Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 7 Jun 2016

ADUH, PENING!- BAB 23



ALEEYA menahan sendu, dia berpura-pura berdengkur. Dia dapat melihat sendiri apa yang sedang berlaku. Memanglah salah dia mengintip suaminya sendiri. Kalau tidak diintip, dia tidak tahu suaminya ke mana. Hendak bertanya, dia takut. Nanti suaminya salah anggap pula. Orang lelaki, kalau isteri terlalu ambil tahu, mereka tidak suka. Jadi, dia tidak mahu menjadi seorang isteri yang terlalu menyibuk akan urusan suami sendiri. Nasib baik Lin, Ina dan Ros sudi menemankannya. Dari kejauhan, dia melihat sendiri mereka berbual mesra. Siap main lap-lap bibir lagi. Pegang tangan lagi. Aduh, boleh merana seumur hiduplah kalau masalah ini berlarutan!

DIA dan rakan-rakannya menyorok di gerai berhampiran. Dapat melihat dengan jelas wajah suami tercinta. Boleh melihat dengan jelas Nadia yang bermanis manja dengan suaminya. Mereka berempat berpakaian ala-ala pelancong dari timur tengah. Siap bertudung labuh, berkaca mata hitam. Malam-malam pakai kaca mata hitam? Lantak, janji suaminya tak kenal. Mula-mula mereka marah juga dipaksa berpakaian seperti itu, tetapi akhirnya diam setelah berasakan keselesaannya. Aleeya tersenyum sendiri.
            “Kak, bukan main mesra lagi mereka, kak… siap ketawa bagai!” kata Lin yang sudah menggenggam penumbuk.
            “Uhuh!” Aleeya menekup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Tahan tangisan sendiri. Jangan menangislah, jangan cengeng sangat, nasihatnya pada diri sendiri.
            “Mak ai! Kak... lap bibir pula!” Ros mencekak pinggang, geram pula dia tengok.
            “Wa! Wa! Akak boleh nangis menongeng ni!” kata Aleeya tidak berani memandang, takut dia tidak sabar dan menyerang pasangan dan anak-anaknya itu.
            “Kenapa menongeng pula, kak? Ada cacing ke?” kata Ina kehairanan.
            “Kau ingat budak kecik ke?” Aleeya menampar belakang Ina yang duduk di sebelahnya.
            “Hisy, suka buat ayat poyolah kau ni, Ina…” Lin mengerling.
            Ina tersenyum.
            “Laa… kak, suami akak pegang tangan janda dia. Habislah akak, saling bertentang mata pula tu.” Ina menjegilkan mata memandang pasangan itu.
            “Hah!” Aleeya membesarkan kanta matanya. Aduh, suamiku! jeritnya dalam hati.
            “Habislah kak… kalau sudah bermain mata…” Lin menggeleng laju.
            “Dari kerana mata… yang mempunyai kuasa! Oh, aku tergoda, aku tergoda terkecewa, dari kerana mata…” nyanyi Ros perlahan.
            “Hoi! Akak suruh skodeng bukan tambah kuah dalam nasi!” Aleeya memeluk tubuh. Berdebar jantungnya, bergetar sukmanya menahan marah. Geram, benci dan semuanya ada bersatu hati. Sampai hati suaminya, sanggup mempermainkan perasaannya. Kata tak nak kembali dengan Nadia, tetapi dalam diam, sanggup bermain api.
            “Mana ada kuah, kak! Nasi pun tak pesan lagi,” ujar Ina, dia membetulkan tudungnya.
            Lin menampar Ina di pipi. Bagi sedar.
            “Apalah yang kau merapu, labi!” usik Lin.
            “Siapa Labi?” Ina bertanya kehairanan. Dia memandang sekeliling. Setahunya, Labi tu watak dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Mana ada Labi di sini. Ada dia, Lin, Ros dan Aleeya.
            “Kaulah Labi,” kata Lin sambil menekankan suaranya.
            “Kalau aku Labi, kau tu Labu!” Ina tidak mahu kalah dalam mengusik kawan-kawannya.
            “Hoi! Dah habis main sandiwara. Labulah, labilah, kura-kura kot!” Aleeya mencebik.
            “Maaflah, kak… jangan marah hah! Nanti cepat tua,” pujuk Ros. Dia memeluk bahu Aleeya yang terasa bahang membakar.
            “Kak, demam ke? Badan akak terasa panaslah.” Ros merasa dahi Aleeya, tidak pula panas.
            “Akak sedang panas terbakar dalam hatilah!” Aleeya mengetap bibir. Memandang wajah suaminya dan Nadia dengan hati yang terbakar hangus.
            “Kak… mereka makan sambil kerling-mengerlinglah, kak… dah macam orang bercintalahlah pulanya,” kata Lin. Matanya terus melekat ke arah Ikmal dan Nadia.
            “Jangan pandai-pandai buat andaianlah!” Aleeya kurang senang.
            “Maaf, kak. Tak dengar mereka cakap apalah, kak… nanti kita intip pakai alat perisikan yang lengkaplah, kak. Misi kena bagi jelas dan berjaya. Setakat baca gerak bibir, takut silap terjemahan,” kata Ina pula.
            “Kau ingat nak tangkap apa? Penjual senjata haram atau pengedar dadah?” Aleeya menggeleng kepala. Boleh tahan poyo juga kawan-kawannya ini.
            “Bukan ya?” Ina ketawa mengekek.
            “Jangan serius sangat, kak. Memanglah hati sakit. Tapi nak buat macam mana, kita tengokkan ajelah ya.” Lin mengenyit mata.
            “Apa kata kita pesan makanan. Nanti tuan punya kedai syak, kita duduk sini dah setengah jam, tapi tak pesan apa-apa,” cadang Ros.
            Aleeya mengerut dahi. Baru dia perasan, sejak mereka sampai, belum pesan apa-apa makanan atau minuman. Terlampau teruja nak mengintip suami sendiri hingga lupa perut kawan-kawannya. Dia memandang sekali imbas. Suaminya sedang melayan anak-anaknya, mereka bergurau senda. Persis keluarga bahagia. Ya ALLAH, aku masih belum mampu memberi zuriat kepada suamiku, detik hati kecilnya.
            “Pesanlah makanan, akak belanja,” arah Aleeya. Terus terang, dia tak mampu nak makan atau minum apa-apa. Tekaknya tidak akan mampu menerimanya. Hatinya sedang lara sendiri. Dua minggu dia tidak dapat bercakap dan berbual dengan suaminya. Rupa-rupanya suaminya bersantai gembira dengan bekas isteri dan anak-anaknya. Dia jugalah yang sepi sendiri. Sampai hati suaminya. Kejam sungguh. Hancur luluh hatinya. Lebur sudahkah istana cinta mereka? Ops! Jangan gopoh Aleeya, kena selidik betul-betul. Takkan tak kenal suami sendiri, kan? Aleeya beristighfar berkali-kali.
Suaminya bukan seperti itu. Mesti ada sesuatu yang berlaku sehingga menyebabkan suaminya terpaksa melayan Nadia dan anak-anaknya. Mungkin juga hari lahir salah seorang anak mereka, kan? Tekanya dalam hati. Matanya tidak berhenti-henti memandang ke arah pasangan yang bergurau senda bagaikan sebuah keluarga itu. Memanglah hancur hatinya. Tetapi, tidak bolehlah serkap jarang. Kena bertanya kesahihannya. Kalau benar keluar daripada mulut suaminya, sudah tidak sudi bersama dengannya, senang cerita.
            “Kak! Berangan jauh nampak?” tegur Lin. Makanan yang dipesan sudah terhidang. Lama sungguh kawannya itu mengelamun. Banyak sangat yang difikirkan.
            “Hah!” Aleeya mengangkat kening. Ke mana dia pergi tadi ya? Ingatkan sudah berlabuh di pelabuhan kecewa, rupanya masih ada ruang dan peluang jika dia terus kuat dan berpegang teguh dengan kata hati sendiri. Dia yakin, suaminya masih sayangkan dirinya. Dia yakin ada sesuatu yang disembunyikan oleh suaminya. Tetapi, apakah ia? Hanya Ikmal yang mampu menjawabnya.
            “Meh, makan dulu! Jangan nak berlapar ya. Kalau akak lembik dan tak kuat, macam mana nak lawan perempuan yang teguh macam pendekar tu?” Nasi goreng pattaya kegemaran Aleeya ditolak dekat dengannya.
            “Makan! Suami akak makan sampai habis, akak kena makan juga! Jangan sampai Nadia tengok akak kurus dan muka pucat lesi sebab kecewa,” kata Ros memberi semangat. Bahu Aleeya diusap lembut.
            “Akak kena kuat. Kena tabah, kak. Ini dugaan untuk menguji kasih sayang akak suami isteri. Berdiri teguh di belakang suami akak. Jangan goyah. Takut-takut nanti, akak bercakaran macam harimau di rumah, Nadia ambil kesempatan jadi tukang pujuk dan penambah rasa. Waktu itu siapa yang rugi,” kata Ina memberi semangat.
            “Betul, betul, betul!” tambah Ros. Laju dia menyuap nasi goreng ke dalam mulut.
            “Apa pun terjadi, akak kena berani, kena bersemangat menyelamatkan rumah tangga akak. Biarlah ada anak sepuluh orang pun, Ikmal tetap suami akak seorang.” Lin menyengih.
            Aleeya menangis. Dia menangis bukan kerana suaminya sedang bercengkerama dengan Nadia, tetapi dia menangis kerana dikurniakan kawan-kawan yang mampu memujuk dan menyejukkan hatinya yang sedang lara itu.
            “Laa… kenapa menangis?” Ros memeluk bahu Aleeya sekali lagi. Dia peluk dengan erat.
            “Akak terharu sebab kau orang baik sangat dengan akak. Kalaulah akak ada adik atau abang lelaki tiga orang, pasti akak suruh masuk meminang kau orang bertiga.” Aleeya mengesat air matanya.
            “Hah! Tak sudilah nak jadi adik ipar atau kakak ipar akak. Buat pening kepala aje. Hari-hari jumpa, di rumah, di pejabat, di jalan, di mana-mana sahaja,” gurau Lin.
            “Amboi! Jual mahal nampak!” Aleeya menjegilkan mata.
            Mereka serentak ketawa, ceria semula.
            Aleeya bergerak pulang ke rumah setelah melihat suaminya bergerak bersama anak-anak dan Nadia. Untung dia sampai ke rumah dahulu, kalau tidak pecah tembelangnya. Seperti kata kawan-kawannya, dia perlu kuat berdiri kukuh di belakang suaminya. Memang pun dia tidur menghadap belakang suaminya. Aleeya tersenyum sendiri. Air mata yang membasahi pipi disapu perlahan.
Aleeya akan tunggu jawapan daripada abang tentang apa yang berlaku, detik hati kecilnya. Matanya dipejamkan perlahan-lahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan