Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 28 Jun 2016

USAH MENANGIS LAGI! - BAB 3



Marlia mengurung diri di dalam bilik.  Dia menahan diri dari menangis.  Dia tahu, dia telah menyakitkan hati mamanya.  Pasti mamanya sedih dengan apa yang berlaku.  Bukan dia sengaja, bukan juga hendak menyusahkan.  Dia memeluk kedua belah kakinya.  Tubuhnya digoyangkan.  Dia mengetap bibir, menahan marah.  Bukan marah pada mamanya, tetapi marah pada dirinya sendiri.
            Dia tidak mahu hidup yang begini, terseksa hatinya melihat tangisan mamanya.  Hancur jiwanya melihat keadaan ayah yang tidak pernah berubah.  Kata cikgu sekolahnya, penagih dadah adalah perbuatan yang salah disisi undang-undang dan merupakan kehidupan yang tidak normal.  Penagih dadah adalah  seorang pesakit, itulah yang tersimpan kemas difikirannya.  Kalau ayahnya sakit, kenapa tidak berubat? Tapi… bukankah ayah selalu beli ubat?  Kenapa tidak juga sembuh?  Marlia mengeluh kehairanan.  Teruk sangatkah sakit ayah?  Teruk sangkatkah jadi penagih dadah?  Dia kurang pasti, apa itu dadah?  Ubatkah? Kenapa ayah semakin hari semakin teruk?  Sanggup pukul mama, tergamak merampas duit mama. 
            Mama tidak bekerja, ayah juga tidak bekerja?  Habis nak makan apa?  Duit belanja sekolah bagaimana?  Nak beli lauk dengan apa? Kenapa ayah tidak fikir semua itu?  Kenapa ayah suka menyusahkan ibu?  Setiap hari, ayah akan mengamuk, sejak dia kecil sehinggalah ke hari ini, ayah selalu bising-bising, marah-marah.  Mama dan ayah sering bertengkar, berkelahi.  Marlia tidak suka suasana rumah seperti ini. 
            Kenapa keluarga kawan-kawannya aman?  Ayah dan mama mereka baik sahaja, tidak dengar mereka bertengkar, malah sering bergurau senda.  Marlia cemburukan kawan-kawannya.  Kenapa keluarganya tidak boleh seperti itu?  Salah siapa? Marlia mengeluh lagi.  Air mata gugur di pipi.  Dia menangis sayu. 
            Minggu lepas, mama ke mahkamah, kata nak bercerai dengan ayah, kenapa hendak bercerai?  Tidak bolehkah ayah dan mama berdamai?  Tapi tak jadi, dia suka mendengar berita itu.  Dia tidak mahu mama dan ayahnya bercerai.  Kata kawannya di sekolah, keluarga yang pincang, adalah keluarga yang bercerai-berai.  Adakah keluarganya pincang?  Semakin memberat tangisannya. 
            Kehidupan keluarganya tidak seperti keluarga orang lain, yang gembira, riang dan sering bersama.  Ayah asyik memberontak sahaja. Mama pula asyik berduka.  Dia dan adiknya Iqmal bagaikan tiada orang tua.  Terbiar sendiri, tiada ruang untuk duduk bersama.  Kalau berjumpa asyik bercakaran sahaja.  Tidak ada ruang untuk bermesra, kalau bersua muka, mencuka dan cemberut sepanjang masa.  Tiada cintakah di hati kedua orang tuanya?  Tiada rasa sayangkan di jiwa mereka?
            Kadangkala dia sedih  juga, tiada sambutan hari lahir untuknya, hanya ucapan dan ciuman daripada mamanya.  Tiada kek untuk menyambutnya.  Tiada hadiah untuknya.  Itu dia tidak kisah, mungkin mama dan ayah tidak ada duit. Tapi mereka jarang keluar bercuti.  Tidak seperti kawan-kawannya yang sering bercerita tentang percutian mereka jika cuti sekolah atau di hujung minggu.  Mama tidak pernah terfikirkah hendak bawa mereka berjalan-jalan?  Ayah tidak berasakah hendak mengembirakan hatinya dan adiknya, Iqmal?
            Hendak belajar pun susah. Kalau asyik mendengar suara mama dan ayahnya bertengkar.  Soal duit, tentang tanggungjawab, itulah yang sering dimainkan dicuping telinganya.  Marlia merebahkan tubuh di katil.  Bantal peluk ditarik erat.  Dipeluk kuat.  Melepaskan rasa marah di hati.  Dia inginkan kebahagian, dia inginkan kegembiraan.  Kenapa semua itu bukan miliknya, bukan milik mamanya, bukan milik ayahnya dan bukan juga milik Iqmal.  Adiknya tidak banyak bercakap.  Kalau dengar mama dan ayah bertengkar, pasti menutup telinga atau buat-buat tidur. 
            Adiknya pendiam, bagaikan orang bisu sahaja.  Tidak mahu bercakap.  Mungkin juga sakit hati seperti dirinya?  Mungkin juga kecewa sepertinya.  Dia tidak pula bertanya.  Air mata mengalir laju.  Kecewa di hati siapa yang tahu.  Bunyi ketukan di pintu mengejutkan hatinya yang sedang walang bersulam duka.
            “Marlia… buka pintu sayang,” rayu  Riana di luar muka pintu bilik anaknya.
            Marlia masih kaku di katil. 
            “Tolonglah sayang, jangan buat mama macam ini,” kata Riana memujuk.
            “Marlia tak sayangkan mama, ke?” Riana mengetuk pintu agak kuat.  Takut-takut Marlia tertidur dalam tangisan.
            Marlia masih membisu.  Sayang, dia sayangkan mamanya.  Cuma hatinya sakit dan dia takut kehilangan ayah.  Kenapa mama tidak mahu faham?  Dia tidak mahu mama dan ayahnya bercerai.  Dia ingin mereka berbaik-baik.  Dia ingin ayahnya sembuh dari penagihan dadah.  Kenapa ayah tidak mahu faham?  Dia malu dengan kawan-kawan di flat tersebut, mereka sering mengejeknya sebagai anak penagih dadah, kenapa ayah tidak mahu mengerti?
            Langkah dihayun perlahan mendekati pintu bilik.  Tombol pintu dipulas lambat-lambat, bagaikan mencari kekuatan diri.  Berdiri kaku di hadapan pintu bilik, mamanya dengan mata yang bengkak, baru lepas menangis seperti dirinya.
            Riana menerpa memeluk Marlia erat.  Apalah dosa anak-anaknya sehingga terheret sama dalam masalah ini.   Dia dan Razif, suaminya yang telah membawa mereka ke dunia ini.  Mereka berdosa kepada  anak-anak yang tidak tahu apa-apa terpaksa menanggung duka akibat kesalahan dan  kesilapan memilih jalan hidup ini.  Kalaulah dia tidak berkahwin dengan Razif pasti kedua insan istimewa dalam hidupnya itu tidak akan lahir, hidup mereka tidak akan terseksa, hati mereka tidak akan diulit duka. 
            Marlia dibawa ke katil, didudukkan, dipeluk erat dan dicium berkali-kali.  Kasih sayang seorang ibu tidak pernah akan hilang sehingga ke syurga.  Marlia permata hatinya, sama seperti Iqmal.  Merekalah dunianya. Merekalah harapannya, dan mereka jugalah kekuatannya.  Tanpa mereka pasti gila jadinya.  Biar air matanya yang gugur, biar hatinya yang sakit, biar dia yang merana tetapi bukan anak-anaknya.  Dia tidak mahu anak-anaknya menanggung duka, menanggung sengsara lantaran sikap Razif yang tidak mampu bertanggungjawab menjadi ketua keluarga, tidak mampu menjadi suami yang baik, dan ayah yang penyayang.  Kalau setakat sayang hanya meneliti di bibir, sesiapa sahaja mampu mengucapkannya.   Sayang perlukan bukti, sayang bukan hanya ucapan kosong yang tiada erti. 
            “Maafkan Marlia, mama,” kata Marlia dengan mata yang berair. Pipi gebunya dibasahi air mata.  Wajahnya pucat, rambutnya kusut masai. 
            “Syyy… Marlia tak salah.  Marlia punya hak dan berhak pertahankan ayah.  Buruk-buruk pun, dia tetap ayah Marlia.  Tapi…  mama tak sanggup hidup lagi dengan ayah.  Boleh tak Marlia fahami perasaan mama?” jelas Riana.
            “Marlia tidak mahu hidup berkeluarga tanpa ayah!  Marlia tidak mahu hidup dalam keluarga  yang pincang,” luah Marlia dari hatinya yang paling dalam.
            “Marlia… kalau keluarga kita sama seperti keluarga orang lain.  Sama seperti keluarga kawan-kawan Marlia.  Mama pun tak mahu bercerai dengan ayah.  Kalaulah ayah tidak sakit, ayah seorang yang bertanggungjawab, mama akan setia dengan ayah… tapi ayah.”  Terdiam seketika.  Riana menarik nafas panjang.  Mencari kekuatan untuk menerangkan keadaan yang sebenar hubungannya dan suami.
            “Mama tak sayang ayah lagikah?” Marlia mengecilkan mata, menanti jawapan dari mulut mamanya.
            “Dulu… sekarang hati mama sudah tawar, Marlia.”  Riana menunduk.  Dagunya diletakkan di bahu Marlia.  Diusap  lembut rambut anak gadisnya yang semakin meningkat  remaja.  Semakin cantik dan menawan.  Mewarisi wajahnya ketika remaja dahulu.
            “Tak bolehkah mama dan ayah berbaik-baik?  Tak bolehkah ayah diubati kalau benar ayah sakit?” tanya Marlia.  Matanya penuh mengharap.
            Marlia mengeluh.  Apa yang harus dia katakan lagi kepada seorang anak yang tinggi harapannya inginkan sebuah keluarga bahagia?
            “Ayah tidak mampu diubati lagi, Marlia… sakit ayah sudah tidak mungkin dapat diubati.  Kalau boleh pun, perlukan kekuatan  daripada ayah sendiri,” terang Riana.  Suaranya tersekat-sekat menuturkannya.  Dia tidak punya hati atau sayang lagi terhadap Razif, suaminya.  Mungkin serahan duka yang diberi membuatkan hatinya kosong, hambar, dan cinta akhirnya ghaib pergi. 
            “Mama…” Marlia memeluk erat pinggang Riana.
            Pelukan dibalas dengan kucupan di dahi. 
            Semoga esok ada  cerita ceria, biarlah kisah duka berlalu.  Dalam hati berharap hanya satu, suaminya tidak kembali ke rumah semula.  Memang dia tidak suka, buat apa berpura-pura?  Hipokrit namanya.  Buat apa tunjuk baik, sedangkan hatinya bersulam  kecewa.  Hujan lebat di luar bagaikan mengerti perasaannya yang sedang menangis sendiri di dalam hati.  Wajah anak-anak yang  enak lenanya ditatap lama.  Dia sendiri tidak mampu melelapkan mata.  Terlalu banyak perkara bermain difikiran. 
            Esok di mana dia hendak dapatkan duit untuk memulakan segala-galanya.  Kalau keretanya terjual pasti segala masalah jadi mudah baginya.  Kereta itu masih ada hutang di bank, tetapi tidak  banyak lagi.  Nasib baik dia sudah jelaskan hampir 90 peratus dari hutang keseluruhan.  Jika dijual pun dia masih mendapatkann lebihan, dengan duit itulah dia hendak membayar tebus talak terhadap suaminya.  Dia tidak tahan lagi hidup sebumbung dengan suaminya.  Berdosakah dia, cuba melepaskan diri dari kesengsaraan?  Salahkah dia jika meminta  penceraian?  Kalau hidupnya bahagia, dia tidak akan minta semua ini berlaku. 
            Bahagia bukan hadir sendiri, perlu dipupuk dan disirami dengan kasih sayang dan rasa tanggungjawab mereka bersama.  Bukan hanya dia sahaja yang berusaha tetapi suaminya lepas tangan dan hanya melayan ‘gian’ sendiri yang langsung tidak menguntungkan.  Ah! Sakit hati sahaja jika memikirkan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan