Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 16 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 7- SASYA ZAINAL




Ketika kebanyakan penduduk kampung mengambil kesempatan untuk tidur di waktu tengahari, Nora menggunakan waktunya untuk menyiapkan dulang-dulang hantaran yang ditempah. Dia perlu menyiapkan lima dulang hantaran untuk majlis pertunangan hujung minggu ini. Oleh kerana Nora diminta membuatkan dulang hantaran bagi pihak perempuan, tuan rumah meminta Nora memilih bunga warna kuning. Segala barang hadiah untuk majlis seperti sejadah, Al-Quran, tuala, sepasang baju melayu dan kain songket semuanya diserahkan kepada Nora untuk dibagaikan. Tangkas sahaja tangan Kak Nora menggubah hiasan pada dulang hantaran ketika Adik dan Johari melalui hadapan rumahnya. Dua orang sahabat yang mengayuh basikal itu juga terperasankan Kak Nora yang sedang duduk bersila di ambin rumahnya sambil di kelilingnya terdapat bunga-bunga plastik, daun-daun, gam, gunting dan dulang-dulang hantaran.

            “ Oiiii Kak Nora, buat apa tu?” tegur Johari sambil memperlahankan kayuhan basikalnya.
            “ Eh Adik...Ri, baru balik sekolah ke? Dah pukul berapa dah ni?” tanya Kak Nora sambil menjeling jam dinding di dalam rumahnya.
            “ Kita orang ada latihan zapin tiap-tiap hari, kak. Itu yang balik lambat ni,” jawab Adik seraya memberhentikan basikalnya di bawah pohon mempelam hadapan rumah Kak Nora. Johari juga berbuat demikian.
            “ Meh la singgap sekejap. Kak Nora tengah siapkan dulang hantaran untuk majlis tunang orang kampung Simpang Lima sana,” pelawa Nora kepada kedua-dua orang sahabat itu.
            Johari dan Adik sama-sama bersetuju untuk singgah sebentar di rumah Kak Nora. Setelah meletakkan kedua-dua basikal, kedua-dua sahabat itu menaiki tangga rumah mak andam muda itu. Angin panas yang berhembus membuatkan kedua-dua sahabat itu mengelap keringat yang mengalir di dahi. Matahari terik memancar air sungai yang tenang mengalir.

            “ Dik, kalau haus, pergi buat air di dapur. Kau macam tidak biasa kat rumah akak. Kasihan Ri, kepanasan tu,” ujar Kak Nora. Adik dan Johari tersengih. Adik segera menuju ke dapur rumah Kak Nora. Dibukanya pintu peti ais. Kelihatan air jus oren di dalam sebuah  kotak. Peti ais Kak Nora boleh dikatakan penuh dengan buah epal, oren, air jus oren atau anggur dan susu segar. Kak Nora adalah seorang yang amat menjaga kecantikan dan pemakanan. Kalau tidak, manakan mungkin orang kampung menggelar Kak Nora dengan gelaran Nora Si Janda Cantik!

            “ Kak Nora! kita ambil air jus oren ni, boleh?” laung Adik dari dapur.
            “ Haah, ambillah, Dik,” sahut Kak Nora dari depan.“Kalau Kak Nora seorang, seminggu pun belum boleh tentu habis. Tahu-tahu sudah expired,
            Adik mengambil dua biji gelas dan menuang jus oren di dalam gelas tersebut. Dia segera bergerak ke depan.
           
“ Banyakkah dulang yang kena buat, kak?” tanya Johari.
            “ Ada lima. Mak pengantin minta Kak Nora gubah sejadah, tuala dan kain songket. Barang-barang lain yang mahal macam jam, minyak wangi semuanya Kak Nora bubuh di rumah mereka. Kak Nora siapkan hiasan dulangnya aje,” jelas Kak Nora panjang lebar sambil Johari dan Adik menikmati kesejukan air jus oren segar.

            “ Berapa Kak Nora ambil upah untuk satu dulang ni, kak?” tanya Johari berminat.
           
“ Kalau pengantin sediakan semua bahan, Kak Nora ambil upah sepuluh ringgit atau lima belas ringgit saja satu dulang, Ri. Haa, tapi kalau macam ini, semua Kak Nora yang belikan...bunganya, daun-daunnya, manik-manik semua barang Kak Nora, mahal sikitlah harganya. Dalam 30 ke 40 ringgit. Sebab, dulang ni bukan boleh guna lagi. Orang lain nanti, nak gubahan yang lain pulak. ”
            “ Ohhh...untung juga eh Kak Nora,” Johari mengangguk-anggukkan kepalanya. Di dalam kepalanya terbayang keuntungan yang Kak Nora perolehi.
            “ Tapi ini semua kena ada minat, Ri. Kalau tidak minat, mana jadi. Kerja ini cerewet juga. Kita kena buat betul-betul, baru cantik, menarik untuk orang tengok. Kalau buat cincai-bocai aje, mana boleh.”
            Adik yang memerhati Kak Nora, tiba-tiba menjadi sayu.
            “ Kalau Kak Nora tidak ada lagi, nanti, siapa agaknya yang akan jadik mak andam kampung kita eh?” sayu suaranya sambil memerhati wajah Kak Nora.
            “ Eh , kau ni, Dik. Cakap yang bukan-bukan pulak!” Marah Johari sambil menjeling kepada Adik.
            “ Alah, ramai aje mak andam lain, dik. Kalau Kak Nora dah tak ada lagi, nanti, Kak Nora bagi semua ni pada Adik! Adik sambung kerja-kerja Kak Nora eh?”
            “ Ehhh, Kak Nora, kita tak sukalah cakap-cakap macam ni! Nanti kita nangis tau,” ujar Johari sambil mencebik.

            “Kita kena fikir benda-benda tu semua, Ri. Lagilah Kak Nora ni...tak ada anak. Adik-beradik yang lain, sudah berkahwin, semuanya buat hal masing-masing. Kak Nora ni sebenarnya sebatang kara tau. Yang paling rapat dengan Kak Nora di kampung ni... kau, Adik dengan Kak Uda. Kak Nora fikir, kalau Kak Nora tak ada, siapa nak duduk di rumah ni? Barang-barang pengantin dalam rumah ni pun banyak, Kak Nora hendak bagi pada siapa? Anak-anak tiri Kak Nora semua dah besar, dah kahwin, dah ada kerja sendiri. Dia orang pun tak minat kerja-kerja macam ini. Kak Nora selalu fikir, siapa yang hendak sambung kerja Kak Nora,” Kak Nora akhirnya melepaskan apa yang terbuku dalam hatinya. Panjang lebar keluhan Kak Nora petang itu.

             “Kak Nora, janganlah cakap macam itu,” Adik merasa sayu dengan kenyataan kakak angkatnya itu. Kak Nora tidak pernah cakap-cakap begini. Macam buang tabiat pula Kak Nora di waktu-waktu tengahari panas terik ini.

           
            Bagi Nora pula, sememangnya saban malam, sewaktu bersendirian di kamarnya, dia akan mengelamun memikirkan nasibnya. Adik memerhati wajah Kak Nora dalam-dalam. Dia sememangnya amat kasih dengan Kak Nora. Walau Kak Nora ini cuma jirannya, sejak Adik lahir ke dunia, Kak Nora adalah antara insan yang penting dalam hidupnya selain dari ayah, emak, Abang Din, Kasih Alia, Tok Bidin dan nenek. Ketika ayah dan emak ke rumah Atok, Adik akan tinggal dengan Kak Nora. Masa emak sakit-sakit masuk hospital ketika mengandungkan adiknya si Kasih Alia, ayah akan minta Adik tinggal di rumah Kak Nora kerana tidak mahu Adik dibuli dengan Khalid.

Ketika emak di dalam pantang bersalin selepas melahirkan Kasih Alia, Kak Noralah yang tolong emak masakkan ikan singgang, ikan bakar dan daging masak lada hitam. Masa zaman Adik dan abang-abangnya lahir, arwah nenek dan Tok Temah masih kuat lagi untuk jaga emak yang berpantang bersalin. Apabila Kasih Alia lahir, neneknya Tok Temah sudah tidak kuat lagi. Jadi, Kak Noralah yang tolong emak memasakkan dia dan adik beradiknya ketika emak di dalam pantang bersalin. Jasa dan budi Kak Nora tidak boleh dibalas dengan wang ringgit, hanya ALLAH sahaja yang boleh balas budi baik Kak Nora pada Adik sekeluarga. Sebab itu bila Kak Nora mengajak Adik meneman dia untuk pergi mengandam, Adik akan temankan. Itulah yang Adik mampu lakukan untuk balas budi baik Kak Nora yang tidak terhingga.

            “Adik doakan Kak Nora sihat dan panjang umur,” akhirnya Adik bersuara sambil tersenyum memandang wajah manis Kak Nora.
“Macam itulah adik Kak Nora,” Kak Nora membalas senyuman Adik.
“Eh Ri...yang kau mencebik-cebik ni kenapa? ” tanya Kak Nora yang melihat kolam mata Johari bergenang dengan air mata.
“Kak Nora buat Ri sedih tau...Kak Nora macam kakak Ri juga...kalau Kak Nora takde...,” Johari sebak, kerongkongnya tersekat untuk berkata-kata
“Laa hau laa wala , kau ni macam Neng Yatimah laa, Ri!” Adik segera mencubit peha Johari yang sedang bersimpuh mengadap Kak Nora. Mereka bertiga akhirnya ketawa dengan jelingan Johari terhadap Adik.

*                                  *                                              *
Lagu zapin Johor berkumandang dari sistem pembesar suara, dewan sekolah SMDO. Johari, Adik dan enam pelajar lain bersungguh-sungguh membuat latihan mereka pagi Jumaat itu. Tengahari nanti, kesemua penari-penari zapin akan dibawa ke stadium Batu Pahat. Usai solat Jumaat, berlangsunglah majlis pembukaan rasmi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Batu Pahat (MSSD BP).

“Cek Bedah, cek Bedah mesti senyum manis masa menari nanti tau! Jangan muka garang macam mak dara,” pesan Adik kepada salah seorang rakan penari. Nama pelajar itu bukan Bedah sebenarnya. Namun Adik dan Johari memang gemar menggelar nama-nama rakan-rakan perempuan mereka dengan nama Bedah, Joyah, Timah atau Tipah.
“Haah, awak pun Joyah. Jangan masam muka aje...senyum lebar sikit. Kalau boleh senyum sampai telinga biar VIP-VIP dan atlet-atlet sukan semua terbeliak tengok muka awak, Joyah! Awak penari di depan, orang semua tengok muka awak tau, ” Johari pula menokok tambah.

Kesemua penari kelab zapin duduk berehat seketika. Jam menunjukkan pukul 9.00 pagi. Sedari hari Isnin mereka berlatih setiap petang. Bermula pada pukul 2.00 petang hingga ke pukul 4.00 petang. Oleh kerana hari ini hari terakhir sebelum persembahan, mereka semua diberi pelepasan dari guru-guru kelas. Bukan sahaja penari kelab zapin yang membuat persembahan, malah ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah juga membuat raptai kawad lintas hormat.

“Eh...kita hendak mekap dimana eh? Di sekolah atau di stadium?” tanya pelajar perempuan yang berpasangan dengan Johari.
“Mekap di stadiumlah. Kalau mekap dari sini, cair mekap kau nanti Joyahhh! Dahlah muka kau jenis berminyak macam boleh goreng ikan!” Johari segera menjawab pertanyaan pasangannya. Kata-kata Johari disambut dengan hilai ketawa penari-penari lain. Joyah mencebik dengan kata-kata Johari namun tergelak juga dengan gaya pasangan tarinya itu.
“Haah, mekap di stadium aje. Kata Cikgu Fizah, kita bertolak dari sini pukul 12.00 tengahari. Sampai di sana, kita makan dulu, yang lelaki pergi sembahyang Jumaat. Majlis mula pukul 3.00 petang,” seorang pelajar perempuan yang berumur 15 tahun memberi kenyataan. Dia pula dikenali sebagai Sis Julie...kerana kononnya wajahnya seperti pengarah filem Julie Dahlan.
“Dik...awak mekapkan kita orang ke?” tanya Sis Julie.
Adik mengangguk, senyum.
“Hamboi hamboi hamboi...senang aje kau nak suruh Adik mekap, belanja la dia...makan ke, minum ke...takkan main free aje,” pantas sahaja Johari menjawab bagi pihak Adik.
“Alah...nanti kita orang belanjalah Adik...di stadium nanti, mesti ada jual burger...nanti, kita belanja makan burger, boleh, Dik?” tanya Sis Julie.
“Boleh...apa-apa pun boleh, Sis,” jawab Adik sambil tersenyum.
“Habis aku?” cepat Johari bertanya.
“Apa kena-mengena dengan kau pulak?” tempelak Bedah.
“Eh Bedah...aku yang mengangkut beg mekap dia, ok. Dari rumah, carrier basikal akulah yang bawak beg mekap dia tu! Aku jugak yang buat tebal muka pinjam beg mekap ni dari Kak Nora, jadi aku pun ada saham jugak!”
Kesemua penari tergelak besar dengan gaya Johari bercakap persis seperti pelakon Jaafar Onn.
“Iyalah, iyalah...Sis belanja kau juga, tapi sebab kau cuma bawa beg mekap, kita orang belanja kau makan burger benjo aje eh!”
“Ahhh...Sis Julie melampau tauuuu!” Johari menjeling teman seniornya itu.
Kesemua ahli kelap zapin yang mengambil bahagian tergelak lagi. Memang jika ada Johari dan Adik, mereka semua tidak kering gusi. Adik dan Johari, penyeri kelab zapin mereka yang terkenal di Batu Pahat.

Kesemua penari zapin akhirnya meninggalkan perkarangan sekolah ketika jam menunjukkan ke pukul 11.45 pagi. Cikgu Amil tidak mahu berlengah-lengan ke stadium. Dia pasti, jalan akan sesak kerana stadium Batu Pahat terletak betul-betul hadapan masjid Jamek Batu Pahat. Pasti banyak kenderaan yang akan diparkir di kawasan stadium dan juga masjid kerana akan ada dua majlis akan berlaku – solat Jumaat dan MSSD. Cikgu Amil dan Cikgu Nurhafizah masing-masing membawa empat orang pelajar di dalam kereta mereka. Dengan berhati-hati kedua-dua orang guru muda itu memandu kereta mereka, bergerak menuju ke arah bandar Penggaram.

Memang benar telahan Cikgu Amil, sudah banyak kereta yang diparkir di kiri kanan stadium malah di perkarangan masjid juga sudah hampir penuh. Daerah Batu Pahat mempunyai lebih 10 sekolah menengah dan lebih kurang 20 sekolah rendah. Bayangkan semua guru pengiring dan atlet-atlet sekolah yang mengambil bahagian akan turut serta pada acara pembukaan rasmi MSSD petang ini. Tentunya tempat parkir penuh sesak dengan kereta, van dan bas sekolah yang membawa semua pelajar-pelajar yang mengambil bahagian.

“Cikgu Fizah...cikgu jagakan beg mekap saya ni ya. Ini beg mekap kakak angkat saya, jangan bagi hilang eh cikgu,” pesan Adik kepada guru pengiringnya ketika dia memberi beg mekap berupa kotak empat segi seperti peti simpanan alatan mekanik berwarna merah yang dipinjamnya dari Kak Nora.

“Hah? Awak bawa beg mekap? Macam mak andam aje awak ni, Arif, ” tegur Cikgu Fizah sambil menyambut beg mekap yang besar itu dari tangan Adik.
“Takdelah cikgu...saya pinjam dari kakak angkat saya. Dia memang mak andam. Kita mesti mekap budak perempuan lebih-lebih cikgu, baru cantik!” ujar Adik sambil tersengih-sengih bangga.
“Haah cikgu...kita mesti mekapkan muka budak perempuan lebih-lebih. Muka masing-masing macam bulan...kena guna bedak selori nanti cikgu!” Johari sengaja menyakat rakan-rakan perempuannya yang masing-masing sedang meletakkan beg mereka di lantai.
“Heee, Johari ni jahat tau! Dari tadi dia buli kita orang cikgu!” Adu pelajar yang digelar Joyah kepada Cikgu Fizah.
 “ Memang kenyataan Joyah, kau tak payah nak kecik hati dengan aku! Muka aku lagi licin dari kau orang tau!”
Iyalah, muka kau ajelah yang cantik berseri! Kalau macam itu, baik kau pakai baju kurung, pakai sanggul, biar aku yang pakai baju melayu dengan samping!” Joyah menjawab sambil mencebik.
“ Ahh...ke situ pulak kau ni, Joyah! Menyampah aku! Aku gurau ajelah!” Johari menjeling.
Cikgu Fizah menggeleng-gelengkan kepala dengan gelagat anak-anak muridnya. Memang Johari seorang yang suka menyakat. Gurauannya juga buat orang tidak kering gusi. Adik pula lebih santun. Namun, jika dua-dua pelajar ini tidak ada, kelab zapin mereka seolah-olah kehilangan seri.

“Eh...dah sudah, jangan nak bergaduh. Budak-budak lelaki cepat ikut Cikgu Amil pergi sembahyang Jumaat. Yang perempuan sudah boleh pakai baju. Nanti hendak letak sanggul lagi, takut tidak sempat,” pesan Cikgu Fizah.
“Haa Bedah, awak reti tak hendak buat sanggul? Rambut awak tu pendek,” tanya Adik.
Bedah menggeleng-geleng kepala.
“Habislah kau Bedah...mekap campur ikat sanggul, maknanya kau kena belanja Adik burger dua bijik!” sempat lagi Johari menyampuk sebelum bahunya sempat dicubit oleh Sis Julie. Johari segera berlari-lari anak keluar dari bilik persalinan yang terletak di tepi stadium menuju ke arah Cikgu Amil yang sedang menanti dia dan Adik.

“Tak apa, nanti kita tolong buatkan. Awak semua siap-siap pakai bedak aje dulu. Habis sembahyang, kita mekapkan awak semua eh,” ujar Adik yang menjadi jurumekap tidak rasmi kelab zapin mereka. Sejak mengikut Kak Nora mengandam, kakak angkatnya itu ada menurunkan sedikit demi sedikit ilmu persolekan kepada dia dan Johari.

Adik, Johari, Cikgu Amil dan dua orang lagi pelajar lelaki mengambil air wuduk ketika matahari tegak terpacak. Kedinginan air dari paip mesjid Jamek Batu Pahat menyegarkan wajah mereka. Masuk sahaja ke dalam mesjid, Adik segera menunaikan solat sunat tahyatul mesjid. Dia sentiasa ingat dengan pesanan guru mengajinya, Pak Hassan- “ masuk sahaja ke dalam masjid, tunaikanlah solat tahyatul masjid. ”

Solat Jumaat berakhir ketika jarum jam menunjukkan hampir ke pukul 2.00 petang.
 Usai solat Jumaat, Adik, Johari dan dua orang lagi kawan lelaki, penari zapin SMDO dengan segera berlari ke bilik persalinan baju untuk menukar pakaian mereka. Adiklah yang paling tergesa-gesa kerana dia perlu memekapkan rakan-rakan perempuannya. Dia segera menyarung baju melayu Johor berwarna hijau pucuk pisang dan menyarung kain samping berwarna kuning emas. Tangkas tangannya mengikat samping.

Adik  kemudiannya segera membuka beg mekap Kak Nora yang besar. Dia mengeluarkan bedak padat, pembayang mata, pemerah pipi dan maskara. Nasib baiklah Cikgu Fizah sudah pun mengikat sanggul rambut Sis Julie, Bedah, Joyah dan seorang lagi teman mereka. Wajah mereka juga sudah siap dibedak. Adik  sekadar meratakan bedak di wajah mereka, membubuh pemerah pipi dan pembayang mata kepada teman-teman perempuannya. Dia juga mengenakan maskara di alis mata keempat-empat gadis penari zapin itu. Cikgu Fizah kagum melihat kepandaian Adik. Sangat seni dan semulajadi. Di sekolah, memang Adik adalah antara pelajar yang sering dipanggil untuk menolong guru seni untuk melukis mural di dinding-dinding bangunan sekolah SMDO.

“Dik, letakkan blusher pada pipi aku jugak, dik,” arah Johari kepada Adik.
Adik menoleh kepada temannya itu sambil mengerutkan kening.
“Eh, Johari, buang tebiat ke apa, awak ni?” tegur Cikgu Fizah. Cikgu Fizah juga mengerutkan kening namun tersengih dengan permintaan Johari.
“Alah cikgu...buat naik seri muka, pucat laa muka saya, cikgu. Nasi bungkus tadi tak cukup untuk saya,” jawab Johari selamba.
“Apa pulak kena mengena nasi bungkus, muka pucat dengan blusher, Johari? ” tanya Sis Julie selaku ketua kumpulan zapin mereka.
“Maksudnya, perut dia tak kenyanglah, sis!Iyalah, nanti aku letakkan sikit,” Adik mengiakan sahaja permintaan sahabatnya itu.
Cikgu Fizah dan kesemua rakan yang lain tergelak besar dengan kenyataan Adik. Walau tubuh Johari itu agak kecil, namun dia lebih kuat makan dan Adik yang tinggi lampai.

Setelah selesai memekapkan keempat-empat teman perempuannya termasuk Johari, Adik pula menyiapkan dirinya dengan mengikat kain samping kemas-kemas. Dia mengenakan celak mata. Celak mata ini hadiah dari Mak Piah sepulangnya dari  mengerjakan umrah. Dia memakai songkok tinggi. Adik juga membantu dua orang lagi pelajar lelaki mengikat samping mereka. Samping pula diikat betul-betul supaya tidak terlondeh sewaktu menari nanti. Jika terlondeh atau tertanggal semasa menari, buat malu kaum saja!

Majlis pembukaan rasmi MSSD Batu Pahat bermula setelah pengacara majlis mengumumkan ketibaan Pengarah Pendidikan Negeri Johor. Kumpulan kompang meriah memukul kompang bertalu-talu sambil berselawat ke atas Nabi junjungan. Kompang di pukul sehingga Pengarah Pendidikan Negeri mengambil tempat duduknya disamping Ketua Pendidikan Daerah Batu Pahat, pengetua-pengetua sekolah menengah dan semua guru sekolah rendah yang hadir. Majlis pembukaan rasmi dimulakan dengan bacaan doa.

Cikgu Amil segera mengarahkan anak didiknya beratur di bahagian tengah stadium. Selepas sahaja bacaan doa, pengacara majlis akan memulakan ucapan alu-aluan dan sebelum Pengarah Pendidikan berucap, kumpulan zapin akan memulakan tarian mereka. Adik dan Johari menarik nafas panjang. Begitu juga dengan enam rakan mereka yang lain. Mereka cuba untuk bertenang. Walau mereka sudah selalu membuat persembahan dan latihan, namun debaran di dada tetap ada pada setiap kali membuat pertunjukan.

“ Majlis pembukaan rasmi MSSD Batu Pahat kali ini diteruskan dengan persembahan tarian zapin dan Sekolah Menengah Dato Onn,” kata Pengacara majlis. Lagu zapin Johor terus bergema di stadium Batu Pahat dan lapan penari zapin masuk ke tengah padang. Tepukan dari penonton membuatkan Adik, Johari, Sis Julie, Bedah, Joyah dan rakan-rakan lain bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik.

Persembahan zapin mereka berlangsung selama lebih kurang lima belas minit. Basah baju kurung mereka dek peluh yang berjujuran kerana matahari tegak terpacak ketika mereka membuat persembahan. Sebelum sampai ke stadium, Cikgu Amil sempat membelikan mereka air isotonik supaya mereka dapat menjaga stamina mereka. Bukan mudah untuk menari di tengah-tengah padang sewaktu matahari memancarkan sinarnya. Stamina juga perlu dijaga.

Tepukan gemuruh diberikan kepada penari-penari kumpulan zapin SMDO. Ada juga kedengaran siulan-siulan nakal dari para penonton. Semua penari hanya melemparkan senyuman kepada para penonton. Ketika Adik dan rakan-rakannya bergerak masuk ke ruang tengah stadium, kedengaran namanya dipanggil. Suara yang amat dikenalinya...
“ Arif! Arif! Ri! Johari! Sini...sini...,” Adik dan Johari pantas menoleh ke kiri dan ke kanan stadium untuk mencari dari arah manakah suara yang memanggil mereka.

Rupanya suara itu datangnya dari seorang gadis remaja yang sedang duduk bersila di hadapan stadium bersama dengan beberapa orang rakannya. Gadis itu berpakaian sukan dan rambutnya yang paras bahu diikat tinggi macam perempuan baru lepas beranak. Gadis itu galak melambai-lambaikan tangannya kepada Adik dan Johari yang sedang memasuki ruang tengah stadium, tempat dimana mereka keluar tadi.
           
‘Faezah Hanim.’ Adik berkata di dalam hati. Sekuntum senyuman diberikan kepada rakan karibnya sejak kecil.












Aku tahu perasaanmu padaku.
Aku tahu kau menyanyangiku.
Namun,
bagiku kau adalah sahabatku,
tidak lebih dari itu.

                                                                   KAY 1994




Tiada ulasan:

Catat Ulasan