Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 3 Jun 2016

ADUH, PENING! - BAB 20



IKMAL memandang surat daripada peguam Nadia. Tuntutan lagi? Apa lagi yang kurang? Duit bulanan dia sudah sediakan. Duit kereta dan rumah dia yang bayar.  Upah pengasuh pun sama. Takkan duit tuisyen dan duit insuran pula dia kena bayar? Ini minta duit pembantu rumah pula. Aduh, pening! Ingat dia tauke balak atau tauke stesen minyak agaknya. Ini sudah lebih! Kalau masuk mahkamah, silap hari bulan dia kena bayar semua.
            Ikmal mencampak surat itu di atas meja. Dia menelefon Nadia. Perkara itu perlu diselesaikan di luar mahkamah. Sudahlah duit peguam pun dia yang kena bayar. Amboi, amboi! Bukan main lagi Nadia ya?  Dia perlu bertemu bekas isterinya itu. Perkara ini perlu diselesaikan. Dia tidak mahu menanggung semua keperluan anak-anak. Nadia pun kena bertanggungjawab juga. Bukan dia seorang, anak-anak itu, anak-anak mereka bersama.

DI SEBUAH restoran, mereka bertemu. Berbincang dari hati ke hati. Biar jelas dan terang. Tidak habis-habis Nadia menyusahkannya. Tanpa bersalam atau kata-kata manis, Ikmal melepaskan peluru yang sudah diisi penuh sebentar tadi. Wajah manis Nadia langsung tidak memikat hatinya. Buat hatinya bertambah sakit.
            “Ini surat apa?” tanya Ikmal tanpa sempat Nadia memesan makanan atau minuman.
            Nadia mengambil surat itu. Hmm… dah sampai rupanya, bisik hati kecilnya.
            “Kenapa? Ada masalah?” Nadia memeluk tubuh dan menyandar di kerusi.  Restoran makanan segera itu biasanya lengang waktu tengah hari, tetapi akan ramai pelanggannya bila tiba waktu malam.
            “Memanglah ada masalah. Tak cukup lagi ke apa yang dah saya bagi pada anak-anak? Awak jangan tamak sangat!”
            “Mana ada tamak? Kalau awak tak nak saya minta macam-macam, kahwin semula dengan saya. Selesai masalah awak,” terang Nadia.
            “Awak ni! Berapa kali saya nak bagitahu!”  Ikmal mengetap bibir.
            “Apa susah sangat awak nak terima saya? Kita pernah berkahwin dan berkongsi katil, Ikmal! Awak yang keraskan hati awak, tak nak terima saya. Anak-anak perlukan kita berdua. Saya tak sanggup tengok along menangis kerana diketawakan sebab dia tak ada ayah,” adu Nadia.
            “Memanglah kita pernah berkahwin, pernah bercinta, pernah sayang awak, tapi itu dulu! Sekarang tak lagi, tolonglah faham!” Ikmal mendengus kasar.
            “Awak yang tak nak faham saya!” Nadia mengeluh. Dadanya sebak.
            “Jangan nak buat drama air mata pulak kat sini,” larang Ikmal.
            “Boleh tak awak layan saya macam dulu? Kita keluar bersama dengan anak-anak, makan pun bersama. Beri saya tempoh tiga bulan. Lepas tu, saya takkan ganggu awak! Itu syarat saya. Tiga bulan saja,” pinta Nadia.
            “Kalau awak setuju, semua tuntutan tu saya takkan teruskan. Kalau awak tak setuju, saya akan teruskan prosedur mahkamah tu. Dan saya akan terus ganggu awak sehinggalah awak kahwin dengan saya,” sambung Nadia lagi.
            “Hisy! Mana boleh macam tu?” Ikmal mengeluh. Macam-macamlah! Memang menyusahkan betul. Kenapalah dia ada bekas isteri macam ini. Sudah bercerai, sudahlah! Buat apa dikenang-kenang?
            “Saya tak paksa awak beri jawapan sekarang. Awak fikir-fikirkanlah. Satu lagi… jika awak bersama saya dan anak-anak, isteri awak tu tetap tak boleh ikut! Tiga bulan awak dengan saya, dia tak boleh tahu sebab apa kita keluar bersama. Itu perjanjian saya. Kalau dia tahu, bermakna perjanjian kita berakhir dan awak kena bayar segala tuntutan saya setiap bulan. Ada berani?” Nadia menyengih.
            “Mana boleh Aleeya tak tahu? Kami suami isteri, tiada rahsia antara kami!”  Ikmal menolak. Dia tidak pernah berahsia dengan Aleeya. Dia ingin berkongsi apa sahaja dengan isterinya itu. Nanti apa pula kata Aleeya bila tengok dia sering keluar dengan Nadia. Tiga bulan walaupun nampak pendek, tetap terasa lama baginya.
            “Terpulang!” Nadia tidak mahu berganjak dengan keputusannya.
            “Uh!” Ikmal mendengus kasar. Bukan sikit tuntutan yang diminta oleh Nadia. Boleh papa kedana dia. Habislah semua gajinya kalau ikut kehendak Nadia. Dia bukan ahli perniagaan seperti AC Mizal, pendapatan banyak. Bolehlah bekas isterinya minta macam-macam. Dia hanya seorang pengurus syarikat.
            “Macam mana?” tanya Nadia.
            “Hei, kata nak beri saya masa. Takkan nak jawapan sekarang?” Ikmal menjeling. Tidak sabar-sabar!
            “Okey, okey...” Nadia mengangkat tangan. Dia menyengih.
            Ikmal menjeling tajam. Tengok Nadia yang siap dengan pendakap gigi sudah macam jerung pula. Gigi bukan jongang pun, tetapi kenapa perlu pakai pendakap gigi? Apa yang nak dirata dan disamakan? Pelik betul orang perempuan jika bercakap tentang kecantikan diri. Serba tak kena sedangkan semuanya sudah cukup sempurna. Seolah-olah tidak menghargai ciptaan ILAHI. Tiada makhluk-NYA yang sempurna. Hanya manusia yang tidak tahu menghargainya.
            “Awak tak nak makan ke?” tanya Nadia. Dia perasan Ikmal tidak memesan apa-apa makanan dan minuman.
            “Hilang selera saya tengok muka awak,” sindir Ikmal.
            “Dulu wajah sayalah yang buat awak berselera.”
            “Itu dulu, sekarang tak lagi!”
            “Kalau bercakap tu tak sakitkan hati saya, boleh tak?” Nadia menjegilkan mata. Sakit hatinya mendengar sindiran Ikmal. Waktu mereka bercinta, siang malam bergayut di telefon, siang malam kalau boleh nak berjumpa. Kalau hati sudah benci, semuanya buruk sahaja. Uh! Dasar lelaki.
            “Siapa suruh awak kenang kisah dulu? Ada saya suruh ke?”
            “Satu lagi, selama tiga bulan tu, awak tak boleh layan saya sambil lewa. Awak kena hormati saya, layan saya sebaik mungkin. Selagi saya tak berpuas hati, selagi tulah tiga bulan akan terus berjalan. Tiga bulan yang serba sempurna, faham!”
            “Hei, saya tak setuju lagi tau! Jangan nak mengajar dan tambah syarat pula. Tak ada maknanya.”
            “Ikut suka awaklah. Kalau tak, beribu-ribu duit awak masuk akaun saya.” Nadia ketawa perlahan. Bukan susah nak jadi senang. Tidak perlu bekerja pun. Tiap-tiap bulan duit masuk tabungnya. Anak-anak makan banyak mana sangat. Kepuasan untuk diri sendiri. Padan muka Ikmal dan Aleeya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan