayah sudah memberi ilmu agama yang cukup, jangan tinggal solat, jangan lupa kami di sini.”  Mata Mak Salmah berkaca.  Hatinya ikhlas namun rasa sayu itu tetap ada.

“Mak… ayah… Ton baru hendak memohon.  Mana tahu Ton tak perlu pergi jauh-jauh, hanya di negeri ini sahaja.  Kita sama-sama berdoa, ya.  Terima kasih kerana meletakkan kepercayaan pada Ton untuk menyambung pelajaran. Insya-ALLAH, jika Ton berjaya, Ton akan ikut semua nasihat emak dan ayah,” janji Zaiton.  Hatinya berbunga riang. 
Lega hatinya mendengar kata-kata emak dan ayahnya.  Akhirnya mereka mengizinkan dia menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.  Tidaklah hanya bergantung harap dengan sijil SPM sahaja.    Dia berjanji, jika terpilih menyambung pelajaran di mana-mana IPTA, dia akan belajar bersungguh-sungguh.  Dia akan mengejar cita-citanya dahulu.  Dia tidak akan menghampakan harapan kedua orang tuanya.  Dia akan menjadi ikan di lautan air garam.    Zaiton tersenyum bahagia. Emak di sisi dipeluk erat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan