Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 24 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 15- SASYA ZAINAL



Kampung Peserai Pantai, Batu Pahat

Salimah menyuap nasi ke dalam mulutnya dan mengunyah perlahan-lahan. Dia memandang pinggan nasi itu dengan pandangan kosong. Tekaknya terasa tawar. Barangkali dia lupa hendak meletak garam di dalam lauk-pauk yang dimasak sebentar tadi. Tangisan cucu sulungnya kedengaran samar-samar di dalam bilik paling hadapan. Bilik tidur milik Khalid, anak sulungnya yang sudah seminggu tidak pulang ke rumah. Ke mana perginya anak itu, dia tidak tahu. Fidah isteri Khalid juga tidak tahu mengapa suaminya itu tidak pulang-pulang. Sayup-sayup dari dapur, kedengaran suara Fidah menantunya memujuk anak kecil yang merengek-rengek itu. Mungkin si kecil itu mahu menyusu.

Bilik tengah yang menjadi milik Kamaruddin dan Adik juga kini sudah kosong. Sekosong hati Salimah yang kerinduan terhadap tiga orang anaknya yang berada di perantauan.

            “ Mah...awak tak ambil lauk?” teguran dari suaminya Abdul Ghani membuatkan lamunannya terhenti.
            “ Eh...patutlah saya terasa tawar. Saya lupa ambil lauk rupanya,” Salimah seakan-akan baru tersedar dari lena yang panjang. Dia akhirnya mengambil kuah gulai dan ikannya lalu dibubuh di dalam pinggan nasi.
            “ Ehh...awak ni, tak lain, terkenang si Adik laa ni,” tekaan suaminya tepat sekali. Abdul Ghani memandang tepat wajah isterinya yang semakin dimamah usia.
            “ Haah Bang...dah biasa dia ada di rumah, bila dia tak ada, macam sunyi sangat.”
            “ Alah...awak anggap sajalah si Adik pergi kerja. Selalunya pun, dia memang bukan ada di rumah waktu-waktu macam ini. Dia pun, dah malam kita nak tidur baru balik dari kerja,” pujuk si suami sambil menyuap nasi lembik ke dalam mulut.

            Salimah melepaskan keluhan. Perlahan.
Iya,benar. Adik hanya akan sampai di rumah pukul 11.00 malam. Pasaraya di bandar hanya ditutup pada pukul 10.00 malam. Selalunya, dia akan menanti kepulangan anaknya itu. Kemudian, pada hari minggu pula, Adik selalunya  membantu Nora memasang pelamin, menggubah bunga-bunga ataupun membuat barang hantaran. Selalunya, jika sudah siap memasak, membasuh dan melipat baju, Salimah juga akan datang bertandang ke rumah Nora. Berbual-bual sambil melihat kemahiran Nora dan anaknya menghias barang-barang perkahwinan. Di dalam hatinya, terdetik rasa bangga dengan bakat kesenian Adik. Dia bukan pernah menghantar anaknya itu ke kelas gubahan atau kelas jahit-menjahit. Tetapi darah seni itu mengalir dengan sendirinya atas kekuasaan ALLAH.

Adik memang jarang ada di rumah sebenarnya. Selalunya, anak itu hanya akan sampai di rumah pada pukul 11.00 malam setelah pasaraya tempat dia ditutup pada pukul 10.00 malam.Tetapi, malam ini, pada pukul 11.00 malam, dia tidak akan menanti kepulangan Adik. Malam ini, dia tidak akan dapat berbual-bual dengan anaknya itu.

            Salimah mengeluh lagi. Rindu seorang ayah dan rindu seorang ibu, manakan sama. Rindu seorang ibu, rasanya seperti tidak tertahan. Apatah lagi jika anak itu, anak yang baik, anak yang ringan tulang, yang memahami perasaan dan hati seorang ibu. Abdul Ghani berhenti menyuap makanan ke mulutnya dan memerhati isterinya. Memang kasih benar Salimah dengan anak lelakinya yang seorang itu.

            “ Macam mengejut sangat dia dapat kerja kat KL tu bang,” ujar Salimah sambil menyudu gulai asam pedas daun kesum ke dalam pinggan nasinya.
            “ Dah rezeki dia, Mah. Saya suka dia dapat kerja di KL tu. Sesuai dengan kelulusan dia. Kalau dia kerja kat sini, apalah sangat gaji dekat supermarket tu. Macam tak berkembang nanti hidup si Adik, ” Abdul Ghani pula menyuarakan pendapatnya.
           
Memang benar kata suaminya itu.
            Adik punya kelulusan diploma. Memang amat tidak sesuai jika dia hanya menjadi promoter di tempat pakaian lelaki di pusat membeli-belah di bandar. Adik boleh pergi lebih jauh dengan kelulusannya. Anaknya itu juga berhak berjaya. Anak lelakinya yang ketiga itu juga berhak berjaya seperti abang keduanya, Kamaruddin. Walaupun dia redha, namun sebenarnya dia terkilan kerana bagai suntuk benar waktu dia dapat bersama-sama Adik. Dia cuma diberitahu seminggu sebelum anaknya itu diminta untuk melapur diri di pejabat. Pada Salimah, seminggu itu, bagaikan dua hari. Sewaktu Kasih Alia pergi ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran di pusat matrikulasi, dia sudah menyiapkan dirinya dari segi mental. Sejak Kasih Alia mendapat keputusan yang cemerlang di dalam SPM, dia tahu bahawa anak gadisnya itu akan meninggalkan kampung dan menyambung pengajian. Dia sudah bersedia ketika Kasih Alia pergi. Tetapi...dengan Adik? Seperti ada sesuatu yang tidak kena.

            “ Saya tahu kalau dia kerja di sini, dia tak ke mana, tapi, macam cepat sangat pulak dia tinggalkan kita,” perlahan suara Salimah ketika menyatakan perasaannya kepada Abdul Ghani.
            “ Hish awak ni, Mah. Awak ni cakap, macamlah si Adik tu tak akan balik-balik lagi. Nanti, dia dah dapat gaji, muncullah dia depan mata awak.” Suara Abdul Ghani kedengaran kasar namun sebenarnya dia sedang memujuk hati Salimah.
           
            Abdul Ghani tahu, Adik itu buah hati pengarang jantung isterinya. Walaupun Kasih Alia itu seorang sahaja anak perempuan mereka, namun kasih Salimah memang terpaut benar kepada Adik. Mungkin kerana wajah Adik itu mirip wajah isterinya. Nora jiran sebelah rumah mereka pula selalu berkata yang Adik punya ‘ muka kasihan’. Hati mudah terpaut apabila memandang wajah Adik. Abdul Ghani juga mengakui yang Adik itu memang pandai menambat hatinya dan hati Salimah. Sejak bekerja di pasaraya di bandar, banyak kemeja ‘T’ dan seluar berjenama yang Adik belikan untuknya.

            “ Buat apa kau belikan untuk ayah ni, Dik? Ayah bukan kerja lagi. Dah pencen dah pun. Takkan nak pakai baju dengan seluar mahal pergi kebun?” Usiknya kepada Adik ketika anaknya itu menghadiahkan dua pasang seluar dan baju jenama Durban dan Johnmaster  pada ulangtahun kelahirannya.

            “ Alah ayah ni. Ini hadiah kecik aje untuk ayah. Lagipun, kalau Abang Din nak bawa kita pergi bercuti ke mana-mana, ayah sudah ada baju dan seluar. Takkan hendak pakai baju kebun yang penuh dengan getah pisang tu buat masuk hotel, yah? Buat malu aje...,” Anaknya itu menjawab sambil berlawak.

            Iya.
            Abdul Ghani tahu, hatinya juga terpaut pada Adik walau anaknya itu punya ciri-ciri lelaki lembut seperti pelakon Jaafar Onn. Kadang-kadang ada juga dia terdengar jemaah di surau mengata-ngata si Adik. Panas juga hati Abdul Ghani. Namun, dia hanya mampu berdoa agar Adik berubah. Asalkan anaknya itu masih menjaga solat, dia bersyukur. Asalkan anaknya itu tidak menyimpan rambut panjang, bertindik atau memakai pakaian menyerupai perempuan, dia sudah cukup senang hati. Mudah-mudahan, hanya perwatakannya sahaja yang lembut, namun naluri dan hatinya masih lagi seorang lelaki sejati.

             “ Saya tahu dia akan balik. Tapi, dia pergi tu, macam hendak lari dari sesuatu,” ujar Salimah sambil mengunyah nasinya perlahan-lahan. Salimah akhirnya menyuarakan isi hatinya. Entah kenapa, seperti ada sesuatu yang tidak kena.
            “ Apa pulak dia nak lari, Mah. Dia dapat kerja kat KL, memanglah dia kena pergi ke sana. Hendak lari dari apa pulak? Dia bukan suka bergaduh dengan orang sampai nak melarikan diri ke KL tu, ” pujuk Abdul Ghani, lembut.
            “ Bila dia minta kerja di KL tu, bang? Mana dia ada pergi ke KL pergi temuduga? Adik tu, apa semua dia mesti beritahu saya...tak pun, dia mesti beritahu Nora. Ini Nora pun terperanjat dia tak aleh-aleh dapat kerja di KL,” Salimah menyuarakan pula syak wasangkanya
            “ Awak mana tahu, Mah. Sekarang ni, budak-budak sudah guna internet. Tak perlu datang temuduga. Semuanya tekan kat komputer tu haa,” Abdul Ghani menegaskan. Dia tidak mahu isterinya itu risau. Sejak kes Khalid kahwin mengejut, Salimah selalu mengadu sakit-sakit dada. Abdul Ghani akur, isterinya sudah berusia. Mereka berdua akan menghampiri umur enam puluh tahun tidak beberapa lama lagi. Emosi dan perasaan mereka sering terganggu jika anak-anak buat hal.

            Wajah Fidah tersembul di muka pintu dapur sambil mendukung bayinya yang masih di dalam hari. Belum cukup empat puluh hari umur anaknya itu. Abdul Ghani dan Salimah menoleh ke arah menantu sulung mereka.

            “ Kenapa dia menangis, Fidah?” tanya Salimah mengambil berat. Dia merasa belas melihat menantunya itu.

Salimah tahu, Fidah merasa canggung tinggal di rumahnya. Sebagai seorang wanita, dia tahu bagaimana perasaan seorang menantu yang perlu tinggal di rumah mentua. Sebagai seorang isteri yang masih berada di dalam pantang, dia tahu yang Fidah mungkin lebih selesa jika dapat berpantang di rumah ibunya sendiri. Tetapi, apa boleh buat - Khalid sudah mengarahkan yang Fidah perlu tinggal di rumah mereka. Yang Salimah geram, anak dan isteri ditinggalkan di rumah ayah dan emak, Khalidnya hilang entah ke mana.

Salimah amat berharap yang Khalid akan berubah setelah berumahtangga. Salimah sentiasa berdoa agar Khalid berubah apabila sudah bergelar ayah. Nampaknya, ALLAH belum memakbulkan doanya. Sebagai ibu mentua, dia menerima Fidah seadanya. Menantunya itu pun, baik budi bahasa. Orang kampung sepertinya juga. Tidak banyak bicara. Seorang perempuan kampung yang patuh kepada emak ayah dan suami. Entah apalah yang Khalid lakukan pada Fidah, Salimah tidak mahu fikir. Jika difikir hingga ke akar umbi, rasa malunya macam mahu gali lubang dan terjun ke dalam lubang itu!                                      

            “ Dia berak, mak,” jawab Fidah pendek.
            Abdul Ghani ketawa. Salimah tersenyum. Melihat cucu sulungnya, hatinya sejuk. Terbayang di matanya wajah Khalid, wajah Kamaruddin dan wajah Adik sewaktu mereka masih bayi. Cucu sulungnya itu memang ada iras-iras wajah anak-anak lelakinya.

            “ Kau makan gulai mak tadi tak Fidah? Takut perut budak tu kembung,” Salimah risau. Dia tadi tidak sampai hati hendak menegah Fidah dari memakan gulai asam pedas yang dimasaknya. Takut-takut jika menantunya itu kecil hati.
            “ Kau makan gulai ni, Fidah?” tanya Abdul Ghani pula sambil keningnya berkerut.
            “ Haah, ayah. Sedap gulai yang mak masak tu,” jawab Fidah jujur sambil tersenyum.
            “ Ehh...orang dalam pantang mana boleh makan gulai-gulai ni. Awak pun Mah, ada ke diberi budak ni makan gulai asam pedas. Buatnya bentan nanti, susah pulak,” bebel Abdul Ghani. Berkerut dahinya memandang Salimah.

            Abdul Ghani memang jenis yang menjaga pantang macam dia yang meneran anak. Tetapi bagi Salimah pula, asalkan makanan itu baru dimasak, ikan, ayam atau dagingnya segar, dia tidak alah walaupun di dalam masa berpantang. Pada Salimah, seorang wanita yang baru bersalin perlu memakan makanan yang berkhasiat. Makanan berkhasiat akan menghasilkan susu badan yang banyak dan baik.

            “ Saya tak sampai hati nak melarang bila tengok orang tengah sedap makan, bang,” jawab Salimah serba salah.
            “ Eh...tak apalah mak, ayah. Budak ni memang tak berak dah dua hari sebenarnya. Bagus juga dia membuang hari ni,” Fidah cuba menyelamatkan ibu mentuanya. Dia tidak mahu ayah mentuanya memarahi ibu suaminya yang memang amat baik hati.
            Pampers budak tu, ada lagi Fidah?” tanya Abdul Ghani sambil mencuci tangannya di sinki. Dia kemudian duduk kembali di hadapan Salimah yang masih belum menghabiskan nasi di pinggan. Diambilnya segelas air sirap ros yang sudah siap dituang.

            “ Ada sikit lagi, yah?” Jawab Fidah sambil berhati-hati membasuh najis anak kecilnya.
           
            Setelah menantunya siap membersihkan punggung si kecil, Fidah berlalu ke bahagian atas rumah mereka. Abdul Ghani memandang isterinya yang akhirnya menyuap sisa nasinya yang terakhir.
            “ Mah...sudah seminggu Khalid tidak balik rumah, kan?” suara Abdul Ghani seakan berbisik ketika bertanyakan hal anak sulungnya.
            Angguk.
            “ Manalah dia pergi? Kat mana tidurnya? Bertuah betul si Khalid ni tau,” keluh Abdul Ghani. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali.

            “ Si Fidah pun tak tahu, bang. Geram saya. Dah ada anak, masih hendak berlagak bujang. Tinggalkan bontang aje anak dengan bini kat sini. Duit tak diberi. Nasib baiklah si kecik tu menyusu badan. Kalau minum susu tin, siapa yang hendak beli? Kita juga, kan?” Salimah menyuarakan apa yang terbuku di dalam hatinya. Jika ada Adik, anak itulah tempat dia mengadu. Salimah pula bangun menghantar pinggan nasinya ke sinki setelah menghabiskan sisa nasinya dengan suapan terakhir. Pinggan dibasuh  sebentar dan dia kembali duduk di hadapan suaminya.

Salimah memang jarang hendak mengadu dengan suaminya perihal si Khalid kerana takut kalau-kalau Abdul Ghani mengaruk. Lagipun, si Khalid itu bukan rebung lagi. Sudah menjadi buluh. Amat susah hendak melenturnya. Bila sudah dewasa dan bekerja, pantang ditegur, si Khalid akan menjawab dan ini menambah rasa kecewa pada Salimah dan Abdul Ghani. Lagi pula, Salimah tidak mahu membuat Abdul Ghani susah hati. Suaminya itu perlu memikirkan kebajikan ayah dan ibunya yang sudah terlalu tua dan uzur.

“ Tak apalah, petang nanti saya pergi belikan pampers si kecik tu. Awak tanya dengan Fidah apa jenamanya. Saya bukan tahu hendak pilih yang mana satu nanti,” ujar Abdul Ghani. Sudah menjadi tanggungjawabnya menjaga kebajikan anak menantu dan cucunya.
“ Awak ada duitnya, bang?”
            Angguk.
            “ Adik ada tinggalkan duit untuk si kecik tu pagi tadi,” beritahu Salimah.
            Abdul Ghani tersenyum. Salimah juga senyum kelat.

            Inilah.
            Inilah yang buat hati mereka terpaut dengan Adik. Dia tahu pencen Abdul Ghani tidak seberapa. Hendak buat tanggung Kasih Alia lagi, hendak buat bayar bil-bil di rumah, buat beli makan setiap hari, jika diikutkan tidak cukup. Syukurlah Kamaruddin dan Adik membantu setiap bulan. Kini, tanggungan Abdul Ghani bertambah lagi dengan anak menantu dan cucu.

            “ Tak apalah, Mah. Awak simpan saja duit tu dulu. Sebelum dia bertolak tadi, dia beri juga saya lima puluh ringgit.”

            Serta-merta air mata Salimah bergenang. Dia amat merindui anaknya yang seorang itu walau baru beberapa jam Adik meninggalkan kampung.
            Abdul Ghani memandang Salimah-sayu.
            “ Dahlah, Mah. Kita doakan dia selamat dan berjaya. Sudah sampai agaknya dia di KL.” Abdul Ghani membuat andaian sambil memandang jam di dinding dapur.
            “ Saya tengah tunggu dia telefon, bang. Katanya hendak telefon kalau dia sudah sampai.”
            “ Dia tengah sibuk agaknya mencari rumah kawannya kat KL tu,” Abdul Ghani cuba menyedapkan hati Salimah. Sebenarnya, dia juga cuba menyedapkan hatinya sendiri. Walau Adik itu sudah besar panjang, sudah cukup dewasa namun hati ayah dan ibu sebenarnya sama sahaja bagi anak yang masih kecil atau sudah dewasa. Perasaan bimbang dan risau sentiasa ada di dalam diri ayah dan ibu jika anaknya berjalan jauh.

            “ Assalamualaikum...” suara Nora memberi salam membuatkan Salimah dan Abdul Ghani menoleh ke arah pintu belakang mereka yang sentiasa terbuka.
            “ Waalaikumus salam. Nora...masuklah,” pelawa Salimah.
            Nora tersenyum. Melepaskan selipar jepunnya dan memasuki ruang dapur rumah Salimah.
            “ Kau dah makan Nora?” tanya Abdul Ghani sambil bersedia untuk menaiki ke ruang atas rumah mereka. Dia perlu tidur seketika setelah kembali dari solat Jumaat. Perut pula sudah kenyang, kelopak mata sudah semakin layu. Abdul Ghani akui, tenaganya sudah tidak seperti dahulu. Semasa di dalam umur tiga dan empat puluhan, selepas pulang dari solat jumaat, selesai makan tengahari, dia sudah boleh segera ke kebun. Tetapi kini, tubuhnya sudah tidak seperti dahulu. Kerja sedikit, sudah penat. Kerja di kebun barang dua jam, dia sudah tersandar di perdu pohon pisang.

            “ Dah bang Ghani,” jawab Nora sambil tersengih. Dia segera ke kerusi di meja makan tempat Abdul Ghani duduk dan melabuhkan punggungnya.
            “ Kak Uda masak apa tadi?”
            “ Gulai dengan sayur lemak kacang panjang,” jawab Salimah sambil mengambil sebiji gelas kosong dan menuang air sirap untuk Nora.
            “ Fidah mana?Tidur?”
            “ Menyusu agaknya. Anaknya baru lepas buang air besar tadi.”
            Nora mengangguk-angguk. “ Adik dah telefon kak Uda?”
            Geleng. Wajah Salimah berubah.

            Nora seraya memegang tangan Salimah yang memang terletak di atas meja dengan tangan kanannya. Dia memegang erat tangan jirannya itu. Dia tahu, Salimah merasa sebal. Dia juga merasa begitu. Seolah-olah Adik mahu melarikan diri. Tetapi dia tidak tahu adik angkatnya itu hendak melarikan diri dari apa. Kali ini, Adik seperti menyembunyikan sesuatu darinya. Dia tidak seperti selalunya – berkongsi segala cerita dengan Nora. Tetapi, Nora tidak boleh meneka apakah yang Adik cuba sembunyikan. Mengapa dia seperti tergesa-gesa meninggalkan kampung. Bila waktu yang dia ke Kuala Lumpur untuk memohon kerja pun tidak diberitahu kepada Nora.

            “ Macam mengejut aje dia pergi ke KL tu, kan Kak Uda?”
            Angguk. Perlahan. Sayu mata Salimah memandang Nora yang sudah seperti adiknya sendiri.

            “ Akak pun rasa begitu. Tetapi...entahlah Nora...,” satu keluhan halus dilepaskan. Nora menepuk-nepuk perlahan tangan Salimah sebelum melepaskannya.

            “ Khalid pun, dah berapa hari saya tidak nampak batang hidungnya, Kak Uda. Dia tidak balikkah?” Tanya Nora prihatin. Keluarga Salimah itu sudah seperti keluarganya juga. Anak-anak Salimah sudah seperti anaknya. Lebih-lebih lagi Adik dan Kasih Alia.

            Geleng. “ Akak tak tahu mana dia pergi. Memang sudah nak dekat seminggu tak nampak batang hidung. Apa nak jadi dengan Khalid ni, aku tak tahulah, Nora. Orang kalau ada anak kecik, balik kerja saja sudah terus mahu balik. Main-main dengan anak. Dekat tempat kerja, mesti terbayang muka anak. Ini tidak. Balik pun tidak. Jenguk pun tidak. Dia ingat dia masih bujang agaknya.” Adu Salimah panjang lebar kepada Nora.
            Nora sekadar memandang simpati kepada Salimah. Apa yang boleh dilakukannya selain menjadi pendengar yang setia.
            “ Fidah tak cuba telefon handphone dia, kak?”
            “ Tak berjawab. Luar kawasan, kata Fidah.”
            “ Kemana pula dia eh, kak?”
            “ Entahlah, Nora...,” Salimah mengeluh lagi. “ Akak kasihankan Fidah dengan si kecik tu. Kita ni, kata orang...dah tahu dengan fiil si Khalid tu. Tapi, dah berbini, dah kahwin, buatlah cara orang kahwin. Kau pergi mana tak balik-balik?” Berkerut kening Salimah memikirkan perihal anak sulungnya.
            “ Dia balik rumah sewa dia tak, kak?”
            “ Mana ada lagi rumah sewa. Dia dah serah kunci sebulan lepas dia nikah.”
            “ Duduk dengan kawan-kawan bujang dia agaknya?” Nora membuat pelbagai andaian.
            “ Mungkin juga. Ehhh...entahlah, Nora! Geram akak. Tetapi, kau dah kahwin! Balik tengok anak bini kau ni haaa, kat sini! Kalau Fidah mengadu dengan mak ayah dan abangnya, macam mana?!” Suara Salimah meninggi.

            “ Sabar Kak Uda...sabar. Jangan marah-marah kak. Nanti akak sakit dada lagi. Adik tak ada kat sini. Nanti, susah pula Abang Ghani,” pujuk Salimah memegang-megang bahu Salimah sambil mengurut-ngurutnya perlahan.

            Salimah menarik nafas panjang lalu beristigfar.“ Aku kasihan si Fidah. Dia diam saja. Takut dia memendam perasaan banyak sangat...meroyan pulak...bukan ke susah?”
            “ Jangan fikir macam itu, Kak Uda. Kita beri sokongan pada Fidah. Nora pun kasihan tengok dia. Baru kahwin, dah ditinggalkan macam ini...,” Nora menggeleng kesal.

            “ Perangai siapalah yang si Khalid ikut, Nora. Ayah dengan atoknya, tak ada perangai macam ini...,” keluh Salimah.
            “ Kak, kata orang...dalam setandan pisang, bukan semuanya baik, kak. Ini ujian ALLAH pada akak dan Bang Ghani,” lembut suara Nora memujuk. Walau dia tidak mempunyai anak, namun dia amat faham dengan perasaan Salimah. Naluri seorang wanita.
            Salimah mengangguk-angguk. Dia beristigfar lagi.

            “ Ini Adik tak ada, apa-apa hal, Kak Uda beritahu Nora tau. Kalau Nora tak boleh tolong pun, Nora tolong dengar dan Nora tolong doakan, eh kak...Kak Uda jangan simpan seorang, nanti akak sakit...,” pujuk Nora lagi sambil menepuk-nepuk lembut bahu Salimah.
            “ Nora...kau ni...,” Salimah seakan-akan kehilangan kata-kata. “ALLAH sajalah balas budi kau, Nora. Kalau kau tak ada, akak tak ada tempat nak mengadu,” sambung Salimah sambil tepat memandang wajah Nora yang masih lagi cantik walau sudah dimamah usia.
            “ Kak Uda...akak lagi rapat dengan saya dari adik-beradik saya, kak. Akak yang paling dekat dengan saya. Akak yang hari-hari jumpa saya. Kita dah macam keluarga, kak. Yang Nora mampu, jadi tukang dengar dan tolong akak apa yang boleh.”
            “ Kau memanglah sahabat dunia akhirat, Nora,” Salimah mengambil tangan kanan Nora lalu digenggamnya erat. Dipandangnya sahabat dan jirannya itu dengan penuh kasih.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan