Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 5 Jun 2016

ADUH, PENING!- BAB 21




ALEEYA mencebik. Wajah suaminya tidak segirang dahulu. Dia perasan sangat-sangat. Bukan sehari dua, dia jadi isteri kepada lelaki bernama Ikmal Hakim. Bingung dia seketika melihat suaminya tidak banyak bercakap dan bergurau senda seperti selalu. Hendak bertanya, takut pula suaminya tidak mahu diganggu. Tidak bertanya, dia sendiri yang dalam penasaran. Ah! Susahnya hidup berdua. Kalau bertiga ada juga teman mengubat duka. Anaklah, jangan fikir yang bukan-bukan pula.
            “Kenapa kak, buat muka poyo pulak ni?” tegur Lin.
            “Poyo ke?” tanya  Aleeya.
            “Poyolah kalau mulut diherot kiri kanan. Mata sekejap besar, sekejap kecil, mengeluh tak berhenti. Menung sana, menung sini,” bebel Lin lagi.
            “Aduh, peningnya kepala!” luah Aleeya sambil memegang kepalanya.
            “Apa halnya lagi ni? Tak selesai-selesai ke?” Lin duduk menghadap Aleeya.
            “Mana nak selesai, selagi anak-anak suami akak tu bernyawa. Erk… akak bukan minta mereka mati tau.” Aleeya beristighfar. Tak baik mengeluh dan minta yang bukan-bukan untuk orang lain. Berdosa.
            “Akak ni!” Lin menampar lengan Aleeya. Sudah macam muka ayam berak kapurlah pula. Buat muka tak sudah, sedih sahaja. Tengok temannya itu buat dia sendiri takut nak berumah tangga. Mungkin, kalau berkahwin dengan orang bujang tak banyak masalahlah kot, detik hati kecilnya.
            “Kak… kenalah banyak bersabar dan berdoa. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan akak dan keluarga. Janganlah fikirkan sangat. Nanti terabai tanggungjawab akak di pejabat ini,” nasihat Lin, sudah seperti pakar motivasi pula.
            “Mana akak boleh tahan, Lin. Nadia tak henti-henti ganggu suami akak. Anak-anak pulak macam benci sangat kat akak. Akak pulak sampai sekarang tak ada tanda-tanda nak mengandung. Seram akak fikirkan, Lin. Tengok cerita hantu pun tak seseram ni,” luah Aleeya tentang masalahnya.
            “Si jerung masih ganggu suami akaklah ya?”
            “Jerung?” Aleeya memandang wajah Lin minta kepastian. Jerung mana pula? Setahu dia, di laut negara ini belum pernah ada jerung menyerang. Kalau di luar negara adalah.
            “Hisy! Lambat tangkap betullah akak ni. Si Nadialah, kak… tengok dia dengan pendakap gigi tu, dah macam jerunglah,” gurau Lin.
            “Hoi! Sakan bersembang! Tak tengok jam ke? Dah waktu rehat ni.” Ina menjongketkan keningnya sebelah ala-ala Ziana Zin.
            “Asyik ingat makan aje minah tembam ni,” usik Lin.
            Ina menampar bahu Lin. Memang badannya sedikit berisi berbanding rakan sekerjanya yang lain. Makan ikut tekak dan sedap. Balun sahajalah, labu…
            “Jomlah, keluar makan. Sambil tu bolehlah kita sembang lagi. Nanti akak sambung kat restoran. Akak nak bercakap tanpa henti selama sejam setengah pun kami tak larang. Yang penting ini penuh,” kata Ina sambil menunjukkan perutnya.
            “Leya, jomlah keluar makan. Kau tak nak makan, kau beli... kau bagi kat aku.” Rozita mendekati ketiga-tiga rakan sekerjanya. Beg duit sudah ada di tangan.
            “Yalah, yalah… semua dah macam singa kelaparan. Takut pula saya kena baham nanti.” Aleeya akur dengan kehendak rakan-rakannya. Jangan pentingkan diri sendiri. Biarpun dia ada masalah, janganlah sampai menyusahkan rakan-rakannya.

IKAN kembung bakar, air asam, ulam-ulaman dan sayur pucuk manis masak lemak putih. Cukup menyelerakan, kena dengan seleranya, tetapi tidak mampu masuk ke kerongkongnya. Hatinya galau memikirkan masalah suami tercinta. Bercakap tidak, menung sahaja tahunya. Hendak bertanya terasa berat pula mulut ini. Takut tersalah tanya.
            “Makanlah... nasi tu tak masuk dalam mulut akak dengan sendiri tau, kena jolok masuk,” tegur Lin dari tadi memerhatikan Aleeya hanya memerhati nasi dan lauk di dalam pinggannya.
            “Ini mesti masalah serius. Kalau tak... muka tu taklah buruk macam tu.” Rozita menggeleng. Tidak habis-habis dengan masalah. Sejak berkahwin, Aleeya tidak lagi seceria dahulu.
            “Entahlah, Rozita... tak tahulah serius ke tak? Tapi, memang ada masalahlah. Masalah suami aku,” luah Aleeya. Dengan sahabat-sahabatnya itu, dia tidak kisah berkongsi cerita kerana mereka akan menasihatinya dan jiwanya tenang semula.
            “Kalau ada masalah dengan suami sendiri, bertanyalah. Jangan simpan dan bersyak wasangka. Tak baik untuk hubungan kau dan suami kau.” Rozita mengambil ikan kembung bakar di dalam pinggan Aleeya. Sudah nak habis waktu makan, sah-sah tak makanlah. Membazir sahaja.
            “Nak tanya tulah yang berat, Rozita! Kang dia kata menyibuk aje.” Aleeya mengeluh perlahan. Nasi di pinggan langsung tidak disentuh. Perlahan-lahan kawan-kawannya ambil seorang sedikit. Habislah juga, tidaklah membazir. Tidak baik membazir, itukan kawan syaitan. Masalah, masalah!
            “Nak skodeng suami kau ke? Kalau nak bagitahu aje bila dan di mana, kami sedia jadi penyiasat persendirian,” kata Rozita sambil menyengih.
            “Skodeng? Boleh ke, Rozita? Aku takut laki kau skodeng kau sebab tak balik rumah,” sindir Aleeya.
            Rozita ketawa.
            “Ini, ada tiga anak dara pinggiran… kan, kan, kan!” Rozita menyeringai.
            “Uh! Boleh harap ke?” Aleeya mencebik.
            “Alah, kak… takkan tak percaya kat kami. Akak bagitahu aje bila, kami sedia terjah! misi in action!” Lin mengangkat kedua-dua belah tangannya bagaikan seorang ahli angkat berat.
            “Banyak kau punya misi in action!” Pecah gelak Ina.
            “Erk… bukan ya?” Lin menggaru kepala.
            “Jangan nak merapu. Nanti akak cuba-cuba risik. Kalau tak berjaya, kita guna khidmat penyiasat persendirian.” Aleeya menarik nafas lega.
            “Mahal tu kak, guna khidmat kami aje. Belanja makan malam atau tengah hari dah cukup,”  sampuk Ina.
            “Apa yang mahal?” Rozita mengerut dahi.
            “Penyiasat persendirian tulah!” Ina menampar bahu Rozita.
            “Hisy… penyiasat persendirian tu, kau oranglah!” Rozita menunjal kepala Lin yang terpinga-pinga.
            “Cakaplah nak guna perkhidmatan Tiga Dara Pinggiran.” Lin ketawa agak kuat.
            “Apa yang kelakarnya?” Aleeya menggeleng. Memang sengallah anak dara tiga orang ini. Patutlah tidak ada lelaki yang berani memikat mereka.
            “Tak kelakar ke, kak?” Lin menyengih.
            “Tak!” jawab mereka serentak.
            Lin menyengih lagi. Dia sendiri yang berasa kelakar. Misi akan berjalan untuk menghapuskan musuh. Siapa musuh? Hmm… Lin mengerutkan dahi. Susah juga jadi penyiasat persendirian rupanya.
            Terhibur seketika hatinya. Aleeya benar-benar rasa bahagia berada bersama keempat-empat kawannya itu. Rozita jarang dapat bersama dengan mereka kerana dia sudah ada keluarga. Tidak manislah ajak isteri orang keluar selalu. Tiga orang lagi masih bersendirian. Teman lelaki pun tidak ada. Bukan tidak cantik, cuma terlalu memilih. Nak cari lelaki macam Shukri Yahayalah, macam Aaron Azizlah. Macam Zizan pun kira bolehlah. Bukan main lagi demandnya. Hal suaminya akan diselesaikan dengan cara baik. Mungkin suaminya nak selesaikan sendiri masalahnya. Tidak mahu menyusahkan dia. Tetapi, kenapa hubungan mereka dingin? Itulah persoalannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan