Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 19 Jun 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 25- ROHANI DERAMAN



F
irdaus sudah memberi khabar bahawa Ahmad Adham dan Kartina akan sampai dari Ipoh hari itu. Dari Johor Bahru, mereka tidak akan singgah di mana-mana. Akan terus ke kampung. Kononnya Ahmad Adham dan Kartina tidak sabar untuk bertemu  Kamaruzaman.
“Ru, hari ni mereka akan sampai. Tolong masak yang istimewa ya,” kata Kamaruzaman kepada Rukiyah.
“Siapa bang?” tanya Rukiyah, termangu-mangu.
“Eh, Ru lupa ke? Kan abang dah cakap, kita akan ada tetamu. Tetamu dari Ipoh.”
“Oh, bekas isteri abang tu!”
“Ya. Mereka akan sampai hari ni. Ru masak sedap-sedap ya.”
“Ramai ke yang nak datang ni bang?” Rukiyah rasa curiga. Perkataan ‘mereka’ menarik perhatiannya.
“Hanya mereka berdua saja.”
“Mereka?” Akhirnya Rukiyah bertanya juga. Dia tidak mahu tenggelam dalam teka-teki lagi.
“Ya. Kartina dan suaminya Ahmad Adham.”
Rukiyah mengurut dada. Dia rasa lega sangat. Sekurang-kurangnya kemunculan Kartina tidak menimbulkan fitnah atau mengganggu hajat Kamaruzaman untuk menyunting gadis Siti Solehah.  
“Baiklah bang. Saya ke dapur sekarang. Saya akan masak yang sedap-sedap,” kata Rukiyah, berlalu ke dapur dengan segala senang hati.
Kamaruzaman turun ke tanah. Dia mengintai-ngintai motor Amin. Tidak ada.
“Ru! Amin mana?” laung Kamaruzaman dari halaman.
“Abang Amin ke kedai, ambil ikan yang saya pesan semalam. Kenapa bang?” tanya Rukiyah, tergesa-gesa keluar dari dapur.
Kamaruzaman angguk.
“Tak ada apa. Abang pun ingat nak ajak dia ke kedai.”
“Abang nak beli apa?”
“Nak ke warung Muna. Mana tahu ada kuih muih. Kartina suka makan kuih rendang kasturi,” jawab Kamaruzaman.
“Mana ada jual kuih tu kat warong tu, bang. Kalau abang nak, Ru boleh buatkan. Kacang hijau pun ada kat dapur tu.”

“Bolehkah? Kesian Ru. Kena buat macam-macam,” balas Kamaruzaman.
“Masak ni hobi Ru, bang. Abang suruh saja. Ru akan buat. Kalau Ru tak pandai, Ru cari buku resepi.” Rukiyah menjawab dengan ketawa. Tidak lama, dia kembali ke dapur.
Kamaruzaman duduk di tangga. Entah kenapa, hatinya sangat girang hari ini. Dia tidak pernah termimpi kalau Ahmad Adham dan Kartina akan datang.
Hampir waktu zuhur, semua hidangan siap dimasak oleh Rukiyah. Sambal tumis terung pipit, masak lemak udang dengan nenas, asam pedas ikan merah dan kacang buncis goreng dengan tempe. Pencuci mulut ialah kuih rendang kasturi dan puding roti.
“Wah! Macam masakan di restoren!” kata Kamaruzaman ketika hidangan sedang diatur oleh Amin di meja makan.
“Ru memang cekap bab masak memasak ni bang. Abang cakap je nak makan apa, dia pasti akan masak,” balas Amin.
Kamaruzaman angguk. Dia akur dengan kata-kata Amin itu. Selama dia berada di kampung, setiap hari Rukiyah menghidangkan masakan yang berbeza. Masakan kampung yang sangat disukai oleh Kamaruzaman.
Mata Kamaruzaman tidak lepas dari memandang ke arah jalan masuk ke rumah itu. Wajahnya sangat teruja.
“Ru, tengoklah Abang Zaman tu. Gelisah benar dia menanti Firdaus sampai,” bisik Amin.  
“Bukan kerana Firdaus, tapi tetamu yang dibawa tu,” balas Rukiyah.
Amin diam. Dia setuju dengan kata-kata isterinya. Sebab sebelum ini Kamaruzaman tidak pernah bersikap begitu.

Setengah jam selepas azan zuhur, kereta Firdaus memasuki halaman. Kamaruzaman yang selesai menunaikan solat, segera bangun dan berjalan ke pintu. Wajahnya segar bercahaya.
Rukiyah dan Amin mengekorinya. Mereka juga teruja untuk melihat wajah Kartina, yang pernah mengisi hidup Kamaruzaman sebelum ini.
“Assalamualaikum sahabatku!” ucap Ahmad Adham ketika keluar dari kereta.
Kamaruzaman tidak sempat menjawab salam itu. Tubuhnya segera ditarik dan dipeluk erat oleh Ahmad Adham. Dia membalas pelukan itu.
“Akhirnya saya sampai juga di kampung awak. Awak tengok, serta merta kaki saya kuat dan saya mampu berjalan tanpa tongkat!” kata Ahmad Adham dengan ceria.
“Alhamdulillah, ALLAH makbulkan doa saya agar awak berdua sihat,” balas Kamaruzaman pula.
Lama mereka berpelukan dan melepaskan rindu.  
“Abang berdua ni kalau dah jumpa, langsung terlupa dunia!” kata Kartina yang lama berdiri di belakang mereka. Dia berpura-pura merajuk.
“Oh ya! Terlupa pulak kita. Merajuk dah permaisuri kita,” kata Ahmad Adham sambil ketawa.
“Tina apa khabar?” tanya Kamaruzaman menoleh dan merenung Kartina yang berpura-pura merajuk itu.
“Alhamdulillah...Tina sihat. Cuma sekali sekala sakit tu dah adat orang tua,” jawab Kartina.
“Tua? Ish, mana ada?” celah Ahmad Adham.

“Ya, kita ni bukan tua, tapi lama. Barang lama, selalunya akan dianggap antik dan dihargai.”
Mereka ketawa dengan mesra.  
Amin dan Rukiyah melihat  dari jauh. Hati mereka tersentuh dengan keakraban itu.
“Patutlah Abang Zaman gelisah dari tadi,” bisik Rukiyah perlahan.
“Hanya bekas isterinya, mana anak Abang Zaman. Tak adapun!” balas Amin pula.
“Ish! Itu kita tanya kemudian. Sekarang, kita siapkan hidangan. Mereka tentu dah lapar.” Rukiyah berjalan masuk dan menuju ke dapur. Hanya nasi yang belum disendukkan.  Yang lain-lainnya sudah sedia dihidang.
“Kak Ru, sedapnya bau. Tak sabar nak makan ni!” tegur Firdaus selepas meletakkan beg-beg tetamu di bilik yang sudah disediakan.
“Lapar ya! Pergi tolong Kak Ru hantarkan nasi ni ke meja. Semuanya dah siap tu. Tinggal ceduk nasi saja,” kata Rukiyah.
“Kak Ru, apa yang boleh Zurie tolong?” tanya Zurie pula menawarkan diri.
“Tak ada apa, Zurie. Semua dah siap dah. Jom, kita ke meja makan.” Rukiyah berjalan membawa mangkuk nasi.
“Abang, ajaklah tetamu kita makan. Dah lambat ni. Tentu semua dah lapar,” kata Rukiyah dengan senyum mesra.
“Ru, Amin, mari abang kenalkan. Inilah sahabat abang dari Ipoh, Ahmad Adham dan isterinya Kartina. Adham, Tina, inilah saudara saya yang menjaga dan menguruskan saya selama di sini,” kata Kamaruzaman, memperkenalkan.

Mereka bersalaman. Hati Rukiyah dan Amin amat tersentuh dengan perkataan ‘saudara’ itu. Mereka terharu dengan anggapan Kamaruzaman terhadap mereka. Mereka tidak dianggap pembantu yang dibayar gaji, tetapi dianggap saudara.
“Abah, lepas ni kita duduk berkenalan dan bersembang. Sekarang, Fir dah tak tahan sangat menghidu bau masakan Kak Ru ni. Marilah kita makan,” ajak Firdaus.
“Benar tu. Marilah kita makan. Lepas makan, kita boleh sembang lagi. Jemputlah Adham, Tina. Ini saja yang mampu kami sediakan. Masakan kampung,” kata Kamaruzaman.
Mereka duduk menghadap hidangan. Perbualan dan gurauan menjadi pengiring dan perisa yang menambahkan selera. Akhirnya, masing-masing bersendawa dengan ucapan Alhamdulillah penuh syukur.
“Kalau setiap hari saya makan macam ni, naik berat badan saya.” Ahmad Adham melepaskan sendawa. Dia mencuci tangan.
“Duduklah lama-lama di sini. Awak akan rasa resepi masakan Ru yang sedap setiap hari,” balas Kamaruzaman, ikut membasuh tangan.
“Memang kami akan lama di sini. Itupun kalau awak sudi menumpangkan kami di sini,” kata Ahmad Adham selamba. Dia mengambil sebiji kuih rendang kasturi.
Kamaruzaman tidak tersentak. Sedikit sebanyak dia sudah mendengarnya dari Firdaus mengenai ‘huru-hara’ yang sedang melanda kehidupan Ahmad Adham dan Kartina.
“Adham, janganlah cakap macam tu. Kita ni dah macam saudara. Walaupun kita baru dipertemukan, tapi saya rasa awak adalah sebahagian dari hidup saya. Jasa awak menjaga Tina dan membesarkan Muhayat tak dapat saya balas dengan wang ringgit. Sekarang, ALLAH berikan saya peluang untuk membalas semua kebaikan awak itu. Tinggallah di sini selama mana yang awak suka,” kata Kamaruzaman sambil menepuk-nepuk lengan Ahmad Adham.
“Terima kasih Zaman. Saya memang boleh pergi ke tempat lain atau ke rumah anak-anak yang lain. Tapi, saya dan Tina dah ambil keputusan untuk tinggal di sini untuk sementara. Sehingga satu masa... ” Ahmad Adham terhenti. Dia tunduk sebak.
Kamaruzaman segera faham. Dia tidak mahu bertanya apa-apa lagi.
“Tina, tengok ni. Ru buatkan Tina kuih rendang kasturi kegemaran Tina. Makanlah,” kata Kamaruzaman kepada Kartina. Dia cuba mengalihkan pandangan dan suasana menjadi lebih ceria.
Kartina angguk dengan senyum terpaksa. Memang itu kuih kegemarannya dan kuih kegemaran Kamaruzaman juga. Namun, ia bukan kuih kegemaran Muhayat!


Sudah seminggu Ahmad Adham dan Kartina berada di kampung itu. Angin segar dan nyaman telah menyegarkan jiwa mereka juga. Agenda yang diatur oleh Kamaruzaman juga menyenangkan hati mereka.
Setiap waktu subuh, mereka akan ke masjid untuk berjemaah. Balik dari masjid, mereka akan bersarapan samada di rumah atau di warung Muna.
Selepas bersarapan, mereka akan dibawa berjalan-jalan ke kebun buah-buahan yang bersebelahan dengan kebun getah.
 “Terima kasih sahabatku. Saya rasa tenang sekarang. Saya tak nak fikirkan apa-apa lagi selain hari mati. Nak duduk di sini dan mengumpul amal. Bolehkah Zaman?” tanya Ahmad Adham.
“Duduklah selama mana pun. Saya amat berbesar hati. Sangat gembira,” jawab Kamaruzaman, jujur.
“Apa kata permaisuri beta?” Ahmad Adham berpaling kepada Kartina yang asyik memerhati buah rambutan yang berjuntaian.
“Patik menurut perintah paduka tuanku. Janji tuanku tak akan tinggalkan patik di tepi jalan,” balas Kartina.
Kata-kata Kartina itu membuatkan ketawa Ahmad Adham dan Kamaruzaman berdekah memecah sunyi kebun itu. Tiba-tiba ketawa Kamaruzaman terhenti. Matanya terpaku pada susuk tubuh sesaorang di kebun bertentangan.
Siti Solehah!
“Siapa tu bang?” tanya Kartina kepada Kamaruzaman.
“Itu Siti Solehah, anak Pak Tahir yang menoreh di kebun tu sejak dulu.”
Wajah Kamaruzaman berubah ketika menyebut nama Siti Solehah. Sebenarnya sejak dia melangkah turun dari rumah Pak Tahir dulu, dia belum berani menyebut nama itu. Apa lagi untuk bersua muka.
“Zaman, kenapa?” tanya Ahmad Adham, curiga. Dia terkesan dengan perubahan pada wajah Kamaruzaman itu.
“T... tak ada apa-apa,” jawab Kamaruzaman, sedikit gugup.

“Abang, kalau ada masalah beritahulah kami. Kalau abang anggap kami saudara abang, apa salahnya kita berkongsi rahsia,” kata Kartina pula. 
Kamaruzaman tidak berhajat untuk berahsia. Dia cuma rasa malu. Dia bimbang Ahmad Adham dan Kartina akan tersalah faham.
Kartina dan Ahmad Adham pun tidak mahu menyoal lagi. Mungkin ada perkara yang Kamaruzaman tidak mahu berkongsi dengan mereka. Hal itu tidak boleh dipaksa.
Ketika matahari mula meninggi, mereka meninggalkan kebun itu. Amin datang mengambil mereka secara bergilir-gilir. Kartina yang pertama dibonceng pulang.
“Penat kak?” tanya Rukiyah ketika Kartina melabuhkan punggung di tangga. Peluh yang merenik di dahi dikesat dengan hujung baju.
“Penatlah juga. Dah lama akak tak ke kebun macam ni. Masa muda-muda dulu, adalah. Banyak juga pokok buah-buahan di kebun tu ya!” balas Kartina.
“Musim buah dah nak habis. Kalau akak datang hari tu, tak habis makan. Tahun ni semua pokok berbuah lebat. Seperti tahu bahawa Abang Zaman akan datang.”
“Habis, semua buah-buahan itu dijual ke?”
“Taklah. Abang Zaman beri sedekah pada semua orang kampung.”
Kartina angguk.
“Kak, boleh Ru tanya akak sikit?”
Sekali lagi Kartina angguk, sebagai tanda memberi izin.
“Masa akak jadi isteri Abang Zaman dulu, akak pernah datang kampung ni tak?”
“Dah lama masa berlalu Ru. Seingat akak, akak tak pernah datang. Lagipun, arwah mak Abang Zaman tinggal di Johor Bahru. Jadi, akak tak tahu pun pasal kampung ni.”
Rukiyah angguk. Patutlah Kartina tidak kenal seorang pun orang kampung itu. Patutlah juga seorang pun tidak kenal siapa Kartina.
“Akak pulak nak tanya Ru. Boleh?” Kartina berpaling kepada Rukiyah.
“Tanyalah. Kalau soalannya senang, Ru akan jawab. Kalau susah, kenalah akak beri masa,” jawab Rukiyah dengan ketawa.
“Tadi, kami ternampak seorang gadis di kebun getah tu. Ru kenal gadis tu?”
“Maksud akak, Siti Solehah?”
Kartina angguk. Matanya menatap Rukiyah dengan penuh harap.
“Siapa tak kenal Siti. Satu kampung ni kenal dia. Budak tu baik, rajin dan berbudi bahasa. Dia juga pandai. Cuma...”
Rukiyah merenung ke arah jalan. Kartina tetap menanti.
“Dia orang miskin. Keputusan peperiksaannya cemerlang, tapi dia tak dapat nak teruskan kerana Pak Tahir sakit. Kesian dia, kak.”
Hati Kartina jatuh simpati.
“Itu yang Abang Zaman cuba nak bantu. Dia nak Siti sambung belajar. Dia nak Siti teruskan cita-citanya. Dalam masa yang sama, dia tak nak difitnah,” kata Rukiyah.

“Apa maksud Ru? Akak tak faham.”
“Abang Zaman melamar Siti untuk jadi isterinya.” 
Kartina terdiam. Barulah dia faham apa yang tersirat di sebalik kegugupan dan perubahan wajah Kamaruzaman ketika menyebut nama Siti Solehah tadi. Akhirnya, bibir Kartina menguntum senyuman.
“Kenapa Kak Tina senyum?” tanya Rukiyah, agak ragu-ragu.
“Akak senang hati dengan keputusan Abang Zaman ni.”
“Maksud akak, akak setuju Abang Zaman kahwin dengan Siti?”
“Akak akan setuju kalau Abang Zaman kahwin walau dengan siapa pun. Sebab dia memang perlukan sesaorang untuk menjaganya. Dah lama dia hidup sepi selepas kematian isterinya. Dah sampai masa dia ditemani,” jawab Kartina, jujur.
“Tapi, dia nak berkahwin dengan Siti bukan atas alasan itu. Dia hanya nak bantu kewangan Siti dan keluarganya. Dan Siti pun, belum tahu terima lamaran dia atau tidak,” balas Rukiyah pula dengan nada perlahan.
“Maksudnya, Siti belum beri kata putus lagi?”
Geleng.
Kartina termenung. Dia berfikir secara logik dan membuat andaian sendiri. Sudah tentu, Siti Solehah tidak sanggup bersuamikan orang tua. Sudah tentu Siti Solehah sudah ada calon pilihannya sendiri. Ataupun, mungkin Siti  Solehah rasa malu pada ejekan orang nanti.
“Mari kita berdoa agar ALLAH tetapkan jodoh mereka, Ru.”
“Siti tu budak baik. Abang Zaman juga orang baik, Kalau bukan sebab umur, tak ada alasan Siti nak tolak lamaran ini,” kata Rukiyah pula.
“ALLAH berkuasa menentukan semuanya termasuk hati manusia. Kita hanya mampu merancang. Selebihnya adalah doa,” balas Kartina pula.
Tidak lama, deruan enjin motor kedengaran mendekat.
“Itupun Abang Amin dah balik. Ru siapkan minuman dulu. Tentu semua orang kehausan ni.” Rukiyah bangun menuju ke dapur.
Amin berhentikan motor dan Ahmad Adham turun. Kemudian Amin terus bergerak untuk ke kebun mengambil Kamaruzaman pula.
“Abang penat?” tanya Kartina ketika Ahmad Adham duduk di sebelahnya.
“Penat memang penat. Tapi abang seronok. Banyak peluh abang keluar selama di sini. Abang rasa sihat dan segar,” jawab Ahmad Adham.
Kartina mengesat peluh yang menitik di dahi dan muka suaminya.
“Tina seronok tak kat sini?” tanya Ahmad Adham pula. Dia merenung mata Kartina.
“Seronok juga. Tapi, sampai bila kita nak duduk sini bang?”
Ahmad Adham merenung ke jalan. Dia melepaskan sebuah keluhan. Ketika itu dia terbayangkan wajah Muhayat. Dia mengharapkan Muhayat sedar kesilapannya selepas mengetahui hal sebenar antara Kartina dan Kamaruzaman. Namun semuanya tidak berlaku. Muhayat semakin selamba dengan dosa fitnahnya. Langsung dia tidak rasa bersalah kerana menuduh ibu dan ayah kandungnya melakukan perkara sumbang!

“Abang, kita kena fikir untuk tinggal lama-lama di sini. Kita kena fikirkan Abang Zaman. Dia mungkin suka kita di sini. Tapi, kalau dia dah kahwin apa pula kata isterinya.”
“Zaman nak kahwin?” Ahmad Adham segera berpaling, Matanya melorot ke dalam mata Kartina. Dia mencari jawapan.
“Ya. Dia dah melamar. Sedang menunggu jawapan dari pihak perempuan.”
Ahmad Adham termenung.
“Tina tak nak kita menjadi halangan dan alasan untuk gadis itu menolak lamaran Abang Zaman,” sambung Kartina.
“Gadis?” Sekali lagi Ahmad Adham menoleh.
“Ya. Gadis yang kita lihat di kebun getah tadi.”
Ahmad Adham termenung. Fikirannya dikerah untuk mengingati apa yang berlaku di kebun tadi. Dia terbayang wajah gugup Kamaruzaman ketika menyebut nama gadis yang menoreh di kebunnya itu.
“Kamaruzaman...” Sebuah keluhan terkeluar dari bibir Ahmad Adham

Tiada ulasan:

Catat Ulasan