Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 19 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 10 - SASYA ZAINAL



Dengan berhati-hati Adik dan Johari memasukkan dulang-dulang hantaran yang sudah siap dihias dan digubah oleh Kak Nora di belakang bonet teksi Pak Khamis. Ada lima dulang kesemuanya. Senaskhah Al-Quran, sejadah, telekung, kain baju kurung, kasut dan beg tangan. Cincin dan sirih junjung akan disediakan sendiri oleh tuan rumah. Kak Nora mengenakan baju kebaya moden berwarna biru pekat dan selendang biru muda untuk menutupi rambut ikalnya. Wajahnya disolek rapi. Memang jelita wajah Kak Nora. Kadang-kadang wajah Kak Nora lebih jelita dari wajah pengantin yang bersanding. Emak selalu kata, wajah yang cantik, bukan sebab dibubuh alat solek sekilo tapi kerana kemurniaan hati.

            ‘ Iya, Kak Nora memang baik hati.’ Katanya di dalam hati sambil tersenyum melihat Kak Nora mengunci pintu rumah.
           
“ Ri...kamu duduk depanlah, ya. Kak Nora dengan Adik duduk belakang,” Kak Nora memberi arahan kepada Johari dan Adik yang sedang menantinya di tepi teksi. Mereka berdua mengangguk dan mengambil tempat masing-masing.
“ Pukul berapa siap nanti, Nora?” tanya Pak Khamis ketika teksinya mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah Kak Nora.
“ Agak-agak dalam pukul lima agaknya, Pak Khamis,” jawab Kak Nora.
“ Pakcik tak dapat ambil kamu agaknya, Nora. Hendak ke hospital Muar petang ni, ada ayah saudara yang uzur masuk wad malam semalam,” jelas Pak Khamis dengan nada kesal.
“ Ohh...eh tak apalah Pak Khamis. Nora boleh balik sendiri, naik bas atau teksi. Balik nanti, sudah tidak perlu bawa dulang-dulang ni semua.”
“ Minta maaf eh Nora,” ujar Pak Khamis lagi sambil mengangguk dan menjeling ke cermin pandang belakangnya.
“ Tak apa Pak Khamis. Hal kecik aje ni. Balik nanti, Nora lenggang kangkung. Bawa beg mekap dengan bawa budak-budak ni saja,” Kak Nora tersenyum dan kelihatannya Pak Khamis lega dengan kenyataan Kak Nora itu.

“ Kak Nora...rumah kenduri ni nanti, masak apa agaknya ya?” tanya Johari yang duduk bersebelahan dengan pemandu.
“ Eh kau ni, Ri. Manalah Kak Nora tahu. Kak Nora bukan tuan rumah!” Adik menempelak.
“ Haah Ri...Kak Nora tukang solek aje...bukan tukang masak,” seloroh Kak Nora. Adik angkatnya yang seorang ini, lain pertanyaan tidak ada...pasal makan saja yang difikirkan.
“ Manalah tahu, mak pengantin ada beritahu Kak Nora ke, tukang masak ada telefon Kak Nora ke.”
“ Kau jangan hendak buat malu aku, Ri! Jangan hendak makan banyak-banyak pula kat majlis orang tu nanti,” sempat Adik berpesan.
“ Alah kau ni...tahulah aku,” Johari mencebik.
“ Rejeki jangan ditolak, iya Johari?” Pak Khamis menyampuk sambil tersengih memandang Johari yang memakai baju batik lukis seperti yang selalu dipakai oleh penyanyi Sheqal, suami pelakon Raja Ema.
“ Hah! Betullah Pak Khamis. Rejeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Orang sudah jemput, kita makanlah!”
“ Haaa...hendak makan tu, tolong Kak Nora dulu. Buatnya last minute tuan rumah minta Kak Nora gubah bungalah, hiaskan pelaminlah ...menjajar Kak Nora hendak mencari kamu,” pesan Kak Nora.
“ Orang macam Johari ni, Nora. Bukan susah kamu hendak cari dia. Kalau tidak di khemah jamuan...dia mesti ada di dapur mengecek makan dengan tukang masak!” sakat Pak Khamis.
“ Ei Pak Khamis ni...melampau aje tau, cakap saya macam itu!” Johari mencemikkan wajahnya sambil menjeling Pak Khamis yang tenang memandu.
Kak Nora, Adik dan Pak Khamis tergelak besar dengan kelakuan Johari.

Majlis pertunangan dan kenduri doa selamat berlangsung dengan lancar. Majlis bermula pukul 2.00 petang dan selesai dalam pukul 4.30 petang. Tetamu yang hadir dijamu dengan roti jala dan kari ayam, soto dan kuih-muih tempatan. Bagi ahli keluarga dan jiran-jiran yang sudah ada di rumah sedari pagi, mereka dijamukan dengan nasi ambang, makanan traditional kaum jawa. Kak Nora tidak berapa sibuk di hari pertunangan kali ini. Tugasnya hanya menyolek gadis yang dipinang dan membuat gubahan sirih junjung yang disediakan bahan-bahannya oleh pihak ibu bapa perempuan. Adik dan Johari hanya duduk di dalam kamar menemani Kak Nora. Mereka asyik memerhatikan kepakaran Kak Nora menyolek si gadis. Solekannya asli dan tidak terlalu tebal. Adik menanam tekad hendak belajar cara-cara untuk mengenakan solekan dari Kak Nora. Dia yakin, kakak angkatnya itu tidak akan lokek ilmu.

Ketika waktu zohor tadi, bapa kepada pihak perempuan mengajak kaum lelaki menunaikan solat zohor berjemaah di ruang tamu rumahnya. Kemudian barulah mereka menikmati hidangan nasi ambang yang dibungkus di dalam daun pisang sama seperti nasi lemak. Di dalamnya terdapat ayam masak kicap, sayur kacang, tempe, taufu dan soon yang digoreng kering, ikan masin, telur masin dan sambal. Berselera sungguh Johari dan Adik menikmati hidangan nasi ambang itu. Kata emak, jika kita makan berselera di rumah orang kenduri, bermakna tuan rumah itu memang ikhlas hatinya menyediakan jamuan untuk tetamu yang hadir.

Kak Nora meminta diri setelah mengambil foto kenang-kenangan bersama dengan tuan rumah dan gadis yang ditunangkan. Janji dimetrai oleh ibu si gadis yang dia akan mengambil Kak Nora sebagai mak andam di hari perkahwinan anak perempuannya. Rezeki lagi untuk Kak Nora. Mungkin mereka suka dengan solekan dan dandanan Kak Nora. Gubahan untuk dulang hantaran juga cantik dipandang mata. Ramai tetamu yang memuji. Kak Nora tersenyum simpul sepanjang majlis kerana tuan rumah berpuas hati dengan hasil kerja tangannya.

“ Kak Nora...kita rasakan, Kak Nora sudah kena ada business card laa. Nanti senang Kak Nora hendak buat promosi,” Adik memberi cadangan ketika mereka bertiga berjalan menuju ke jalan besar dari rumah kenduri. Di tangan kanannya terdapat beg mekap Kak Nora.
“ Haah Dik, Kak Nora ada fikir juga tu, tapi tak tahu mana hendak buatlah, Dik, ” jawab Kak Nora jujur sambil berjalan perlahan-lahan diantara Adik dan Johari.
“ Alah Kak Nora, dekat bus stand tu, ada dua tiga kedai cina yang boleh buatkan kad tu. Kak Nora boleh tempah, macam-macam warna ada,” Johari memberi cadangan.
“ Ye ke, Ri? Eh...nanti Kak Nora hendak tempahlah. Nanti kita pergi sama-sama eh?”
“ Boleh aje Kak Nora...asalkan Kak Nora belanja kita makan ayam KFC!” ujar Johari tersengih.
“ Ya ALLAH, Ri. Kamu ni tak tahu kenyang agaknya eh? Tadi makan nasi ambang, lepas tu makan roti jala...ini cakap pasal makan lagi?” tanya Kak Nora yang pelik dengan Johari. Walau apapun topik perbualannnya, mesti akan bercakap pasal makan. Namun badannya tidak gemuk manapun.
“ Haah...dia ni memang macam ini, Kak Nora. Dua puluh empat jam...makannnn aje dia ingat. Saya hendak fikir pasal makanan pun sudah naik loya sebab kenyang sangat ni,” Adik menokok.
“Iyalah...habis? Kita kan kena makan untuk hidup?” jelas Johari sambil tersengih.
“ Iyalah, iyalah...jangan bertekak. Nanti, minggu yang kamu berdua free, Kak Nora pun takde apa-apa kerja, kita ke bandar eh?”
“ Untuk Kak Nora dan KFC, saya cancel semua date-date saya!” tegas Johari siap dengan mengangkat tangannya menyakinkan Kak Nora.
Adik dan Kak Nora tergelak-gelak dengan gelagat Johari yang memang kelakar.
 “ Dik...kau hari ini banyak diam saja Kak Nora tengok? Kenapa?” tanya Kak Nora kerana hari ini, dia perasan yang Adik memang banyak berdiam diri. Selalunya, dia juga kecoh bersenda-gurau dengan Johari. Kerana itulah Nora gemar membawa dua orang adik angkatnya ini. Selain dapat membantu dia membawa beg mekapnya dan dulang-dulang hantaran, budak-budak ini dapat menghilangkan kesunyiannya.
“ Tak ada apalah, Kak Nora.”
“ Khalid buli kau lagi, kah?”
Geleng.“ Tak adalah, kak. Saya mengantuk agaknya. Semalam tak boleh tidur,” jujur Adik mengakui.
“ Eleh...dia rindu mata air dia tu, Kak Nora!” Johari menyakat.
“ Hah? Kau ada mata air, dik?” Kak Nora memegang bahu Adik sambil tersengih-sengih. Sungguh Nora tidak menyangka, perwatakan Adik yang lembut itu rupa-rupanya ada juga dia menyimpan hati untuk seorang gadis.
“ Heh! Mana ada! Merapek aje dia ni! Tulah, makan banyak sangat! Cakap pun merapu!” Adik membidas kata-kata Johari.
“ Eleh...cakap ajelah, Dik, kau teringatkan si dia, tu kan?” Johari tersengih-sengih menyakat. Suka benar dia hendak mencungkil perasaan temannya yang sudah pun menarik muka masam.
“ Iya ke, Ri? Siapa?” Kak Nora pula tersenyum lebar dan berasa teruja hendak mengetahui siapakah gerangan gadis yang bertakhta di hati Adik.
“ Ya ALLAH, mana ada, kak. Ri ni, suka-suka hati dia aje,” Adik mengerling Johari.
“ Eleh Kak Nora, dia memang pandai hendak mengelak. Pantang orang cakap pasal hal ni, dia main corner sini, corner sana!”
“ Beritahulah Kak Nora, Dik. Kak Nora janji tak beritahu siapa-siapa. Mak pun Kak Nora tak beritahu,” beria-ria Kak Nora juga cuba mencungkil. Entah kenapa, dia yang berasa teruja. Mungkin Kak Nora teringat zaman dia bercinta monyet dahulu.
“ Tak ada siapalah Kak Nora. Si Ri ni pandai-pandai saja.”
“ Eleh Dik...dengan orang lain, bolehlah kau goreng. Dengan aku, kau tak boleh goreng laaa, Dik,” Johari mencebik seolah-olah dia amat mengenali hati rakannya ketika itu.
“ Okey, kalau Adik tak mahu beritahu, engkaulah beritahu Kak Nora, Ri. Siapa orangnya?”
“ Bolehhhh Kak Nora...takde hal punya. Tapi Kak Nora belanja minum air Pepsi eh?” sekali lagi Johari minta dibelanja.
“ Subhanallah...budak ni tak kenyang-kenyang agaknya? Iyalah, yalah...nanti kita singgah di kedai Pak Mail.”
Adik mengeleng-gelengkan kepala. Dia hanya tersenyum dengan gelagat Kak Nora dan Johari. Entah apa yang akan diberitahu oleh Johari kepada Kak Nora, Adik pun tidak tahu.
“ Haaa, kalau Kak Nora hendak tahu...adik kesayangan Kak Nora ni, bakal jadi menantu Cikgu Amir!” Johari berseloroh. Adik memberikan jelingan tajam kepada rakannya itu.
“ Menantu Cikgu Amir?” Kak Nora mengerutkan kening, “ Siapa eh? Eh...Faezah Hanim ke?” Kak Nora tersenyum lebar.
 “ Iyalah, siapa lagi? Mana Cikgu Amir ada anak lain?” Bersungguh-sungguh Johari bergossip seakan-akan Adik tiada di situ.
“ Laa hawla wala...ye ke, Dik?!” Kak Nora teruja. Dia memandang Adik tersengih-sengih. Memang Kak Nora akui, semakin remaja, Faezah Hanim itu semakin ayu. Walau dia berpewatakan lincah, namun keayuan wajahnya terserlah. Bertubuh tinggi lampai seperti ayahnya, Cikgu Amir, seorang guru sukan . Keayuan wajahnya pula diambil dari kecantikan wajah ibunya Cikgu Zakiah yang mempunyai darah campuran melayu tiong-hua.

Segera Kak Nora terbayangkan wajah comel anak itu yang dimekapkan beberapa tahun dahulu ketika mereka semua berkhatam al-Quran. Faezah Hanim memakai baju kurung berwarna putih dari kain lace yang ditempah khas oleh ibunya, Cikgu Zakiah. Anak kecil itu juga dipakaikan selendang yang dijahit dengan manik-manik kecil berlabuci bersama tiara kecil yang diletakkan di atas kepalanya sempena meraikan hari khatamul-quran yang disambut beramai-ramai. Memang amat padan jika Adik bergandingan dengan Faezah Hanim.

“ Kak Nora dengar laa cakap Ri tu, kak. Kaki temberang!”
 “ Eh...kalau iya pun, apa salahnya, Dik? Kak Nora suka kalau Adik dengan Faezah,” Kak Nora dengan tidak semena-mena memberi restu dan membuatkan Johari menepuk tangan sementara Adik hanya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya.


Mereka bertiga yang berjalan perlahan-lahan, akhirnya sampai juga ke jalanraya utama yang menghubungkan daerah Batu Pahat dan daerah Muar. Terdapat sebuah perhentian bas di jalan masuk rumah kenduri tadi dan mereka bertiga duduk menanti bas atau teksi yang hendak ke bandar Batu Pahat. Kak Nora amat berharap mereka dapat menahan sebuah teksi kerana jika mereka menaiki bas, bas hanya akan berhenti di jalan masuk Kampung Peserai. Ini bermakna mereka perlu berjalan kaki lagi untuk sampai ke rumah. Jika menaiki teksi, dapatlah teksi berhenti betul-betul di hadapan rumahnya. Kak Nora tidak kisah jika perlu membayar lebih kerana kakinya sudah tidak tahan dengan kesan melecet akibat memakai kasut tumit tinggi.

Sedang mereka berbual-bual, kedengaran dari jauh bunyi beberapa buah motorsikal yang ditunggang laju. Enjinnya bagai sengaja dipulas-pulas untuk menambah kelajuan dan membingitkan telinga yang mendengar. Ketiga-tiga mereka menoleh ke arah kanan...dari kejauhan, di dalam 500 meter kelihatan beberapa buah motorsikal melalui jalan Batu Pahat- Muar ini dengan kelajuan yang amat. Ada yang membuat aksi willy di tengah-tengah jalanraya. Kak Nora menggeleng-gelengkan kepala. Sekarang ini, mat-mat rempit bukan sahaja merempit di waktu malam, waktu petang sebegini pun mereka sudah memulakan perlumbaan haram mereka. Mereka berlumba di jalan-jalan kampung seperti ini kerana tidak ada polis trafik yang akan memantau lebih-lebih lagi di hari-hari minggu.

Johari dan Adik masih memerhati ke arah mat-mat rempit yang bila-bila masa sahaja akan melintas di hadapan mereka. Rasa meluat dan benci dengan perangai mat-mat rempit yang tidak ada otak kerana merempit di waktu-waktu petang sebegini. Waktu-waktu petang sebegini, ramai kanak-kanak yang kadang-kadang bermain basikal atau bola di halaman rumah. Buatnya mereka terbabas melanggar kanak-kanak itu, bagaimana? Bukankah mendatangkan kecederaan yang parah kepada anak-anak yang tidak berdosa? Waktu petang di hari minggu ini juga, ramai ayah-ayah atau datuk-datuk yang menebas lalang atau rumput di parit-parit hadapan rumah. Buatnya mereka menyondol pakcik-pakcik tua itu ketika membuat aksi willy atau superman mereka, bukankah patah riuk tulang-temulang pakcik tadi? Memang Adik sangat meluat dengan grup-grup motor lumba haram ini.

Semakin lama, motor-motor yang merempit itu, semakin menghampiri mereka. Secara tiba-tiba, ada sebuah motor yang sedang membuat aksi willy terbabas masuk ke arah yang bertentangan. Mat rempit itu memasuki jalan yang menuju ke arah Muar. Dalam masa yang sama, terdapat sebuah van yang keluar dari sebuah simpang. Van itu pula membelok ke kanan – juga arah ke Muar. Pemuda yang membawa motor Honda itu hilang kawalan lalu merempuh van yang keluar dari simpang itu. Berlakulah perlanggaran yang kuat dan motor itu melambung ke udara.

Kak Nora, Johari dan Adik sama-sama menjerit dan serta-merta bangun berdiri tegak dari bangku tempat duduk mereka dihentian bas. Mereka menyaksikan dengan mata kepala mereka tubuh pemuda itu melambung ke udara. Tubuh itu kemudian jatuh semula ke jalanraya dan motor yang melambung juga jatuh bedebuk ke atas jalanraya yang berturap. Bunyi motor dan tubuh pemuda malang itu menggetarkan jantung dan dada.Tubuh pemuda yang terpelanting itu menggelupur seketika ketika ia jatuh menghempap jalanraya. Darah merah pekat mengalir dan tubuh yang mengelupur itu akhirnya terbujur kaku. Topi keledar yang tidak diikat juga tercampak ke parit yang berdekatan.

Kejadian itu berlaku tidak sampai 20 meter dari perhentian bas tempat dimana Adik, Kak Nora dan Johari menanti teksi atau bas. Rakan-rakan rempitnya yang lain berpatah balik menuju ke tempat kejadian. Pemandu van yang terselamat juga turut keluar dan berlari menuju ke arah pemuda yang mungkin sudah pun menemui ajal. Mujurlah motor itu merempuh di bahagian pintu bahagian penumpang. Pemandu van itu langsung tidak tercedera dan dia tidak membawa sesiapa pun di dalam vannya. Penduduk-penduduk di situ yang mendengar kesan perlanggaran yang amat kuat sudah mulai keluar dari rumah masing-masing dan menuju ke arah van, motor dan pemuda yang terbujur kaku. Kereta-kereta yang lalu-lalang juga berhenti untuk menyaksikan kemalangan maut itu.

Jantung Kak Nora berdegup kencang. Kedua belah tangannya menutup mulut. Lidahnya segera beristigfar- mengingati ALLAH kerana menyaksikan sesuatu yang dahsyat.  Ketika menyaksikan tubuh pemuda malang itu menggelupur dan darah merah pekat membanjiri jalan, Johari terus pitam dan terjelepuk jatuh ke tanah. Adik yang memerhati juga, terus berdiri kaku. Matanya terbeliak. Wajahnya pucat, sepucat warna baju melayu kuning cair yang dipakainya.

“ Ya ALLAH! Dik...dik...,” Kak Nora menggoncang tubuh Adik yang masih berdiri kaku.Tubuh adik angkatnya itu tegak terpacak dan matanya tidak berkedip-kedip memerhatikan tubuh pemuda malang yang sudah mulai dikerumuni oleh orang-ramai.
“ Telefonkan ambulan! Lekas!” Kedengaran salah seorang penduduk lelaki memberi arahan.
“ Panggilkan polis juga!” Seorang lagi memberi arahan seterusnya.

Dalam kekecohan itu, Kak Nora menoleh pula ke arah Johari yang sudah terbaring di lantai hentian bas yang bersimen, “ Eh...astagfirullah hal azim! Ri! Ri!” Kak Nora panik. “ Ri! Bangun Ri...Ri!” Kak Nora tunduk dan memangku kepala Johari yang terkulai di lantai berdebu itu. Dia menepuk-nepuk wajah Johari yang pucat lesi. Kak Nora menoleh pula ke arah Adik yang masih berdiri tegak seperti nampak mayat hidup.

“ TOLONG!!!” Jerit Kak Nora kerana dia tidak tahu apa lagi yang harus dilakukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan