AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 12 June 2016

AKU REDHA




Dia  memandang wajah sahabatnya tidak berkelip.  Kewarasannya bagaikan tidak mampu mencerna keinginan sahabatnya itu.  Wajah yang serius memandangnya tajam, menikam jantung hatinya. Galau seketika perasaannya.  Hembusan angin petang meraba perlahan wajah gebunya.  Sudah berhari-hari dia dipujuk dan dirayu.  Hanya orang yang hilang kewarasannya sahaja yang sanggup menyerahkan sesuatu yang amat berharga dan disayangi.  Resah di hati buat senyuman tidak mampu  terlakar  di bibirnya yang berwarna merah jambu.  Cuba menenangkan diri, mencari kekuatan agar tidak nampak kegugupan atau keresahan yang menjalar dalam diri.
            “Kau dah fikir habis?”  tanya Nisa, dia menikam kembali pandangan mata sahabatnya itu.
            “Kita sudah berkawan, bukan baharu semalam.  Sejak kecil.  Aku amat mengenali hati budimu.  Kau berkorban meninggalkan agamamu, memeluk agama Islam.  Akidahmu perlu dipelihara agar kautidak tersasar daripada landasan kehidupan seorang muslimah yang sejati.  Aku takut kau bertemu dengan lelaki yang tidak mampu membimbingmu.  Nisa… tolonglah!   Terimalah permintaaku ini,”  terang Hanum dengan mata penuh harapan.  Bukan dia seorang yang gila, atau sudah hilang kewarasannya.
            “Kerana aku sahabatlah, maka aku tidak akan mampu mengguris hatimu!”  Nisa menolak dengan baik.  Mana mungkin dia berkongsi kasih dengan sahabatnya sendiri?  Layakkah dia?  Nanti apa pula kata orang sekeliling, terutama keluarganya.  Bagaimana pula dengan keluarga Hanum?  Dia mengenali seluruh keluarga Hanum, mereka amat rapat.  Malah keluarganya tidak pernah membantah jika dia hendak bermalam di rumah sahabatnya itu.  Malah, ketika dia memeluk agama Islam juga, keluarganya langsung tidak membantah. Mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.  Apa pula pandangan mereka, jika dia menerima kehendak dan keinginan sahabatnya itu. 
            “Jika tiada lelaki yang sesuai, kurela membujang sehingga ke akhir hayat.  Soal itu jangan kau risaukan. Kau jagalah diri dan keluargakau,”  pesan Nisa sebelum dia meninggalkan sahabatnya sendiri di dalam bilik pejabat yang berhawa dingin itu. 
            Berkaca matanya melihat langkah gadis berkulit putih bersih itu.  Gadis tinggi lampai persis seorang model, bertudung separas pinggang, berjubah labuh menutup kecantikan tubuh seorang wanita  dambaan lelaki.  Hanum mengeluh berat. 

***

            Kunyahannya terhenti seketika, lepat pisang yang menjadi kegemarannya bagaikan tidak mampu ditelan.  Ribut apakah yang melanda isterinya itu?  Bercakap bagaikan orang yang sedang berada di alam mimpi sahaja.  Wajah serius itu dipandang lama. Mencari kejujuran dan keikhlasan yang terbit daripada hati.  Tidak mungkin mengejar payung emas, itu bukan cara isterinya yang sudah berbelas tahun dikahwini.  Dirasa dahi isterinya, manalah tahu terkena demam panas yang memakan di dalam. 
            “Hanum tak demamlah!”  Hanum menolak tangan Haikal.  Dia mencebik.  Kenapa Nisa dan suaminya tidak percaya akan keinginannya?  Dia bukan main-main.  Dia serius!
            “Awak tahu tak, berapa ramai wanita yang makan hati berulam jantung kerana suami berkahwin lagi… tapi awak?”  Haikal mengeluh berat.    Sesak nafasnya mendengar permintaan isterinya yang bukan-bukan itu.  Ini perkara serius bukan main-main.  Melibatkan seisi keluarga, masyarakat juga. 
            “Saya yang rela, apa masalahnya?”  Hanum melepaskan keluhan berat.  Sukar betul hendak bercakap dengan suaminya.  Dipelawa, tidak mahu pula.
            “Bukan mudah hidup berkongsi kasih dengan dua orang perempuan.  Abang takut tidak mampu berlaku adil.  Hanum nak tengok abang jalan senget di akhirat nanti ke?”  terang Haikal. Kalaulah lelaki lain sudah tentu melonjak gembira, tetapi bukan dirinya.  Bukan mudah menjaga hati seorang wanita, inikan pula hendak menjaga hati dua orang wanita.  Takut dia tidak mampu membahagiakan mereka.
            “Ala… saya bantulah abang berlaku adil,”  ucap Hanum.
            Haikal menepuk bahu isterinya.  Jari jemari yang runcing itu diusap lembut.  Betapa dia amat menyayangi wanita yang setia di sisinya itu.
            Sejak hari itu, hampir setiap hari dia mendengar rayuan isterinya.  Memujuk dan meyakinkan dirinya untuk mengambil Nisa sebagai isteri keduanya. Mana mungkin dia melakukannya?  Dia belum cukup kuat untuk menjadi ketua kepada dua buah keluarga.  Biarpun dia seorang yang pandai dalam bidang agama.  Dalam soal hati dan perasaan bukan mudah untuk menanganinya. 


***

            Suaminya bukan orang biasa, seorang pensyarah dan ustaz yang berkaliber, tawaduk, lembut dalam mendidiknya,  bertanggungjawab dan jujur orangnya.  Hanya suaminya yang dirasakan mampu menjaga dan mendidik Nisa, sahabatnya yang baharu beberapa bulan memeluk agama Islam.  Apa salahnya dia berkorban?  Menyerahkan sesuatu yang amat disayangi, bukankah kita memberi sesuatu kepada orang lain, benda yang amat kita sayang.  Bukan barang yang hendak dibuang atau tidak berguna lagi.
            “Nisa!” panggil Hanum sewaktu wanita itu melalui meja kerjanya.  Kebetulan mereka bekerja di syarikat yang sama.  Hubungan yang terjalin sejak kecil, usianya panjang sehingga kini.  
            “Aku sibuk sangat ini, nanti sahaja kita sembang, ya?”  Nisa hanya mengenyitkan mata dan berlalu pergi.
            Kecewa hati Hanum, rusuh jiwanya.  Wanita itu seperti menjauhkan diri daripadanya.  Hiba pula hatinya. Niatnya baik, kenapa tidak dipedulikan?  Bukan dia yang menolak atau melarang, dia yang meminta, kenapa sukar sangat hendak memberi persetujuan?  Berbagai persoalan bermain dibenaknya.  Atau…  Nisa tidak mahu hidup berkongsi suami? Mungkin juga.  Hanum mengeluh lagi. 
            Tangan sahabatnya ditarik kuat. 
            “Hanum!” Nisa cuba menolaknya, semakin dia ingin melepaskan diri, semakin kuat genggaman Hanum.
.
            “Jom kita pergi minum!” ajak Hanum.
            “Kalau ya pun, lepaskan dulu genggaman awak ini!” pinta Nisa.
            “Kalau saya tak paksa, awak takkan ikut saya,”  kata Hanum agak kasar.  Wajahnya cemberut.
            “Yalah… saya ikut,”  ucap Nisa mengalah.  Sahabatnya itu kalau tidak ikutkan, mahu meroyan di situ.  Kedegilan dan ketegasan Hanum tidak pernah berubah.  Suka memaksa, nanum hatinya baik.  Itu sebab dia kekal berkawan dengan Hanum sehingga kini.  Berpuluh tahun mereka menjadi sahabat, setia sehingga ke hujung nyawa, Insya-ALLAH semoga kekal sehingga ke syurga juga.
            “Nisa… aku sudah buat persediaan agar majlis perkahwinan kau dan Abang Haikal berjalan seperti yang telah aku rancang,” cerita Hanum dengan senyum simpulnya.
            “Hah?”  Nisa terkejut. 
            “Hanum, kau sedar tak apa yang sedang kau lakukan?”  Hampir sahaja dia menengking Hanum yang duduk gembira di hadapannya.  Minuman yang dipesan langsung tidak disentuh.
            “Kenapa susah sangat kau nak menerima suami aku?  Kau tak mahu hidup berkongsi ke?”  tanya Hanum.
            “Bukan macam tu,  aku tidak pernah berfikir atau kisah dengan soal jodohku.  Aku berserah sahaja kepada ALLAH, tetapi berkahwin dengan suamikau?  Tidak mungkin Hanum!”  Nisa tetap menolak.  Menghancurkan perasaan sahabatnya itu samalah dia menghancurkan perasaannya sendiri.  Dia perempuan, Hanum juga perempuan, perasaan cemburu seorang perempuan sukar di duga.  Mungkin sekarang sahabatnya itu tidak kisah, merelakan sahaja, tetapi esok lusa bagaimana?  Dia tidak mahu hubungan baik mereka musnah begitu sahaja lantaran cemburu yang beraja di hati.
            “Kenapa?  Cuba kau beri alasan yang kuat,” pinta Hanum.  Matanya mengecil, dia memandang wajah Nisa yang tidak keruan duduknya itu. 
            “Hish, kau ni… soal kahwin pun main paksa?”  Nisa mencebik.  Dia memeluk tubuh.  Pandangannya dialihkan ke arah lain. Perutnya yang lapar terasa kenyang. Kehausan yang dirasai ketika awal tadi, menghilang begitu sahaja. 
            “Bolehlah… suami aku pun dah beri persetujuan,”  cerita Hanum gembira.
            “Ustaz Haikal?  Setuju?”  Sukar untuk dia mempercayainya.  Haikal seorang lelaki yang setia, bertanggungjawab.  Dia kenal hati budi lelaki itu.  Tidak mungkin lelaki itu sanggup menduakan Hanum. 
            “Kenapa? Tidak percaya?”  Hanum menyengih.
            “Bukan tidak percaya… tak percaya dengan kerja gila kau ini.” Nisa menggeleng kesal.  Apalah yang sudah merasuk diri sahabatnya itu.  Orang lain mempertahankan rumah tangga yang ada, dia pula sanggup menyerahkan suami yang baik dan penyayang itu.  Bukan dia tidak biasa bergaul dengan keluarga Hanum, mereka sudah seperti keluarganya.  Apatah lagi sejak dia memeluk Islam, Ustaz Haikallah yang banyak memberi tunjukajar.  Dia amat hormati suami sahabatnya itu.  Mana mungkin dia menghancurkan kebahagian pasangan suami isteri itu. Berat untuk dia memberi persetujuaan. Kenapalah sukar benar sahabatnya hendak memahami perasaannya.
            “Nisa… aku tidak mahu kehilangan kau sebagai sahabat, apa salahnya aku berkongsi seseorang yang amat aku sayang, kerana kasihku pada kau sama seperti mana aku menyayangi suamiku.  Biarlah kami membimbing kau menjadi muslimah yang sejati.  Banyak perkara perlu kau pelajari.  Bukankah selama ini suamiku yang membimbing kau?”  pujuk Hanum, tidak pernah berputus asa.  Dia yakin, jodoh suami dan sahabatnya itu ada. 
            Nisa terdiam seketika.  Memang benar, sebagai seorang saudara baharu, dia memerlukan bimbingan dan tunjukajar yang tidak pernah putus.  Banyak perkara yang perlu dipelajari, amal ibadatnya juga tidak sempurna lagi.  Dia memerlukan seseorang yang mampu membimbingnya sehingga ke syurga.
            Hanum meraih tangan Nisa.  Dia memegang dengan lembut.  Memerhati wajah putih bersih itu.  Dia faham, kenapa Nisa menolak.  Mana ada seorang perempuan yang sanggup berkongsi suami?  Berbagai kisah hitam hidup berpoligami membuatkan ramai yang takut. Tidak kurang juga yang berani mencuba. Konon, mampu melawan gejolak di jiwa.  Konon mampu melawan naluri seorang perempuan yang tinggi rasa cemburunya. 
            “Setujulah!” rayu Hanum sekali lagi.
            Tiada jawapan yang diperolehi. Mereka berpisah tanpa ada kata putus yang terlahir.  Jawapan Nisa, ringkas sahaja, biarlah dia meminta petunjuk daripada ILAHI.  Jangan ikut rasa, takut binasa, jangan ikut hati, takut mati.  Biarlah kepada ALLAH dia memohon petunjuk.  Apa sahaja keputusan akan diterima dengan hati terbuka. |
            Hanum tidak terkata apa-apa. Jika itu sudah keputusan sahabatnya.  Kegusaran di hati tidak pernah padam, bila melihat sahabat yang seusianya yang  hampir mencecah  lewat 30-an membuatkan hatinya tidak betah melihat.  Bukan sahaja dia ingin menyelamatkan akidah sahabatnya itu, dia juga ingin menyelamatkan agar sahabatnya itu tidak menjadi andartu.  Sedang dia mengulam bahagia, sahabatnya bersendirian melayar kehidupan.  Tidak mungkin dia melihat sahaja, entah bagaimana perasaan Nisa ketika dia bercerita tentang keluarganya, sedangkan wanita itu masih sendiri.  Biar tidak kelihatan kerisauan di wajah itu, tetapi hati yang tersembunyi tiada siapa yang tahu.


***
            Haikal mengetap bibir.  Borang kebenaran berkahwin lagi sudah berada di hadapan mata.  Nampaknya, isterinya tidak main-main.  Wajah tenang Hanum mengusik hatinya.  Biar betul?  Jangan-jangan isterinya terkena sampuk agaknya.  Tidak gusarkah di hati Hanum jika Nisa berubah menjadi tamak dan tidak mahu berkongsi dirinya dengan Hanum?  Tidak terfikirkah perkara itu kemungkin berlaku?  Mula-mula setuju, kemudian mula berubah hati bila cemburu datang menerjah.  Jangan main-main dengan perasaan sendiri, belum cuba, belum tahu.  Sudah cuba, takut terasa peritnya.  Waktu itu menyesal kemudian sudah tidak berguna lagi. 
            “Hanum sudah tekadkah? Muktamad?”  tanya Haikal.  Ingin benar dia mengorek jantung isterinya dan melihat sendiri keikhlasan di hati perempuan yang sudah lama menjadi suri hatinya.

            “Abang ini, bertanyakan soalan lagi.  Borangnya sudah ada di hadapan mata, isi sahajalah!” kata Hanum, dia menjeling manja.

            Haikal mengeluh perlahan.  Bukan dia tidak bersetuju, tetapi dia amat takut sekali.  Mampukah dia  berlaku adil?  Mampukah dia membahagikan masa untuk dua orang isteri?  Anak-anak lagi.  Penat dia memikirkan hal itu.  Sejak isterinya menyuarakan hasrat hati, sejak itulah dirinya terus didesak agar menerima perkahwinan yang dirancang oleh isterinya itu.  
            “Pernikahan abang dan Nisa, hujung bulan ini.  Jangan tidak-tidak tahu bang,” pesan Hanum dengan senyuman terlakar manis.
            “Ya ALLAH, Hanum!”  Hampir gugur jantung Haikal mendengar cerita isterinya.  Adakah Nisa sudah memberi persetujuan, sehingga isterinya beria-ia benar.  Takkanlah Nisa menerima bulat-bulat keputusan Hanum?  Haikal mengeluh berat.    Hanya senyuman yang terlakar di wajah Hanum, borang itu sudah siap terisi, hanya meminta tandatangannya sahaja.
***
            “Ini jemputan untuk majlis perkahwinan kau dan Abang Haikal, kami akan tunggu kau di masjid berhampiran rumah aku.  Kau harus datang tahu,”  pesan Hanum. 
            “Hanum!”  Nisa menggeleng laju.  Tekad benar sahabatnya itu.  Bantahannya langsung tidak didengari.  Sekali lagi keluhan berat dilepaskan.  Tiada pamitan Hanum terus berlalu.  Mungkin tidak mahu mendengar alasannya lagi.  Kenapalah kau buat begini Hanum?  Bisik Nisa di dalam hati. 
            Air mata mengalir tanpa dipinta. Dadanya sebak, kakinya lemah, terasa payah untuk digerakkan.  Mampukah dia berkongsi suami dengan sahabatnya sendiri?  Bolehkah dia duduk sebumbung dengan lelaki yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri? Kenapa sukar benar Hanum hendak memahami? Kenapa terus mendesak diri ini.  Nisa terkedu seketika.  Dia menyandar di kerusi kerjanya.  Apa yang akan diberitahu kepada kedua orang tuanya?  Adakah mereka mampu menerimanya, keluarga Hanum pula bagaimana? Memikirkan hal tersebut membuatkan kepalanya mula berdenyut.  Persoalan demi persoalan berlegar difikiran.  Penat dia memutarkan pertanyaan itu pada dirinya sendiri.  Kedegilan Hanum tidak mampu disangah lagi.  Hanya nama ALLAH menjadi sebutan di bibirnya.  Biar tenang dan damai hatinya. 

***
            Hanum sibuk menguruskan majlis  perkahwinan suaminya sendiri.   Dia menempah dewan, katering, jemputan pula hanya mereka yang rapat sahaja.  Keluarganya tidak dilupakan. Biar apapun yang akan bermain di telinganya.  Akan dianggap sebagai pemanis sahaja.  Tidak perlu gusar, keputusannya muktamad.  Dia pasti Nisa tidak akan berubah hati.  Dia  yakin suaminya akan tetap bertanggungjawab kepadanya dan Nisa serta anak-anak. Tiada kerisauan di hati.  Tiada rasa cemburu di jiwa. 

Dia sudah menikmati kebahagian yang amat-amat didambakan selama ini.  Seorang suami yang penyayang, baik dan bertanggungjawab.  Seorang sahabat yang setia, jujur dan tidak pernah meninggalkannya baik ketika susah dan senang.  Kedua-dua insan ini adalah orang terpenting dalam hidupnya selepas kedua orang tuanya.  Kehidupannya juga cukup sempurna.  Dia ada pekerjaan tetap, malah bergaji besar, rumah tangganya bahagia, anak-anak pula bijak dan pandai.  Semuanya serba sempurna di matanya.  Apalah salahnya jika dia berbuat sesuatu untuk agamanya sendiri.  Nisa baharu sahaja memeluk Islam dan memerlukan bimbingan, suaminya adalah orang yang terbaik dan mampu membimbing sahabatnya itu.  Biarlah apa pun orang akan kata dan bercerita, dia buat semua ini kerana agamanya.  Bukan mendambakan payung emas.  Apa sahaja yang akan diberi ALLAH SWT nanti, dia terima dengan hati yang terbuka.    Senyuman manis sekali lagi terlakar di bibirnya.  Kepuasan yang tidak terucap dengan kata-kata bila melihat sahabat dan suaminya itu bersatu dalam ijab dan kabul.  Semoga impiannya tercapai hendaknya.

2 comments:

  1. Kak Asmah, bermadu lagi kak? Kencing manis la, kalau asyik bermadu saja...hahaha..cobaann.

    ReplyDelete
  2. hik hik hik, sebenarnya, akak ada buat cerita seperti ini dan diterbitkan oleh majalah URTV, tajuknya Rela Bermadu hik hik hik, hilang dalam simpanan, itu yang buat lain, serupa tapi tak sama. Baca ajselah uhuhuh...

    ReplyDelete