|
Bukan
main lagi siap beli perabot baharu, penghawa dingin, televisyen. Eh, pasang
Astro lagi! Mahu terbakar hatinya apabila memikirkan kejadian itu. Banyak
agaknya duit yang telah ditinggalkan oleh arwah suaminya sehingga begitu mudah
madunya berbelanja. Dia satu sen pun belum dapat. Orang tuanya sudah membebel
setiap kali menelefon meminta duit. Mereka ingat dia cop duit di sini agaknya?
Bukan mudah hendak meyakinkan ibu mertuanya untuk mengeluarkan duit sebanyak
ratusan ribu ringgit. Mana dia hendak cari duit sebanyak itu? Duit hantaran pun
hanya puluhan ribu sahaja. Mana cukup.
Daun
pintu diketuk perlahan. Menunggu sehingga kelibat ibu mertuanya keluar. Entah
apa yang dibuat agaknya duduk seorang diri di dalam rumah. Sudahlah setiap hari
terpaksa mencari makan di luar. Ada pembantu rumah diberhentikan. Kononnya
hendak jadikan madunya sebagai pembantu rumah.
“Mari
masuk,” pelawa Halijah. Dia menarik tangan Katrina yang berwajah muram. “Macam
mana? Takkan nak suruh perempuan tu bawa keluar barang-barang dia? Nanti apa
kata dia pula? Tak pasal-pasal dia syak kita nak kenakan dia.” Dia menarik
nafas. “Semalam lagi hebat. Kita suruh dia masak untuk kenduri di rumah ni. Dia
terus tempah katering,” sambungnya lagi. Terdiam dia seketika. Hanya mampu
melihat, apatah lagi tetamu yang dijemput hampir hadir semuanya. Licik juga
menantu sulungnya itu.
“Ibu
jangan bimbanglah. Baru dua malam dia kat sini. Banyak lagi masa. Mulai esok
dia uruskan semua urusan rumah. Ibu pula bila nak ke pejabat? Wasiat pun belum
dibaca lagi? Bila agaknya?” Katrina perlu bertindak segera. Dia perlu tahu apa
yang dia dapat dengan berkahwin dengan suaminya. Sudahlah sanggup jadi isteri
kedua dan kini sudah jadi balu pula.
“Esok
kita jumpa peguam arwah Ashraf. Nanti kita tahulah Ashraf tinggalkan hartanya
kepada siapa.” Halijah tersenyum manis. Mereka berdua sudah tahu siapa yang
menjadi pemilik harta-harta tersebut. Cuma Mastura masih tidak mengetahuinya.
“Jadi
kita nak buat apa hari ini dengan menantu hantu ibu tu?” Katrina ia menjengah
ke tingkap. Rumput sudah mula meninggi di laman rumah. Pancutan air terjun
buatan sendiri masih tidak bercuci. Siapa hendak buat itu semua? Takkan dia
pula? “Kita suruh dia kemas rumahlah, ibu. Laman tu bersepah. Pokok banyak
kering. Kolam tak bercuci. Hari-hari makan kedai, mahu putus leher Rina ni,”
Dia mengomel pula.
“Bagus
juga tu. Biar ibu turun beritahu dia. Pergilah beli makanan di Restoran
Sharifah. Ibu nak makan masak lemak ikan parang,” ujar Halijah sebelum berlalu
meninggalkan menantu kesayangannya itu.
Dia
terus ke dapur. Bau masakan menerjah hidung. Apa pula menantunya masak hari
ini? Bau macam asam pedas? Takkanlah?
“Kau
masak apa tu?” sapanya.
Mastura
menoleh. Wajah ibu mertua yang berdiri tegak macam tiang lampu dipandang sekali
imbas. Api dikecilkan nanti hangit pula tumisannya itu.
“Asam
pedas ikan pari, ibu. Buka peti sejuk ada ikan pari. Itu yang Mas masak. Ibu
suka ke?” Dia cuba bermesra walaupun dia tahu tiada sayang di hati ibu
mertuanya terhadap dirinya. Biarlah. Dia hanya berharap suatu hari nanti ibu
mertuanya akan sayang padanya.
Asam
pedas? Manalah dia suka makan asam pedas? Halijah mencebik.
“Mastura,
memandangkan rumah kita tak ada pembantu rumah dan tukang kebun, semua kerja
dalam dan luar rumah Maslah yang buat. Nama pun duduk menumpang. Ibu tahu rumah
dan laman bersih setiap hari, faham!” perintahnya.
Mastura
yang baru sahaja selesai menanak nasi menoleh. Terkejut juga dengan perintah
ibu mertuanya itu. Kalau rumah itu kecil, mungkin dia mampu buat seorang. Ini
banglo dua tingkat. Laman rumah bukan main luas. Banyak pula pokok bunga. Mahu
separuh hari jika menyiram. Siap dengan taman mini. Jenuhlah dia hendak
membersihkannya. Jangan takut, jangan bimbang, pasti ada jalan. Senyuman
terukir di bibir. Sudah ada jalannya.
“Kenapa
senyum? Faham tak cakap ibu?” Halijah kurang selesa melihat senyuman terukir di
bibir Mastura.
“Tak
ada apa, ibu. Makan tengah hari saya hidangkan di atas meja. Kalau ibu nak
makan, nanti ambillah ya?” Mastura mengemas dapur dan alatan yang sudah
digunakan.
Halijah
memerhatikan sahaja kepantasan Mastura bekerja di dapur. Cekap. Namun perempuan
itu tetap bukan menantu pilihan. Memandang wajah itu buatkan hatinya sakit.
Mastura ke laman rumah. Dia mendail nombor
seseorang. Usai bercakap apa yang perlu, dia memeriksa apa yang patut. Taman
mini itu sudah berlumut. Airnya juga tidak jernih lagi. Buat apalah susah-susah
membina taman mini? Dia tahulah ibu mertuanya banyak duit, tapi takkan tak
mampu nak gajinya pekerja membersihkan kawasan laman ini? Dia mana pandai
menjaga pokok-pokok bunga in? Setakat menyiram, bolehlah. Rumahnya ada juga
ditanam pokok bunga tetapi tidaklah seluas dan sebanyak di laman banglo itu.
Hari
sudah meninggi. Tak mungkin dia akan menyiram pokok pada waktu begini. Mahu
layu dan mati pokok-pokok tersebut. Dia menjengah ke luar pagar. Tebing yang
memisahkan kawasan tersebut dari tanah sebelah kukuh binaannya. Matanya liar
memerhati ke luar sehinggalah dia berhenti memandang satu wajah. Wajah yang
sangat dikenalinya. Wajah yang sentiasa bermain di matanya apabila malam
menjelang. Dia tidak percaya wajah itu berada di depan matanya.
Mastura
berlari keluar. Pintu pagar tidak berkunci. Dia tercari kelibat wajah itu namun
sudah tidak kelihatan. Dia pasti dia tidak bermimpi. Bukankah hari masih siang?
Tertunduk-tunduk dan terjengah-jengah.
“Kau
cari apa?” tegur satu suara.
Sepantas
kilat kepala Mastura menoleh. “Mas nampak Abang Ashraf!” beritahunya.
“Kau
gila agaknya? Siang-siang hari ni, mana ada hantu? Abang Ashraf dah
meninggallah!” Katrina pula tercari-cari. Seram sejuk pula dirasakan apabila
Mastura ternampak arwah suaminya. Tidak mungkin? Sahlah madunya itu sudah
hilang akal. Orang sudah meninggal boleh dilihat lagi? Mustahil!
“Memang
Abang Ashraf pandang ke rumah ni!” tegas Mastura. Dia tidak buta dan dia pasti
dia nampak arwah suaminya.
“Pergilah
masuk. Orang dah mati, mana boleh hidup lagi? Kau tak nampak ke mayatnya?”
herdik Katrina. Jenazah arwah suaminya dibawa balik ke rumah. Dikafankan, dan
dimandikan. Disembahyangkan dan terus dibawa ke kubur.
“Mayat
arwah kan rentung? Kereta arwah terbakar hangus. Mungkin yang meninggal bukan
arwah suami kita? Mas yakin sangat, orang yang Mas nampak itu suami kita!”
Mastura masih bertegas. Matanya belum rabun lagi. Kalau itu bukan suaminya,
tetapi siapa? Tidak mungkin pelanduk dua serupa?
“Mulalah
nak merepek. Pergilah masuk! Buang masa layan omongan gila kau tu.” Katrina
meninggalkan Mastura yang masih tercari-cari orang yang dilihat tadi.
Lantaklah. Orang mati, mana boleh hidup lagi? Kalau dia hendak gila, biar
Mastura gila seorang. Dia menghidupkan enjin kereta, masuk gear terus menekan
pedal minyak. Meluncur laju keretanya meninggalkan pekarangan banglo yang
terletak di dalam kawasan padang golf di Bangi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan