Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 30 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 18 - karya SASYA ZAINAL



USJ, Subang Jaya, Selangor
Pagi Sabtu


Suasana di luar jalan sana masih lagi hitam pekat. Hanya beberapa ketika kedengaran enjin kenderaan yang melalui jalan besar berdekatan dengan pangsapuri yang didiami mereka bertiga. Itupun kedengaran agak sayup dan hanya jika kereta, bas atau lori itu menderum kuat, barulah Adik boleh mendengarnya kerana kedudukan rumah Alice yang agak tinggi.

            Adik sudah terbangun sebelum azan subuh berkumandang. Tidurnya tidak begitu lena. Mungkin ini kali pertama dia tidur di dalam bilik tidur yang berhawa dingin. Johari menetapkan suhu penghawa dinginnya ke angka enam belas darjah celcius. Tubuh Adik menggigil kesejukan walaupun Johari sudah memberinya sehelai kain selimut yang agak tebal. Johari kononnya ingin berangan tidur di negara Eropah yang bersuhu sejuk. Dia tergelak besar ketika sahabatnya itu memberi alasan yang begitu. Ada-ada sahaja angan-angan Johari.

            “ Kau tak sejuk ke Ri?” tanyanya kepada Johari malam tadi ketika melihatkan sahabatnya itu menekan suis penghawa dingin.
            “ Alah Dik, kau anggap aje kita tengah tidur kat London! Hehe,” Johari menjawab soalannya sambil menarik selimut. “ Lagi satu, Ri...kau jangan ngompol pulak! Susah nak basuh cadar tebal kat apartment macam ni.” Sempat pula Johari berpesan sambil tersengih-sengih.
            “ Ahh kau ni! Takkanlah aku nak ngompol pulak!”
            Johari tergelak-gelak sambil memeluk erat bantal peluknya.

Johari memang tidak sudah-sudah dengan angan-angannya. Semasa mereka remaja dahulu, Johari membayangkan yang perahu abang Sahak atau abang Ajis yang mereka naiki itu adalah gondola dari Venice, Italy. Ketika mereka membuat persembahan di tarian zapin di Stadium Batu Pahat pula, Johari akan berbisik kepadanya,
 “Dik...bayangkan kita tengah buat show dekat Dataran Merdeka, KL!”
Ingat lagi dia dengan Faezah Hanim yang ketawa hingga keluar air mata kerana tidak tahan melayan angan-angan Johari.

Mungkin juga, dia tidak boleh lena malam tadi kerana ini kali pertama dia tidur sekatil dengan Johari sedangkan di rumahnya, dia tidur sendirian di katil bujang. Ketika di UiTM juga, dia tidur di katil bujang. Agak janggal sebenarnya pada diri Adik untuk tidur sekatil dengan orang lain walaupun itu sahabat karibnya.

Pesanan SMS yang diterima dari Faezah Hanim setelah dia dan Johari selesai makan malam dan membasuh pinggan mangkuk juga, adalah salah satu faktor yang menganggu lenanya. Hingga ke lewat malam dia berfikir, perlukah dia membalas SMS Faezah? Perlukah sekurang-kurangnya Adik memberitahu yang dia kini berada di Kuala Lumpur? Perlukah dia memberitahu Faezah yang dia akan mencari kerja di kota? Adik akhirnya mengambil keputusan untuk tidak menjawab atau membalas apa-apa pun.

 Salam Arif, minggu ini saya tidak balik BP. Nanti minggu depan, insya-Allah, saya balik. Kita jumpa ya.

Dia tahu, dia bersalah kerana hampir tiga minggu dia tidak menghubungi Faezah. Dia langsung tidak membalas emel ataupun SMS yang dihantar oleh Faezah Hanim kepadanya. Entah kenapa, dia berasa begitu kusut. Dengan masalah yang dihadapi, dengan hijrah barunya ke kota. Dengan dia tidak punya sebarang kerja lagi, dia ingin memutuskan sementara komunikasinya dengan Faezah Hanim. Dia tahu, amat salah dan tidak adil untuk dia memperlakukan Faezah Hanim sedemikian rupa.

Tetapi, Faezah Hanim itu seperti Kak Nora. Dia tidak boleh menipu dengan kawannya yang seorang itu. Jika Faezah menyoal siasat tentang kejadian apa yang menimpa hingga dia nekad untuk ke Kuala Lumpur, dia pasti terperangkap. Faezah akan mengorek rahsia itu hingga ke akar umbi. Faezah seakan-akan boleh mengesan gerak tubuhnya. Faezah Hanim itu boleh mengesan nada suaranya yang sedih, yang gembira, yang sayu. Malah nada suaranya yang cuba melarikan diri dari menjawab soalan pun, Faezah akan dapat mengesannya. Kemudian, akhirnya Faezah akan tahu juga.

Faezah Hanim itu selayaknya harus jadi penyiasat atau mata-mata gelap Polis Di Raja Malaysia. Jika dia bertanya, akan dipastikan dia mendapat jawapan. Tidak puas dengan itu, akan disoal-selidik macam-macam hingga semua cerita terburai keluar. Selepas Faezah tahu, dia pasti hal itu akan sampai pula pada pengetahuan Kak Nora. Jika Kak Nora tahu, alamatnya...emak dan Kasih Alia akan tahu. Dia tidak mahu hal itu sampai ke pengetahuan emak.  

Walaupun berita itu fitnah semata-mata, dia tidak mahu emak, ayah, Kak Nora atau Faezah tahu. Setakat ini, biarlah dia, Johari, abang Khalid dan si penabur fitnah yang tahu cerita itu. Cerita yang amat pahit untuk ditelan. Cerita yang membuatkan dia mengambil jalan nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur walau tidak ada kerja yang menanti. Sangkanya, di zaman moden ini, di zaman tahun dua ribu ini, tidak akan ada fitnah yang sebegitu berat. Untuk menidakkan fitnah itu pula, dia tidak ada bukti, dia tidak ada saksi. Jadi, biarlah dia lari. Walaupun mungkin, apabila dia melarikan diri, seolah-olah fitnah itu adalah cerita benar. Biarlah, ALLAH maha mengetahui. Dia yakin, suatu hari, ALLAH pasti akan menunjukkan kebenaran.

            Dia bingkas bangun mencapai tuala dan membuka perlahan-lahan pintu bilik Johari untuk menuju ke bilik air. Adik terus mandi dan berwuduk. Dia kembali semula ke bilik tidur. Terus dia menyarung kain pelikat, memakai kemeja T dan mengambil sejadah untuk bersolat di ruang tamu. Dia pasti, waktu subuh sudah masuk ketika dia mandi tadi. Ditutup semula pintu bilik tidur yang dingin itu. Dia kurang enak untuk bersolat di bilik tidur kerana kiblatnya betul-betul mengadap katil. Jika katil itu kosong, tidak mengapa juga. Tetapi Johari sedang enak tidur dibungkus selimut tebalnya yang berwarna merah jambu.

            Selesai solat, seperti biasa, dia berzikir. Adik membaca surah Al-Fatihah, ayatul qursi, Al-Kafirun, Al-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas. Jika ketika ini dia bersolat subuh di surau bersama-sama dengan ayah, Pak Hassan, Pak Bilal dan beberapa penduduk kampung yang lain, pak imam pasti akan mengadakan tazkirah singkat pada waktu pagi. Selalunya tazkirah diadakan pada pagi hari Sabtu atau Ahad, ketika ramai penduduk tidak keluar bekerja. Ketika saf jemaah melebihi dari tiga baris. Selalunya, hanya golongan warga emas sahaja yang memenuhi surau kampung di waktu subuh. Selesai membaca surah-surah lazim, Adik mengangkat tangan berdoa. Dia mendoakan keselamatan dan kesejahteraan ayah, ibu, abang-abang dan adiknya, Kasih Alia. Dia juga mendoakan keselamatan dan kesejahteraan sahabat-sahabatnya.

            Waktu baru menunjukkan pukul 6.30 pagi ketika Adik melipat sejadah. Dia tidak pasti, pukul berapa Johari akan bangun. Hendak dikejutkan Johari untuk bersolat juga, dia merasa serba-salah sedangkan dia tahu, itu adalah satu kewajipan. Akhirnya, Adik mengambil keputusan membuat apa yang patut. Dibukanya tingkap-tingkap ruang tamu dan dapur. Dia mengambil alas pinggan yang terletak di dalam laci kabinet dapur dan disusun di atas meja makan. Adik juga mengambil piring-piring, mangkuk sup dan gelas lalu disusun di atas meja.

            Sedang Adik membancuh air teh susu di dapur, datang Johari dengan rambut yang kusut masai sambil tuala mandinya tersangkut di bahu kanan. Johari memakai pyjama tidur berwarna biru muda dengan corak-corak teddy bear berwarna coklat. Agak lucu dia melihat keadaan Johari ketika itu.

            “ Pukul berapa kau bangun, Dik?” tegur Johari sambil membetulkan rambutnya yang mengerbang. Getah rambut yang memang tersedia di pergelangan tangan, digunakan untuk mengikat rambutnya.
            “ Sebelum azan subuh aku dah terjaga,” jawabnya seraya meneguk air teh susu yang sudah siap dibancuh.
            “ Ohh...kau tak lenyak tidur ke?”
            “ Tak adalah,” dia berbohong. “Aku memang bangun pagi. Tapi, memang aku kesejukan. Sejuk sangat sampai tak tahan kaki tangan aku menggigil.”
            Johari tersengih, “ Nasib baik kau tak ngompol.
            “Heh kau ni, melampau! Kau ingat aku budak kecik ke?” Dia tidak ambil hati dengan gurauan Johari. Mereka memang biasa begitu. Sedari kecil bergurau mesra.
“Kau kena biasakan diri tidur dalam bilik sejuk tu, Dik.” Dengan nada selamba Johari berkata.
            “Kenapa pulak?” Keningnya berkerut sambil tangannya mengenggam kuat mug yang berisi teh susu panas yang dibancuhnya tadi.
            “Iyalah, nanti senang kalau aku nak bawa kau jalan-jalan kat London! Kau tak laa pengsan kesejukan!” jawab Johari sambil tersengih-sengih dan berlalu pergi ke bilik air.
            Adik tersengih-sengih sambil menggeleng-gelengkan kepala.
            “ Berangan aje kau tak sudah-sudah, Ri!” Sempat dia membalas kata-kata Johari sebelum temannya itu menutup pintu bilik air.
            “ Biar berangan dulu, nanti tak lama lagi jadi kenyataan, Dik!” Boleh lagi Johari menjawab walau dia sudah memasuki bilik air dan bersedia untuk mandi.

            Adik menggeleng-gelengkan kepala. Dia tersengih sendirian. Johari memang kuat berangan sedari kecil. Selain kuat berangan dia juga suka menyanyi. Baru sahaja Adik terkenangkan perihal Johari yang tidak berubah sedari kecil, sudah kedengaran Johari membuat konsert di dalam bilik air. Adik tersengih lagi.

            Kedua-dua sahabat itu saling bantu-membantu di dalam penyediaan sarapan pagi mereka. Adik hanya menurut arahan Johari. Dia diminta mencincang bawang putih hingga betul-betul lumat. Kemudian bawang putih yang hanya dua tiga biji itu dicampur bersama dengan butter. Setelah siap, Adik perlu menyapu butter bawang putih itu kepada kepingan roti. Johari meminta dia menghabiskan sebantal roti yang dibelinya semalam. Johari pula menyiapkan sup ayam cendawannya dan cucur udang istimewa.
           
“ Dik...macam kita masak-masak kat dapur rumah mak aku masa kita sekolah dulu ek?” Tanya Johari kepada Adik yang sedang menyapu sapuan butter bawang putih pada sekeping roti putih.
Adik tersenyum, “Haah...best kan masa tu?”
Johari mengangguk.
  Masa kecik, kita main pondok-pondok, bawa biskut dan air teh dan kita letak dalam bekas mainan masak-masak si Ani, ingat tak Ri?”
“ Ingat...mana tak ingat. Lepas tu, bila aku dah pandai goreng cucur, kita masak betul-betul kat rumah aku pulak, ” Johari mengimbau kenangan zaman di kampung.
“ Dik...Faez tahu kau ada di KL?” Sambil mengadun bawang besar, lada merah dan daun sup yang siap dicincang di dalam adunan tepung, Johari memandang Adik serius.

Adik membalas pandangan Johari dan menggeleng perlahan.
“ Faez tahu ke hal ni?” Johari bertanya lagi.
Geleng.
“ Kau tak nak beritahu dia? ”
Adik mengangkat bahu.
“ Kasihan Faez. Dia mesti tercari-cari kau nanti.”
“ Sebenarnya semalam, Faez SMS aku,” nada suaranya perlahan.
“ Habis, kau tak balas?” Berkerut kening Johari memandang Adik yang sedang duduk di kerusi makan sambil tangannya memegang pisau mentega.

Adik melepaskan keluhan sambil meletakkan sekeping roti yang sudah siap disapu di atas sekeping pinggan makan. Dia mengambil sekeping lagi roti untuk disapu.
“ Aku tak tahu nak mula cerita dari mana dengan Faez. Kau tahulah, dia tu nanti, banyak soal jawab. Pening kepala aku jadiknya,” Adik menerangkan.
“ Bila agaknya kau bersedia nak beritahu dia ek? Kasihan makcik tu.”
“ Entahlah Ri...aku pun tak tahu. Tapi, biarlah dulu. Aku tengah cuak nak pergi temuduga hari Isnin ni nanti,” Adik tidak mahu berselindung dengan Johari tentang kegusaran hatinya.

“ Alah...rileks lah...aku dah beritahu boss aku. Dia tahu kau kawan aku. Insya-ALLAH, mesti dapat. Kau datang interview  tu, buat syarat aje. Kau memang dah dapat dah kerja tu,” Johari menyakinkan sambil tersenyum memandang Adik.
“ Heh, kau ni, biar betul?” Adik memandang Johari seakan tidak percaya.
“ Iyalah! Kau ingat aku main-main ke?” Johari menjawab selamba sambil menuang udang kering yang siap ditumbuk.

Adik memandang Johari tidak berkelip-kelip. Anak matanya tepat memerhati Johari seakan harimau yang mahu menerkam mangsa.

“ Eh...yang kau renung aku macam nak telan aku ni dah kenapa?” Berkerut kening Johari membalas renungan Adik sambil memberhentikan tangannya yang mengacau adunan tepung dengan udang kering tadi.
“ Kau janganlah bagi aku harapan kosong, Ri.” Adik menarik muka mengharap Johari tidak menipu padanya.
“ Laa haula wala...aku ni, pernah bohong kau ke, Dik? Cuba cakap dengan aku?” Johari meletakkan periuk adunan di atas kaunter kabinet dapur dan mencekak pinggang.
Adik menggeleng perlahan.
“Haa...dah tu? Yang kau cakap-cakap aku bagi harapan kosonglah...biar betullah...dah kenapa?” Suara Johari seakan tidak puas hati kerana Adik menaruh sangsi padanya.
“Takkan senang sangat...,” suaranya sayu. Sungguh dia tidak menyangka, rupanya, apabila dia berhijrah ke Kuala Lumpur, sudah ada kerja yang menanti buatnya.
“Dik...,” Johari juga menurunkan nada suaranya kerana dilihat air muka Adik berubah. “ALLAH bagi dugaan yang besar untuk kau...jadi, mungkin inilah pembalasan ALLAH bagi orang yang sabar macam kau. Kau tak balas pun orang yang fitnah kau. Kau ambil keputusan untuk berdiam diri dan terus datang sini. Baik hati kau, Dik. TUHAN sayangkan kau,” Johari berusrah sambil mengambil kembali periuk adunan tepung cucur udang.

Air mata Adik bergenang. Dipandangnya wajah Johari – sayu.
“Terima kasih, Ri. Kaulah sahabat aku dunia akhirat, ” sebak dadanya ketika menuturkan kebenaran itu.
Johari tersenyum memandang sahabatnya.
“Semuanya ALLAH dah susun, Dik. Aku cuma tolong kau, apa yang mampu.”
Adik mengangguk dan mengelap air matanya yang tumpah menggunakan lengan bajunya.
“Dah...kau jangan nak meleleh kat sini macam mak Neng pulak, Dik. Karang masin pulak garlic bread  aku!” pesan Johari bersungguh-sungguh hingga Adik kembali tersenyum. Kedua-dua sahabat itu akhirnya menyambung tugas masing-masing.

Johari sedang menggoreng adunan cucur udang yang terakhir ketika loceng letrik rumah Alice berbunyi.
“Dik...bukakan pintu Dik. Mesti si Diana dengan Kajol tu. Kau ambil kunci rumah yang aku sangkut belakang pintu tu eh,” Johari memberi arahan kepada Adik yang tadinya memerhatikan Johari memasukkan sejemput demi sejemput adunan tepung ke dalam kuali panas.
Adik bergerak ke pintu hadapan. Kunci diambil dan dia membuka pintu kayu rumah Alice.

Apabila pintu dibuka, kelihatan di hadapannya dua orang wanita yang cantik. Seorang berbadan agak gempal. Memakai blaus berwarna hitam dan skirt labuh berwarna kuning. Lagaknya seperti seorang datin. Di lehernya terdapat seutas kalung mutiara sebagai aksesori. Seorang lagi, mempunyai tubuh yang langsing. Dia juga mempunyai wajah pelakon hindustan yang terkenal- Kajol. Matanya pun bulat besar seperti Kajol. Alis matanya lentik walau Adik dapat merasakan yang dia tidak memakai maskara. Kulitnya juga agak gelap namun licin berseri. Dari pengamatan Adik, mungkin Kajol ini seorang yang berbangsa India.

“ Haiii you alls! You must be Adik, kan?” tanya Kajol girang. Perangainya juga persis Kajol dalam filem Kuch Kuch Hota Hai.
Adik tersenyum dan mengangguk. Dia akui, dia agak gugup. Dia segera membuka mangga pintu rumah Alice.

“Masuklah...Ri kat belakang tu,” ujar Adik sambil membuka pintu dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Diana dan Kajol. Mereka menyambut tangannya sambil tersenyum. Kajol bersalaman serta terus memeluk Adik erat. Adik tergamam. Dia membatukan diri, tidak pula dia cuba membalas pelukan Kajol.

“Nama mak, Diana you alls, ” jelas rakan Kajol yang seperti ‘mak datin’ itu kepada Adik yang masih lagi kaget melihat perwatakan kedua-dua rakan Johari.
My name is Kajol. Kita orang nak panggil you, apa?” Tanya Kajol meriah. Dia memakai baju kemeja T bersaiz kecil berwarna oren dengan tulisan Peace No War  di dada dan seluar jeans ketat.
“ Panggil dia Adik aje!!!” laung Johari dari dapur. Memang suara Diana dan Kajol yang agak kuat, boleh didengari dari dapur.

“ Yoooo hoooo....you alls! Mak dah datang ni!” Diana masuk ke rumah dan memanggil Johari sambil meletakkan beg tangannya lalu terus menuju ke dapur. Jalannya lenggang-lengguk.

Gaya mereka seperti mereka sudah biasa bertandang ke rumah Alice. Kajol yang membawa dua botol air oren Peel Fresh pula meletakkannya di atas meja yang sudah siap terhidang dengan roti bawang putih, sosej ayam, sup ayam serta cendawan dan air teh O.

You alls! Oh my God! You alls buatkan cucur udang untuk mak ke? Ohhhh  I Loooveeee! ” Diana memegang dadanya seakan-akan terperanjat melihat sebakul cucur udang enak yang sudah siap digoreng.

“ Dah tu, korang asyik menyamuk kat telinga aku hari-hari minta benda alah ni...kang kalau aku tak buat kan...meleleh pulak air liur korang!” Johari petah menjawab.
“Haah you alls. Dah lama mak mintak tau...kalau mak mengandung, menjejeh aje air liur anak mak nanti tauuu,” kata-kata Diana membuatkan Johari ketawa terbahak-bahak. Begitu juga dengan Adik dan Kajol yang turut sama ketawa dengan kenyataan Diana.

Adik hanya tersenyum-senyum kambing melihat telatah mereka. Sungguh ini adalah pengalaman yang baru untuknya.

“Juls...mak memang suka sangat kat cucur udang you alls tau!” Diana mengambil sebutir dan terus memakannya, “ Oh my God...heaven sangat you alls! ” Matanya dipejam rapat seperti dia sedang menikmati makanan paling enak dalam dunia.

“ Puaslah hati you, Dee?” Kajol bertanya sambil memerhati gelagat Diana yang sedang menikmati cucur udang Johari. “You know what Juls...aku dengan Dee cari kat banyak pasar malam, tak jumpa tau. Kau punya memang terbaik laaa Juls,” jelas Kajol sambil mengambil sebuah majalah Vogue yang terletak di bawah meja ruang tamu.

“ Memanglah takde jual cucur udang macam ini kat pasar malam! Sampai kiamat pun kalau you alls cari tak ada. Aku letak udang besar ibu cari, letak udang kering lagi,” jelas Johari sambil menggoreng adunan yang terakhir.

“ Eh...si amoy mana? Tidur ke? ” Diana bertanya sambil berjalan ke ruang makan lalu melabuhkan punggungnya di salah sebuah kerusi di meja makan. Adik yang tadinya memakai kain pelikat telah menukar kain itu dengan sepasang seluar track. Entah kenapa, dia merasa janggal hendak memakai kain pelikat cap gajah itu di hadapan Diana dan Kajol. Kain pelikat itu hanya sesuai dibuat untuk sembahyang di kalangan jemaah lelaki. Keluar dari bilik, dia juga mengambil tempat di meja makan yang sudah terhidang di atasnya dengan pelbagai makanan.

“Amoy tidur le. Macam you alls tak tahu si burung hantu tu,” Johari yang menjawab pertanyaan Diana sambil meletakkan semangkuk besar cucur udang yang sudah siap digoreng.
“Pergi laa kejutkan dia... I dah lapar ni,” Kajol mengarahkan sambil dia juga menuju ke meja makan setelah meletakkan majalah Vogue di atas meja bulat di ruang tamu.

Adik memandang Johari.
“Nanti kejap, bagi akak minum air seteguk dulu, haus dari tadi kat dapur aje memasak...kepanasan aku.” Johari faham dengan pandangan Adik. Adik mungkin berasa segan hendak mengejutkan Alice di dalam bilik. Maklumlah mereka baru berkenalan semalam.
Diana yang sudah duduk di kerusi meja makan bangun dan menyeluk beg tangannya yang besar. Dikeluarkan telefon bimbit miliknya.

You nak telefon siapa pulak tu, Dee?” tanya Kajol yang sedang membakar dua keping roti bawang putih di tempat pembakar roti yang diletakkan berdekatan dengan meja makan. Bau semerbak aroma roti itu membangkitkan selera mereka.
Diana tidak menjawab sebaliknya, dia memberi jelingan kepada Johari dan Kajol.

Weiii...nee how marrr...,” tiga pasang mata memandang Diana yang sedang bertelefon. “Haaa...Dee laaa ni. Bangun laa Moy...kita orang semua sudah lapar tau...you kalau lambat...mak makan semua ni...haaaa baru you tauuuu....tapi mak tak nak laaa buat macam tu, kan Moy. Nanti kang, kalau koyak kain skirt mak ni? Haaa...korang ada saiz ke nak bagi mak pinjam?” Adik, Johari dan Kajol tersengih-sengih mendengar kata-kata Diana.
“Hah? Nak mandi dulu? Dah tak payah! Cepat keluar dari sarang you tu! Tak payah nak mandi-mandi...kita orang tunggu ni. Bye Moy.” Diana seraya menekan punat End Call, “Dah kejap lagi si nyonya tu keluar. Dia basuh muka kejap,” jelas Diana kepada tiga orang rakannya yang menanti dia menghabiskan perbualannya dengan Alice.
           
You  telefon Amoy, Dee? Biliknya tak berapa langkah aje, kau ni buang bil aje...,” kata Johari sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.

            “Habis? Kau orang nak suruh mak masuk bilik dia dan kejutkan dia? Kang kalau dia nampak mak yang seksi ni...dia jadi Wong Ah Leng dan peluk mak, macam mana you alls? Heee....kes naya tauuu! Mak tak rela you alls!” Diana membela perbuatannya sambil memberikan jelingan kepada Johari.

            Ketiga-tiga rakan itu terus tergelak besar dengan kenyataan Diana lebih-lebih lagi apabila dia menyebut nama sebenar Alice.

            Tidak sampai lima minit selepas Diana menelefon Alice, tuan rumah itu keluar dan menyertai mereka di ruang makan dengan mata yang sepet dan sembab.

            “Apa yang you alls semua ketawakan tadi?” tanya Alice dengan suara yang serak-serak basah macam itik serati.
            “Takde apalah Moy...kau tahulah kalau si Dee ni kalau dia datang...boleh pecah rumah kita Moy, ” Johari menjelaskan sambil menyenduk sup ayam cendawan untuk diberi kepada rakan-rakannya.
            “Eleh...tapi kau orang tetap suka, kan kalau mak datang rumah kau orang? Mak kan DIVA!” Diana menjeling Johari sambil mengibaskan rambutnya yang separa bahu itu.
            “Iyalah, iyalah, Diva laaa sangat...yang Julia Roberts masuk dapur buatkan cucur udang special ni, kau jangan lupa pulak!” Johari menjeling Diana.
            Amoy dan Kajol terkekeh-kekeh ketawa.
            “Eh...mak tak lupakan kau, Juls! Kau memang satu-satunya pelakon Hollywood yang pandai buat cucur udang ni tauuu!”
            “Chop! Habis yang Kajol bakar roti ni? Kau orang lupakan ya?” Kajol membesarkan mata memandang rakan-rakan yang menanti Johari membahagikan sup cendawan di dalam mangkuk sup.
            “Iyalah...iyalah...kita orang tak lupalah kat kau,” Diana pantas menjawab.
“Abang Shah Rukh tak ikut sekali?” Terus pula dia bertanya kepada rakannya yang bermata besar itu.
            “Abang Shah Rukh tengah berlakon dengan Rani Mukherjee, nyah!” Jawab Kajol selamba. Alice, Johari dan Adik tersengih-sengih. Diana pula sudah pun mencicah roti bakar di dalam sup cendawan yang diberi oleh Johari sebentar tadi.

            Adik lebih banyak memerhati dan tersenyum. Dia masih baru dalam suasana sosial sebegini. Dia tidak menyangka yang dia akan mengenali Alice, Diana dan Kajol. Kesemua mereka mempunyai perwatakan yang sama. Kemuanya seperti Johari. Meriah, peramah, kelakar, baik hati dan suka berangan. Hati Adik terhibur. Terubat juga rasa rindu mengenangkan insan-insan yang ditinggalkan di kampung. Dia memang benar-benar teruja dengan pengalaman baru ini. Tetapi jauh di sudut hati, dia terkenangkan emak. Sewaktu menjeling ke arah jam dinding besar rumah Alice, waktu sudah menunjukkan jam sepuluh pagi. Dia terbayang wajah emak. Dia teringatkan Kak Nora. Pasti Kak Nora sedang menggubah barang hantaran ataupun pergi mengandam di hari-hari minggu begini.

            ‘Pasti emak sedang menyidai baju atau menyiapkan barang-barang untuk masak tengahari.’ Adik menarik nafas panjang. Rindu menggamit lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan