Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 2 Jun 2016

ADUH, PENING! - BAB 19



NADIA menarik tangan anak-anaknya masuk ke dalam rumah. Dia menolak anak sulungnya dengan kasar. Tak boleh harap! bisiknya sendiri. Dia memandang kelima-lima anaknya dengan hati yang panas. Penat sahaja dia menerjah rumah bekas mertuanya. Penat juga dia berhenti kerja dengan notis 24 jam. Semuanya jadi sia-sia! Hancur semuanya! Tangannya cepat meraup wajahnya yang berpeluh. Kepanasan di hati membakar seluruh tubuhnya.
            “Kau tunggulah Ikmal! Aku takkan berdiam diri!” kata Nadia sendiri. Penat lelahnya tidak berbalas. Memang benar-benar menyakitkan.
            PAGI itu setelah menghantar anak-anaknya ke tempat pengasuh, dia ke tempat kerja lamanya. Terpaksalah dia merayu untuk masuk bekerja semula. Memang memalukan. Tetapi apakan dayanya.
            “Kau dah kenapa, Nadia? Minggu lepas kau mintak berhenti 24 jam, hari ini kau tiba-tiba datang nak masuk semula. Nasib baik Dr. Harsat benarkan kau bekerja semula.” Hanida kawan baiknya sewaktu di universiti, kebetulan mereka mengajar di universiti yang sama.
            “Nak buat macam mana? Dah bekas suami aku tak nak juga nikah dengan aku semula. Terpaksalah aku bekerja semula. Ingatkan bila aku berhenti, dia simpati. Dan dia bersetujulah berkahwin dengan aku,” jelas Nadia.
            Hanida ketawa perlahan.
            “Kau ni memang gila talaklah! Dah setahun kau bercerai dengan Ikmal. Lagipun bekas suami kau tu dah kahwin lain, kan?” Hanida menggeleng kesal. Sikap degil dan keras hati Nadia yang tidak mahu mendengar nasihat orang masih tertanam kukuh di hatinya.
            “Kau ingat senang nak cari lelaki sebaik Ikmal? Kau fikir ada ke orang nak kahwin dengan aku janda beranak lima ni? Silap hari bulan lelaki tu nak kat aku aje, budak-budak tu dihantarnya ke rumah anak yatim. Masa tu, haru-biru hidup aku,” luah Nadia. Itulah hakikatnya. Bukan mudah menjadi janda anak lima. Tidak termasuk lagi pakej mulut jiran tetangga yang mengata dirinya. Penat betul, letih telinganya menapis cakap-cakap mereka. Macamlah mereka akan terus berlaki sampai mati.
            “Kalau dah tahu... yang kau gatal minta cerai tu, kenapa? Ikutkan sangat rasa cemburu kau tu. Sepatutnya dah dapat suami yang baik, belajar menghargai. Jangan bodoh sombong. Kan sekarang sendiri yang susah!” tempelak Hanida.
            “Kau nak kutuk aku ni, kenapa?” marah Nadia. Minuman yang berbaki dihabiskan segera. Lebih lama dia duduk di situ, makin panjang leteran sahabat dan rakan sekerjanya itu. Boleh panas seluruh tubuhnya. Takut tak tahan, terbakar nanti.
            “Aku kawan kau, Nadia. Sebagai kawan kalau aku tak nasihatkan kau, siapa lagi? Kau tak boleh ikutkan sangat kata hati. Kena fikirkan orang lain sama,” nasihat Hanida. Bukan dia tidak simpati dengan nasib sahabatnya itu, tetapi itulah, degil sangat. Akhirnya, diri sendiri yang menyesal.
            “Kau tahu tak kat mana boleh dapat minyak senyonyong atau ada ayat-ayat yang boleh menundukkan Ikmal?” tanya Nadia tanpa berselindung. Kalau cara baik tak dapat, apa salahnya guna cara tak baik? Siapa suruh Ikmal menolak dirinya?
            “Hah? Minyak senyonyong? Kau nak buat apa? Guna-gunakan Ikmal? Berapa lama minyak itu mampu bertahan? Kalau kasih yang datang bukan dari hati, tak lama mana, Nadia... Berdosa pula tu. Kau kena ingat perbuatan kau ni kesannya pada anak-anak kau juga. Jangan main gilalah!” larang Hanida.
            “Habis tu, kau nak suruh aku buat apa? Biarkan Ikmal bahagia dengan isteri baru dia tu? Aku pulak merana makan hati dengan anak-anak!”
            “Makan hati apanya? Ikmal selalu melawat anak-anak kau, kan? Duit belanja pun lebih daripada cukup. Tengok tu, kau siap pakai pendakap gigi lagi. Gaji kau sebagai pensyarah bukannya sikit. Kau nak apa lagi? Belajarlah bersyukur. Bukan susah mana pun hidup sendiri,” ujar Hanida terus menasihati.
            “Aku nak dia jadi laki aku balik, kau faham tak?” lengking Nadia. Kenapa tiada orang yang faham kehendaknya? Dia ingin berkahwin semula dengan bekas suaminya. Apa susah sangat? Bukan dia minta duit belanja atau mas kahwin yang mahal. Apa yang penting, Ikmal sudi mengambilnya sebagai isteri semula. Itu saja. Paling penting, dia tidak mahu bermadu.
            “Macam mana dia nak balik dengan kau? Dia dah ada isterilah! Cubalah faham!”
            “Isteri dia tu pengacau aje. Ini semua kerja bekas mertua akulah. Bukan main lagi carikan jodoh untuk anak lelaki mereka. Kononnya kasihan tinggal sendiri. Aku ni yang terpaksa jaga lima orang cucu mereka ni, tak pula mereka kasihan? Kenapa tak pujuk aje Ikmal tu berbalik dengan aku? Kenapa carikan perempuan lain?” marah Nadia.
            “Manalah dia orang tahu kau nak berbalik dengan Ikmal? Kalau kau cepat-cepat kejar Ikmal dulu, taklah sekarang terkejar-kejar. Ini jual mahal sangat. Konon nak suruh Ikmal merayu. Bila bekas suami kau merayu, kau terus buat keras hati sampailah dia kahwin lain. Baru kau nak menyesal.”
            “Huh! Bercakap dengan kau, makin sakit kepala aku!” Nadia menjeling.
            “Kau sepatutnya bersyukur dapat kawan macam aku, tak suruh kau jatuh ke lembah hina. Perbaikilah diri. Sujud pada ALLAH SWT. Minta petunjuk dan berdoa agar lembutkan hati Ikmal menerima kau. Bukan tak boleh? Kau ingat dengan cari ubat senyonyong tu mampu mengembalikan Ikmal pada kau?”
            “Dahlah! Sakit hati aku. Kalau kau tak nak tolong, biar aku cari sendiri!” Nadia mencebik.
            “Jangan buat kerja gila tu, Nadia. Berdosa!” larang Hanida.
            “Yalah!” Nadia mencebik. Susah betul kalau berterus terang dengan Hanida yang terlalu baik dan alim itu. Nampaknya tak adalah cara untuk dia menawan hati Ikmal. Dia mesti dapatkan Ikmal. Ikmal haknya. Nadia memandang wajah Hanida yang sudah mengecilkan matanya. Marahlah itu. Nadia menjelirkan lidah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan