Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 12 Jun 2016

ADUH, PENING! - BAB 28



DIA memandu mengikut kelajuan yang dibenarkan. Emak mertuanya sakit, kenapa dia tidak boleh berada di sisi emak mertuanya? Kenapa dia disisihkan? Jangan merajuk Aleeya, bertindak sahajalah. Dia terpaksa mengambil cuti kecemasan. Nasib baik kerjanya sudah dibereskan lebih awal. Aleeya memandu pulang ke kampung suaminya. Biarlah Nadia ada di sana sekalipun. Apa dia peduli. Dia yang lebih berhak. Bukan perempuan itu. Pedulilah!
            Sampai di laman rumah keluarga mertuanya hampir tengah hari. Dia langsung tidak berhenti berehat. Janji cepat sampai. Di laman rumah kampung itu berdereta kereta pelbagai jenis. Ramai sungguh yang datang menziarahi emak mertuanya. Dia mematikan enjin kereta dan melangkah keluar. Kereta suaminya juga ada di situ.
            “Leya?” sapa kakak iparnya yang buat muka terkejut.
            “Kak long,” balas Aleeya. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan kakak iparnya itu.
            “Baru nak datang? Ingatkan nak tunggu sampai mak meninggal baru datang!” bentak satu suara.
            Aleeya memandang ke arah muka pintu. Kakak ipar keduanya sedang mencekak pinggang memandangnya dengan mata membuntang. Macamlah dia buat salah besar.
            “Kak ngah! Leya baru aje sampai, biarlah dia berehat dulu!” tegur kak long.
            “Uh! Ingatkan adik kahwin lagi, hidup boleh bahagia, tetapi lain pula jadinya!” lengking kak ngah lagi.
            Semakin tidak keruan Aleeya jadinya. Apa pula yang kakak ipar keduanya itu merepek ini? Suaminya tak bahagia ke berkahwin dengannya? Galau seketika hatinya. Berdebar jantungnya.
            “Dahlah, Leya... pergi masuk. Mak ada di dalam bilik. Tak usah layan cakap kak ngah tu,” suruh kak long lalu menarik Aleeya masuk ke dalam rumah.
            “Kak long!” jerkah kak ngah.
            “Apa bising-bising ni? Malu kat tetamu,” tegur Haji Raub yang muncul tiba-tiba.
            Kak ngah mencebik, menjeling tajam, memandang Aleeya bagaikan pemangsa yang sedang menunggu masa untuk dibaham.
            “Leya, masuklah. Mak ada kat dalam bilik tu. Dah sedar pun. Kenapa susah-susah balik ni?” Haji Raub memandang wajah menantunya yang kelihatan serba salah selepas disergah oleh anak keduanya. Garang tidak bertempat si angah ni, bisik hati kecil Haji Raub.
            “Ayah.” Aleeya menghulurkan tangan dan bersalaman dengan bapa mertuanya.
            Aleeya melangkah masuk. Ramai tetamu berada di ruang tamu rumah itu. Dengan orang perempuan Aleeya menghulurkan tangan untuk bersalaman. Dengan lelaki, dia hanya menunduk hormat. Uh! Matanya tepat menikam wajah Nadia yang duduk di sisi emak mertuanya. Siap tolong picitkan tubuh emak mertuanya. Mata mereka saling berpandangan. Aleeya mengerling. Tidak mahu membina sengketa di rumah itu. Biarlah dipendam rasa sakit di hatinya.
            “Leya? Kenapa datang?” Ikmal menarik tangan Aleeya dan menuju ke dapur.
Kak long sedang membancuh air. Aleeya hanya melakarkan senyuman.      
            “Kenapa Leya tak boleh datang? Kan mak tengah sakit?” Aleeya memandang suaminya. Apa yang tidak kena dengan suaminya ini? Dia tidak boleh datang, tetapi bekas isterinya boleh pula? Erk… bukan mereka ke yang datang meminang dia? Bukan dia yang terhegeh-hegeh hendak berkahwin sangat. Kalaulah dia tahu akan jadi seperti ini, rela dia hidup sendiri sehingga ke akhir hayat.
            “Kan Nadia dan anak-anak ada sini, kalau abang nak Leya datang, dari awal lagi abang bawak!” kata Ikmal tegas. Mukanya merah padam. Pasti masalah baru akan muncul. Bertambahlah tiga bulan lagi. Uh! Memang menyusahkan! Inilah padahnya jika tidak dengar arahan.
            “Kalau dia orang ada, kenapa pula? Apa salahnya?” Aleeya hilang sabar.
            “Mereka tak suka Leya ada kat sini! Takkan tak faham!” Ikmal mencekak pinggang.
            “Lepas jengah mak, Leya akan terus balik. Abang jangan risau!” Aleeya mengetap bibir. Hatinya tambah terluka dan kecewa. Aleeya angkat kaki dan berlalu pergi. Dia terus masuk ke bilik mertuanya. Pedulilah jika Nadia masih di situ. Itukan emak mertuanya dan hanya bekas emak mertua Nadia. Siapa yang lebih berhak? Aleeya langsung tidak memandang wajah Nadia yang menjegilkan mata merenungnya tajam. Lantaklah, kalau tersembul pun, peduli apa dia! Kau punya mata, kau punya suka.
            “Mak,” sapa Aleeya lembut. Dia duduk di sisi emak mertuanya. Diraih tangan wanita itu. Dikucup perlahan.
            “Leya, mak ingatkan tak sudi jenguk mak,” kata Hajah Hanizahh, memandang wajah Aleeya dengan penuh kasih dan sayang.        
            “Leya ada kerja sikit, tulah datang kemudian. Ini pun terpaksa balik semula ke Kuala Lumpur. Ambil cuti separuh hari aje,” kata Aleeya mereka cerita sendiri. Kalaulah dia jadi penulis seperti penulis Aleya Aneesa penulis Alaf 21 bagus juga. Manalah tahu boleh terkenal. Nama dia dan penulis itu pula kebetulan sama. Sudah popular baru bekas isteri suaminya dan suaminya sekali tahu, siapa dirinya. Uh! Nak tulis surat cinta pun susah, inikan nak karang dan reka cerita berkajang-kajang panjangnya. Tak kuasalah.
            “Mak dah sihat? Macam mana boleh pengsan?” tanya Aleeya. Tangannya lembut memicit lengan emak mertuanya.
            “Tekanan darah rendah, itu yang pengsan,” jawab Hajah Hanizahh dan terbatuk-batuk kecil.
            “Mak tak payahlah bersembang dan bercakap. Mak rehat ajelah,” tegur Nadia. Matanya bagaikan sebilah pedang menunggu waktu sahaja hendak memancung kepala Aleeya.
            Aleeya memegeng lehernya sendiri. Uh! Duduk menghadap Nadia bagaikan menghadap Jin berkepala tujuh saja. Seram pula rasanya.
            “Tak apa, batuk sikit aje Nadia.” Hajah Hanizah cuba bangun dan bersandar di birai katil.
            Aleeya membantu Hajah Hanizah duduk.
            Nadia mencebik dan memuncungkan bibirnya.
            Lantak kaulah, Nadia!
            Hampir sejam Aleeya duduk bersembang dengan emak mertuanya. Cukup masa, dia meminta diri. Langsung tidak berpamitan dengan suami tercinta. Dia memandu semula, pulang ke Kuala Lumpur. Hujan renyai di luar, dia hujan di hati.
Sampai hati abang, bisik hatinya yang sedang berlagu duka.  Ikmal langsung tidak mahu memandang wajahnya sewaktu dia memandang lelaki itu melalui dalam kereta. Jangan merajuk Aleeya, semua ini dugaan semata-mata. Dia perlu bersabar dengan dugaan ini. Tidak boleh lemah, tidak boleh mengalah. Kalau dia lemah dan mengalah, Nadia akan menang dengan mudah. Dia tidak akan benarkan itu berlaku. Anak-anak tirinya juga langsung tidak mahu bersalaman dengannya waktu dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan mereka. Jahat benar ke dia? Aleeya mengesat air mata yang mengalir laju. Dia terus memandu laju, meninggalkan duka di kampung suaminya yang tercinta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan