MALAM
kelam, sudah tentulah gelap-gelita. Tiada yang kelihatan hanya bebayang kabur
pada pandangan mata. Suara unggas malam saling bersahutan, bagaikan menyanyikan
lagu gembira dengan kedatangan malam. Itulah saat dan ketikanya ia akan bebas
sebebasnya. Aleeya berdiri di anjung
bilik, memerhati kegelapan malam yang diterangi lampu neon bagi menerangi
simpang dan jalan untuk manusia melaluinya. Dia mengeluh.
Jam
sudah menganjak ke pukul 10.00 malam, bayang suaminya masih tidak kelihatan. Takkan
tolong tutup booth mereka yang
menjual bunga di pameran bunga di Putrajaya itu? Dia mengeluh sekali lagi.
Kesal menghadirkan diri. Sekurang-kurangnya telefonlah. Ini tidak, sejak
bertemu tengah hari tadi, satu panggilan pun tidak diterima daripada suaminya.
Isteri manalah yang tidak terasa. Dia benar-benar rasa dipinggirkan.
Aleeya menapak masuk ke dalam
biliknya semula. Cuba untuk bertenang dan melelapkan mata, tetapi sukar. Dia
memandang gambar perkahwinannya dengan Ikmal. Lelaki itu berjaya mencuri
hatinya pada pandangan pertama. Biarpun lelaki itu bukan lagi bujang, dia
menerima dengan hati yang terbuka. Mengharapkan sinar bahagia melakar mekar dalam
hidupnya sehingga ke syurga. Apakah jalan yang dilalui telah tersalah simpangnya?
Bunyi kenderaan masuk ke pekarangan
rumah membuatkan hatinya berdebar-debar. Kejadian siang tadi, adakah masih
menjadi kudis di hati suaminya? Aleeya resah melayan perasaan sendiri. Bersedia
dengan jawapan jika soalan yang bakal ditanya oleh suaminya nanti. Hampir
tengah malam baharu nampak batang hidung? Ke mana dan buat apa di luar sana? Persoalan
yang tidak mungkin akan terlahir daripada bibirnya. Biarlah suaminya sendiri
yang sudi bercerita. Dia pula akan menjadi pendengar yang setia. Mendengar tanpa
mengomen apa-apa.
“Tak tidur lagi?” sapa Ikmal sambil
membuka baju yang dipakai.
Aleeya memerhati dengan ekor mata
setiap langkah suaminya. Bersahaja dan selamba sahaja wajah itu. Tidak ada rasa
bersalah kerana meninggalkannya seorang diri hampir seharian.
“Tak mengantuk lagi,” jawab Aleeya
perlahan.
“Pergilah tidur, esok nak kerja,” suruh
Ikmal tanpa memandang wajah Aleeya yang bersila di katil.
“Yalah!” Aleeya malas hendak
berbicara dari hati ke hati. Melihat sikap dan tingkah laku suaminya membuatkan
hatinya dipanah duka. Dia merebahkan tubuhnya di katil, menghadap pintu sliding yang tertutup rapat. Memandang
sepi di kejauhan malam. Memejamkan mata, menangis dalam hati, sayu sendiri. Air
mata janganlah kau mengalir duka, biar hatiku sahaja yang menangis, lara. Sambil
berzikir di dalam hati, bagi mencari ketenangan diri dan mengharapkan matanya
agar terlelap meninggalkan segala duka nestapa.
AZAN
subuh berkumandang jelas di pendengaran. Membuatkan tidurnya terjaga. Terpisat-pisat
dia bangun dan memandang ke sisi. Mana suaminya? Hatinya disimbah bimbang. Tidak
mungkin pagi-pagi lagi sudah ke rumah Nadia? Masih awal, suaminya ke mana? Aleeya
cepat-cepat mendapatkan telefon bimbitnya. Tidak! Jangan telefon dahulu, cari
di dalam rumah sampai bertemu.
Aleeya
ke tingkat bawah, mencari di bilik tetamu, di ruang dapur dan ruang tamu. Kelibat
orang tersayang tidak juga kelihatan. Dia meninjau di luar. Kereta suaminya
tidak ada di situ. Ke mana? Ke masjid atau surau ke? Aleeya mengeluh. Dia
merebahkan tubuhnya di sofa. Mendail nombor orang tersayang. Mencari jawapan
pada soalan yang sedang bersarang di akal fikirannya yang paling dalam.
Menunggu dengan sabar, panggilannya
berjawab. Sekali, dua kali, tiga kali barulah berjawab. Kenapa lambat sangat
nak jawab? Malas sudah nak mengeluh. Simpan sahaja dalam hati perasaan yang
tidak senang itu. Hanya mainan syaitan yang sedang cuba menyucuk dan memujuk.
Bertenang, bertenang... semua ini dugaan peringkat awal perkahwinannya.
“Abang kat mana?”
“Hah?”
“Kenapa tak bagi tahu? Kenapa tak ajak sama? Abang pergi dengan siapa?”
“Kenapa tak bagi tahu? Kenapa tak ajak sama? Abang pergi dengan siapa?”
“Kenapa pula dengan dia? Kenapa
bukan dengan Leya? Anak-anak ikut juga ke?”
“Sampai hati abang!” Aleeya meletak
telefon bimbitnya. Dia memejamkan mata. Air mata berjuraian menuruni pipinya. Terasa
sebak dadanya. Terasa terbakar hati dan perasaannya.
Suaminya pulang ke kampung setelah
mendapat panggilan telefon yang emak mertuanya jatuh pengsan dan ayah mertuanya
mintak bawa cucu-cucunya pulang sama. Jika ada anak-anaknya tidak boleh ada
Aleeya. Bolehkah begitu? Itulah permintaan Nadia dan anak-anak, konon. Dia
siapa? Apakah dia tidak perlu berada bersama emak mertuanya? Aleeya mengetap
bibir. Dia memandang persekitaran rumahnya. Perabot-perabot yang ada tidak
mampu berbicara dan menemaninya. Benar-benar terasa diri keseorangan.
Menangis dan meraunglah! Tiada siapa
yang sudi memujuk hatta orang tersayang. Panggilannya pun dijawab sambil lewa
sahaja. Begitu cepat suaminya berubah. Kata mulut tidak suka, hanya dirinya
berada di hati. Tetapi sikap dan tingkah laku bercerita sebaliknya. Mampukah
dia menahan gelora yang sedang melanda rumah tangganya ini? Mampukah dia
bertahan menahan ombak yang sedang membadai tiang-tiang seri di dalam rumah
tangganya? Kekuatan apa yang dia ada selain kekuatan daripada ALLAH SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan