Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 23 Oktober 2014

SOLAT





“Baik tak lelaki itu?” tanyanya kepadaku dengan mata penuh cahaya. 
Mata orang jatuh cinta.  Aku mengangguk perlahan.  Aku perhatikan gerak laku lelaki di hadapanku.  Wajahnya terukir dengan senyuman yang mampu mengamit mana-mana gadis yang melihatnya  Sesekali dia bermain mata dengan rakan baikku Amira.    Jelas terpancar keriangan di wajah sahabatku itu.

“Di mana kalian bertemu?” tanyaku, ingin tahu jalur atur pertemuan mereka. 
“Di sebuah symposium, aku tak sangkalah aku jatuh cinta pandang pertama,” jawabnya jujur.
Aku mengangguk lagi, sudah seperti burung belatuk.
Kami terus berbual pelbagai cerita, pelbagai perkara, dari kisah keluarga sehinggalah kisah dunia.  Dari sudut pandanganku, dia seorang berkarisma,  pandai berkata-kata.  Kacak, ada masa hadapan yang baik, mempunyai pekerjaan yang mampu menjamin masa hadapan.  Seorang yang bercita-cita tinggi.  Lelaki idaman setiap gadis. 

Amira pula kulihat benar-benar sudah jatuh hati.   Wajahnya berseri-seri ketika bercerita.  Tidak berhenti matanya memerhatikan wajah kekasih hati yang telah melekat di sanubari.   Aku  memerhatikan sahaja sambil tersenyum bahagia.  Aku tumpang bahagia.  Usianya juga sudah hampir menjengah 30-an, sama seusia denganku.  Namun aku sudah berumah tangga dan berkeluarga.  Anak dua orang dan hidupku Alhamdulillah, bahagia.  Aku berharap Amira bertemu jodoh dengan lelaki yang mampu membahagiakannya.  Lelaki yang mampu membawanya ke syurga.  Aku tidak mahu melihat dia terluka lagi.  Aku tidak mahu melihat dia menangis lagi.  Cukup sudah hatinya di kecewa.  Kalaulah hatinya itu boleh dilihat sudah pasti banyak tampalan plaster di sana sini.  Namun dia kuat.  Aku juga yang telah memberi dia kekuatan itu.  Aku harus sokong siapa sahaja pilihannya.

Lama kami berbual dan bercerita, sehinggalah sampai waktu azan zohor berkumandang di telefon bimbitku.  Aku menarik nafas lega.  Kerana pusat membeli belah yang kami kunjungi, suraunya amat selesa.  Aku dan Amira setakat ini Alhamdulillah tidak pernah culas solat walaupun kadangkala terlewat dari waktunya.  Kelalaian dan kealpaanku sebagai manusia yang lemah dan kurang kuat imannya.  Namun tidak pernah meninggalkannya.

“Jom kita solat dulu, kejap lagi kita sambung berbual lagi,” ajakku.
“Jomlah,” ajak Amira pula kepada kekasih hatinya.
Lelaki itu kelihatan serba salah.  
Dahiku mula berkerut.  Aku memandang Amira yang kelihatan juga kurang selesa.

“Kalian berdua pergi dulu, saya bayar harga minuman dan makanan ini dulu,” katanya kepada kami.

“Jomlah…” ajakku sekali lagi pada Amira.  Kami berjalan seiring menuju ke surau yang terletak di tingkat 2.  Mataku masih memerhatikan lelaki tadi dari kejauhan.  Dia langsung tidak bergerak. Masih duduk di tempat kami duduk tadi dengan wajah cemberut.  Amira pula buat biasa dan mengikut langkahku.

Usai solat, aku duduk bersila di hadapan Amira.  Kutatap matanya. Kuusap lembut jari jemarinya.  Wajahnya yang mulus dan tulus kutenung lama sehingga menimbulkan kegelisahan di wajah itu.

“Apa yang kau ingin katakan Ju?” tanyanya.

Kulihat matanya berkaca, dia menunduk.  Aku mengangkat dagunya agar memandang mataku.  Kami saling bertatatapan.

“Dia tak solat?” tanyaku perlahan, tidak mahu mengguris hati kecilnya.

“Aku tidak tahu, inilah pertama kali kami keluar bersama, itu pun dengan kau,”  jelasnya.

“Jom kita tengok di luar,” ajakku. 
Kami keluar serentak.  Kami menunggu di ruang legar tempat solat lelaki.  Hampir lima belas minit, bayangan lelaki itu tidak kelihatan.  Aku menarik tangannya kembali ke restoran tempat kami makan dan minum tadi.  Lelaki itu masih di situ sambil menghirup minuman yang masih banyak berbaki.  Mungkin minuman yang baru dipesannya. 

Aku menarik tangan Amira kembali ke restoran itu.  Duduk di tempat yang sama.  Lelaki itu tersenyum.  Kami membalas senyumannya.
“Sudah solatkah?” tanyaku ingin tahu.
“Eerk…  saya tak sihatlah,” jawabnya dengan wajah kelat.
“Orang sakit pun kena solat, kalau dah hendak mati sahaja tak mampu nak solat,”  tempelakku, tegas.

“Eerk… bukan ke orang sakit tak perlu solat?”  katanya penuh yakin.

Aku memandang wajah Amira.  Dia sudah tahu reaksiku.  Aku sendiri serba salah.  Aku sendiri rasa serba tidak kena.    Kami berpisah setelah selesai solat asar.  Lelaki itu masih juga tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH.  Hatiku benar-benar tidak selesa. Amira cuba berlagak biasa.  Dia tahu benar sikap dan perangaiku. 

Hampir seminggu aku tidak mendengar sebarang cerita daripada Amira.  Marahkah dia denganku?  Atau dia takut aku menolak lelaki pilihannya?  Aku berasa bersalah dengannya.  Bukan aku terlalu memilih  lelaki yang ingin dia jadikan suami, tetapi bagiku biarlah yang rajin solat, rajin beribadah, tidak perlu rajin solat sunat atau melakukan solat sunat  pelbagai, tetapi lelaki yang tahu tanggungjawabnya terhadap Pencipta, Pemberi Rezeki, Pemberi nyawa kepadanya.  Kalau dengan ALLAH pun seorang lelaki itu tidak tahu bertanggungjawab, bagaimana dia hendak bertanggungjawab terhadap keluarganya?  Lelaki yang baik bukan sahaja baik dari segi sikap dan tingkahlaku, perlu juga baik  hubungannya dengan ALLAH.  Bagaimana dikatakan hubungan baik dengan ALLAH, dengan bersolat.  Itulah jalinan hubungan antara ALLAH dan manusia.

Orang yang benar-benar menjaga solatnya tidak akan buat atau melakukan kemungkaran di muka bumi ini.  Jika bersolat juga tapi masih ada sikap tidak baik dalam diri, maka kajilah kembali perbuatan solat kita itu tadi.  Ikhlas kerana ALLAH atau sekadar ingin menunjuk kepada orang lain.

LELAKI YANG BAIK, ADALAH LELAKI YANG MENJAGA HUBUNGANNYA DENGAN ALLAH… wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan