AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 18 October 2014

SESAL KEMUDIAN TIADA GUNANYA -

Kredit gambar (briged-akhdor.blogspot.com)




Dia menyandar di dinding, bau hamis lantai simen yang entah bila tidak bercuci mengecutkan lubang hidungnya.  Rasa meloya menyentap di tekak.  Saiz lokap sepuluh kali sepuluh itu kini menjadi tempat  tinggalnya.  Uh! Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Di situlah dia tidur, makan, mandi dan berehat.  Sebak dadanya, berat matanya,sakit jiwanya.  Tidak tahu siang atau malam.  Tidak tahu hujan atau panas.  Nasi yang terhidang masih tidak disentuh, ikan cencaru goreng, sayur masak lemak kobis yang cair kuahnya, langsung tiada rasa.  Tekaknya langsung tidak boleh menerima.
Semuanya bagaikan mimpi, baru semalam dia bersuka bersama ahli keluarga. Baru semalam terasa kehangatan pelukan isteri tercinta.  Baru semalam menikmati makan malam yang enak di tekaknya.  Hari ini semuanya hilang begitu sahaja.  Keindahan, kecantikan dan kemewahan yang selama ini dinikmati lenyap bagaikan dilanda taufan.  Lesap, menghilang dibawa arus hilang ditelan masa.
Dengan tangan bergari,dia dibawa pergi ketika baru sahaja melangkahkan kaki di KLIA.  Terkejut dan tersentak, kepulanganya disambut dengan kehadiran beberapa anggota polis di hadapan pintu masuk ke KLIA.  Cuba melawan, namun apakan dayanya, tenaga yang ada tidak sekuat mana.  Mahu atau tidak dibawa pergi.  Anak dan isteri memandang dengan mata berkaca.  Tidak tahu hujung pangkal cerita.  Orang ramai yang memerhati, memandang dengan kehairanan, ada juga yang memandang dengan mata yang mengejek.  Kalau sudah diberkas polis tentu ada sebabnya. 

Di balai polis dia disoal bertalu-talu.  Hanya mampu menunduk, tidak mampu menafikan segala tuduhan yang dibaca terhadapnya. Kenapa dia ditahan?  Cerita yang tidak sanggup dikhabarkan.  Matanya terus berkaca, duka menyapa rela.  Penyesalan yang tiada ertinya.  Ucapan maaf yang tiada gunanya.   Nasi sudah menjadi bubur.  Hati di luar badan terkurung.  Bagaimanalah nasib anak dan iserinya?  Tentu mereka sedang berduka dan bersedih seperti dirinya.  Tentu jambatan rindu menapak di sanubari mereka.
Di dalam bilik yang sedikit luas dari bilik lokapnya.  Sebuah meja dan dua buah kerusi terletak  kemas di satu sudut.  Hanya satu lampu terpasang, memberi pencerahan  pada bilik itu. Dia ditolak masuk.  Hampir sahaja dia tersungkur menyembah  lantai.  Matanya sinis memandang wajah anggota polis yang bertugas.  Dua orang menunggu dan bersedia untuk mengambil pengakuannya.
“Alias b. Mohamad… awak dituduh menerima suapan sebanyak RM50,000.00 daripada Taukey Leong beberapa bulan yang lalu, awak mengaku salah atau tidak?”  tanya  pegawai polis yang bertugas.
“Saya,” dia terdiam semula.  Tidak tahu apa yang harus dikatakan.  Segala-galanya bagaikan terkunci, mulut, hati, akal, mati sebelum waktunya.  Tidak tahu apa yang harus difikirkan.  Terkurung begitu buat akalnya tidak mampu berfungsi. Segalanya sudah berlaku.   

Alias menapak ke kawasan lapang  yang luas terbentang, hanya dipenuhi kontena berbagai warna dan saiz.  Dia memandang kiri dan kanan.  Beberapa orang rakannya yang berpakaian seragam turut  menemani.  Fail yang berisi dokumen pemberitahuan isi kandungan kontena yang akan diperiksa dibelek  dan dibaca.    Seorang lelaki berbangsa cina sudah menunggu kehadirannya.  Wajah lelaki itu manis tersenyum kepadanya.
“Encik Alias…” sapa lelaki itu.
“Taukey Leong,”  jawab  Alias, turut tersenyum.
“Ini dokumennya…” Alias menyerahkan fail berisi dokumen pengesahan dan kebenaran membawa kontena itu keluar dari kawasan tersebut.
“Terima kasih En. Alias,”  jawab Taukey Leong, gembira.  Satu sampul surat bertukar tangan.  Hanya kenyitan mata dizahirkan.

Alias dan beberapa rakannya hanya tersenyum memandang sampul surat tersebut.  Mereka berlalu meninggalkan kawasan tersebut.
Bukan sekali, sudah berkali-kali.  Tidak perah tertangkap, asyik terlepas.  Membuatkan dia semakin berani, semakin tamak.  Kenapa dia melakukannya?
“Abang… duit kereta dah dua bulan tak berbayar.  Bank dah telefon berkali-kali.  Rimas tau,” runggut isterinya, Hanna. 

“Hutanng kad kredit ni, saya kena dulukan.  Nanti naik lagi bunganya,” rungut Alias  yang kurang senang dengan kata-kata isterinya.  Dia tahulah duit kereta sudah 2 bulan tidak berbayar.  Bukan dia tidak tahu.  Kereta sampai dua biji, memanglah teruk  untuk membayarnya bulan-bulan.  Tidak termasuk duit rumah, segala bil-bil yang tertunggak semuanya  harus dijelaskan cukup bulan ini.  Mana dia hendak cekau duit?  Gajinya sebagai penjawat awam, bukan besar mana pun, nama sahaja pegawai. 

“Hish, nanti kena tarik di tengah jalan, malulah Hanna!” kata Hanna geram.
“Kita jualkan salah satu kereta yang ada, pakai satu sahaja,”  cadang Alias.
“Mana boleh!  Hanna nak hantar anak sekolah dengan apa? Nak ke pasar dan ke kedai?  Abang jangan main-main, kalau tak pun, jual aje kereta abang tu, pergi kerja tumpanglah kawan-kawan abang.” Hanna menyengih.
“Awak ni?  Saya bekerja, sesekali keluar dengan kereta, awak tu duduk rumah, buat apa pakai kereta?” leter Alias. 
“Dulu waktu beli tak bising pun, sekarang baru nak marah-marah!”  Hanna mencebik.  Kurang senang dengan nada suara suaminya.
“Kita kesempitan duit, awak hanya tahu nak hidup mewah, gaji saya bukan besar pun,” semakin tinggi suara Alias.  Hilang sabar dengan sikap degil isterinya. 
“Habis tu nak hantar anak-anak sekolah macam mana?”  Hanna memeluk tubuh.  Dia mengetap bibir.  Dahinya berkerut.
“Biarlah mereka nak bas sekolah. Taklah seteruk nak bayar duit bulanan kereta.”  Alias mengeluh.  Tubuhnya disandarkan di sofa.  Sofa itu pun masih berhutang, tiap-tiap tahun bertukar.  Semuanya kerana mengikut selera isterinya.  Langsir begitu juga.  Tiba sahaja hari raya, pasti ke kedai kain, tukar lagi langsirnya, walaupun masih baru.  Kalau tidak diikutkan,  muncungnya panjang sedepa.  Mulalah buat kerja rumah macam orang bergaduh.  Pinggang mangkuk pula berbunyi seperti berperang.  Manalah dia tahan.

“Mana boleh!” Hanna membantah keras.
“Sekarang ni bang, di luar tu tak selamat, kejadian cabul, rogol bermaharajalela.  Abang tak takut ke?”  Hanna membungkam geram.
Susah betul bercakap dengan orang perempuan ni.  Kalau kita larang, kata kita kedekut.  Kalau dibenarkan pula, membazirlah pula.  Serba salah jadinya.  Kenapalah isterinya tidak memahami keadaan dirinya.  Alias mengeluh berat. 
Keadaan semakin kritikal apabila kereta isterinya ditarik oleh pihak bank.  Mahu tak mahu dia terpaksa membayar duit tunggakan kereta tersebut.  Tidak tahan mendengar leteran Hanna  siang dan malam.  Akhirnya…

Pertemuan diatur disebuah gudang lama milik Taukey Leong.  Dia akan menguruskan segala dokumen keluar masuk kontena-kontena milik syarikat Taukey Leong tanpa masalah.  Alias tersenyum sendiri.  Puas hatinya.  Duit yang diterima banyak gunanya.  Banyak perkara boleh diselesaikan.  Segala hutang piutang mampu dijelaskan.  Tiada lagi tertunggak.  Senyuman bahagia terukir di bibir isterinya setiap kali dibawa membeli-belah.  Lega sedikitlah hatinya. 

Namun semua itu tidak lama… sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.   Wajah pegawai penyiasat di tatap seketika.  Air mata merembas keluar.  Menyesal tiada gunanya.  Dia sendiri yang rela dan tiada yang memaksa.  Esok pasti terpampang di dada akhbar wajahnya ketika ditangkap.  Kawan-kawan, rakan-rakan sekerja, entah apa pandangan mereka terhadap dirinya ketika ini.    Usah bercerita soal malu atau harga diri.  Dia sendiri yang menjerat diri sendiri.  Dia yang menjatuhkan maruahnya sendiri. 

“Bagaimana Alias?  Awak mengaku bersalah?”  tanya pegawai penyiasat  yang berpangkat Inspektor itu.

“Saya mengaku Inspektor!”  jawab Alias dengan mata yang berkaca.  Hiba  melekat di hati.   Terasa hina dirinya di mata orang lain.  Kebodohan  membawa padah.  Kemusnahan yang tidak mampu diubah melainkan taubat nasuhah.  Dia bukan sahaja khianat kepada dirinya, malah kepada bangsa dan agamanya juga.  Apa guna dia menyesal sekarang?  Apa guna dia menangis, kerana ingin kemewahan dan  hidup senang dia mengadaikan maruah dan harga diri sendiri.  Terimalah padahnya.  Tidak perlu marah sesiapa.  Tidak perlu simpan dendam kepada sesiapa.  Inilah ingatan ALLAH kepadanya agar tidak terus memaku dosa dan memberi hasil haram kepada anak isterinya.  Dia gagal melindungi keluarganya dari menjadi bahan bakar api neraka.  Dia gagal menjaga maruah keluarganya.

Ah!....  Dia menangis kedukaan.





2 comments: