Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 20 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 11- SASYA ZAINAL



Dia sempat menjengah bintang yang bertaburan di dada langit ketika dia menarik tirai di tingkap biliknya. Indah sungguh bintang-bintang yang menghiasi kegelapan malam. Bintang bergemerlapan yang jutaan tahun telah menyinari hamparan malam yang sunyi. Hatinya berbunga ceria. Dia tersenyum-senyum. Bukan saat dan ketika ini sahaja dia tersenyum ketika bersendirian di dalam biliknya. Dia sudah tersenyum-senyum, tersengih-sengih sejak dari ayahnya mengambil dia di Stadium Batu Pahat petang tadi. Alangkah baiknya jika kejadian petang tadi boleh diputar kembali.

            Bukan ramai yang tahu malah mungkin tidak ada sesiapun yang tahu bahawa dia telah lama menyimpan perasaannya terhadap si dia. Dia tidak pasti samada perasaan itu normal atau tidak. Tetapi semenjak dia memasuki sekolah menengah dan rakan-rakan pelajar yang lain adalah kaum sepertinya, dia akur yang perasaannya adalah normal. Perasaan yang dianugerahkan ALLAH kepada insan sepertinya. Tetapi dia tidak pernah menyatakan hal itu kepada sesiapa pun. Biarlah hanya dia dan ALLAH sahaja yang tahu. Biarpun perwatakannya kadang-kadang seperti seorang tomboy namun, dia adalah seorang gadis normal. Gaya dan perwatakan sahaja yang lasak, tetapi hati nuraninya masih lagi seperti seorang gadis-gadis biasa yang bisa jatuh hati.

            Dia mencapai diarinya. Sejak dia berumur 12 tahun, dia sudah mula menulis diari. Di diari inilah dia menulis segala-galanya. Segala sejarah hidupnya sejak dia habis UPSR hinggalah dia berumur 14 tahun. Diari itu disorokkan di bawah tilam. Dia tidak mahu ibunya menemui diari itu walau buku diari yang mula-mula dia dapat adalah hadiah dari ibunya. Kata ibu, diari adalah teman baik seorang wanita.

            Hari ini, hari pertama aku ke stadium untuk MSSD. Tidak ada apa-apa perlawanan untuk hari ini. Kami hanya perlu ke stadium untuk acara perasmian dan memberi sokongan kepada pelajar lain. Tapi yang paling best adalah aku jumpa dia hari ini! Aku tak terkejut sangat sebab aku pasti dia mesti masuk acara persembahan tarian zapin. Bila aku tengok buku aturcara, tarian zapin dari SMDO – aku tahu, dia dan J mesti masuk.
           
            Masa acara lintas hormat, aku terus ke astaka. Memang betul, aku nampak dia!

Faezah Hanim tersengih sendirian di kamarnya. Jam baru menunjukkan pukul 9.30 malam. Dia berbohong dengan ibunya yang dia perlu masuk tidur awal kerana esok, awal pagi lagi dia sudah perlu bersiap-sedia untuk ke stadium.
‘Bohong sunat,’ fikirnya.

Selesai makan malam bersama emak dan ayah, dia menunaikan solat isya`. Selesai solat dia keluar dari bilik dan mengucapkan salam kepada ayah dan emak yang sedang menonton televisyen lalu segera menutup pintu kamarnya. Dia perlu meluahkan segala perasaannya ke dalam diari. Kerana jika dia tidak meluahkan segala apa yang terbuku dalam hatinya, takut esok dia tidak dapat menumpukan perhatian kepada perlawanan.

Handsome betul dia hari ini. Pakai baju melayu, pakai samping siap bertanjak.
Faezah Hanim menyambung tulisannya.

Lepas dia buat persembahan, aku pergi ke bilik persalinan. Dia dan J juga nampak excited bila jumpa aku. Petang itu, masa sukan bermula...aku, dia dan J duduk-duduk makan burger di bawah pokok tepi stadium. Dia yang belanja aku sebab kawan-kawan yang lain semua dibelanja oleh cikgu mereka. Kami duduk berbual-bual. Aku offer dia dan J untuk balik bersama aku dan ayah, tapi katanya dia akan naik kereta cikgunya ;-(
Sebelum berpisah, aku sempat minta dia dan J untuk doakan aku menang esok hari.

Dia memang amat berharap yang Kamal Arif dan Johari dapat datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanannya.

“ Awak, kalau awak ada, semangat sikit kita nak main sampai menang.”
            “ Janganlah cakap macam tu, wak. Nanti kita jadi serba-salah. Kita dah janji dengan Kak Nora dari minggu lepas lagi.”

            Cubaan dia untuk memujuk Kamal Arif untuk datang ke stadium gagal.
            ‘ Hish, dia ni kalau berjanji, memang dia akan tepati. Lagi-lagi kalau berjanji dengan Kak Nora, memang dia tak akan mungkir.’

            “ Ohh,mmm...takpelah...kita faham. Awak doakan kita eh?”
            “ Mesti wak, kita mesti doakan awak menang!”

            Dia tersenyum lagi. Lebar sungguh senyumannya apabila mengingatkan kata-kata Kamal Arif petang tadi. Dia yakin, teman rapatnya itu pasti akan mendoakannya.

            “ Eh, kau ni, kan...kalau kau doakan Faez menang, sekolah kita nanti kalahlah samdol!”
            Dia tergelak kecil.
‘ Ri...Ri...kalau kau tak ada, dunia ini pasti kosong dan jemu tanpa gelak ketawa.’
           
            Sedari kecil, Johari dan Kamal Arif tidak pernah berpisah. Kadang-kadang, dia ingin juga menelefon Johari dan meluahkan perasaan yang dirasai. Dia yakin, Johari akan mengerti. Namun dia terlalu malu. Dia juga pasti, Johari tidak boleh menyimpan rahsia. Lebih-lebih lagi jika rahsia yang melibatkan teman rapatnya. Dia juga pasti, jika dia memberitahu Johari perasaannya terhadap Kamal Arif, tidak perlu satu jam, mungkin tidak sampai lima minit selepas itu, Johari pasti akan menelefon dan menghebahkannya kepada sahabatnya! Lagi bahaya, jika Johari pecahkan rahsia kepada Kak Nora! Memang kes niaya jikalau dia memberitahu Johari. Tetapi, Johari itu walau mulutnya becok, dia juga adalah teman yang baik. Mereka berdua jarang berpisah malah seingat Faezah Hanim, mereka berdua, tidak pernah berpisah.

            Walau tubuhnya sudah dilontar ke tilam empuk, buku diarinya dibiarkan terbuka dan diletakkan di atas dada. Mata Faezah masih belum mengantuk. Fikirannya menerawang ke zaman kanak-kanak yang sungguh indah. Jika dia seorang penulis, akan ditulis kembali sejarah zaman kanak-kanaknya yang menggembirakan. Saban hari, selepas mengaji dan petang, mereka bertiga pasti akan bermain bersama-sama. Johari itu, jika ke kelas mengaji, pasti ada sahaja bekalan makanan yang dibawa bersama. Jemput-jemput bilis, cekodok pisang, nasi goreng, bihun goreng atau kuih bingka ubi. Mak Bedah, ibu Johari memang seorang yang pandai memasak. Lebih-lebih lagi di dalam membuat kuih-muih tempatan. Emak Kamal Arif, Mak Uda juga, tidak kurang hebatnya. Ada sahaja bekalan yang diberikan kepada mereka dan juga Pak Hassan. Adik pula, benda wajib yang pasti dibawa adalah air teh O yang diletakkan daun pandan bersama kerepek atau maruku. Mereka akan makan-makan atau minum-minum sementara menanti ayah, ibu atau kakak mereka mengambil mereka dari surau.

            Teringat lagi Faezah Hanim di suatu petang, ketika mereka bertiga berjalan ke kedai Pak Mail untuk membeli jajan dan aiskrim. Kedai Pak Mail adalah satu-satunya kedai runcit kecil yang ada di kampung mereka. Petang itu, nasib mereka tidak berapa baik kerana didalam perjalanan pulang, ketiga-tiga sahabat karib ini telah dikejar oleh seekor anak anjing sesat! Waktu itu, hanya Adik yang menaiki basikal. Namun dia tidak menaiki basikal itu. Dia hanya berjalan bersama-sama dengan Johari dan Faezah Hanim. Disorongnya basikal itu perlahan-lahan. Setelah mereka membeli aiskrim malaysia yang berharga dua puluh sen, mereka berjalan semula untuk pulang. Kesemua jajan yang dibeli, diletakkan di dalam bakul basikal. Di dalam perjalanan, entah macam mana, ada seekor anak anjing kurap yang menyalak ke arah mereka bertiga. Mula-mula anak anjing itu menyalak perlahan. Johari sudah mengeluarkan peluh dingin. Entah bagaimana anak anjing itu boleh sampai ke kampung mereka, wallahu alam.

“ Ri, jangan takut Ri...buat tak tahu aje,” pesan Faezah Hanim walau jantungnya berdebar-debar. Adik pula menoleh-noleh ke arah anak anjing itu. Mereka bertiga berjalan laju-laju.
“ Dik, aku rasa, dia macam jalan ke arah kita lah, Dik!” kata Johari cemas.
“ Ri, jangan takut! Ayah aku pesan, kalau kita takut, badan kita akan keluarkan bau yang buat anjing tu suka nak datang pada kita!” tegas Faezah Hanim yang juga semakin melajukan langkahnya.
Johari semakin panik. Ketika mereka bertiga menoleh ke arah anak anjing kurap itu, ia telah mula berlari kepada mereka. Semakin lama, ia semakin hampir.
Kung kung kung! Kung kung kung!
“ Dik! LARI DIK! LARIIII!” jerit Johari apabila melihatkan anjing itu tidak sampai 50 meter dari mereka.
“ Faez! Cepat naik basikal ni kita Faez! Cepattt! Awak balik rumah awak Faez!” Adik segera memberikan basikalnya kepada Faezah Hanim yang sudah pun mencampakkan aiskrim Malaysianya yang masih bersisa.
“ Awak macam mana, Dik?”
“ Kita tak apa, awak balik dulu dengan basikal kita, cepat Faez!”

 Johari sudah lama memecut ke hadapan. Kamal Arif pula memberikan basikalnya kepada Faezah Hanim. Faezah dengan segera menaiki basikal itu dan mengayuh laju. Adik sempat mengambil beberapa ketul batu kerikil kecil yang berada di jalan kampungnya dan melontar ke arah anjing yang berani-berani takut itu. Anjing itu berhenti sejenak namun mungkin tindakan Adik membuatkan ia bertambah marah! Salakannya semakin kuat dan ia mula mengejar Adik yang juga membuka langkah seribu!
Kung kung! Kung kung kung!

Faezah Hanim tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
‘ Dia memang seorang yang gentleman.

Faezah Hanim akhirnya menutup buku diarinya, meletakkan buku itu di bawah tilam supaya tiada siapa yang boleh menemuinya. Dia kemudian bangun dan mematikan suis lampu kalimantang dan menghidupkan pula suis lampu tidur. Akhir sekali, dia kembali ke katilnya, memeluk bantal peluknya erat-erat dan cuba melelapkan mata. Malam itu, Faezah Hanim tidur di dalam senyuman.

*                                         *                                            *

            Jika semalam Faezah Hanim tidur di dalam senyuman, petang Sabtu itu pula, Cikgu Amir memandu pulang ke rumah dengan senyuman lebar hingga ke telinga. Mana tidaknya, anak gadis tunggalnya diberi pujian oleh rakan-rakan guru dan mungkin akan dinobatkan pemain bola jaring terbaik untuk MSSD tahun ini. Sedari pagi, Cikgu Amir yang juga guru sukan untuk Sekolah Menengah Tinggi, Batu Pahat atau High School BP nama awal sekolah itu memang perlu bertugas di stadium sepanjang masa. Tanggungjawabnya sebagai guru pengiring untuk atlet-atlet sekolahnya membuatkan dia juga senang untuk memantau perlawanan yang disertai oleh anak gadisnya. Sayang sekali, isterinya Cikgu Zakiah tidak dapat bersama-sama untuk menonton perlawanan separuh akhir bola jaring sekolah Faezah Hanim. Jika tidak, dia juga pasti berbangga dengan kejayaan anak mereka.

            “ Emak doakan Hanim dari rumah, ya?” sempat Cikgu Zakiah memberi kucupan kasih di dahi anak gadisnya yang semakin besar panjang. Serasa, baru semalam dia melihat anak itu merangkak, bertatih, berjalan jatuh dan kini, sudah bergelar anak gadis.

            “ Yah, malam ini, kita makan di luar eh, yah?” pujuk Faezah, manja dengan ayahnya yang sedang memandu.
            “ Hmm, iyalah. Tapi awak tak boleh makan banyak, esok final game,” pesan Cikgu Amir sambil tersengih menjeling anaknya yang masih berpakaian sukan.
            “ Memanglah, yah. Takkan kita nak makan banyak-banyak...tapi kita kena makan juga, kan? Esok kena ada tenaga nak lawan dengan sekolah Convent tu,” Faezah tersenyum memandang ayah yang dikasihi.
            “ Awak tak ajak Noni sekali?” Cikgu Amir mengerling ke arah Faezah yang menumpangkan seorang rakan sekolahnya untuk pulang ke rumah di Parit Haji Salam. Noni adalah pelajar yang menetap di asrama. Tetapi minggu ini, oleh kerana ramai yang terlibat dengan sukan di stadium, pelajar-pelajar diberi pilihan untuk pulang ke rumah mereka. Oleh kerana Faezah Hanim tinggal di kampung Peserai, dia menawarkan diri untuk menghantar Noni ke rumah petang itu. Cikgu Amir juga tidak keberatan. Dia berbesar hati kerana anak gadisnya mempunyai sikap suka membantu.

            “ Haah, boleh juga. Noni, awak nak tak ikut kita makan malam di bandar, lepas isya` nanti?” tanya Faezah sambil mengiringkan badannya ke kanan untuk memandang Noni yang sedang memangku beg.
            “ Eh...tak apalah Faez...pakcik. Kita baru balik petang ni takkan hendak keluar lagi. Esok, kita dah kena balik hostel, tak puas pulak duduk rumah,” tolak Noni lembut.
            “ Haah ek? Ok...nanti, kalau kita menang esok, lain kali aje kita belanja awak makan eh?”
            “ Okey, cantik!” Noni tersenyum.

            Pemanduan Cikgu Amir terhenti kerana dengan tidak semena-mena, terdapat kesesakan jalanraya di jalan menuju ke rumah Noni.

            “ Eh, apa kena pulak ni? Jem tak pasal-pasal dekat jalan kampung?” Cikgu Amir memanjangkan lehernya menjengah  keluar tingkap keretanya yang terbuka.
            “ Haah...kenapa jalan jem ni?” soal Faezah juga walau tidak ada sesiapa pun yang boleh menjawab soalan itu.
            “ Ada orang langgar lembu ke?” Cikgu Amir menelah sambil mengerutkan kening.
            “ Hish ayah ni. Mana orang bela lembu kat kampung ni?”
            “ Mana tahu, esok ada orang hendak buat kerja kahwin, lembunya terlepas ke jalan besar,” Noni tersengih-sengih mendengar perbualan Faezah dan ayahnya. Dia juga merasa pelik kerana jalan untuk menuju ke rumahnya, tidak pernah sesak melainkan di waktu hari lebaran ketika semua anak-anak di perantauan pulang berhari-raya di kampung.

            Kereta bergerak sedikit demi sedikit. Cikgu Amir juga turut bergerak sedikit ke hadapan. Dia tidak ada jalan lain untuk ke rumah teman anaknya itu. Jalan Batu Pahat – Muar itulah satu-satunya jalan untuk ke Parit Haji Salam. Faezah Hanim juga mengeluarkan kepalanya keluar tingkap untuk meninjau kenapa agaknya jalan Simpang Lima itu sesak di petang Sabtu namun tindakannya itu tidak membuahkan apa-apa hasil.
           
            “Pakcik, kalau menyusahkan pakcik, saya jalan kaki saja balik ke rumah. Dah dekat dah ni,” ujar Noni yang serba-salah kerana Cikgu Amir terperangkap dengan kesesakan lalulintas semata-mata untuk menghantarnya pulang ke rumah. Nanti ayah Faezah perlu berpatah balik semula untuk ke kampung Peserai.
            “Eh, tak apalah. Biar pakcik hantar sampai rumah. Nanti apa pula ayah dan emak kamu kata, kamu balik jalan kaki.”
            “Hmm, tak apa pakcik. Selalunya pun, kalau saya balik dari asrama, saya jalan kaki saja ke rumah dari bus stop depan sana tu,” Noni menjelaskan.
            “Tak apa, biar pakcik hantar sampai rumah. Nanti, kalau apa-apa jadi, orang-orang di stadium nampak kamu naik kereta pakcik, tapi kamu sampai rumah jalan kaki.” Sifat tanggungjawab seorang bapa dan guru memang cukup tebal didalam diri Cikgu Amir. Dia selalu berpendapat, jika dia menjaga anak-anak orang dengan baik, orang lain juga akan menjaga anaknya dengan baik. Cikgu Amir sangat yakin dengan pendiriannya itu.
            Noni mengangguk. Akur.

“Awak selalu tunggu bas di mana, Noni?” tanya Faezah setelah kereta ayahnya bergerak lagi ke hadapan.
Bus stop yang dekat-dekat dengan kedai runcit untuk masuk ke Simpang Lima tu,” jelas Noni sambil menudingkan jari menunjuk arah ke hentian bas yang berada kurang dari 100 meter dari kereta Cikgu Amir.
Sejurus, Cikgu Amir dan Faezah Hanim, kedua-dua beranak itu menoleh ke arah hentian bas yang ditunjukkan oleh Noni.
Faezah Hanim mengerutkan kening. Matanya cuba difokuskan ke arah kejadian yang terdapat di hentian bas kecil itu. Terdapat seorang budak lelaki yang berdiri tegak. Seorang wanita di dalam lingkungan empat puluh tahun yang sedang memangku seorang lagi budak lelaki yang terbaring di lantai.

“KAK NORA!!!” Faezah Hanim dan ayahnya Cikgu Amir menjerit nama yang sama.

Cikgu Amir dengan segera memulas stereng keretanya ke jalan yang bertentangan dan memarkir keretanya berdekatan dengan hentian bas. Setelah ayahnya memberhentikan enjin kereta, Faezah segera membuka pintu dan berlari ke arah Kak Nora dan dua orang sahabatnya. Cikgu Amir dan Noni juga mengikut langkah Faezah.

“Kenapa ni, Kak Nora?” tanya Faezah cemas.
“Apa dah jadi ni, Nora?” Cikgu Amir pula bertanya kepada Kak Nora yang memang lebih tua setahun dua dengannya.  Kak Nora dan Cikgu Amir memang sudah berjiran sejak mereka kecil lagi. Datuk nenek mereka adalah di antara penduduk terawal Kampung Peserai Pantai.

“ Entahlah cikgu...budak-budak ni terkejut agaknya,” jawab Kak Nora yang masih lagi panik. Dia bimbang hal-hal yang tidak baik terjadi kepada Adik dan Johari. Kak Nora merasakan yang dialah yang bertanggungjawab atas keselamatan anak-anak ini kerana budak-budak berdua inilah yang turut menemankan dia untuk ke majlis pertunangan.

Cikgu Amir, Faezah dan Noni menoleh ke arah jalanraya yang dikerumuni orang ramai. Dari celah keramaian itu, terdapat sekujur tubuh yang berlumuran darah. Noni dan Faezah mengerutkan wajah mereka. Kedua-dua anak gadis ini berpaling - tidak sanggup untuk melihat dan mengetahui keadaan di situ dengan lebih lanjut. Keadaan di situ amat mengerikan.
“ Cikgu, tengokkan Arif tu. Dia macam kena pukau tu. Tak bergerak dari tadi,” ujar Kak Nora sambil memuncungkan mulutnya ke arah Adik yang masih berdiri tegak tidak berkelip.
Faezah mendekati Adik.
“ Dik...Dik...,” dia menggoncangkan bahu temannya itu. Namun, Adik masih lagi tidak berkejip memandang tempat kejadian.

Cikgu Amir pula mendatangi Adik.
“ Auzibillah himinash shaitannirrajim. Bismillah hirahmanirrahim. Allah hula ila ha illa huwal hayyul qayyum...,” Cikgu Amir menghabiskan bacaan ayatul qursi dan kemudian dia menghembus wajah Adik perlahan-lahan.
Seakan-akan bangun dari tidur, Adik seperti tersentak.
“Arif...kamu sedar tak ni?” tanya Cikgu Amir lembut.
Matanya tidak berkelip memandang Cikgu Amir yang betul-betul berhadapan dengannya. Air matanya bergenang lantas dia terus memeluk Cikgu Amir. Kak Nora menarik nafas lega. Begitu juga dengan Faezah Hanim dan Noni.
            Adik menangis di dalam pelukan Cikgu Amir. Ayah kepada temannya itu memeluk kejap tubuh anak muda yang tinggi lampai itu.
            “ Dah...dah...jangan nangis. Istigfar banyak-banyak. Ingat ALLAH. Kamu semua selamat. Lepas ni, saya hantar balik rumah, ya,” pujuk Cikgu Amir.
            Adik melepaskan pelukan dan mengangguk-angguk. Namun, dadanya masih berombak kencang.
            “Arif...tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan,” Cikgu Amir memberi arahan seakan-akan faham apa yang sedang Adik alami. Anak muda itu mengangguk. Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya. Dia kemudian mengesat air matanya dengan kain di hujung lengan baju melayunya.
             “Dah, kamu duduk sini dulu. Jangan pandang sana,” Cikgu Amir memberi arahan lagi. Faezah Hanim memberi laluan kepada Adik untuk membolehkan dia duduk di kerusi batu hentias bas itu.

            Cikgu Amir kemudian pergi pula ke Johari yang masih terbujur kaku. Wajahnya pucat lesi.
            “Anim...ambilkan ayah air botol dalam kereta,” ringkas arahan Cikgu Amir kepada anak gadisnya. Dengan tidak perlu menjawab, Faezah menuju ke kereta dan mengambil sebotol air masak yang memang dibawa dari rumah. Sebagai seorang guru sukan yang sentiasa bergerak aktif, Cikgu Amir tidak pernah lupa membawa dua botol air masak setiap hari. Ada juga kegunaan air itu untuk petang ini.

            Setelah Faezah menyerahkan botol air jernih itu kepada ayahnya, Cikgu Amir membuka penutup botol itu dan membaca beberapa surah dari juzu` amma dimulai dengan surah Al-Fatihah. Dia kemudian meniup perlahan ke dalam botol air itu. Dituangkan sedikit ke telapak tangan kanannya dan diraupkan ke wajah Johari yang pucat. Terasa dingin wajah anak muda itu. Mungkin terkejut benar dengan peristiwa ngeri yang baru disaksikan. Kak Nora, Faezah, Noni dan Adik memerhatikan perlakuan Cikgu Amir. Nora mengucap syukur beberapa kali di dalam hati dengan kehadiran Cikgu Amir. Kebetulan pula Cikgu Amir melalui untuk ke Muar petang ini.

            Wajah Johari yang pucat lesi sedikit demi sedikit semakin normal. Urat-urat pembuluh darah mungkin sedang mengangkut darah merah ke wajahnya. Kak Nora mengusap lembut rambut Johari. Dia juga membaca selawat dan berzikir agar anak muda ini segera sedar. Namun, Johari masih tetap tidak membuka mata.
            “ Macam inilah, Nora. Kita bawa saja budak ini balik rumah. Panjang sikit langkah kita nanti,” usul Cikgu Amir.
            Kak Nora mengangguk.
            Noni yang masih setia bersama dengan mereka, terus bersuara, “ Pakcik...pakcik tak payahlah hantar saya, pakcik. Saya boleh telefon ayah saya di rumah. Dah dekat sangat rumah saya dari sini.”
            “ Awak hendak telefon ayah awak macam mana? Ada public phone dekat-dekat sini?” tanya Cikgu Amir, risau. Dia masih merasa bertanggungjawab untuk menghantar Noni hingga ke depan pintu.
            “Ada pakcik. Dalam kedai runcit tu,” jelas Noni.
            Cikgu Amir mengangguk. Lega kerana Noni memahami.
            “Anim, Anim temankan Noni telefon dulu. Ayah nak angkat Johari masuk kereta,” Cikgu Amir memberi arahan. Dia tidak mahu Noni pergi seorang diri. Takut-takut anak itu terkena badi mayat orang kemalangan.
           
            Bunyi siren polis dan ambulan berselang-seli kedengaran di halwa telinga mereka semua. Sekali lagi Kak Nora menarik nafas lega. Hampir setengah jam juga masa yang diambil oleh pihak polis dan ambulan untuk sampai ke tempat kejadian. Bali Polis Batu Pahat terletak di Jalan Rahmat dan Hospital Daerah pula terletak di Jalan Kluang. Agak jauh juga dari Simpang Lima.

            Sementara Faezah dan Noni menuju ke kedai runcit yang berdekatan, Cikgu Amir mengerah kekuatannya mengangkat Johari untuk diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kereta. Kak Nora pula memimpin tangan Adik yang masih lagi mamai. Sementara Cikgu Amir dan Kak Nora berusaha memasukkan Johari ke dalam kereta, Adik sempat berpaling ke arah pemuda malang yang diangkat masuk ke dalam ambulan. Darah merah masih lagi berjejeran menitis di jalanan semasa jenazah pemuda itu diangkat naik dengan pengusung. Jenazah itu telah ditutup dengan plastik hitam. Jantung Adik berombak kencang.

Zikir kalimah Ya ALLAH dibaca di dalam hati. Dia mahu segera pulang ke rumah. Dia masih teringat kejadian kemalangan yang melibatkan Abang Khalid semasa dia berumur dua belas tahun. Sebentar tadi,  dia sebenarnya terbayangkan yang pemandu motorsikal itu adalah abang sulungnya. Walau Abang Khalid tidak pernah menunjukkan kasih sayangnya kepada Adik, namun Abang Khalid adalah saudara kandungnya. Jika sesuatu berlaku pada Abang Khalid, dia pasti akan bersedih. Tali persaudaraan mereka tidak akan putus hinggalah ke akhirat. Dia yakin, suatu hari yang Khalid akan berubah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan