Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 12 Jun 2016

PELAYARAN KASIH- BAB 19 - Karya Rohani Deraman



W
ad 3A katil nombor 8, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Kamaruzaman terbaring dengan lesu. Demamnya kebah seketika namun doktor menasihati Firdaus agar sering berwaspada.
“Jantungnya terlalu lemah. Ada yang mengganggu fikirannya. Kami harap dia tidak terlalu memikirkan hal-hal yang boleh membuat dia tertekan.”
Firdaus meneliti wajah Kamaruzaman yang pucat lesi. Air matanya berlinangan. Sungguh belas dia melihat kesengsaraan yang sedang ditanggung oleh lelaki berjasa itu.
“Kenapa abah jadi macam ni. Abah dah tak sayang Fir lagi ke?”
“Fir… “ Mulut Kamaruzaman bergerak-gerak. Dia ingin berkata sesuatu. Namun dia sangat lemah dan tidak berupaya.
                                     
            Kamaruzaman tidak menyangka akan melihat kedua-dua sahabatnya itu semula selepas berpisah tempoh hari. Ketika Firdaus mengejutkannya, dia rasa seperti dalam mimpi. Dia meneliti wajah Kartina yang tetap tenang dan manis. Dia merenung wajah Ahmad Adham yang jujur dan pengasih. Kemudian matanya menilik wajah Mursyid, anak muda yang sangat berbudi bahasa. Kemudian matanya mencari-cari sesaorang. Tidak ada. Bayangnya pun tidak ada! 
“Muhayat tak dapat datang. Dia berkirim salam pada awak. Nanti selesai tugasnya dia akan datang,” kata Ahmad Adham, cuba menjawab pencarian rindu itu.
            Bibir Kamaruzaman menguntum senyum. Walaupun dia tahu Ahmad Adham berbohong untuk menutup kesilapan Muhayat, dia tetap senang hati. Dia bersyukur kerana Muhayat dibesarkan oleh orang yang berjiwa mulia. Tetapi, kenapa Muhayat tidak mewarisi sifat mulia Ahmad Adham? Oh! Dia terlupa. Muhayat bukan darah daging Ahmad Adham.
            “Abang, Tina harap abang sabar dengan dugaan ini,” kata Kartina memegang lengannya.
            Hatinya rasa sangat bahagia. Suara Kartina seperti setitik air di tanah gersang!
            “Benar Zaman. Dalam usia emas macam kita ni, sakit adalah dugaan yang paling kerap. Saya harap awak tak putus asa,” kata Ahmad Adham pula.
            “Buat apalah awak berdua susah-susah datang. Saya tak apa-apa. Saya cuma kepenatan saja. Awak tu tak sihat, Adham,” kata Kamaruzaman dengan perlahan dan lemah.
           
       
            “Apalah makna persahabatan kalau awak terlantar macam ni saya tak jengok,” balas Ahmad Adham pula. Kamaruzaman terharu. Dia mencari-cari tangan Ahmad Adham. Kemudian dia menggenggam erat.
            “Terima kasih kerana sudi jadi sahabat saya. Terima kasih kerana dah jaga anak saya,” kata Kamaruzaman dengan air mata yang bergenang.
            “Kami minta maaf kerana gagal mendidik Muhayat menjadi anak yang berbudi,” kata Ahmad Adham pula.
            “Jangan cakap macam tu Adham. Sayalah yang tak tahu diuntung. Dia berhak membenci saya. Dia juga berhak bercakap mengikut kata hatinya. Saya yang bersalah.” Suara Kamaruzaman hampir tidak kedengaran. Hatinya sangat meruntun pilu. Lehernya seperti tercekik duri.
            “Tolong ampuni dia bang,” ucap Kartina, ikut sebak. Hati seorang ibu tetap tidak mahu anaknya dimurka ALLAH.
            “Apapun, dia tetap anak abang. Abang akan tetap doakan dia. Dia khilaf seketika tetapi ALLAH akan sedarkan dia. Tina jangan bimbang. Dia anak abang. Dia anak abang ...” Suara Kamaruzaman semakin hilang. Dia keletihan. Dia pejamkan mata. Tidak lama, bunyi dengkuran kecil mendesis lembut dari bibirnya.
            “Tina, mari kita tunggu di luar. Biarkan dia berehat.” Ahmad Adham menarik lengan Kartina dengan perlahan. Mursyid memimpin Ahmad Adham keluar dari bilik itu.
            Di luar wad, mereka duduk di ruang menunggu bersama Firdaus, Zurie, Aiman Haziq dan Dayana Puteri.
            “Muhayat tak datang, ibu?” tanya Firdaus, memecah sepi.
           
          
            Kartina menoleh kepada Ahmad Adham. Dia serba salah untuk menjawab. Pilihannya hanya dua sahaja, berterus terang atau berbohong.
            “Nanti dia akan datang, Fir.” Ahmad Adham menjawab bagi pihak Kartina.
Firdaus tersenyum sinis. Wajah kedua-dua yang ada di hadapannya direnung lama.
“Sampai hati Hayat buat abah macam ni. Dia darah daging abah. Saya yang bukan darah daging abah pun tak sampai hati nak kecilkan hati dia. Dia terlalu baik.”
Kata-kata Firdaus sangat perlahan tetapi sempat menerjah telinga Kartina dan Ahmad Adham. Mereka tersentap dan terus mengangkat muka dan merenung wajah Firdaus yang tenang dan polos.
“Fir? Jadi Fir bukan anak kandung dia?” Ahmad Adham memegang lengan Firdaus, mencari kepastian.
“Saya hanya anak tiri dia.”
“Anak Naimah?” tanya Kartina pula.
Firdaus angguk perlahan. Kartina meneliti wajah Firdaus. Langsung tidak ada tampang Naimah. Perangainya, sangat sopan dan berbudi bahasa. Jauh panggang daria pi dari sikap Naimah.
“Saya tahu mama saya pernah melukakan hati ibu. Saya harap ibu dapat maafkan dia dan berdoa untuk kesejahteraan rohnya di sana.”
“Mana Fir tahu?” Mata Kartina belum jemu merenung Firdaus.
“Abah selalu cerita pasal ibu dan pasal mama. Abah tu sebenarnya hidup dalam penyesalan yang panjang.”
      
“Jadi, dia tak pernah kahwin lain selepas mama Fir meninggal?”
“Tidak. Alasannya, dia tak nak saya ada mak tiri. Dia tak nak saya diseksa dan didera. Sangat besar pengorbanan dia pada saya. Dari kecil hingga sekarang.”
“Ayah kandung Fir mana?” Ahmad Adham tidak mahu terus keliru. Dia mahu penjelasan yang telus.
“Entahlah. Menurut abah, ketika dia berkahwin dengan mama umur saya dua tahun. Dia tidak pernah tahu siapa dan di mana ayah saya. Selepas mama meninggal, tidak ada yang datang menuntut saya untuk dibela. Kalau abah tak jaga saya sudah tentu saya dihantar ke rumah anak-anak yatim.”
Ahmad Adham mengeluh berat. Dia kagum dengan kasih sayang yang terjalin antara Firdaus dan Kamaruzaman. Kisahnya hampir sama dengan kisah hidup Muhayat. Yang membezakannya ialah ibu Muhayat masih hidup. Sedangkan ibu Firdaus sudah tiada. Kamaruzaman menjaga seorang anak tiri, sendirian. Ya ALLAH!
“Hayat  akan menyesal kalau dia tahu penderitaan abah selama ini. Sejak dia tahu dia ada anak sendiri, dia nampak sangat gembira. Saya ikut gembira. Tapi, sejak dia balik dari Ipoh semuanya berubah. Dia merahsiakan sesuatu dari kami. Kami tahu dia dilukai…” Suara Firdaus hampir tidak kedengaran. Dia tunduk menahan sedih.
“Maafkan kami Fir,” kata Ahmad Adham sambil menarik tangan Firdaus.
“Saya tak fikir dia terluka kerana abah dan ibu. Saya rasa mesti Hayat yang menolak kasih sayangnya.”
            “Fir, tolong maafkan dia. Dia sedang keliru.” Tiba-tiba Kartina menangis teresak-esak.
                
            Firdaus tergamam. Juraian air mata seorang ibu membenarkan telahan yang ada di hati Firdaus. Benarlah, Muhayat telah melukakan hati Kamaruzaman.
            “Nenek, janganlah sedih. Tok bah selalu kata, kalau boleh dia tak nak nenek menangis lagi. Dah banyak air mata nenek yang mengalir kerana dia.” Tiba-tiba Dayana Puteri menghampiri Kartina dan menghulurkan sehelai tisu.
            Kartina mendongak. Wajah anak gadis Firdaus ditatap dengan hati yang bertambah sebak dan terharu. Dia segera menarik gadis  itu ke dalam pelukannya.
            “Ibu, kami semua tahu kisah penderitaan masa lalu ibu. Abah tak pernah lupa dengan apa yang dibuatnya kepada ibu. Sejak berpuluh tahun dia selalu bercakap mengenai kesilapannya. Sampaikan anak-anak saya kenal siapa ibu. Walaupun tak pernah jumpa, mereka tahu kisah ibu.”
            Kartina mengesat air mata. Dia sendiri sudah melupakan kisah lalu dan tidak pernah berdendam apa-apa.
                                                                                                                       
           
            Seminggu Ahmad Adham dan Kartina berada di Johor Bharu. Kesihatan Kamaruzaman semakin baik. Wajahnya sudah mula ceria. Degupan jantungnya mula kuat. Lalu dia sudah dibenarkan pulang ke rumah.
            “Awak kalau sihat memang masih kacak. Awak ada iras-iras pelakon Hindustan, Rajesh Khana,” gurau Ahmad Adham.
            “Awak ni kalau tak buat lawak memang tak sah,” balas Kamaruzaman dengan ketawa. Kartina yang sedang memotong epal, ikut ketawa.
                   
            “Saya suka tengok awak berdua ketawa. Rasa lapang dada. Rasa tenang fikiran,” kata Ahmad Adham, jujur.
            “Awak memang baik, Adham. Saya pun tak mampu nak jadi macam awak.”
            “Nak jadi macam saya buat apa? Habis siapa pula nak jadi sahabat baik saya?”
            Ketawa mereka pecah berderai. Kartina menghulurkan epal yang sudah siap dipotong kepada Ahmad Adham kemudian kepada Kamaruzaman.
            “Man, memandangkan awak dah sihat saya dan Tina nak balik ke Ipoh esok. Dah lama kami tinggalkan rumah. Saya janji akan datang lagi,” kata Ahmad Adham sambil mengunyah epal. 
            “Tak payah susah-susah. Saya dah baik. Awak tu kena jaga kesihatan awak. Jangan fikir banyak sangat pasal saya. Tina, jaga diri Adham baik-baik,” balas Kamaruzaman.          
            “Dia memang isteri yang sangat sempurna. Dari muda dia jaga saya. Saya ni dilayan macam raja. Saya bersyukur sangat kerana dia sudi jadi isteri saya.” Ahmad Adham menatap wajah Kartina.
            “Awak memang bertuah. Dia juga bertuah kerana ada suami macam awak.”        
            Kamaruzaman berkata jujur. Memang Kartina dan Ahmad Adham pasangan yang secocok. Mereka saling menyayangi. Takdir ALLAH menentukan mereka bertemu dan hidup bersama. Sungguh halus jalinan pertemuan yang ditetapkan ALLAH.
            “Kalau awak dah sihat nanti, datanglah ke Ipoh. Kami tunggu awak dengan rindu,” kata Ahmad Adham.
               
            “Betul tu bang. Tak payah nak fikir sangat pasal Muhayat tu. Masa ni dia tengah keliru. Mungkin bila jumpa abang kali ini, fikirannya dah berubah,” kata Kartina pula.
            Kamaruzaman memaksa sebuah senyuman. Dengan perlahan juga dia memaksa sebuah anggukan yang sangat berat. Kalau mampu memang dia tidak mahu meletakkan di hati semua kata-kata Muhayat itu. Namun, semuanya tidak mampu dilupakan dengan mudah.
            Keesokannya, Kamaruzaman menghantar Ahmad Adham dan Kartina berangkat pulang dengan genangan air mata. Ingin sekali dia berkirim salam kepada Muhayat, namun entah kenapa pula mulutnya sangat berat. Dia menahan diri dan kerinduannya.
            Selepas kereta yang dipandu oleh Mursyid berlalu, Kamaruzaman kembali kepada keadaan asalnya,  pemurung dan penyedih. Sekali lagi Firdaus dihurung resah.  
            “Abah, kenapa kali ini abah tak boleh nak kongsi kesedihan abah dengan Fir?  Apakah Fir dah bukan anak abah?”
            “Fir, jangan cakap macam tu. Abah masih sayangkan Fir. Hanya Fir yang abah ada dalam hidup ini.”
            “Muhayat?”
            Mendengar nama itu, hati Kamaruzaman tiba-tiba menjadi hiba. Tanpa segan dia menangis teresak-esak. Dari celah esakannya itu, terkeluarlah semua fitnah yang dibuat oleh Muhayat.
            “Abah tak buat apa-apa. Semuanya fitnah belaka …”
           

            Firdaus terpempam lama. Sungguh tidak disangka begitu berat penanggungan  jiwa Kamaruzaman. Patutlah dia begitu berubah. Rupanya dia sangat melarat dan jiwanya sangat lara dengan perbuatan Muhayat.
            “Abah, maafkan Fir…” Firdaus memeluk tubuh lemah Kamaruzaman. Dia ikut menangis. Kesengsaraan Kamaruzaman cuba dikongsi.
            “Fir tak salah apa-apa. Nasib abah yang memang tak beruntung. Abah memang perosak kebahagiaan mereka.”
            “Jangan cakap macam tu, abah. Muhayat yang tak tahu menilai kasih sayang abah. Muhayat yang… ”
            “Fir, jangan salahkan dia.” Kamaruzaman segera memotong cakap Firdaus. Kerdipan matanya sangat mengharapkan agar Muhayat tidak dipersalahkan.
            “Dia sedang keliru. Abah tak akan salahkan dia. Cuma abah nak Fir tahu, yang abah tak buat apa yang Muhayat tuduh itu. Kartina memang bekas isteri abah. Tapi itu kisah lama. Tak terlintas pun di hati abah untuk mengkhianati persahabatan abah dan Abah Adham. Dia terlalu baik,” tambah Kamaruzaman.
            “Abah, Fir tak pernah meragui kejujuran abah. Fir kenal abah sejak kecil. Walaupun Fir bukan darah daging abah tapi Fir dah sebati dengan perasaan abah. Jangan abah bimbang pasal perasaan Fir.”
            Kamaruzaman tersenyum senang. Air matanya dikesat.
            “Abah kena kuat. Abah tak boleh jadikan hal ini sebagai perosak kegembiraan kita selama ini. Kalau Muhayat tak nak terima abah, biarlah. Kami masih perlukan abah. ”
            “Terima kasih Fir. Kalu Fir tak ada, entah apa akan jadi pada abah.”
        
            “Fir pun nak ucap terima kasih pada abah. Kalau bukan kerana abah, entah apa yang jadi pada Fir.”
            Mereka saling berpelukan. Saling pula bertangisan. Perasaan kasih menjadi satu. Firdaus tidak tega lagi melihat keadaan Kamaruzaman yang lemah itu. Walaupun cuba disembunyikan, Firdaus masih nampak jelas akan luka di hati Kamaruzaman.
            Muhayatlah puncanya!
            Firdaus rasa penyelesaian harus dibuat dengan Muhayat. Dia tidak mahu Kamaruzaman terus menderita dan Muhayat pula dibeban dosa anak derhaka.
            “Tak mengapa kalau kau tak nak sayang dia, tapi tolong jangan sakiti hati dia. Abah dah lama hidup sepi dan rindu. Jangan kau tambah lagi dengan rasa sakit hati.”
            Firdaus memang rasa amat canggung kerana dia belum pernah bersua muka dengan Muhayat. Cuma dia melihat gambar yang dibawa pulang oleh Kamaruzaman. Wajah mereka seiras! Sangat mirip dan saling tidak tumpah.
            “Dia rindukan siapa?” tanya Muhayat dengan sinis seakan memperli.
            “Dia rindukan kehidupan masa lalunya yang bahagia. Dia rindukan sebuah keluarga.”
            “Bahasa apa yang awak cakap ni? Cerita apa yang kau nak beritahu aku?”  Muhayat semakin kasar.
            “Muhayat, abah memang tak pernah tahu mengenai kelahiran kau selama ini. Tapi selepas dia tahu dia ada anak yang lain selain aku, dia begitu gembira. Dia ingin menebus masa yang terlepas itu. Dia ingin memanjakan kau sebagaimana dia manjakan aku. Tolonglah beri dia peluang itu,” rayu Firdaus. Entah kenapa dia rasa dia perlu berbuat begitu demi Kamaruzaman.
  
            Muhayat ketawa. Ketawa yang dipaksa. Ketawa yang cuba untuk menyakitkan hati Firdaus!   
            Firdaus langsung tidak terkesan dan sakit hati. Sebaliknya rasa belas  dan simpati  terhadap Kamaruzaman semakin menggunung.
            “Dia dah diberi peluang itu, tapi dia dah sia-siakannya. Salah siapa?”
            “Apa maksud kau?” tanya Firdaus, berpura-pura tidak faham apa yang berlaku. Dia memang ingin mendengar sendiri dari mulut Muhayat akan tuduhan fitnah yang dilemparkan kepada Kamaruzaman.   
            Muhayat  tidak segera menjawab. Dia membiarkan Firdaus menunggu. Dia sengaja membolak-balikkan hati Firdaus tanpa menyedari hatinya sedang diamuk gelora.
            “Kau tahu kau dah buat fitnah terhadap dia?” sergah Firdaus tanpa menunggu Muhayat menjawab.
            “Fitnah? Tidak. Aku melihat dengan mataku sendiri. Aku tidak akan percaya cakap orang kalau tak melihat sendiri.”  
            “Apa yang kau lihat?”
            “Ibuku keluar dari bilik dia. Mereka berdua-duaan dalam satu bilik pada waktu malam. Apakah itu fitnah? Apakah itu bukan sumbang dan curang?”
            “Astaghfirullahhalazim! Itukah ukuran curang dan sumbang yang kau lemparkan pada mereka?”
            “Lalu kalau bukan sumbang, nak panggil apa? Mereka bukan muhrim lagi. Kenapa mesti nak berdua-duan macam tu?”
            “Kenapa tak siasat dulu. Mungkin mereka ada keperluan penting.”

            “Nak siasat apa? Perkara dah jelas depan mata.”
            “Sebaiknya kau bersemuka dengan ibu dan abahmu, bukan terus memusuhi mereka. Kau jadi hakim yang tidak adil. Kau menghukum tanpa memberi mereka peluang menceritakan hal sebenar.”
            “Siapa kau pula nak menghakimi keputusan aku!” tengking Muhayat. Bergegar telinga Firdaus dengan tengkingan itu.
            “Aku kasihan dengan abah. Aku juga simpati dengan kau. Kau dah kecilkan hati ibu bapa kau. Tak berkat hidup anak yang melukai hati ibu bapa,” kata Firdaus, cuba membuat Muhayat sedar.
            “Habis, bagaimana dengan hati anak?”
            “Muhayat, suka hati kaulah. Aku cuma nak kau tahu, abah memang sayangkan kau. Terserahlah kepada kau. Jangan sampai kau menyesal nanti, sudahlah. Assalamualaikum!” Firdaus mematikan talian. Dia mula rasa sia-sia dan membuang masa untuk menasihati Muhayat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan