Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 10 Jun 2016

ADUH, PENING! - BAB 26



KALAU jumpa Perdana Menteri pun rasanya perasaan takut tidaklah sampai terasa hendak keluar apa sahaja yang ada di dalam tubuhnya. Air mata pun rasanya hendak keluar juga ini, tetapi ditahannya. Purdah telah dibuka sejak tadi lagi. Mahu rasanya dia menyorok di sebalik tiang mahkamah di Putrajaya itu. Wajah kawan-kawannya sudah seperti ikan pecah perut. Masing-masing kelihatan gelisah. Apalah jawapan yang boleh mereka beri tentang cara pemakaian mereka hari ini. Macam mana pula boleh bertembung? Aduh! Sakit kepala jadinya. Pening, pening.
            “Kenapa ni, Leya? Apa yang awak buat ni? Pakai purdah, berjubah bagai? Nak hina orang yang pakai macam ni ke?” herdik Ikmal. Matanya membuntang memandang wajah isterinya yang seorang ini. Melihat cara mereka berpakaian rasanya dia pernah tengok di beberapa tempat. Dahinya berkerut. Adakah isteri dan kawan-kawannya itu mengintipnya dan Nadia? Ikmal menyandar di kerusi. Mereka terpaksa ke Alamanda kerana hanya tempat itu sahaja yang ada untuk bersantai atau nak marah orang. Uh!
            “Taklah, mana ada! Saja nak cuba, manalah tahu jika hati saya terbuka untuk pakai macam ni. Tentu abang suka, kan?” Aleeya menyengih. Hatinya terasa bergoncang kuat. Seperti kena gempa bumi pula.
            “Kenapa Lin? Cuba cakap?” Ikmal memandang wajah Lin yang duduk di sebelah isterinya.
            “Yalah, Encik Ikmal. Kami sedang cuba berpakaian seperti muslimah sejati. Tak ada niat apa-apa pun,” luah Lin dengan muka selamba. Jangan menggelabah. Bertenang, bertenang, tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan.
            “Yalah tu! Leya tak pernah cakap dengan abang pun?” Ikmal kurang percaya. Hendak ke isterinya berpakaian seperti itu? Kerja di pejabat kerajaan, mereka benarkan ke? Dia mengeluh.
            “Alah, Encik Ikmal... jangan syak wasangka. Kami tak lakukan perkara tak baiklah.” Ros menyengih. Hatinya sendiri berdebar-debar. Kalau silap cakap boleh kantoi keempat-empat mereka.
            “Ya, betul, betul, betul!” Ina mengangguk laju. Sudah seperti burung belatuk sahaja.
            Aleeya memandang wajah kawan-kawannya. Mereka boleh buat muka selamba, macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia pula terasa seperti nak beranak sulung pun ya juga. Takutlah oi! Kalaulah suaminya tahu yang dia mengintip pergerakan dan segala perlakuan Ikmal dan Nadia pasti dia akan dimarahi. Janganlah ada sesiapa yang melatah, kalau tidak habislah!
            “Boleh percaya ke ni?” soal Ikmal.
            “La… kenapa pula tak boleh percaya? Ingat kami ni kaki penipu ke, apa?”  Lin mencebik. Dia memeluk tubuh. Memanglah mereka buat tidak baik, mengintip itu kan perbuatan yang tidak baik. Tapi bukan ada niat nak mencederakan sesiapa, apatah lagi nak membunuh, kan?
            “Leya…” Ikmal memandang wajah Aleeya yang menunduk. Entah apa yang dipandang.
            “Erk… ya bang?” Aleeya membalas pandangan suaminya. Dia tersenyum.
            “Pergilah buka jubah tu…” suruh Ikmal. Telefon bimbitnya berdering.
            Aleeya mencebik. Sudah pasti bekas isteri suaminya yang menelefon. Hendak sebut janda terasa hina diri sendirilah pula. Biarlah dia sebut dengan cara yang lebih hormat, walaupun dia tahu, Nadia tidak pernah menghormati haknya sebagai isteri Ikmal.
            “Abang dah janji dengan anak-anak nak tengok pameran bunga. Mereka dah sampai. Leya balik dengan kawan-kawan ya?” kata Ikmal dengan wajah manis manja.
            Aleeya mengeluh. Wajah ceria suaminya buat hatinya tidak senang. Adakah rasa cinta yang sudah lama berkubur, hidup semula? Uh! Nau’zubillah… minta dijauhkan.
            “Abang pergi dulu. Jangan nak intip-intip abang. Tak perlu. Abang tahu jaga diri abang,” sambung Ikmal lagi sebelum berlalu meninggalkan Aleeya dan kawan-kawannya.
            Sebak dada Aleeya. Sanggup Ikmal meninggalkannya hanya kerana perempuan itu menelefon? Dia siapa? Perempuan itu siapa? Hatinya tercalar luka. Remuk jiwanya. Bernanah sukmanya. Mahu sahaja dia meraung di situ. Menjerit, memanggil dan melarang Ikmal pergi. Haknya sudah dinafikan. Sudah lama dia tidak keluar berdua-duan dengan suaminya itu. Setiap kali membuat perancangan pasti terpaksa dibatalkan kerana panggilan keramat daripada anak-anak suaminya. Memang menyakitkan. Bukan dia cemburukan anak-anak suaminya, tetapi mereka sepatutnya lebih bertolak ansur dengan dirinya! Ah! Bercakap dengan budak-budak apa yang mereka faham? Sepatutnya Nadia yang mengajar mereka agar bertolak-ansur! Berilah sedikit ruang kepadanya juga.
            “Kak!” Lin mengurut belakang Aleeya perlahan-lahan. Dapat dia rasakan apa yang sedang dirasai oleh sahabatnya itu. Lin memandang Ina dan Ros yang juga berwajah muram. Mereka melihat sahaja langkah Ikmal sehingga menghilang daripada pandangan mata.      
            “Jom, kita balik!” ajak Aleeya. Dia bingkas bangun dan melangkah laju kembali ke tempat meletak kereta.
            Lin membayar bayaran tempat letak kereta. Ros dan Ina pula menemani Aleeya ke kereta. Mereka senyap sepanjang perjalanan. Masing-masing melayan perasaan sendiri.       Aleeya mengetap bibir menahan rasa sebak yang menekan hatinya. Pedal minyak ditekan laju… biar cepat sampai.
            “Kak, istighfar… bertenang kak. Ingat ALLAH,” nasihat Lin yang duduk di kerusi penumpang. Tangan Aleeya diusap lembut.
            “Kak, sabarlah. Ini semua dugaan daripada ALLAH untuk menguji keimanan akak. Kalau akak tak sekuat ini, ALLAH tak uji akak sejauh ini. Yakinlah, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” pujuk Ina yang memicit lembut bahu Aleeya.
            “Ya kak… sabarlah. Akak boleh menangis dan meraung depan kami, kami rela jadi tempat akak lepaskan kemarahan akak. Cakaplah apa aje kak, jangan sedih ya kak?” Ina terasa sebak. Dia pula yang emosi. Kalaulah dia di tempat Aleeya sudah pasti dia menangis macam budak kecil di dalam restoran itu tadi.
            Aleeya membelok keretanya dan berhenti di bahu jalan berdekatan Tol Puchong. Menarik brek tangan dan menangis semahu-mahunya. Melepaskan rusuh di hati. Melepaskan rasa marah dan geram yang sudah bersarang sejak sekian lama.
            “Akak, janganlah macam ni... Sedih pula kami tengok. Kak!” Lin mengusap bahu Aleeya. Tisu diberi kepada temannya itu. Hatinya tersayat pilu. Dia juga perempuan.
            “Okey, akak dah okey!” Aleeya mengesat air mata yang berbaki. Dia tersenyum kembali.
            Lin, Ina dan Ros saling memandang, mereka terkedu. Terdiam.
            “Jom, kita tengok wayang,” ajak Aleeya. Dia memandu semula. Dia mula membebel dan bercerita. Cuba menceriakan semula suasana.
            Lin memandang Ros dan Ina di belakang.
            Mereka mengangkat bahu.
            Ikut sahajalah labu, bisik hati kecil Lin.
            “Kita nak tengok cerita apa, kak?” tanya Lin ceria semula.
            “Apa pun tak kisah. Lepas tu, akak belanja kau orang makan.” Aleeya menyengih.
            Aduh! Lin mengangkat kening. Sengih semacam sahajalah pula temannya itu. Buat hatinya seram sejuk jadinya. Harap-harap, semuanya baik-baik belaka.
            Aleeya memandu menuju ke destinasi yang dapat mendamaikan seketika hatinya. Biarlah duka itu berlalu pergi bersama angin yang sedang bertiup damai dan tenang itu. Hanya dedaun pokok yang melambai menyatakan kehadiran angin yang tidak tampak di mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan