Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 9 Jun 2016

PELAYARAN KASIH- BAB 16- Rohani Deraman





M
ursyid memandu sambil bersiul-siul kecil. Irama lagu ‘Getaran Jiwa’ berkumandang perlahan tanpa lirik.
Hati Kamaruzaman ikut terbuai senang dengan siulan itu. Sekurang-kurangnya dapat juga menghiburkan hatinya yang sedang berkecamuk akibat renungan tajam dan kata-kata celupar  adik ipar Kartina tadi.
“Abah tengah fikir apa?” tanya Mursyid.
“Tak ada apa-apa. Siulan Syid begitu mengasyikkan. Lagu lama ni tetap segar didengar biarpun sudah berpuluh tahun usianya,” jawab Kamaruzaman, cuba menyenangkan hati Mursyid.
“Ini cuma iramanya. Kalau disertakan dengan liriknya, akan lebih indah lagi kan?”        

Kamaruzaman mengiakan dalam hati. Memang lirik lagu itu terkesan dalam hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
            Mursyid bersiul lagi dan Kamaruzaman menikmatinya dengan penuh asyik.        “Abah, boleh Syid tanya sikit?” Tiba-tiba Mursyid berhenti bersiul. Dia menoleh lagi ke arah Kamaruzaman.
            “Tanyalah.”
“Abah berkahwin dengan ibu atas dasar cinta atau kahwin paksa?”
Kamaruzaman tersentak. Dia tidak menduga soalan itu yang akan ditanyakan oleh Mursyid.
“Kenapa Syid tanya macam tu?” Dia menoleh kepada Mursyid. Wajah Mursyid yang seiras Ahmad Adham itu membuatkan dia rasa seperti sedang berhadapan dengan lelaki itu.
“Sebab kata abah saya, ibu adalah mangsa keadaan. Dia isteri yang terlalu baik sebab itu ALLAH menduganya dengan sebuah penderitaan.”
Darah Kamaruzaman berderau.
“Apa lagi yang abah Syid cerita?”
“Tak banyak. Cuma abah kata, Syid beruntung kerana mendapat seorang ibu yang baik dan penyayang. Dia pula beruntung kerana mendapat seorang isteri yang taat dan beriman. Benarkah ibu saya seorang isteri yang baik dan taat, abah?” Mursyid bertanya lagi. Kali ini dia tidak menoleh. Matanya ditumpukan ke jalan raya.
Kamaruzaman rasa lehernya tercekik. Sungguh santun anak muda itu bertanya. Sungguh hebat Kartina mendewasakan anaknya dengan budi yang sopan.
“Memang dia adalah isteri yang hebat dan terbaik di dunia ini. Memang amat beruntung orang yang menjadi teman hidupnya,” kata Kamaruzaman, perlahan dan bergetar.
“Kalau dia terbaik, kenapa abah ceraikan dia dulu?”
Soalan Mursyid tiba-tiba menjadi panah yang memanah tepat ke jantung Kamaruzaman. Dia rasa nafasnya sukar untuk ditarik dan dilepaskan. Sebuah penyesalan yang tidak pernah berakhir mula merayap kembali di dalam nubarinya yang kudus.
Kamaruzaman tercungap.
“Abah tak apa-apa? Maafkan Syid, abah. Syid tak sepatutnya mengorek kisah lama yang abah dah lupakan itu.”
“T… t... tak apa. Abah tak apa-apa,” kata Kamaruzaman sambil menepuk-nepuk lengan Mursyid. Ketika itu dia tidak berani untuk bertentang mata dan mengadap muka Mursyid.
“Syid, abah memang orang yang bersalah.”
“Kenapa abah cakap macam tu?”
            “Kerana abah dah seksa dan lukakan hati seorang wanita yang sangat baik, jujur dan beriman. Ibu Syid adalah yang terbaik. Hanya abah yang tak tahu menilai intan dan kaca. Abah yang salah,” jawab Kamaruzaman dengan nada sendu.
Mursyid diam. Matanya masih tertumpu ke jalan raya. Fikirannya pula menerawang entah ke mana.
“Sebenarnya, semua yang berlaku ada hikmahnya. Ada untungnya kepada ibumu,”  tambah Kamaruzaman lagi.
“Untung? Apa maksud abah?”
“Kalau dia tak bercerai dengan abah dulu, Syid tak akan ada di dunia ini. Dia tak akan dapat merasai hidup gembira dan bahagia dengan suami yang baik seperti abahmu dan anak-anak yang berbudi seperti kamu dan Syila.”
“Dan Abang Hayat pun tak akan jadi abang kami, kan abah?” Mursyid ketawa. Kamaruzaman hanya tersenyum. Dalam hatinya dia tetap mengucap syukur. Muhayat telah mendapat kehidupan yang lebih baik kerana perceraiannya dengan Kartina. Kalaulah mereka tidak bercerai, mungkin ia senasib dengan arwah kakaknya Natasya.
            Natasya?  Ya ALLAH! Alangkah berdosanya dia dengan anak itu.
“Kita dah sampai abah,” kata Mursyid sambil memberhentikan kereta di hadapan sebuah kedai emas.
“Syid nak beli emas? Nak bertunang ke?” tanya Kamaruzaman.
Mursyid tidak menjawab. Dengan senyum dia menarik tangan Kamaruzaman masuk ke dalam kedai itu. Matanya melilau mencari.
“Encik nak beli apa?” tanya seorang jurujual dengan senyum ramah.
“Saya nak cari sebentuk cincin untuk dijadikan hadiah. Boleh tunjuk yang mana sesuai?”
“Untuk siapa? Kekasih, tunang atau isteri?”
“Ibu.”
Gadis itu meneliti ratusan cincin yang tersusun  rapi. Kemudian dia mengambil sebentuk cincin berbatu nilam. Ia berbentuk sekuntum bunga tanjung.
“Saya rasa yang ini sesuai,” kata jurujual itu sambil menghulurkannya kepada Mursyid.
Mursyid meneliti cincin itu. Dia tersenyum senang dan hatinya mula berkenan dengan reka cipta cincin itu.
“Cantik  tak abah?” tanya Mursyid kepada Kamaruzaman.
“Hmm… cantik,” jawab Kamaruzaman. Dia berkata jujur. Memang cincin itu begitu cantik pada pandangan matanya. Jauh di sudut hatinya, dia mengimbau kenangan lama. Sebentuk cincin yang dipulangkan oleh Kartina ketika perceaian mereka dahulu masih disimpannya dengan baik.
Mursyid segera membeli cincin itu dengan permintaan agar ianya dibungkus dengan cantik.
“Syid sengaja nak beri kejutan kepada ibu,” kata Mursyid dalam perjalanan pulang.
“Kejutan?” tanya Kamaruzaman. Sejak tadi dia memang ingin bertanya, tetapi dia rasa segan dan bimbang dikatakan menyibuk.
“Esok adalah hari ulangtahun perkahwinan abah dan ibu,” jawab Mursyid.
“Alhamdulillah. Semoga mereka akan terus kekal bahagia hingga ke akhir hayat,” kata Kamaruzaman sambil menadah tangan dan mengaminkannya. Hatinya jujur. Dia berkata tulus.
“Kalau macam tu, abah pun nak berikan hadiah untuk ibu Syid.”
“Abah nak beri apa?” Mursyid menoleh. Kamaruzaman termenung berfikir. Sudah lama dia tidak memberikan hadiah untuk seorang wanita. Hadiah apakah yang paling sesuai untuk Kartina?
“Apa pendapat Syid?”
Giliran Mursyid pula bermenung sambil matanya tertumpu ke arah jalan raya.
“Apa kata kalau abah berikan dia bunga. Romantik gitu!” kata Mursyid dengan ketawa.
“Syid!  abah bukan muda lagi. Lagipun, itu bukan huluran yang baik. Sebaliknya ia hanya akan menimbulkan fitnah dan syak wasangka.”
“Fitnah? Siapa pula yang nak buat begitu?” Mursyid mula keliru.
“Iblis dan gerombolannya. Bukankah mereka itu ejen perosak. Mereka akan merosakkan  hubungan baik antara kami bertiga. Abah tak nak keruhkan keadaan. Jadi lebih baik kita tutup peluang untuk iblis menghasut dan menyelinap dalam hati kita.”
Mursyid segera memahami apa yang tersirat di sebalik kata-kata Kamaruzaman itu. Benar, iblis adalah musuh manusia yang paling jahat dan keji. Sebagaimana sumpah laknatnya di hadapan ALLAH untuk memperdaya manusia hingga ke hari kiamat, ia akan mengotakannya.
“Jom kita berhenti kat kedai buku tu!” Tiba-tiba Kamaruzaman menuding jari ke arah deretan kedai di tepi sebelah kanan jalan.
Mursyid tidak berlengah dan bertanya apa-apa. Kakinya segera menekan brek dan kereta berhenti di tepi jalan. Mereka turun dan berjalan masuk ke dalam kedai itu.
“Abah nak belikan senaskah Al-Quran. Boleh Syid tengokkan mana yang sesuai dan cantik untuk diberikan kepada ibu Syid,” kata Kamaruzaman ketika mereka sudah berada di hadapan rak yang penuh dengan susunan kitab-kitab suci Al-Quran dalam berbagai versi penerbitan.
Mursyid akur. Dia mula membelek beberapa naskah yang ada.
“Syid rasa yang ini sesuai. Hurufnya besar dan jelas siap dengan terjemahannya sekali. Ia akan menyenangkan ibu membacanya,” kata Mursyid, menghulurkan sebuah Al-Quran.
Kamaruzaman ikut membelek. Kemudian dia memeluk naskah itu dengan harapan Kartina akan menerimanya dengan senang hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan