Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 30 Jun 2016

USAH MENANGIS LAGI! - BAB 5



            Dia tidak inginkan perpisahan, dia tidak ingin hidup sebagai janda.  Gelaran yang amat ditakutinya.  Pandangan masyarakat dan keluarga perlu diambil kira.  Sehingga ke hari ini dia tidak berani memberitahu keluarganya mahupun keluarga mertuanya akan penceraiannya dan suami.  Bukan sengaja merahsiakannya tetapi dia tahu, jika diberitahu kepada mereka pasti ramai yang menghalang.  Biar hidup bersuami dari hidup sebagai janda.  Itulah  anggapan mereka.  Mereka tidak tahu apa yang dia alami dan terpaksa hadapi. 
            Cahaya matahari memancar terik, hembusan angin terasa  membahang di kulitnya.  Setelah membayar jumlah duit tebus talak yang diminta, bekas suaminya terus menghilangkan diri.  Dia terpaksalah mendaki kaki tangga bas untuk pulang ke rumah.  Keretanya sudah pun dijual untuk membayar duit tebus talak tersebut.  Dia juga tidak meminta duit nafkah untuk anak-anaknya.  Razif tidak bekerja, mana mungkin mampu membayar duit nafkah tersebut.  Biarlah. Semoga bekas suaminya itu akan berubah satu hari nanti.  Itulah harapannya.  Biar buruk perangai sekalipun sikap dan perbuatan Razif, tidak boleh dinafikan lelaki itu tetap ayah kepada anak-anaknya.  Dia tidak akan memutuskan hubungan itu.  Hubungan sehingga ke akhirat. 
            Riana mengeluh.  Sukar juga untuk bergerak jika tiada kenderaan sendiri.  Dia perlu bersabar.  Dia perlu bangkit membina kehidupan baru dia dan anak-anak.  Tidak mahu mengalah dengan takdir yang telah ditentukan untuknya.  Reda dan bersabar dengan dugaan yang sedang ditempuhinya.  Semoga ALLAH SWT memberi kehidupan yang baik buatnya di masa hadapan.
            Langkahnya mati di muka pintu ketika terpandangkan wajah kelat  Marlia.  Serba salah jadinya.  Tidak tahu apa yang harus diterangkan kepada anak gadisnya yang sedang meningkat dewasa.  Masih memerlukan perhatian dan bimbingan serta didikan daripadanya.  Dengan nafas yang memberat di dada, Riana melangkah masuk.   Dia menapak mendekati Marlia yang duduk berpeluk tubuh di sofa yang semakin usang warnanya.  Keluhan dilepaskan perlahan.  Kenapa pula Marlia tidak ke sekolah hari ini? Tadi dia sudah tinggalkan pesan dengan jiran sebelah untuk tengok-tengokkan Marlia.  Iqmal masih di sekolah. 
            “Kenapa Marlia tidak ke sekolah?” tanya Riana sambil tanganya mengulas lembut rambut anak gadisnya yang separa bahu.  Tidak berikat dan dibiarkan mengerbang.  Wajah itu ditenung lama, berkerut, muram dan suram.
            “Mama dan ayah dah bercerai?” tanya Marlia keras.
            “Kenapa?”  soal Riana.  Dia tahu Marlia tahu apa yang berlaku, dia tahu Marlia juga tahu  sikap sebenar Razif.  Dia tidak marahkan anaknya jika kasih sayang yang telah terbina sejak dalam kandungan tidak mampu dinyah pergi.  Marlia  berhak menyayangi Razif sehingga ke akhir hayatnya. Itu hak Marlia.  Sebagai seorang ibu yang bijak tidak sepatutnya memisahkan hubungan anak dan ayah.  Cuma dia berharap Razif tidak mempengaruhi Marlia untuk turut terlibat dalam anasir jahat dan pemusnah kehidupan itu. 
            “Kenapa mama sanggup berpisah dengan ayah?  Marlia tidak suka hidup tanpa seorang ayah!  Marlia tidak suka keluarga kita pincang!”  jeritnya.  Bergema suaranya memenuhi ruang rumah itu.
            “Marlia! Mama buat bersebab, kenapa tidak mahu memahami masalah mama?  Tak nampakkah apa yang berlaku dengan ayah?  Kenapa Marlia bersikap kurang ajar dengan mama?  Mama tidak pernah ajar semua ini!”marah Riana dengan  mulut celupar Marlia. 
Dia menarik nafas dan melepaskannya perlahan.  Tidak sepatutnya dia bersikap seperti itu.  Apalah Marlia faham tentang kehidupan orang dewasa. Masalah yang terbeban tidak mungkin terbayang di fikirannya. Dia tidak salahkan Marlia jika bersikap seperti itu.  Cuma dia tidak suka Marlia meninggikan suara.  Itu bukan caranya seorang anak bercakap dengan seorang ibu atau orang tua.  Hormat tetap kena hormat, biar bagaimana keadaan sekalipun.  Tiada kompromi dalam hal ini. 
            “Marlia nak ayah! Marlia malu dengan kawan-kawan kalau tidak ada ayah!” kata Marlia dengan mata berkaca.  Menahan duka di dalam hati.
“Marlia… ayah tidak bertanggungjawab terhadap kita. Kenapa Marlia tidak faham? Cubalah belajar memahami orang lain. Terutama mama Marlia sendiri!”  Ada ketika boleh hilang sabar dengan sikap degil anak sulongnya itu. 
            “Kalau cikgu tanya, mana ayah?  Apa Marlia nak jawab?  Marlia malu! Malu!”  Marlia menangis teresak-esak. 
            Riana pantas memeluknya erat.  Cuba menenangkan perasaan anak gadisnya itu.  Dia mengeluh berat.  Berat beban yang terpaksa ditanggung olehnya.  Berat lagi masalah yang bakal mendatang.  Janganlah Marlia menyimpan dendam terhadap dirinya.  Dia juga tidak mahukan perpisahan ini, tapi sampai bila?  Sudah tidak tertangung olehnya.    Sudah tidak tergamak melihat perbuatan bekas suaminya itu di hadapan mata.  Malu pada jiran tetangga, malu pada diri sendiri.  Dia tidak mampu mengubah apa-apa.  Hanya Razif yang mampu mengubah dirinya sendiri.
            “Biar mama beritahu pada cikgu, Marlia jangan bersikap seperti ini.  Masa hadapan Marlia masih jauh dan berliku.  Pelajaran penting untuk menentukan masa hadapan yang baik. Orang yang berilmu lebih dihormati.  Marlia tidak perlu berduka.  Apa yang berlaku dengan ayah dan mama, bukan masalah Marlia dan bukan kehendak kita juga,” terang Riana mengharapkan pengertian daripada Marlia.  Pengertian yang amat bermakna buat dirinya.  Buat mereka sekeluarga.
            Marlia memandang wajah Riana dengan mata membulat, air mata mengalir laju, esakan terdengar perlahan seperti menahannya.  Bibirnya bergetar.  Marlia menolak tangan Riana dan berlari masuk ke dalam bilik.
            “Marlia!” Riana cuba menahan namun tidak mampu.  Dia hanya mampu mengeluh.  Tidak mahu terlalu mendesak.  Biarlah Marlia bertenang sendiri. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan