Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 18 Jun 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 24 - ROHANI DERAMAN



Malam itu selesai menunaikan solat isyak, telefon bimbit Kamaruzaman berdering. Dia tersenyum senang. Dia dapat agak siapa pemanggilnya. Ini disebabkan nombor yang digunakan itu adalah nombor baharu. Tidak ada orang lain yang tahu selain Firdaus sekeluarga. Jadi, Kamaruzaman memang tahu itu adalah panggilan dari mereka.
“Assalamualaikum abah!” Suara Firdaus begitu lunak di hujung talian.
Hati Kamaruzaman berbuai riang.
“Waalaikumussalam Fir. Budak-budak semua sihat, Fir?”
“Alhamdulillah. Abah macam mana?”
“Abah pun sama. Angin kampung telah menguatkan jantung abah. Abah segar di sini. Bila Fir nak ke sini. Buah-buahan tengah masak sekarang. Baik bawa budak-budak tu,” kata Ahmad Adham.
Sepi. Tidak ada suara Firdaus menyambung kata.
“Kenapa Fir? Ada yang tak kena?” tanya Kamaruzaman, curiga.
“Abah, tiap-tiap hari Abah Adham dan Ibu Tina menelefon Fir. Fir dah tak sanggup nak berbohong dengan mereka lagi. Fir kasihan dengan mereka, abah. Tambah-tambah lagi, mereka dah keluar dari rumah itu.”
“Hah? Tapi kenapa?” Kamaruzaman tersentak. Kencang denyutan jantungnya.
“Entahlah. Mereka kata mereka tak akan balik ke rumah itu selagi Muhayat tak minta ampun dan berbaik dengan abah. Keadaan semakin kelam kabut, abah.”
Kamaruzaman terdiam lama. Dia tidak menduga begitu besar kasih Ahmad Adham dan Kartina kepadanya. Dia tidak berharap mereka bertindak senekad itu. Kenapa mereka buat begitu?
“Abah, kita kena selesaikan hal ini sebelum ia menjadi lebih melarat. Abah Adham kurang sihat. Kata ibu, dia amat tertekan kerana tak dapat berhubung dengan abah. Dia rasa bersalah sangat dengan kelakuan Muhayat pada abah,” sambung Firdaus lagi.
Kamaruzaman semakin terharu. Lehernya rasa tercekik dan air matanya bergenang. Beberapa bulan dia cuba melupakan semuanya. Dia berharap ketiadaannya akan menjernihkan suasana. Rupa-rupanya, yang berlaku adalah sebaliknya.
“Mereka tinggal di mana?”
“Sekarang, mereka tinggal di hotel. Mereka kata...” Firdaus sebak. Suaranya tidak mampu dikeluarkan.
“Fir, apa yang mereka kata?” Kamaruzaman semakin bimbang dan cuak serta tidak sabar untuk mendengar cerita seterusnya.
“Mereka akan pergi jauh kalau tak dapat jumpa abah. Mereka nak berhijrah ke luar negara. Abah, tolonglah. Jangan lari lagi dari keadaan ini. Mari kita selesaikan sama-sama.” Suara rayuan Firdaus didengarnya amat bergetar dan bersungguh-sungguh.
“Abah tak pernah lari, Fir. Abah cuma nak beri mereka hidup gembira seperti sebelum mereka jumpa abah,” tingkah Kamaruzaman.
“Tapi itu tak berlaku, abah. Keadaan menjadi sebaliknya. Ibu Tina dan Abah Adham semakin bersedih. Tolonglah abah. Beri peluang mereka jumpa abah.”
Akhirnya rayuan itu meruntuhkan benteng hati Kamaruzaman. Dia lalu memberi izin kepada Firdaus untuk memberikan nombor telefonnya dan memberitahu Ahmad Adham dan Kartina di mana dia berada. Tidak sanggup dia membayangkan Muhayat hidup sendirian tanpa ibu dan ayah angkatnya itu. Tidak sanggup dia memutuskan silaturrahim yang sedia utuh itu.
Selepas perbualan dengan Firdaus usai, Kamaruzaman merebahkan dirinya di atas katil. Fikirannya kembali gelisah dan bercelaru. Persoalan Ahmad Adham, Kartina dan Muhayat sedang berselirat dengan rasa simpatinya kepada nasib keluarga Pak Tahir.
Akhirnya, Kamaruzaman terlena di celah-celah kegelisahannya.
Sepagi-pagi selepas usai solat subuh, Kamaruzaman duduk di kerusi malas yang mengadap ke tingkap. Dia menyambung menungannya. Dia masih melayan resahnya.
Dia terkenangkan Ahmad Adham dan Kartina. ALLAH telah mengatur semuanya dengan yang terbaik. Kartina sudah diberikan jodoh yang baik dengan Ahmad Adham. Muhayat sudah mendapat keluarga yang bahagia. Namun, kenapa ALLAH masih mempertemukan mereka di saat-saat hari tua mereka. Apakah hikmah yang sedang ALLAH tetapkan untuk semua itu?
Tiba-tiba telefonnya berdering. Tanpa berlengah, dia menjawab dengan salam.
Diam. Senyap. Langsung tidak ada suara dari hujung talian.
“Adham? Awakkah itu?” tanya Kamaruzaman. Dadanya mula berdebar.
Tidak ada jawapan. Namun Kamaruzaman tahu itu adalah panggilan dari Ahmad Adham. Nombor yang tertera adalah nombor telefon Ahmad Adham.
“Saya tahu, itu awak. Adham, cakaplah Adham.”
“Sampai hati awak, Zaman...” Tiba-tiba suara Ahmad Adham kedengaran bergetar sebak.
“M... maafkan saya, Adham. Saya tak berniat nak buat awak dan Tina bersedih. Niat saya tulus,” jawab Kamaruzaman, ikut sebak. 
“Awak tak perlu larikan diri dari kami. Bukan awak penyebab semua yang berlaku. Awak tak bersalah. Hanya Muhayat yang kurang sabar dan kurang periksa,” balas Ahmad Adham pula.
“Adham, jangan kata macam tu. Dia tak salah.”

“Sudahlah Zaman. Kami tak nak fikirkan hal itu lagi. Awak tak perlu buang kami dari hidup awak. Awak lupa janji kita masa di Australia?”
“Maafkan saya. Saya memang tak pernah lupa. Tapi...”
“Zaman, saya tak nak paksa awak. Kalau benar awak dah bencikan kami berdua, tak apalah. Kami akan pergi jauh. Mungkin itu lebih baik. Untuk awak dan Hayat,” potong Ahmad Adham dengan cepat.
“Adham, janganlah tinggalkan Muhayat kerana saya. Dia masih mentah. Berikan dia peluang.”
“Kami memang sedang berikan dia peluang, tapi awak? Awak langsung tak beri kami ruang dan peluang. Awak...” Kali ini Ahmad Adham terhenti. Benar-benar dia dilambung rasa.
Kata-kata Ahmad Adham begitu mendera
Kamaruzaman semakin lara.
Dadanya bertambah gelora.
“Adham, saya minta maaf. Saya janji tak buat lagi. Sampaikan salam saya pada Tina. Saya harap kita akan diketemukan lagi,” kata Kamaruzaman, di celah esakan kecil.
“Saya akan datang ke sana. Kalau benar awak jujur dengan kami, awak tak akan menolak kedatangan saya.”
“Datanglah. Bila-bila masa. Saya akan tunggu awak. Dengan segala besar hati saya tunggu awak, Adham. Datanglah...” kata Kamaruzaman bersungguh-sungguh. Dia memang berkata jujur.

Selepas talian dimatikan, hati Kamaruzaman tiba-tiba mekar dengan rasa senang. Lalu dengan segera dia menelefon Firdaus. Dia minta Firdaus uruskan kedatangan tetamu istimewanya itu.
Kemudian bibirnya menguntum senyuman. Sangat senang.
“Abang nampak gembira ni, kenapa?” tanya Rukiyah yang muncul di hadapan pintu.
“Ru, nanti kemaskan satu bilik. Abang ada tetamu istimewa dari Ipoh.” Mata Kamaruzman bercahaya.
Rukiyah angguk. Namun dalam hatinya, tertanya-tanya tentang siapakah gerangan yang istimewa itu. Mesti sangat istimewa. Kalau tidak, takkan wajah Kamaruzaman begitu ceria gembira.
“Dia bekas isteri abang, Ru,” kata Kamaruzaman dengan selamba.
Rukiyah tersentak.
“Isteri abang kan meninggal dunia. Bekas yang mana pulak ni?” tanya Rukiyah, beranikan hati.
“Dia isteri pertama abang. Abang ceraikan dia selepas berkahwin dengan isteri kedua. Masa tu abang masih muda. Ikut darah muda. Buat keputusan ikut nafsu,” jawab Kamaruzaman, mengaku dengan tulus.
Kali ini Rukiyah terlopong. Cerita ini tidak pernah didengarnya sebelum ini.
“Kesian dia. Kerana saya dia bawa diri hingga ke Ipoh.”
“Dia orang sini?”
“Ya. Orang Kota Tinggi. Tapi dia tak ada keluarga. Dia dibesarkan oleh mak ciknya. Selepas kami kahwin, mak ciknya meninggal. Kemudian abang pula aniaya dia,” jawab Ahmad Adham. Kali ini suaranya perlahan. Dia menahan sebak.
“Ada anak?” Rukiyah semakin ingin tahu.
“Ada. Seorang anak lelaki. Sekarang dah dewasa. Dah dua puluh lapan tahun. Saya baru saja kenal anak saya tu, Ru.”
Rukiyah semakin keliru. Memang sebelum ini semua orang tahu, anak Kamaruzaman hanya Firdaus. Tidak pernah ada nama lain selain itu.
“Maksud abang, sejak kecil abang tak pernah jumpa dia?”
“Bukan saja tak pernah jumpa, malah abang tak tahu pun abang ada anak. Ketika bercerai, rupanya Kartina mengandung. ALLAH Maha Besar, sebelum abang tutup mata DIA ketemukan abang dengan anak abang itu. Tapi...”
Wajah Kamaruzaman kembali muram. Tiba-tiba kepiluan menjentik hati. Derap kaki kedengaran mendekat.
“Ada apa ni? Nampak serius saja?” Amin masuk ke ruang tamu.
“Eh, kau naik apa Min? Tak dengar pun bunyi enjin motor kau?” tanya Kamaruzaman cuba mengalihkan perhatian.
“Saya kayuh basikal bang. Motor saya mogok. Ada di bengkel Wak Sam.”
“Eh, semalam abang nampak okey saja?”
“Malam tadi balik dari masjid dia meragam sikit. Pagi ni, terus tak boleh hidup. Itu yang saya sorong ke bengkel tu. Enjin dah tua, bang. Dah nak kena tukar Harley Davidson agaknya!” jawab Amin dengan ketawa.

Kamaruzaman ikut ketawa. Semua kepiluan yang baru menyentuh hati, relai.
“Apa yang abang dan Ru sedang bualkan?” tanya Amin.
“Ada tetamu nak datang. Abang Zaman minta Ru kemaskan bilik,” jawab Rukiyah.
Amin angguk. Dia nampak berpuas hati dengan jawapan itu.
“Jadi ke rancangan kita nak ke rumah Pak Tahir tu bang?” tanya Amin pula selepas lama berdiam.
“Eh, jadi. Kau dah cakap dengan mereka kita nak datang?”
“Tak bang. Tak apa, kita pun belum pergi sejak Pak Tahir keluar dari hospital.”
Hati Rukiyah tiba-tiba cuak. Bolehkah hajat dan rancangan Kamaruzaman itu diteruskan selepas cerita yang baru didengarnya itu?

                
KAMARUZAMAN duduk bersila dengan selesa di lantai rumah papan itu. Di sebelahnya ialah Amin sementara Pak Tahir dan Mak Jah duduk berdepan dengan mereka. Kemudian Siti Solehah keluar dengan membawa sedulang minuman. Setelah meletakkannya dia masuk semula ke dalam.
Mereka berbual santai. Minuman yang dihidang juga dijamah dengan selera.
“Pak Tahir, kami datang ni ada hajat besar,” kata Amin selepas segala gemuruh reda.  

“Hajat apa, Min?” tanya Pak Tahir pula. 
“Begini Pak Tahir. Abang Zaman ni cuba nak bantu keluarga Pak Tahir. Dia kasihan tengok Siti yang terpaksa menoreh sedangkan dia seorang yang pandai. Siti tak sepatutnya berada di kebun getah. Dia sepatutnya ada di kampus,” jawab Amin.
“Benar tu Tahir. Abang simpati dengan nasib keluarga ini dan masa depan Siti,” kata Kamaruzaman pula.  
“Jadi?” Pak Tahir merenung semua tetamu. 
Amin gelisah dan tidak berani meneruskan kata-katanya. Dia menoleh kepada isterinya Rukiyah. Masing-masing berpandangan. Kamaruzaman pula tunduk merenung lantai. Dia juga sedang menahan kegugupan.
“Begini bang, kami datang kerana nak merisik Siti,” kata Rukiyah, agak gugup.“Untuk siapa Ru?” tanya Mak Jah yang duduk bertentangan dengan Rukiyah. Diam. Rukiyah menelan air liur.
Amin pula menahan debar di dada.
Kamaruzaman menatap wajah kedua-duanya dengan mata mengharap.
“Untuk abang, Jah.” Kamaruzaman tahu memang dia sedikit kurang ajar dan kurang adab dalam hal itu. Namun, dia terpaksa menutup kegugupan Amin dan Rukiyah.
Pak Tahir dan Mak Jah saling berpandangan. Wajah mereka mula berubah.
Amin dan Rukiyah menjadi gelisah. Debaran jantung di dada masing-masing seperti ombak yang sedang membadai pantai di musim tengkujuh. Kuat dan berhaburan!

Kamaruzaman pula cuba bertenang.
“Ru, Amin, apa maknanya semua ini? Kenapa begitu sekali kamu berdua menghina kami... ” Tiba-tiba Mak Jah  teresak. Esakan itu amat menyentuh tangkai hati Rukiyah. Dia faham perasaan seorang ibu.
“Bukan macam tu Mak Jah. Kami tak ada niat nak menghina. Abang Zaman berniat jujur,” kata Amin sambil membetulkan duduk. Dia rasa perlu membetulkan apa yang sedang difikir oleh suami isteri itu. Tidak. Kamaruzaman tidak menghina. Dia ikhlas.
“Benar Jah. Abang jujur nak membantu. Tak ada niat lain selain membantu Siti,” kata Kamaruzaman.
“Jujur yang macam mana? Siti tu baru 21 tahun! Apa yang abang fikir? Siti tu macam anak abang kan?” Suara Mak Jah meninggi. “Jah, dengarlah dulu,” kata Kamaruzaman pula.
“Nak dengar apa bang? Abang memang sengaja nak hina kami. Mentang-mentang kami miskin dan tak upaya, abang cuba ambil kesempatan.”
“Bukan macam tu, Jah. Sikitpun tak terniat di hati abang nak buat macam tu,” balas Kamaruzaman, semakin tenang.
“Habis tu kenapa?” tanya Mak Jah semakin kasar.
Kamaruzaman diam seketika. Dia tahu dia sedang berhadapan dengan situasi sukar. Dia tahu dia perlu bermain dengan perasaan seorang ibu.
“Abang buat ni semua demi rasa simpati dan tanggungjawab sesama bangsa dan agama. Tidak ada cara untuk dia membantu keluarga ini.”
“Abang boleh bersimpati, tapi tak kan sampai nak kahwin dengan Siti? Siti tu budak lagi, sedangkan abang...” Mak Jah tidak sanggup menghabiskan ayatnya. Dia tunduk sebak. Dia rasa sedih dan terhina sangat. Macamlah Siti itu barang yang boleh dibuat sesuka hati.
“Abang minta maaf, Jah. Tapi, Jah dengarlah dulu cakap abang. Abang ada alasan yang logik dan dah fikir panjang sebelum buat keputusan ini.”
Suasana sepi seketika. Pak Tahir, sejak tadi hanya memerhati dan mendengar. Walaupun dia terkejut dengan permintaan Kamaruzaman itu tetapi dia tidak tergesa-gesa menolak tanpa mendengar semuanya hingga ke akhir bicara.
“Tahir, Jah, abang tahu kamu berdua mesti terkejut dan anggap abang melampau. Sebenarnya, abang nak mengelak dari fitnah orang. Abang nak Siti sambung belajar. Abang nak dia teruskan cita-cita dia. Tapi, kalau abang nak bantu macam tu saja tentu Siti tak nak. Abang juga tak nak ia jadi buah mulut dan fitnah orang. Jadi, lebih baik Siti jadi isteri abang dulu. Kemudian dia baru sambung belajar. Abang janji tak akan aniaya dia. Kalau dia dah berjaya, abang akan ikut apa yang Siti nak. Abang janji,” kata Kamaruzaman bersungguh-sungguh.
Pak Tahir tunduk berfikir. Mak Jah mengesat air matanya.
“Betul tu Mak Jah. Siti sendiri tak nak terima pemberian tanpa sebab. Betul kata Abang Zaman, kalau dia bantu begitu saja memang akan timbul bermacam masalah dan fitnah orang. Tapi, kalau Siti menjadi isterinya hal itu tidak akan berlaku. Abang Zaman nak Siti menyambung pelajarannya ke universiti. Itu tujuan asalnya,” sokong Amin, sangat mengharap agar Pak Tahir dan Mak Jah faham.  
Mak Jah terdiam seketika. Apa yang difikirkan oleh Kamaruzaman adalah logik. Namun, perlukah melalui perkahwinan? Apa kata masyarakat?
“Siapa kata tak ada fitnah, Min. Nanti mereka akan kata kami menjual anak semata-mata nak cepat kaya. Satu kampung akan mengutuk dan mengata kami,” kata Pak Tahir.
“Benar kata Pak Tahir kamu tu, Min. Kami akan semakin difitnah,” kata Mak Jah pula.
“Kalau Mak Jah nak dengar cakap orang, sampai mati pun mereka tak habis bercakap. Kalau kita senang pun mereka mengata, kalau susah mereka pun tak tolong!” celah  Rukiyah.  
“Kami tak nak paksa Kak Jah terima lamaran ini. Berbincanglah dengan Siti sendiri dan kami akan terima apa juga jawapannya,” kata Amin tidak mahu mempertahankan hajat mereka.
“Benar Jah. Bincanglah baik-baik dengan Siti. Ini bukan hajat yang mendesak. Ambillah berapa banyak masa.” Kamaruzaman menyampuk.
Siti Solehah mendengar semuanya dari sebalik pintu. Dia faham dan tidak berkecil hati. Namun dia masih keliru dengan hajat Kamaruzaman itu. Kenapa lelaki itu ingin membantunya? Apakah muslihatnya?
Beberapa hari hal itu senyap begitu sahaja. Mak Jah tidak bersungut dan Pak Tahir pula tidak menyebutnya. Namun Siti Solehah masih dilanda gelisah dan keliru.
Selepas sebulan, baru hal itu diperkatakan.
Malam itu, Pak Tahir berbaring sedangkan Mak Jah mengurut-urut kakinya. Siti Solehah pula duduk di sebelahnya dengan tenang.

“Kita tak boleh nak biarkan orang tunggu keputusan kita. Kita kena beri jawapan samada terima atau tidak,” kata Pak Tahir selepas memberitahu Siti Solehah apa yang dihajati oleh Kamaruzaman.   
“Kamu fikirlah Siti. Kami tak akan paksa kalau Siti tak suka,” kata Mak Jah.
“Ayah memang tak nak Siti berkorban sejauh itu untuk kami. Rasanya kami ni melampau sangat jadi ibu bapa. Kalau kamu menolak pun kami tak akan marah dan kecil hati. Fikirlah dulu.”
Siti Solehah hanya tenang dan diam saja.
“Kita tolak saja kalau Siti tak suka,” kata Mak Jah.
“Mak, berikan Siti masa dulu. Banyak perkara yang Siti nak fikir. Nanti kalau Siti dah ada jawapannya, Siti akan segera jawap.”
Akhirnya, Mak Jah dan Pak Tahir terpaksa akur dengan permintaan Siti Solehah. Mereka tidak berani memaksa. Tidak berani untuk membuat keputusan menerima dan menolaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan