Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 5 Oktober 2014

SITI JASMINA IBRAHIM







Antara karya-karyanya dan wajah seorang penulis yang amat saya kagumi.



LATAR BELAKANG
Raut wajahnya manis, sering terukir senyuman, boleh awet muda katanya.  Sering membaca statusnya. Mengenali dirinya lewat karya-karyanya.  Kagum dengan bakat anugerah ILAHI.  Orangnya merendah diri, biarpun bakat yang ada sudah jauh  setinggi langit.  Karyanya sering dibaca di dada akhbar dan novel pertamanya  yang saya miliki adalah Trilogi Cinta, ketika itu bercita-cita hendak jadi penulis.  Maka  karya-karya mereka yang sering memenangi Hadiah Sastera sering menjadi pilihan.  Isteri kepada Khir Rahman, menantu kepada Dato' A. Rahman Hassan dan Allahyarhamah Azizah Mohamad serta ibu kepada dua cahaya mata. 

Namanya Siti Jasmina Ibrahim.    Anak sulong kepada pasangan Tuan Haji Ismail dan Puan Hajah Siti Shabedah Haji Nasir yang berasal dari Negeri Sembilan.  Dilahirkan pada 3 April  1976 di Taman Keramat Kuala Lumpur.  Tempat lahirnya di rumah.  Anak sulong dari tiga beradik.  Berbintang Aries, kalau ikut kalender cina, dia lahir dalam tahun Naga.  Suka dengan semangat kerjanya.  Ada sahaja idea yang bermain dibenaknya. Mata penanya akan bercerita sehingga mampu menyentuh jiwa.  Dia seorang yang optimistic, suka ketawa dan tersenyum, itulah rahsia awet mudanya.  Hobinya suka membaca, sesuailah dengan dirinya seorang penulis.  Makan suka juga, tapi badan tidaklah berisi mana, tetap cantik menawan.  Dia juga percaya keyakinan diri datang dari kekuatan hati yang berisi dengan iman di dada dan ilmu pengetahuan yang luas.  Lihat orangnya yang lembut  siapa sangka meminati suka badminton, bowling, bola jaring dan bola tampar.  Namun bola sepak dan tenis sering menjadi tontonan.

Ketika usia mencecah 6 tahun, dia sudah dihantar ke sekolah.  Sekolah bernama Tadika Manja yang terletak di Taman Keramat.  Kecermelangan dalam pendidikan sudah dibuktikan sejak di sekolah tadika lagi. Malah rajin pula itu. Mana tidak rajinnya, ketika sakit pun masih ingin ke sekolah.  Wah, ada ciri-ciri bakal pelajar cemerlang.    Darjah satu hingga enam di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman keramat (1).  Beruntungnya dia, sebab setiap hari waktu rehat, ada orang menghantarkan makanan.  Siapa yang tidak suka berkawan dengan dia, sebab sering dapat makan percuma, enak pula itu.  Jimat duit belanja. 

Minat belajar yang diterapkan dalam diri memberi imbuhan yang tidak berbelah bahagi.  Menjadi pelajar cemerlang di sekolah adalah impian setiap pelajar dan orang tua.  Ingin melihat anak-anak Berjaya adalah cita-cita ayah dan ibu.  Siapa yang tidak bangga mempunyai anak  cemerlang seperti dia, selalu mendapat keputusan 5 terbaik.  Ketika darjah satu, tiga dan lima dia sering mendapat nombor satu dan  terbaik dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Hadiah yang sering diberi oleh orang tuanya adalah buku ilmiah dan juga buku cerita yang sesuai dengan dirinya ketika itu.  Minat membaca hendaklah dipupuk sejak kecil lagi.


Tiada siapa menyangka dan dia sendiri tidak pernah menduga  akan menjadi seorang penulis professional. Rupanya cita-cita yang terpendam di dalam hati adalah ingin menjadi seorang peguam dengan menyangka, jadi peguam hanya perlu pandai bercakap sahaja.   Waktu di sekolah dia seorang pelajar yang aktif, menjadi Penolong Ketua darjah dari darjah satu sehingga darjah 6.  Selain itu turut menyandang jawatan sebagai Pengawas, Perpustakawan dan aktif dalam Tunas Puteri sehingga menjadi wakil peringkat Daerah Gombak.  Di situlah dia mengaplikasikan kemahiran bercakap kononnya hendak jadi peguam.


Setelah mendapat keputusan  cemerlang ketika peperiksaan UPSR, Siti Jasminan meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Taman Keramat bersebelahan dengan sekolah rendahnya, setelah selesai SRP dia menyambung pelajaran di Mara Education Foundation College di Bangi.   Di sekolah itulah dia belajar bersama-sama dengan ramai anak-anak tokoh sastera terkenal tanah air.  Anak-anak menteri dan kerabat diraja di ketika itu.  Dia berasakan itu adalah satu cabaran untuknya, dia  perlu bersaing dengan pemikiran, budaya hidup dan kualiti akademik yang diharapkan oleh pihak kolej.  Ketika di situlah dia belajar tentang erti sebuah kehidupan.  Usia  yang kian meningkat dan minat terhadap dunia penulisan semakin bercambah.  Hasil karangan dia sering menjadi pilihan guru Bahasa Malaysia untuk dipamerkan dan dipilih sebagai karangan yang baik.  Biarpun pandai menulis, minat dan cita-citanya ingin menjadi seorang peguam tidak pernah padamm dalam jiwa.  Namun bak kata pepatah, kita mampu merancang, ALLAH jua menentukan segalanya.

KECERMELANGAN DALAM BIDANG AKADEMIK


Lulusan Kumpulan Graduan Pertama Diploma Penulisan Kreatif, Akademi Seni Kebangsaan dan mendapat Anugerah Graduan Cemerlang ASWARA.  Memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kelas Pertama Barcelor Komunikasi UPM, dia telah menerima Anugerah Graduan Cemerlang Akademik, Program  Eksekutif Bacelor Komunikasi sesi 04/07 oleh Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, UPM.

PENGALAMAN DALAM DUNIA PENULISAN.


Mula telibat secara aktif dalam seni dan sastera sejak 1995.  Bertugas sebagai Penulis Profesional dalam pelbagai genre dan pernah bertugas sebagai Pengurus Kreatif, SQ Production ( 1997-1999).  Pengurus Kreatif dan Pemasaran di Unitputra Production, UPM, Serdang ( 1999-2006)

Sangat aktif dalam penulisan drama TV, novel, cerpen dan skrip teater serta pengurusan produksi teater. Sepanjang penglibatan, beliau sudah menghasilkan lapan buah novel, melebihi 30 buah drama TV (telemovie & bersiri). Karya beliau, novel remaja ‘Trilogi Cinta’ memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Melayu (2001) dan Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2002/2003), kategori Kesusasteraan Remaja. Kolumnis rencana teater majalah Tunas Cipta (2001 – 2006) ini juga menulis puisi dan senikata lagu.
Beberapa pengiktirafan diperolehi seperti Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank (1999), Hadiah Sastera Utusan Melayu (2000), Hadiah Sastera Utusan Melayu – Exxon Mobil (2001/2003) melalui kategori cerpen dan hadiah utama novel remaja ‘ Ombak Sfera Lotus’ (2003), hadiah utama novel remaja ‘6:20’ (2005) dalam pertandingan yang sama.
Tempat pertama cerpen ‘Khabar Dari Jendela Ombak’ dan penghargaan puisi dalam Sayembara Penulisan Cerpen & Puisi PEN (2003). Hadiah Skrip Drama Pentas bagi Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-9 (2000). Hadiah Utama Skrip Drama TV dalam Pertandingan Penulisan Cereka TV & Pawagam, FINAS (2000) dan Hadiah Utama Skrip Filem (2001) dalam pertandingan yang sama.  Drama Perempuan memenangi Anugerah Sri Angkasa 2010.



Antara novel yang diangkat oleh Siti Jasmina ke pentas teater ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Tun Perak, Sita Dewi Bermimpi dan Saya Di Hujung Kota. . Teater Muzikal Kanak-Kanak Sinbad yang melibatkan 80 kanak-kanak merupakan cetusan ideanya yang asli dan dipentaskan di Istana Budaya. Antara skrip teater yang lain ialah Si Pemakan Hati, Hikayat Qaziq, Melintas 31 dan banyak lagi.

Inilah penulis yang sebenar, jiwanya kental mengarap kisah masyarakat, karyanya penuh persoalan dan pertanyaan yang menyuruh kita berfikir dan mencari erti sebuah naskah penulisan.  Persoalan kehidupan manusia yang tidak pernah padam dari arus kehidupan.  Terselit dalam hati sehingga ke hari ini rasa kagum yang tidak pernah berbelah bahagi, biarpun tidak mampu menjadi penulis sehebat   Siti Jasmina namun biarlah  saya menjadi penulis yang punya matlamat dan cita-cita ingin  menjadi penulis yang baik dan menghasilkan karya yang baik-baik sahaja. 




*Info dari  Goodreads, Protal utusan dan beberapa laman web yang memaparkan kisah penulis ini.



2 ulasan: