AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 17 June 2016

DUNIA PENULISAN SEMAKIN HEBAT CABARANNYA.



Dunia penerbitan semakin mengorak langkah.  Menuju satu arus perdana yang mampu memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi penulis.    Hari ini, semakin ramai para penulis mula mengatur langkah menerbitkan karya sendiri.  Bagaikan satu ikutan, semakin hari semakin ramai yang mula berani menerbitkan karya mereka sendiri dengan jenama sendiri tanpa lagi memerlukan syarikat penerbitan yang besar dan hebat.  Kebanyakkannya yang memilih menerbitkan sendiri adalah penulis-penulis tersohor yang sudah ada nama, pengikut dan pembaca mereka sendiri. 

Syarikat percetakan pula ada menawarkan harga yang mampu dibayar oleh sesetengah penulis.  Untuk edit atau mengatur dan membetulkan ayat atau perkataan, cari sahaja editor bebas yang sedia diguna pakai perkhidmatan mereka.  Begitu juga dengan kulit buku atau isi kandungan di dalamnya.  Apa yang perlu ada, ialah DUIT.  RM4000 sudah mampu mengeluarkan 300 buah buku dengan harga jualan sebuah RM30.00 – RM35.00 sebuah.


Para pembaca yang tahu akan hasil penulisan penulis kesukaan mereka sudah pasti akan membelinya. Tiada kata kerugian dalam urusan perniagaan kerana penulis boleh membuat pesanan awal dan pembaca membayar harga buku yang telah ditetapkan.  Penulis berjaya menjual buku mereka sendiri dan berupaya menerbitkan karya mereka mengikut kehendak pembaca, mungkin setahun sebuah, mungkin juga dua buah setahun, tidak mustahil selang tiga bulan.  Keuntungan bersih diperolehi oleh penulis seorang diri.  Kebaikan buat penulis.


Persoalannya? Bagaimana dengan mutu karya tersebut? Bagaimana dengan isi kandungan bahasanya? Jalan ceritanya? Adakah bersih dari segala unsur-unsur yang dikategorikan sebagai 18 sx? Gaya bahasa rojak yang mampu membunuh kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan?  Bagaimana dengan ejaan pula? Penggunaan bahasa pesanan ringkas, adakah mereka akan gunakan dalam dialog juga?  Menyentuh tentang jalan cerita, adakah sesuai untuk dibaca oleh semua golongan, tidak kira kanak-kanak, remaja atau dewasa? Adakah pembaca hanya disajikan dengan cerita cinta yang penuh dengan khayalan kerana penulis yang menulis dan menerbitkan sendiri boleh menulis apa sahaja tanpa sekatan dan  batasan.  Segala idea terluah tanpa ada sekatan daripada pelbagai pihak. 


Bagi penulis yang punya  matlamat dan hati yang baik, sudah pasti tidak akan mengeluar atau menerbitkan karya yang dikategorikan mampu menjahanamkan jiwa baik anak-anak muda yang suka membaca karya cinta yang syahdu dan mengasyikkan.  Dalam soal ini, tanggungjawab sebagai seorang penulis amatkan perlu dititik beratkan.  Seorang penulis perlu ada rasa tanggungjawab dalam mendidik pembacanya melalui penulisan.  Membina  jati diri bangsa, agama dan negara dalam bentuk penulisan dan dipaparkan kepada para pembaca mereka. 


Penulis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata, semua perkara baik itu ditolak ke tepi.  Apa yang dalam fikiran mereka, adalah keuntungan yang berganda serta hasil penulisan mereka laris di pasaran gelap. Kenapa gelap? Kerana   ada penulis yang berani, menulis karya lucah semata-mata memikirkan keuntungan buat diri sendiri dan dijual kepada pembaca tertentu sahaja.  Apa yang berlaku kepada para pembacanya, usah difikirkan.  Apa yang penting ada pembaca suka malah keuntungan yang diperolehi di luar dugaan. 1000 cetakan pertama dengan harga RM50.00 laku bagaikan goreng pisang panas. Malah permintaan semakin hari semakin tinggi.  Sedangkan sepatutnya buku seperti itu sama bahayanya dengan buku-buku ajaran sesat yang selalu diharamkan dipasaran.


laporan sudah pun dibuat, namun tiada tindakan diambil atas alasan, buku-buku tersebut dijual hanya kepada individu dan bukannya dijual pasaran terbuka.  Ironinya! Kita masih tidak nampak bahayanya karya seperti itu kepada generasi hari ini, biarpun dunia lepas bebas tetapi sebagai negara Islam, kita punya hak untuk menyekat budaya buruk dalam masyarakat kita hari ini.


Berbalik kepada penerbitan sendiri tadi.  Ada penulis terpaksa mengambil risiko menerbitkan sendiri  lantaran tingginya demand penerbitan berkala besar sekarang ini.  Akibat kejatuhan penjualan novel-novel cinta di pasaran, maka pihak syarikat lebih berhati-hati menerbitkan karya bertemakan cinta, begitu juga dengan kekeluargaan, kurang mendapat sambutan, katanya. Maka berlakulah penolakan demi penolakan biarpun sebelum ini penulis-penulis tersebut sudah ada pengikut dan pembacanya sendiri, penulis-penulis  tersebut juga pernah menghasilkan karya BEST SELLER. Sungguh menghairankan?


Adakah benar novel cinta dan kekeluargaan sudah tidak menarik hati pembaca?   Apa yang berlaku adalah sebaliknya.  Karya-karya cinta, kekeluargaan masih lagi mengungguli carta di Popular dan MPH, di mana tidak lakunya tadi?  Adakah disebabkan jalan cerita yang sama, tiada perubahan oleh para penulis atau kurangnya promosi karya-karya tersebut oleh penulis itu sendiri? 

Ada juga syarikat tidak membenarkan penulis mereka menulis di rumah penerbitan lain.  Bagaikan menutup periuk dan kreativiti seorang penulis. Bagi seorang penulis yang menyayangi rumah penerbitan tempat  mereka  bernaung, akan menunggu dengan sabar manuskrip atau karya mereka diterbitkan, biarpun memakan masa selama setahun, tahun kedua belum tentu karya tersebut akan diterbitkan, mereka tetap setia.  Beruntunglah syarikat tersebut jika mempunyai penulis seperti itu.

 Bagi penulis yang tidak sabar, manuskrip yang telah ditolak oleh syarikat penerbitan yang mereka bernaung sebelum ini tidak akan menunggu lagi, beralih  arah demi mencari dan menambah pendapatan buat keluarga mereka.  Apa yang penting penat lelah menghasilkan sebuah buku dengan beratus muka surat, memerah otak, mengkaji dan menyelidiki diterbitkan.  Biarpun dibuang dari rumah penerbitan yang telah bertahun mereka bernaung. 


Mereka yang punya sumber kewangan yang mantap pula sudah pastinya akan menerbitkan sendiri.  Usah bertangguh lagi, asalkan ada karya setiap tahun dan nama mereka tetap gah di persada penulisan dan pembukuan. Apa jadi dengan  nasib penulis yang tiada modal untuk menerbitkan sendiri karya mereka? Karya yang ditolak akan dibakul sampahkah? Alangkah malang nasib penulis.

Baik atau buruk sesebuah karya itu terpulang kepada penulisnya.  Jika berasakan penulisan mereka hanya ingin mengejar kesenangan dunia, tiada apa yang perlu mereka risaukan.  Hatta menerbitkan karya yang berunsur lucah sekalipun.


 Kepada penulis yang mementingkan keuntungan akhirat, sebaik mungkin akan mempertahankan mutu penulisan mereka.   Mereka akan tetap menghasilkan karya yang mampu membina salasilah bangsa dan agama.  Begitu juga dengan gaya bahasa, penulis yang mencintai bahasa Ibunda mereka, akan tetap menulis dengan bahasa yang indah, kemas dan cantik.


Bagi mereka yang berkata, penulisan pun kena ikut cara percakapan masa kini yang bercampur Melayu dan English, tidak akan berasa sedikit pun menulis bahasa rojak ke dalam penulisan mereka. 

Novel-novel yang telah diadaptasi juga bukan sedikit, bertuahlah para penulis yang karya mereka terpilih untuk didrama atau difilemkan. Jika bernasib baik, karya mereka akan laku keras, malah diulang cetak berkali-kali, ada yang bernasib baik berbelas kali.  Jika tidak bernasib baik, naskah yang diadaptasti tidak menarik, pelakon tidak menguasai lakonan dan jalan cerita, maka lembaplah jualan.  Tidak semua karya yang diadaptasi mendapat sambutan dan laku keras.  Selera pembaca sukar diduga. Apa sahaja yang berlaku di dalam drama sering dibandingkan dengan adegan di dalam buku.  Penonton perlu tahu, membaca sebuah buku tidak sama seperti kita menonton di layar perak.  Sudah tentu akan ada penambahan mengikut kehendak pengarah untuk mencantikkan lagi drama atau filem arahan mereka. 

Tidak manis jika berlaku perbandingan kerana kedua-duanya berada di dalam dunia yang berbeza. Tidak manis menghentam para penulis hanya kerana terdapat atau tersalah fakta di dalam karya, biarpun sepatutnya tidak berlaku, kadangkala adegan atau ayat itu tidak ada di dalam novel yang diadaptasikan. Bukan mencari salah sesiapa. Setiap perkara yang dilakukan perlu kerjasama yang baik dari pelbagai pihak yang terbabit.

Menjadi penulis di zaman serba maju dan canggih ini tidak susah. Sudah ada rangkaian blog, FB, Whattpad dan entah apa sahaja nama yang wujud hari ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk merangka cerita.  Ada juga yang berani memplagiat karya-karya yang ada demi kelangsungan cita-cita ingin menjadi penulis.  Hebatnya dunia penulisan hari ini yang penuh dengan cabaran.  Rumah penerbitan tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan. Pelbagai genre, tema boleh dilihat di kedai buku dengan pelbagai penerbitan yang kadang-kadang kita tidak tahu akan kewujudannya.


Kepada yang kuat dan tabah bersaing, akan terus kekal dan melakar karya. Kepada yang tidak mampu melawan arus, akan terus berkubur dan menyimpan kemas jari jemari untuk urusan lain.


Penulis hari ini menghadapi saingan yang bukan sedikit.  Selera pembaca juga sukar diteka.  Pelbagai rasa kadangkala membingungkan penerbit dan penulis.  Pembaca hari ini menjadi RAJA  kepada penulis yang punya hak menentukan karya seperti mana yang menjadi pilihan mereka. Penulis bagaikan tersekat untuk menghasilkan karya bermutu. Karya yang selalu terpilih dan laku di pasaran adalah karya ringan yang tidak memeningkan kepala ketika membacanya.  Sekarang ini trend karya seram bermaharajalela, laku keras dengarnya, malah ada yang diulang cetak berkali-kali, syabas diucapkan. Dunia penulisan sudah berubah, trend sudah berubah, selera pembaca juga berubah-ubah.
 

Kepada para pembaca, penerbit yang budiman, hargailah kreativiti penulis yang bersengkang mata menulis, menjana idea hanya ingin melihat karya mereka dibaca dan diterbitkan. Jika segalanya disekat apa lagi yang tinggal kepada penulis? Jika ingin mengkritik, kritiklah dengan ilmu agar penulis boleh memperbaiki diri.  Jangan menghina dunia penulisan, jangan dihina barisan penulis yang cuba menulis karya yang baik dan bagus dengan ulasan yang mampu membunuh kreativiti mereka.  Mereka tidak minta disanjung, tetapi cukuplah dengan rasa hormat dan menghargai mereka sebagai manusia yang ada hati dan perasaan. 


Apa sahaja yang kita lakukan, tulis atau buat semuanya akan dihisab di akhirat nanti.  Jadilah penulis yang mampu membina jati diri bangsa dan agama.


Jadilah pembaca yang baik agar kita tidak dihisab juga dengan perbuatan kita membaca buku-buku yang mampu mengundang dosa di hati.


Pilihan di tangan kita sendiri. 


 Biar tidak menjadi penulis BEST SELLER tetapi menjadi BEST SELLER  di akhirat
( memetik kata-kata seorang penulis di FB)



4 comments:

  1. Saya bersetuju dengan pandangan di atas. Bagi saya, demi menyelamatkan agama dan anak bangsa, penulis dan penerbit harus berani berganding bahu menamvil tanggungjawab untuk menerbitkan karya-karya yang membawa kebaikan kepada khalayak pembaca dan meletakkan keuntungan ke tempat kedua. Dunia bakal.hancur jika keuntungan menjadi keutamaan dalam apa juga bidang. Merelakan pembaca menjadi raja adalah satu kesilapan yang besar dalam jangkamasa panjang. Mari kita fikir-fikirkan...d

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana sudi membacanya. Itulah yang kita harapkan.

      Delete
  2. Setuju. Apa yang penting dalam penulisan setiap penulis, adalah hasilnya. Hasilnya biarlah yang baik-baik dan menjadi tauladan. Bukan senang hendak mencari kualiti. Kualiti dalam setiap penulisan harus ada.

    ReplyDelete