Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 17 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 8 - SASYA ZAINAL



Stadium Daerah Batu Pahat

Dari tempat duduk orang-ramai di stadium, Faezah Hanim segera berlari mendapatkan Adik dan Johari yang sedang menerima ucap tahniah dari Cikgu Amil dan Cikgu Fizah yang menghargai persembahan mereka sebentar tadi. Langkahnya terhenti di luar bilik persalinan.

            “Alaaa cikgu ni, takkan puji-puji aje...belanja-belanja burger takde, ke?” pantas sahaja mulut Johari meminta kedua orang gurunya itu membelanja mereka.
            “Eh kau ni Ri! Dengan kita orang kau minta burger, dengan cikgu kau minta burger! Berapa biji kau nak makan ni?” Pantas pula Sis Julie menjawab bagi pihak Cikgu Amil dan Cikgu Fizah yang tersenyum-senyum memandang gelagat pelajar-pelajar mereka yang telah mengharumkan nama sekolah sebentar tadi.
            “Alaaa sis Julie ni...Sis kata, tadi...saya dapat benjo aje...hendak juga merasa burger daging!” Johari mencebik dan buat muka kasihan di hadapan kedua-dua orang gurunya.
            “Iyalah, iyalah...cikgu belanja awak semua makan burger dan minum air tebu,” Cikgu Amil akhirnya bersuara dan kesemua pelajarnya bertepuk tangan sambil mengucapkan terima kasih.

            Faezah Hanim hanya berdiri berdekatan dengan pintu bilik persalinan ketika dia mendengar keriuhan suara Johari dan rakan-rakan penari yang lain. Cikgu Fizah yang terperasankan kedatangan Faezah Hanim menegur pelajar perempuan yang bertubuh kurus tinggi itu.
             “ Awak hendak cari siapa?” tanya Cikgu Fizah.
            “ Maaf cikgu...boleh saya hendak jumpa dengan Arif dan Johari?”
            “Oh...boleh,” terus sahaja Cikgu Fizah memanggil kedua orang pelajar yang sedang membuka songkok dan samping yang dipakai. Johari dan Adik menoleh ke arah Cikgu Fizah yang berdiri di muka pintu. Kedua-duanya tersenyum lebar memandang Faezah yang lengkap dengan pakaian sukannya. Kedua-dua rakan itu segera mendapatkannya. Sejujurnya, memang sudah agak lama mereka tidak bertemu walau rumah mereka berdekatan. Masing-masing sibuk dengan hal-hal sekolah.
           
“Eh eh Faez! Lamanya kita tak jumpa awak! Awak dah sombong tau!” ujar Johari sambil menolak lembut bahu Faezah.
            “Ha-ah kan...dah lama kita tak jumpa awak. Kenapa awak ada kat stadium ni? Awak ada masuk apa-apa acara ke?” Adik pula bertanya.
            “Engkau oranglah yang tidak datang rumah kita. Bukan kita yang sombong tau. Ayah kita kata, tak manislah datang rumah kawan lelaki. Kalau awak dua orang yang datang rumah kita, ayah kita tak kisah,” Faezah Hanim menerangkan sambil tersenyum menampakkan giginya yang putih bersusun.
           
            Mereka bertiga perlu akur bahawa mereka sudah meningkat remaja. Jika zaman kanak-kanak dahulu, mereka sering bermain bersama. Boleh dikatakan, setiap petang mereka akan keluar bermain bersama. Ada-ada sahaja permainan yang mereka mainkan. Main pondok-pondok, main kahwin-kahwin, main acah galah, main masak-masak, main batu seremban...namun itu zaman kanak-kanak. Tidak ada apa yang hendak dipandang serong. Sekarang ini, Faezah Hanim sudah bergelar anak gadis manakala Johari dan Kamal Arif pula digelar orang bujang. Memang tidak manis jika Faezah sering datang ke rumah rakan lelakinya itu. Lebih-lebih lagi rumah Kamal Arif yang punya dua orang lagi abangnya yang besar panjang. Masa dan keadaan merenggangkan hubungan persahabatan mereka. Namun, di hari raya Aidilfitri, ketiga-tiga sahabat itu tidak lupa ziarah-menziarahi.

            “ Eh...awak masuk acara apa ni, Faez?” tanya Adik.
            “Kita masuk bola jaring. Tapi hari ini, tak ada apa-apa perlawanan. Esok dan Ahad baru ada, kalau sekolah kita menang, sampai petang Ahadlah kita di stadium,” jelas Faezah.
            “Eh...awak main betul-betul eh...,” Johari memberi semangat kepada rakan gadisnya yang sedari kecil mempunyai perwatakan seperti seorang tomboy. Seingatnya, rakannya ini tidak pernah memakai baju gaun seperti rakan-rakan sepermainan mereka. Dia lebih gemar memakai t-shirt dan seluar trek.
            “Awak dua orang datanglah tengok kita esok. Esok, semi-final, kalau kita menang, baru kita masuk final.”
            “Alahai...Faez...minta maaflah, esok, kita dengan Ri akan ikut Kak Nora pergi mekap di Simpang Lima,” Adik menerangkan. Wajahnya kesal.
            “Laaa, ye ke? Kalau awak ada, semangat sikit kita nak main sampai menang,” jelas Faezah. Senyum di wajahnya terukir memandang Adik yang lebih tinggi darinya.
            “Janganlah cakap macam tu, wak. Nanti kita jadi serba-salah. Kita dah janji dengan Kak Nora dari minggu lepas lagi,” Adik juga merasa serba-salah. Namun, dia perlu mendahulukan janjinya dengan Kak Nora, kakak angkat yang dikasihi.
            “Ohh,mmm...takpelah...kita faham. Awak doakan kita eh?” Faezah Hanim memegang bahu Adik – mesra.
            “Mesti wak, kita mesti doakan awak menang!” Adik menyakinkan Faezah Hanim. Anak matanya tepat memandang wajah sahabatnya itu.

            “Eh, kau ni, kan...kalau kau doakan Faez menang, sekolah kita nanti kalahlah samdol!” Johari mencubit bahu Adik.
            Faezah Hanim dan Adik tergelak besar dengan kenyataan Johari.
            “Ha-ah ek...errrr, tapi takpelah, kita tetap doakan Faez! Sebab budak netball sekolah kita pun eksyen-eksyen! Huh...menyampah!” Mereka bertiga ketawa lagi.

            Setelah Adik dan Johari menyalin pakaian baju melayu kepada pakaian kemeja T dan seluar trek, kelapan-lapan penari termasuk Faezah Hanim duduk-duduk bersantai di bawah sepohon pohon ru yang besar di tepi stadium. Acara yang berlangsung usai majlis pembukaan rasmi adalah acara larian 100 meter lelaki bawah 18 tahun dan bawah 16 tahun. Acara balapan ini adalah acara yang paling digemari.

Oleh kerana Cikgu Amil dan Cikgu Fizah sudah membelanja penari-penari zapin sebiji burger seorang, Adik membeli sebiji lagi untuk diberikan kepada Faezah Hanim. Dia tidak sampai hati hendak makan sementara rakannya itu hanya memerhati. Adik memang seorang yang pemurah. Dengan kawan, dia tidak pernah berkira. Lebih-lebih lagi dengan Johari dan Faezah Hanim yang sememangnya sahabat karibnya sejak kecil. Kesembilan-sembilan pelajar itu bergelak ketawa dengan senda gurau Johari dan Adik. Kebingitan suara penonton di stadium yang bersorak memberi semangat kepada pelari-pelari yang berlumba tidak diendahkan oleh mereka. Faezah Hanim pula tidak kekok untuk bersama-sama dengan kumpulan mereka kerana Joyah dan Bedah juga berasal dari Kampung Peserai. Rumah mereka berdekatan antara satu sama lain. Berjamulah mereka di bawah pohon ru sambil menikmati angin petang yang berhembus.

“Arif dengan Ri balik dengan kita sajalah eh...ayah kita ambil kita petang nanti,” Faezah Hanim memberi cadangan. Serasa tidak puas bersama dengan kedua-dua rakannya itu.
Johari dan Adik berpandangan antara satu sama lain.
“Eh takpelah Faez...kita kena balik sekolah dengan cikgu kita,” ujar Johari.
“Alah jomlah, kita minta ayah kita hantarkan awak dua orang sampai depan rumah,” Faezah Hanim memang beria-ria memberi pertolongan.
“ Bukan kita orang tak sudi Faez. Tapi, basikal kita orang pun di sekolah. Sebab itu kena balik ke sekolah juga. Lagipun, mesti cikgu kita tidak benarkan sebab, kita datang sini dengan cikgu, mesti kena balik dengan cikgu juga,” Adik memberi penerangan panjang lebar kepada Faezah Hanim yang sudah menarik wajah masamnya.
“Ha-ah Faez, bukan kita orang tak mahu...janganlah kecil hati eh...,” pujuk Johari pula.
“ Janganlah masam muka...nanti, lepas-lepas ni, kalau kita orang free, kita datang rumah awak...atau, kita keluar pergi bandar sama-sama eh,” Adik pula cuba memujuk kerana wajah Faezah Hanim masih masam mencuka. Sahabatnya itu, konon saja tomboy, tapi kuat merajuk. Sedari kecil, memang kuat merajuk.
“Betul eh? Nanti awak datang rumah kita?”
Johari dan Adik tersenyum.
“Iya, iya...kita orang akan datang rumah awak. Awak mesti sediakan jemput-jemput bilis tau!” Adik berjanji sambil mengangkat tangan seperti orang yang berikrar.
Faezah Hanim mula mengukir senyuman.
“Haaa...macam itulah comel...kalau awak masam muka...tak comel langsung tau!” Dengan segera Johari memuji.
“Oklah...awak baliklah dulu. Jangan lupa doakan kita eh...esok, kirim salam dengan Kak Nora tau,” sempat Faezah Hanim berpesan sebelum mereka berpisah petang itu.
“Ok...nanti esok, awak main betul-betul. Malam ni, kita doakan awak masa kita jemaah kat surau...kita suruh Pak Hassan doakan awak sekali!” ujar Adik hingga Faezah Hanim ketawa terbahak-bahak. Amat lucu bila Adik berkata yang dia akan meminta Pak Hassan, bekas guru mengajinya turut sama mendoakan kejayaannya dalam perlawanan bola jaring esok pagi.

Ketiga-tiga sahabat itu akhirnya berpisah di pintu masuk stadium. Faezah Hanim akan menanti kehadiran ayahnya. Adik dan Johari pula berlari-lari menuju ke kereta Cikgu Amil. Waktu sudah pun menunjukkan ke pukul 5.00 petang. Mereka perlu segera pulang kerana mereka perlu mengambil basikal dan berkayuh pula untuk pulang ke rumah. Esok pagi, mereka akan menemani Kak Nora untuk mengandam.



“Dik...kau tak rasa ke apa yang aku rasa?” tanya Johari ketika berdua mengayuh basikal melalui jalan kampung untuk pulang ke rumah.
“Rasa apa pulak?”Adik  mengangkat kening sambil menoleh ke arah Johari yang sedang tersengih-sengih macam kerang.
“Alaaa, yang tadi tu.”
“Yang mana? Rasa burger?Adik  menjeling Johari sambil mengangkat keningnya.
“ Heh kau ni! Rasa burger buat hapa!”
“Habis? Rasa apanya? Rasa penat?” Adik menjeling Johari yang masih tersengih-sengih macam orang yang angau bercinta.
“Si Faez,” Johari mencuri pandang wajah Adik yang menumpukan perhatian kepada kayuhannya. Mereka mengayuh perlahan. Keduanya masih lagi kepenatan dengan aktiviti mereka sepanjang hari itu.
            “Ha...kenapa dengan Faez?”
“Kau tak rasa apa-apa ke?” Johari menggiat.
“Rasa apa, Ri? Kau ni, buat aku pening laaa.”
“Hish kau ni...susahlah. Kata saja orang seni...tapi, tak romantik langsung!” Johari memuncungkan bibirnya.
“Iyalah...sekejap kau tanya pasal rasa, lepas tu, kau cakap nama Faez...pening kepala aku.”
“Itulah maksud aku. Kau tak rasa apa-apa ke dengan Faez?” Johari tersengih semula.
Adik mengangkat bahu. Dia memang tidak faham apa yang Johari ingin cuba katakan.
“Ya ALLAH...kau ni memang lembab laaa, Dik!”
“Apa pulak? Memang aku tak faham laaa...hish kau ni.”
“Dik...kau tak rasa ke Faez tu syok dengan kau?” Johari kembali tersengih seakan dia yang dilamun cinta.
Adik  mengerutkan keningnya sambil menoleh memandang Johari.
“Apa pasal pulak kau cakap macam itu?”
“Itulah kau. Tak sensitif langsung laa. Kau tak perasakan ke cara dia tengok kau, cara dia jeling kat kau...aku perhatikan aje.”
“Dia pun buat macam itu juga dengan kau, Ri,” Adik cuba mengingatkan semula cara dan gaya Faezah Hanim.
“Hish...dengan aku biasa-biasa aje. Dengan kau...lain...lain sangatttt,” ujar Johari bersungguh-sungguh sambil tersengih-sengih.
“Faez kan memang macam tu. Dia memang anak manja. Dari kecik dia memang macam itulah,” Adik cuba menafikan.
“Eh...kau ni...masa kecik dulu lain, sekarang ni, lain, Dik. Lain sangat!”
“Takdelah, Ri. Faez memang macam itu, Adik cuba menekankan.
“Alah, susah laaa cakap dengan kau ni. Tak romantik langsung!” Johari menjeling dan memuncungkan bibirnya. Adik  juga menjeling Johari.
“Eleh...kau nak merajuk dengan aku, Ri? Sudahlah...kalau kau merajuk, tak comel tau tak! Kalau Faez tu, lainlah...,” Adik menyakat setelah Johari mendiamkan diri.
“Ohhh...aku tak comel! Faez tu comel? Iyalah kau ni...aku tahulah siapa aku,” cebik Johari.
“Hahaha...apalah kau ni, Ri?” Adik  hanya menggeleng-gelengkan kepala dengan gelagat Johari sambil tergelak kecil.

Kedua sahabat itu berpisah di hadapan rumah Adik. Johari meneruskan kayuhannya pulang ke rumah. Janji dimetrai yang mereka akan bertemu di rumah Kak Nora esok pagi kerana menurut Johari dia tidak akan ke surau untuk berjemaah malam nanti. Tidak larat kerana terlalu letih katanya.


Setiap hari Jumaat, malam Sabtu, Pak Imam surau Kampung Peserai biasanya menjemput ustaz dari luar untuk memberi tazkirah kepada para jemaah selepas solat isya`. Selalunya, Ustaz jemputan akan berjemaah bersama penduduk kampung sedari solat maghrib, mengetuai bacaan surah Yasin, solat isya` berjemaah dan kemudian memberi tazkirah selesai membaca doa selepas solat. Adik dan Kamaruddin masing-masing duduk di saf kedua. Ayah mereka, Abdul Ghani duduk di saf hadapan bersama-sama dengan Pak Bilal, Pak Noja Hassan dan beberapa lagi ahli jawatankuasa surau.

“Saya amat gembira melihat surau ini penuh dengan anak-anak muda. Umat Islam memang memerlukan generasi muda yang beriman, bertaqwa dan berani menegakkan kebenaran. Janganlah yang tua-tua sahaja yang berjemaah. Yang muda semuanya melepak di warong, di pasaraya, di kedai-kedai mamak. Kita perlu ingat, ajal dan maut, tidak kira tua atau muda. Ada yang tua, sakit-sakit, terlantar namun umur mereka masih panjang. Ada yang muda, masih tegap, masih kuat, sakit apa pun tidak ada, tup-tup kita dengar...sudah jadi arwah.”

`Entah manalah Abang Khalid...memang sudah lama tidak ke surau dan dengar tazkirah.`
 Tiba-tiba Adik teringatkan abang sulungnya. Memang sudah agak lama Khalid tidak bersama-sama mereka ke surau. Solat berjemaah bersama-sama ayah, Pak Imam dan jiran tetangga. Ayah selalu pesan, kita perlu berjemaah supaya hubungan kita sesama muslim itu menjadi erat. Jika kita perlukan apa-apa pertolongan, jika kita menghadapi berita-berita kematian, jika kita mengadakan majlis walimatul-urus, jemaah suraulah antara orang-orang pertama yang akan membantu kita.

Selesai tazkirah dalam pukul 9.30 malam, Adik, abangnya Kamaruddin dan beberapa anak muda sebaya dengannya membantu ayah menghidangkan air milo panas, mee hoon goreng, karipap sardin, kuih kosui dan lepat pisang kepada para jemaah dan Ustaz jemputan mereka malam itu. Ayah, Pak Noja Hassan, Pak Iman dan beberapa orang kuat surau beramah mesra dengan Ustaz jemputan yang rupanya-rupanya seorang Guru Besar Sekolah Agama di sebuah sekolah agama di Kampung Bukit Pasir, Batu Pahat.

Hampir ke pukul 10.30 malam, barulah jamuan mereka selesai dan Adik antara orang terakhir yang keluar meninggalkan surau. Memang sudah menjadi rutinnya, hampir setiap malam Sabtu, dia menjadi orang yang akan membantu Pak Bilal mengemas pinggan, gelas plastik dan melipat kembali sejadah-sejadah yang ditinggalkan. Abang Din, setelah perutnya penuh, dia segera meminta diri untuk pulang bagi menelaah pelajaran. Bulan Oktober nanti, Abang Din akan menduduki peperiksaan SPM.

Setelah Pak Bilal menutup suis lampu dan kipas surau, Adik sudah pun menyarung seliparnya. Pak Imam, ayah dan Pak Noja Hassan masih duduk berbual di tangga surau, menikmati hembusan angin malam dan bertiup.

“ Ayah, kita balik dulu eh,” Adik  memberitahu ayahnya dan menghulurkan tangan bersalaman dengan Pak Imam dan Pak Hassan. Ayah hanya mengangguk.
“ Saya pun, minta diri dululah Pak Iman...Ghani...” ujar Pak Hassan sambil perlahan-lahan bangun. Dia memegang-megang lututnya.
“ Masih sakit lagi, Bang Hassan?” tegur Abdul Ghani yang melihat Pak Hassan bersusah payah untuk bangun dan berdiri tegak.
“ Sudah tua-tua beginilah Ghani. Doktor kata, sudah kurang kalsium,” terang Pak Noja Hassan kepada Abdul Ghani dan Pak Imam yang mengangguk-angguk mengiakan.
“ Dik...kau temankan Pak Hassan sampai rumah dulu, lepas tu, baru kamu balik,” perintah ayah kepada Adik yang memang sudah memegang lengan Pak Hassan ketika orang tua itu cuba untuk bangun.
“ Iyalah, yah.”

Setelah Pak Hassan bersalaman dengan Pak Imam dan Abdul Ghani, berjalanlahA Adik dengan bekas guru mengajinya perlahan-lahan menuju ke rumah  yang tidak sampai 200 meter dengan surau.
“ Pak Hassan... .”
 “ Hmm...”
“ Malam ini, kalau Pak Hassan bangun sembahyang tahajjud doakan Faezah Hanim menang main bola jaring, ya...” ujar Adik sambil berjalan lambat-lambat mengiringi Pak Hassan.
Guru mengajinya itu tersenyum memandang Kamal Arif yang sudah lebih tinggi darinya. Dia masih teringatkan tubuh kecil anak ini yang kurus melidi ketika mula-mula belajar mengaji muqaddam dengannya hampir 10 tahun dahulu. Kulup saja wajahnya kerana memakai songkok yang agak besar. Sedari kecil hinggalah sudah jadi orang bujang, anak ini sangat taat padanya. Pak Hassan bersyukur kerana Abdul Ghani dan Salimah kiranya sudah berjaya mendidik anak ini menjadi lelaki yang beriman.

Orang tua yang bertubuh gempal itu, tergelak kecil, “ Kenapa kamu saja tidak doakan Faezah Hanim, Arif ?” tanya Pak Hassan.
“ Hmm...iyalah, saya akan doakan dia juga. Tapi, saya rasa, doa Pak Hassan lagi makbul dan diterima ALLAH,” jawab Adik jujur.
“ Arif...doa dari orang muda yang masih belum banyak dosa macam kamu ini, lagilah ALLAH terima. Kalau Pak Hassan ini, sudah tua, sudah lama hidup, sudah bermacam-macam dosa...mungkin ALLAH lambat hendak terima, nak.”

Adik  mengangguk. Insaf dengan keterangan Pak Hassan. Seingatnya, Pak Hassan ini adalah antara insan yang paling baik dan murni hatinya. Namun begitu, Pak Hassan tetap mengatakan dia banyak melakukan dosa. Pak Hassan ini rasanya, bunuh seekor semut pun tidak pernah. Dahulu, semasa kecilnya, pernah dia dan Johari memijak-mijak semut yang berderet di tangga surau. Pantas Pak Hassan melarang, kata Pak Hassan  “ jangan dibunuh tentera Nabi ALLAH Sulaiman tu.” Adik ingat sampai kini.

“ Lagi satu, sabda Rasululullah sallallah hualaili wassalam, antara doa-doa yang tidak ditolak, selain doa orang yang teraniaya, doa seorang ibu, doa seorang bapa kepada anaknya, doa seorang yang bermusafir, doa di malam lailatul qadar adalah...doa seorang sahabat, kepada sahabatnya,” sempat lagi Pak Hassan berusrah dengan Adik di dalam perjalanan singkat mereka.

Adik mengangguk. Bekas guru mengajinya tidak pernah jemu memberikan dia ilmu agama. Kasihnya kepada Pak Hassan sama seperti dia mengasihi ayah dan Tok Bidin. Semoga ALLAH menjanjikan syurga untuk Pak Hassan, bisik Adik di dalam hati.

Setelah menghantar Pak Hassan pulang ke rumah, Adik menyegerakan langkahnya untuk pulang. Baju yang hendak dipakai esok, masih belum bergosok. Kasut sekolah juga perlu direndam dengan clorox biar putih melepak di pagi Isnin nanti. Esok pagi, kasut perlu dijemur. Buatnya esok dan hari Ahad, hujan lebat, buat naya saja. Dia tidak mahu memakai kasut kotor untuk ke sekolah. Dia bukan macam Abang Khalid yang kasut kerja bau macam parit tengah bandar. Agaknya, kalau direndam kasut Abang Khalid dalam sungai, mati semua ikan di dalamnya!

Sampai di rumah, ayah sudah tersandar di hadapan televisyen menonton filem inggeris bersama emak yang sedang melipat baju. Kasih Alia pula sudah tertidur di hadapan televisyen sambil memeluk bantal. Abang Din sedang belajar di ruang tamu dengan segelas air kopi disisinya. Adik menutup pintu rumahnya sambil menyelak kunci di bahagian atas dan bawah. Dia menjengah ayah dan emak di ruang tengah lalu segera membuka suis lampu biliknya.

“ Dik... tak mahu makan malam?” Tegur emak. Memang dia belum makan nasi malam itu. Namun, perutnya kenyang dengan hidangan ringan di surau selepas tazkirah tadi.
“ Takpelah mak. Kita kenyanglah, makan mee hoon tadi,” jawabnya.
“ Huh...kalau aku tahu kau tak mahu makan, aku habiskan lauk ayam tadi,” ujar Abang Din bersahaja. Adik tersengih memandang abangnya yang hanya memakai baju singlet Pagoda dan berseluar track-suit.
Sorry lah, bang. Kita kenyang sebab petang tadi makan burger, cikgu belanja. Dah tu, malam tadi...makan mee hoon, karipap, lepat, minum milo...kenyang rasanya.”
“Apa kau tak makan ke di surau tadi, Din?” tanya emak kerana dia melihatkan Kamaruddin makan nasi lauk ayam masak merah hingga dua pinggan.
“Makan juga, mak...tapi mana cukup makan mee hoon aje,” Kamaruddin tersengih-sengih. Adik pula tersenyum. Seingatnya tadi, semasa di surau, Abang Din mengambil mee hoon goreng sampai dua mangkuk! Mentang-mentanglah ayah mereka AJK surau bahagian jamuan, selain membantu ayah menyiapkan air dan makanan, kelebihan dia dan Abang Din adalah menjamah dahulu makanan yang akan dihidangkan.

“Dik, pukul berapa kau nak ikut Kak Nora esok?” Emak bertanya lagi.
“ Kak Nora kata, kami bertolak pagi-pagi. Mungkin balik lepas asar, mak.”
“ Johari ikut juga, ke? ”
“ Mestilah mak. Dua orang inikan macam belangkas!” Belum sempat Adik menjawab pertanyaan emak, Abang Din sudah menjawab bagi pihaknya. Adik hanya tersengih. Dia segera menyelongkar baju melayunya yang berwarna kuning cair. Dia pasti di majlis pertunangan, akan ada kenduri doa selamat. Tidak manis pula jika dia hanya memakai kemeja T dan seluar jeans.

Ketika Adik sedang menggosok baju, ayah dan emak menonton televisyen, Kamaruddin menelaah pelajarannya, di Jalan Kluang, Khalid dan geng-geng motornya pula sedang berurusniaga.
“ Dari asrama anak yatim sampai sekolah vokasional, amacam? ”
“ Berapa orang?”
“ Satu team, 3 orang!”
“ Ok...seorang berapa?”
“ Satu team, dua ketul. Siapa menang, ambil semua. Nombor dua ke, tiga ke, tak kira.”
“ Ok...aku ON!”
 Janji dimetrai di antara kelima-lima ketua kumpulan geng-geng motor yang akan merempit dari Asrama Anak Yatim Batu Pahat sehingga Sekolah Menengah Vokasional di Jalan Kluang.

Khalid yakin dia akan menang malam ini. Minggu lepas dia baru sahaja menggantikan enjin motornya supaya boleh dipecut laju. Jika dia menang, dapatlah dia habuan seribu ringgit malam itu. Hasratnya untuk membeli topi keledar baharu, menukar rim motor yang baharu, membeli kasut dan membeli jaket kulit hitam di Johor Bahru. Beberapa ratus lagi mungkin digunakan untuk membelanja ahli-ahli kumpulannya yang lain.

Ngauman enjin motor kapcai bergema bila perlumbaan bermula. Khalid memecut di hadapan. Ada dua orang pelumba dari kumpulan lain yang mengekori rapat dari belakang. Khalid sempat menoleh. Dia tidak boleh memberi peluang kepada mereka. Dia perlu menjadi juara kerana tidak akan ada habuan untuk pelumba di tempat kedua atau ketiga.
 Lampu merah yang menyala di lampu isyarat Kampung Istana, tidak mereka pedulikan. Masing-masing memecut laju. Beberapa kereta membunyikan hon tanda tidak puas hati. Khalid tersenyum. Selepas Kampung Istana, dia akan melepasi dua buah sekolah lagi. Ketika dia melepasi Sekolah Menengah Tun Aminah, senyuman Khalid semakin lebar. Hanya beberapa meter lagi, dia akan sampai di garisan penamat. Dari jauh, sudah kelihatan beberapa motor yang menunggu untuk memastikan keputusan perlumbaan malam itu.

Khalid akhirnya berjaya menjadi juara malam itu. Dia adalah pelumba pertama yang tiba di Sekolah Menengah Vokasional, Batu Pahat. Ahli-ahli kumpulan BP ROCK bersorak ketika melihat Khalid membuat aksi `superman` di atas motornya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan