Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 27 Oktober 2014

CINTA

Cinta, tidak akan wujud sebuah kehidupan tanpa cinta. Dari cinta yang melahirkan kasih-sayang, anugerah tertinggi Allah kepada setiap hamba-Nya, maka wujudlah kehidupan ini. Membiak setiap makhluk hamba-Nya di setiap pelusuk penjuru dunia kerana cinta.

Namun cinta yang sebenar, berdiri di atas kejujuran dan keikhlasan. Berbumbungkan keimanan dan kebijaksanaan di dalam mengendalikan. Tidak bertopengkan apa-apa, juga menurut perasaan tanpa usul periksa dan bersandarkan pada apa-apa selain akal sebagai panduan.

Cinta yang sebenar, bebas dari segala macam bentuk pengaruh. Bening dan murni, bersih dan suci, itulah cinta yang sebenar-benar cinta.

Namun bukan saja sering kali kita tertipu gara-gara menurutkan perasaan yang fitrahnya hanya mengikut kemahuan, malah diri menjadi lemah tidak berupaya. Diri samada di dalam keadaan sedar atau pun tidak, menolak bulat-bulat dan tidak mahu menurut akal yang tugasnya memproses dan menunjukkan kebenaran, sehingga akhirnya diri kecundang dan mengakui adalah 'mangsa cinta'.

Setipis selendang yang memisahkan nafsu dan cinta, sehingga begitu ramai yang terkeliru membezakan. Tidak sedar dan tidak tahu mana satu nafsu, tidak tahu pula mana satu cinta. Namun kekeliruan seperti itu tidak akan terjadi seandainya akal yang dianugerah Tuhan digunakan.

Memang benar cinta tumbuh dari perasaan. Namun seperti air sungai yang bersumber dari mata air, berasal dari limpahan kecil, seiring masa dan perjalanan, mengalir dengan deras dan membesar. Tanpa adanya tebing yang kukuh, menghalakan air itu ke tempat yang sewajarnya ia harus menuju, di sepanjang jalan air itu akan melimpah ke mana-mana tidak terarah. Begitulah juga dengan cinta, tanpa akal yang kuat, memandu dan menghalakan perasaan itu ke tempat yang sepatutnya ia berada, cinta, anugerah Allah yang sepatutnya menyatukan dua jiwa, hidup harmoni berkasih-sayang menjalani kehidupan di atas muka bumi ini, menjadi sesuatu yang sia-sia.

Cinta yang sebenar, yang sejati, fitrahnya memang buta. Namun bukan buta dari segi pendekatan sepertimana ramai mendekatinya dengan menurutkan perasaan dan akhirnya menjadi mangsa. Cinta itu buta kerana ia tidak bersandar dan bergantung pada apa-apa. Cinta yang sebenar dan sejati, tidak memandang bulu, tidak memandang rupa, tidak memandang pangkat, kedudukan dan harta.

Cinta tumbuh dari perasaan dan dipandu akal yang menimbang segala perkara lalu menerima apa adanya. Di situlah cinta akan menemui tujuannya, iaitu lautan kebahagiaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan