Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 14 Jun 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 21- ROHANI DERAMAN



S
udah lama Kamaruzaman tidak bersarapan di warung. Pagi itu, Amin membawanya ke Warung Muna di tepi jalan masuk ke kampung itu. Ketika mereka sampai, keadaan di warung itu sudah mula lengang. Hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih menikmati sarapan sambil berbual-bual.
“Nasib kita baik, bang. Sebab ada meja kosong. Kalau kita datang awal sikit, memang penuh.”
“Laris juga ya.”
“Dah tak ada warung lain di kampung ini. Lagipun, masakan Kak Muna ni sedap dan harganya pun berpatutan. Abang nak makan apa?” tanya Amin selepas duduk dengan selesa.
“Apa-apa sajalah yang kau pesan, Min. Saya tak kisah sangat.” 
“Kalau macam tu, kita makan lontong Kak Muna. Rasanya, ummm... Kalah masakan di hotel lima bintang!” puji Amin dengan ketawa kecil. Dia segera memanggil seorang wanita yang dipanggil Kak Muna dan memesan dua pinggan lontong dan dua cawan kopi O.
Sementara menunggu pesanan sampai, Amin membuka tudung saji yang menutup pinggan kuih di hadapan mereka. Dia mengambil sebiji karipap dan mengunyahnya perlahan.
Kamaruzaman pula terpandang kuih rendang kasturi. Kuih kesukaannya! Tiba-tiba seleranya pecah. Dia mengambil  sekeping kuih itu dan segera mengunyah.
“Sedapnya kuih ni. Tak sama dengan yang pernah saya makan di tempat lain. Ini Muna buat sendiri ke?” tanya Kamaruzaman ketika Muna meletakkan pesanan di hadapan mereka.
“Taklah. Kuih dan nasi lemak ni, Siti anak Pak Tahir tu yang buat,” jawab Muna.
“Eh, bukankah Siti menoreh dengan Mak Jah, Kak Muna?” Amin pula bertanya dengan mulut yang penuh.
“Dia buat kuih sebelah malam. Pagi pergi menoreh. Dapatlah lebih sikit. Kalau tak, macam mana dia nak sekolahkan dua orang adiknya tu!”
“Dia dah tak belajar lagi ke?” Tiba-tiba Kamaruzaman bertanya. Dari pertemuan di kebun beberapa lepas dia ingin bertanya. Baru hari ini dia berpeluang.
Dia rasa ada sesuatu yang menarik mengenai anak gadis Pak Tahir itu. Semangat dan kerajinannya sukar didapati pada gadis seusianya di zaman ini.
“Dia dah berhenti belajar, bang. Siti Solehah tu bukan tak pandai. Dia dapat tawaran masuk universiti tahun lepas. Tapi, mengenangkan Pak Tahir sakit dan Mak Jah pun tak sekuat mana dia tolak tawaran itu. Dia nak beri peluang kepada dua adik-adiknya. Kesian Siti...” keluh Muna.
Tidak lama dia berlalu meninggalkan meja Amin dan Kamaruzaman makan dengan selesa.
Fikiran Kamaruzaman sedikit terganggu. Kunyahan kuih rendang kasturi yang sedap itu tiba-tiba menjadi perlahan. Dia terkenangkan Kartina. Dulu, hanya kuih rendang kasturi Kartina yang paling sedap dan tidak ada tolok bandingnya. Rasa lemak, manis dan masin bersatu dalam sekeping rendang kasturi.
Kemudian dia terkenangkan anak gadis Pak Tahir. Sayangnya gadis sepintar itu tidak dapat meneruskan pengajiannya. Apa akan jadi dengan masa depan gadis itu? Apakah selama-lamanya akan hidup bergantung kepada hasil torehan getah dan hasil jualan nasi lemak dan kuih sahaja?
“Kesian dia,” bisik Kamaruzaman, perlahan dan berdesir di celah bibir.
“Siapa bang?” Amin mengangkat muka. Dia merenung wajah Kamaruzaman yang sedikit berkerut.
“Anak gadis Pak Tahir tu. Sepatutnya dia masih belajar,” jawab Kamaruzaman.
“Sepatutnya begitu. Tapi dah tak mampu, nak buat macam mana.” Amin terus mengunyah.
Kamaruzaman mengunyah makanan dalam mulutnya dengan perlahan. Dia juga ikut mengunyah kepayahan  hidup Pak Tahir sekeluarga.
**
 
            Siti Solehah pula semakin hari semakin selesa dan gembira dengan rutin kehidupannya. Pagi selepas menghantar nasi lemak dan kuih ke warung Muna, dia akan terus ke kebun untuk menoreh. Kemudian sebelah petang, kalau ada masa lapang dia akan membersihkan daun-daun kelapa untuk dibuat lidi.
            Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada kehidupan barunya. Dia ingin melupakan seluruh impian dan harapan masa lalunya. Dia juga hampir terlupa akan zaman gadisnya!
            Biarlah cita-citanya itu diteruskan oleh adik-adiknya. Dia reda menerima takdir ALLAH itu.
            “Bila tarikh peperiksaan akan bermula, Inah?” tanya Siti Solehah kepada Siti Mukminah yang sedang leka menyiang ikan bilis untuk dibuat sambal. Itu rutinnya sebelah petang untuk meringankan kerja kakaknya. 
            “Lagi dua minggu kak.”
            “Masa-masa terakhir ini, tak usahlah terlalu banyak study. Buat latih tubi saja cukuplah. Jaga kesihatan dan tenangkan fikiran,” kata Siti Solehah yang sedang mengacau sambal yang sedang mendidih. Bau aromanya semerbak harum.
            “Kak, Inah rasa lebih baik Inah tak lulus,” kata Siti Mukminah.
            “Ish! Kenapa cakap macam tu. Orang semua minta lulus, kau minta gagal pulak. Ini namanya gagal sebelum berjuang. Di mana darah Tun Fatimah yang perkasa?”

            “Yalah, kalau lulus pun apa gunanya. Tengok kakak, lulus dengan cemerlang tapi tidak dapat nak sambung pelajaran. Kita orang miskin kak, tak mampu nak belajar tinggi-tinggi. Inah rasa kalau Inah cari kerja lagi bagus. Biar Inah tolong akak,” jawab Siti Mukminah. Dia jujur dengan kata-katanya. Sungguh belas dia melihat kakaknya yang masih muda terpaksa menanggung tugas ketua keluarga.
            Siti Solehah merenung adiknya dengan mata yang redup.
            Janganlah begitu Inah. Masa depan keluarga kita hanya bergantung pada kau dan Hafiz. Kalau awal-awal lagi kau dah mengalah, Hafiz apa lagi? Kakak berhenti belajar dan buat semua ni untuk kamu berdua. Jangan hampakan kakak pula.”
            “Inah rasa bersalah dengan akak...”
            “Akak tak apa-apa. Jangan simpan rasa bersalah tu. Akak buat semua ni demi kau dan Hafiz,” kata Siti Solehah mengulangi hasratnya dengan kerdipan mata kasih.
            Siti Mukminah terharu. Sungguh besar pengorbanan kakaknya itu.
            “Kalau Inah rasa terhutang budi dengan pengorbanan kakak ini, Inah kena janji untuk belajar hingga berjaya. Tunaikan cita-cita Inah.”
            “Inah janji kak,” kata Siti Mukminah dengan suara yang hampir tidak kedengaran.
            “Periksa dah dekat. Jangan bebankan fikiran dengan perkara-perkara yang bukan-bukan begitu. Tumpukan perhatian pada pelajaran. Yang lain biar akak yang fikirkan.”
            “Kak…”
 
            “Sudah, jangan cakap apa-apa lagi. Adik akak ni mesti dapat keputusan cemerlang. Orang yang cemerlang ialah orang yang tak fikirkan kekalahan. Dia sentiasa berfikiran optimis dan berani. Okey?” potong Siti Solehah dengan cepat.
                 Siti Mukminah angguk, perlahan dan terpaksa.
                 Siti Solehah senang hati dengan anggukan janji adiknya. Kalau adik-adiknya berjaya, maknanya itu kejayaannya juga. Tiba-tiba terimbau semuanya.
                 Setahun yang lalu, tiba-tiba penyakit semput Pak Tahir semakin sering menyerang. Dia  tidak mampu untuk bangun. Hanya terbaring lemah. Sekali-sekala dia terbatuk-batuk.
                 “Bagaimana dengan permohonan kau nak ke universiti tu Siti, dah terima keputusannya?”
                 “Dah ayah. Siti dapat. Tapi, Siti rasa Siti tak akan pergi.”
                 “Tapi kenapa Siti? Bukankah selama ini kamu belajar bersungguh-sungguh untuk dapat masuk universiti. Sekarang dah dapat, kamu tak nak pergi pula?” tanya Mak Jah yang duduk di hujung kaki Pak Tahir.
                 “Kita tak mampu mak. Banyak duit yang kita perlukan. Mana untuk bayar yuran pendaftaran, beli buku-buku, duit belanja dan semua kelengkapan. Mana kita nak cari duit untuk semua itu. Sedangkan sekarang hidup kita dah susah macam ni, kalau Siti pergi hidup kita lagi susah. Dalam keadaan ayah yang sakit macam ni, Siti tak nak tambah beban mak.”
            “Mak boleh usahakan pasal duit tu. Kamu mesti pergi Siti,” kata Mak Jah sambil tangannya memicit-micit kaki Pak Tahir.
           

            “Dengan apa mak nak usaha. Kita tak ada tanah nak digadai. Kita tak ada barang kemas nak dijual. Kita tak ada saudara mara yang kaya yang boleh memberi pinjam. Mak hanya menoreh getah pajak yang tak seberapa hasilnya. Itu hanya cukup untuk makan minum kita dan belanja sekolah Inah dan Hafiz. Kita memang tak mampu mak,” kata Siti Solehah.
            Tiba-tiba Pak Tahir teresak kecil. “Maafkan ayah Siti. Ayahlah yang bersalah kerana tak mampu nak berikan yang sempurna untuk kau. Tuhan dah berikan ayah penyakit ni. Kalau tidak nasib kau tak akan jadi macam ni, Siti.”  “Jangan cakap macam tu ayah. Bukan niat Siti nak kecilkan hati ayah. Siti tak anggap ayah macam tu. Dah lama ayah berkorban untuk kami. Lagipun, ini semua takdir ALLAH. Kita tak mampu menolaknya. Siapa yang mahu hidup susah? Siapa yang mahu sakit? Tak ada yang mahu. Tapi bila dah diberikan, kita mesti terima dengan reda. Mungkin hari ini ALLAH menduga kita dengan kepayahan, untuk membalasnya dengan kesenangan di masa depan,” tingkah Siti Solehah dengan cepat. Dia menarik tangan ayahnya dan mengucupnya berkali-kali.
            “Habis sekarang kamu nak buat apa kalau tidak bersekolah?” tanya Mak Jah, kurang senang.
            “Siti nak menoreh dengan mak.”
            “Apa? Nak menoreh? Jangan Siti. Ia tak sesuai untuk kamu. Biarlah mak saja yang buat semua ini.” Dengan cepat Mak Jah melarang.
            Siti Solehah tersenyum. 
            “Mak, saya kena menoreh. Inah dan Hafiz perlukan duit untuk terus belajar dan mencapai cita-cita mereka. Ayah mesti dihantar ke hospital untuk rawatan. Saya akan berusaha bersama mak. Kita akan pikul tugas ini bersama-sama,” kata Siti Solehah.

            Kali ini giliran Mak Jah pula teresak sendu. “Mak tak sampai hati nak tengok kau buat semua ni, Siti.”
            “Jangan macam tu mak. Sepatutnya, mak dah berehat. Mak pun bukannya sihat sangat. Biarlah Siti tolong mak.”
            Mereka berpelukan. Mereka saling ingin berkorban.

                                               
Cuaca hari itu sangat panas. Siti Solehah berehat di pangkal pokok getah dengan keletihan.  Ketika itu Mak Jah sedang memungut susu getah tidak jauh dari situ.
“Assalamualaikum Siti!” sapa Amin.
“Waalaikummusalam... Abang Amin dari mana ni? Tak dengar bunyi motor pun!” Siti Solehah menoleh dan mencari motor Amin.
“Abang letak motor kat dusun buah-buahan seberang sana tu. Abang jalan kaki ke sini. Nah Siti! Abang bawakan buah-buahan ni untuk Siti. Makanlah.” Amin menghulur beg plastik yang berisi rambutan dan manggis.
“Abang ni buat macam  kebun sendiri saja. Nanti marah pula  bos abang tu!” Siti Solehah menerima huluran itu dengan senyum.
“Dia tu baik Siti. Dia selalu suruh abang berikan kepada sesiapa yang nak makan. Kadang-kadang dia suruh abang hantarkan ke masjid. Yang selebihnya baru dijual. Kalau setakat nak makan macam ni, tak jadi kudis pada dia. Jangan sampai nak berniaga sudahlah!” balas Amin dengan ketawa mengekek.
Siti Solehah ikut ketawa. Tangannya segera mengupas sebiji rambutan dan memakannya. Manis isi rambutan itu melegakan tekaknya yang memang kehausan.
Amin hanya melihat dengan penuh rasa simpati dan belas. Siti Solehah bukan sahaja pandai dan rajin. Malah dia juga cantik dan manis.
            “Siti, kenapa Siti tak sambung belajar. Bukankah Siti dapat keputusan cemerlang?” Amin sengaja menduga walhal dia sudah tahu sebabnya.
            “Kami tak mampu bang. Ayah sakit dan adik-adik perlukan belanja.”
            “Kan ada PTPTN atau bantuan biasiswa?” Amin menduga lagi.
            Siti Solehah termenung. Mulutnya masih mencicip isi rambutan yang manis itu. Lama. Dia seperti sedang melayan fikirannya yang kosong.   
            Amin pula, seperti dapat membaca apa yang ada dalam fikiran Siti Solehah ketika itu.
            “Entahlah Siti. Abang amat simpati pada Siti. Kalau abang kaya, abang akan bantu Siti dan keluarga. Tapi apa nak buat, abang dan Kak Ru ni juga orang yang tak berharta,” kata Amin penuh simpati.
            “Terima kasihlah atas simpati abang tu. Pertolongan abang kat kami selama ini pun dah cukup banyak. Kami ni tak ada abang dan kakak. Jadi kepada abang dan Kak Ru, tempat kami menumpang kasih,” puji Siti Solehah, tulus.
            Amin tersengih-sengih.
            “Kami pun tak ada sesiapa. Tak ada anak. Tak ada adik beradik di sini. Hanya kepada Siti dan adik-adik Siti, abang dan Kak Ru menumpang kasih,” balas Amin, juga tulus.
                 
            Ketika itu Mak Jah menghampiri mereka. Dia duduk. Peluh diseka dengan hujung tudung kepalanya.
            “Makan rambutan ni, Mak Jah.” Amin menghulurkan setangkai rambutan yang masak ranum.
            “Banyak buahnya tahun ni, Min?” Mak Jah mengambil sebiji dan mengupasnya. Dengan bismilah dia masukkan isi buah rambutan itu ke mulut.
            “Boleh tahan Mak Jah. Dalam seminggu ni masaklah semuanya. Kebetulan Abang Zaman ada di sini, dapatlah dia uruskan buah-buah rambutan dan manggis tu.”
            Mak Jah mengupas sebiji rambutan lagi.
            “Mak Jah makanlah. Biar saya tolong habiskan kerja-kerja mengangkat susu getah tu,” kata Amin sambil bangun dan mengambil baldi yang masih kosong.      
            “Tak payahlah Min. Tinggal sikit saja lagi,” kata Mak Jah, cuba menahan.
            “Tak apalah. Mak Jah rehat saja. Biar saya habiskan.” Amin terus berjalan tanpa menoleh lagi. Dia menyelusuri barisan pokok-pokok getah itu dan mengutip susu yang mula membeku dalam tempurung.
            “Abang Amin kalau datang ke sini, mesti nak tolong. Baik sungguh hati dia kan mak?” Siti Solehah masih memerhati langkah Amin.
            “Dia laki bini memang sangat baik hati. Hati orang beriman memang macam tu, suka tolong orang.” Mak Jah menyetujui.
            “Sayang mereka tak ada anak. Kalau tak, anak dia pun mesti baik dan berbudi. Kan mak?”

            “Semuanya kerja ALLAH. Tapi, Amin tu bagus. Walaupun Ru tak dapat berikan anak, dia tetap setia dengan Ru. Dia tak pernah kisah nak kahwin lain seperti kebanyakan lelaki lain,” kata Mak Jah pula.
            Siti Solehah angguk, mengiakan.
            “Macam bosnya juga,” sambung Mak Jah lagi.
            Siti Solehah menoleh. Sebiji rambutan yang sedang dicicipnya dikeluarkan.
            “Siapa mak?”
            “Abang Zaman tu. Dia tu membujang sampai sekarang. Masa isterinya meninggal, Firdaus tu masih kecil. Sekarang budak tu dah berumah tangga tapi Abang Zaman tetap tak kahwin-kahwin,” jawab Mak Jah.
            “Apa alasannya?” Siti Solehah tiba-tiba rasa tertarik untuk mendengar kisah hidup taukeh getah pawah tempat dia menoreh.
            “Katanya dia tak nak Firdaus ada mak tiri. Dia nak Firdaus membesar dengan kasih sayangnya.”
            Siti Solehah terlopong, mula mengkagumi lelaki yang bernama Kamaruzaman itu.
            “Hebat juga dia ya mak.”
            “Ada lagi yang lebih hebat,” jawab Mak Jah selamba.
            “Apa lagi?” Siti Solehah berpaling.
            “Firdaus tu bukan anak kandung dia. Itu anak tiri dia.”
            Siti Solehah semakin melopong. Dia rasa sangat kagum. Inilah pertama kali dia mendengar kisah kasih sayang seumpama ini.    
              
            “Apa yang dibincangkan orang dua beranak ni? Macam ada masalah negara saja?” tanya Amin yang menjinjit sebaldi susu getah dan diletakkan di hadapan Mak Jah. Dia mengesat peluh.
            “Kan dah berpeluh. Aku cakap tak payah tolong, kau nak juga tolong.” Mak Jah melihat peluh di muka Amin menitik-nitik.
            “Alah Mak Jah, peluh ni menyihatkan badan saya ni. Kalau hidup tak keluar peluh, macam makan tapi tak berak saja rasanya,” balas Amin, selamba.
            Siti Solehah ketawa menutup mulut.
            “Eh, betulkan? Abang tak main-main.”
            “Siti tak kata abang main-main. Tapi pepatah abang tu kelakar. Rasa macam dalam kamus Dewan Bahasa pun belum ada lagi!” kata Siti Solehah, masih ketawa.
            Amin ikut ketawa. Ketika itu Mak Jah bangun untuk membekukan susu getah itu.
            “Abang Amin, Siti tanya sikit boleh?” tanya Siti Solehah.
            “Tanyalah. Asal jangan tanya soalan politik dan ekonomi negara sudahlah. Abang ni tak sekolah tinggi,” jawab Amin, menyeringai. Tangan yang masih basah dengan susu getah dibersihkan dengan air dari tempayan yang ada di situ.
            “Bos abang tu memang betul tak kahwin sejak isteri dia meninggal?”
            Mata Amin beralih arah. Dia merenung wajah Siti Solehah dengan hairan.
            “Kenapa Siti tanya? Siti minat nak kahwin dengan dia ke?”
“Eh, Abang Amin ni. Ke situ pula dia,” tingkah Siti Solehah dengan cepat.
     
“Habis, kenapa Siti tanya?”
“Tadi mak ada cerita pasal dia. Siti cuma nak tahu betul ke tidak.”
            Amin tersengih lama. Matanya masih merenung wajah Siti Solehah yang merah padam.
            “Betul Siti. Lepas kematian isterinya, dia langsung tak pernah buka pintu hatinya untuk wanita lain. Dia besarkan Firdaus seorang diri.” Amin berkata dengan bangga.
            Siti Solehah tunduk diam. Dia tenggelam dalam rasa kagum yang melimpah.
            “Siti ingat dalam novel dan drama saja ada kisah macam ni. Rupanya dalam hidup kita sehari-hari pun ada,” kata Siti Solehah perlahan.
            “Siti, penulis novel dan skrip drama tu buat cerita berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat. Kalau ia tak berlaku dalam masyarakat kita, mungkin kepada masyarakat di negara lain.”
            Suasana sepi seketika. Siti Solehah masih ditenggelami rasa kagumnya. Amin pula melayan rasa bangganya terhadap Kamaruzaman.
            “Dia tu sangat baik, Siti. Beruntung kalau sesiapa yang jadi isterinya.”
            “Mungkin ada ramai yang nakkan dia. Yalah, dia bukan saja baik tetapi dia juga kaya. Bak kata orang cukup pakej untuk kaum wanita tergila-gilakan dia,” balas Siti Solehah.
            “Kalau dia nak. Masalahnya, dia yang tak nak. ALLAH belum buka pintu jodoh untuk dia. Mana tahu satu hari dia bertemu seorang puteri raja. Mungkin cicit Puteri Hang Li Po?”
            Siti Solehah ketawa mengekek. Kata-kata Amin itu amat mencuit hatinya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan