AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 23 June 2016

USAH MENANGIS LAGI! - BAB 1 -




Suasana di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur agak lengang.  Matahari yang memancar terik memanah tubuhnya yang sedikit berisi itu langsung tidak dihiraukan.  Jika panas cuaca, panas lagi hatinya ketika itu.  Dia melangkah laju menuju ke kenderaan yang diletak tidak berapa jauh dari ruang mahkamah syariah itu.  Pintu kereta Toyota Vios miliknya dibuka dengan kasar, melambangkan rasa sakit dan marah yang sedang berlegar  difikirannya.  Sudahlah dia terseksa hidup dengan suami seorang penagih tegar, terpaksa pula bayar duit   tebus talak sebanyak 10k.  Jika tidak berbuat begitu, suaminya tidak mahu menceraikannya.   Hancur lulur hatinya.  Manusia tiada hati.  Sudahlah dia tidak mempunyai pendapatan tetap, hanya berniaga kecil-kecilan dalam talian, berapa sangatlah pendapatannya. 
            “Kau tak guna Razif!  Tak guna!” jerit Riana sendirian. 
Mana hendak uruskan anak lagi.  Riana menghentak tangannya ke stereng kereta, dia menangis sepuas-puasnya.  Dia minta bercerai cara baik.  Tidak sanggup lagi hidup bersama lelaki yang hanya tahu mengabdikan diri dengan menjadi penagih dadah.  Puas dipujuk agar berubah dan berhenti dari menagih.  Ada ketika dia memaksa suaminya agar masuk pusat serenti untuk menghilangkan rasa ketagihannya itu.  Namun semuanya itu hanya sia-sia.  Apabila diugut untuk meminta cerai, berubahlah seketika, sehari dua, selepas itu buat semula. 
Sebagai seorang isteri, selama mana dia mampu bertahan!  Sudahlah makan minum dan segala urusan rumah tangga terpikul di bahunya.  Dengan perniagaan kecil-kecilan itulah dia menyara kehidupan dan dua anaknya.  Suaminya hanya tahu meminta jika keperluan mendesak, ketagihan tidak mampu ditahan lagi. 
            Dia mengahwini suaminya setelah hatinya terpaut dengan kelembutan dan kesopanan suaminya itu.  Dia langsung tidak sedar yang suaminya seorang penagih.  Setelah beberapa bulan berumah tangga barulah dia menyedari kegiatan buruk suaminya itu,  Namun semuanya sudah terlambat apabila dia disahkan mengandung anak sulong.  Malah suaminya  berjanji akan berubah dan berhenti menagih.  Riana percaya dan yakin kerana ketika itu rasa sayang masih menebal di hati. 
            Minggu berganti, bulan.  Bulan berganti tahun, tahun berganti tahun, terlalu lama dia bersabar.  Hampir  11 tahun dia bertahan,  akhirnya dia tidak mampu menunggu lagi.  Ada ketika suaminya melepaskan gian di hadapan anak-anak.  Dia tidak mahu anak-anak mewarisi perkara  hina itu.  Dia akhirnya ke Pejabat Agama Islam untuk permohonan fasakh terhadap suaminya.  Segala bukti diserahkan.  Namun suaminya bijak, tetap tidak mahu melepaskannya selain dari dia membayar duit tebus talak. 
“Di mana aku hendak cari duit sebanyak itu?”  Tangisan Riana semakin mendayu.
Terbayangkan wajah kedua anak-anak yang masih kecil.  Stereng kereta Toyoto Vios digenggam erat.  Kereta ini!  Dia memejamkan matanya seketika.  Air mata yang mengalir di pipi dibiarkan sahaja.  Bertambah sesak dadanya.  Kereta yang dibeli dengan duit titik peluhnya sendiri, dibeli untuk kemudahannya berniaga.  Bertambah sakit hatinya.  Hanya kereta ini sahajalah yang dia ada.  Nampak gayanya dia terpaksa menjualkan kereta ini, biarpun dia amat menyayanginya. 
            “Tergamak kau Razif, sudahlah kau tidak memberikan aku apa-apa, kini kau rampas pula harta yang aku ada!”  Riana menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan perkarangan mahkamah syariah dengan hati berbuku resah.
Kereta diparkir di bawah pokok berhadapan dengan flat yang menjadi tempat tinggalnya selama ini.  Dia mengesat air mata yang berbaki di pipi.  Dia tidak akan dapat berbuat apa-apa, selagi tidak membayar 10k yang diminta oleh Razif di mahkamah tadi.    Hampir gugur jantungnya mendengar jumlah yang diminta.  Biarpun diterangkan kepada pihak mahkamah dia tidak mampu membayar permintaan tersebut.  Namun talak di tangan   suami, dia terpaksa akur.  Pulang dengan yang  sakit, apa yang diharapkan tidak menjadi.
            Setelah memberi salam, dia memulas tombol pintu dan melangkah masuk.  Flat kos rendah itu sudah bertahun-tahun didiami.   Sewanya yang murah menyebabkan dia  dan suami, ketika itu menyulam bahagia, menyewa di situ.    Suasana di kawasan perumahannya di waktu siang begini agak sunyi sepi.  Hanya kedengaran suara deruman enjin kenderaan yang lalu lalang di hadapan flat tersebut.  Jiran-jirannya yang terdahulu, kebanyakkannya sudah keluar dari flat tersebut dan menyewa atau membeli rumah di kawasan lain.  Di situ hanya didiami oleh rakyat Bangladesh atau pekerja asing berasal dari Indonesia.  Kadangkala dia terasa bukan tinggal di Negara sendiri.
            Mengeluh pun tiada gunanya, jika lelaki yang sepatutnya bekerja rata-rata hidup seperti suaminya.  Sudahlah tidak bekerja, menagih pula.  Memeras ugut hasil titik peluh isteri  sendiri.  Jika susah sangat mendapatkan duit, itulah yang sampai sanggup menjadi peragut, mencuri dan merompak hak orang lain.  Bukan di Negara ini tidak ada pekerjaan, pilih sahaja, apa yang penting tidak memilih.    Razif, suaminya, sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, diberhentikan kerana tertangkap sewaktu sedang gian di dalam tandas kilang. 
            Sejak itu dia terpaksalah berusaha mencari pendapatan sendiri untuk meneruskan hidup.  Di suruh mencari pekerjaan lain, pelbagai alasan diberi.  Akhirnya menjadilah peladang anggur di tanah sendiri, tanam tak hidup-hidup, malah  menjadi bangkai bernyawa yang sukarnya hendak dicabut nyawanya.  Kalau ikutkan hati, mahu sahaja diracun, biar mampus, apabila memikirkan  dosa, dia pendamkan sahaja kelukaan di hati, jauh di sudut hati yang  paling dalam.  Kepada siapa dia hendak bercerita?  Kepada keluarganya?  Atau keluarga mertua?  Jiran tetangga?  Tentulah sekali tidak, bukan nanti akan mendapatkan simpati, malah takut pula kejian menanti.  Biarlah dia tanggung sendiri, luka yang berdarah tidak tahu bila akan sembuhnya nanti.
            “Mama…” sapa suara kecil yang amat dikenali. 
            Riana melemparkan senyuman, memaniskan muka.  Wajah dua orang anaknya yang sedang meningkat remaja dipandang lama.  Lantas ditarik dalam pelukannya.  Dicium berkali-kali, melepaskan rasa rindu dan beban berat di hati.
            “Macam mana Rin?  Sudah selesai?” tanya  Rafeah, jiran sebelah rumah dan merupakan teman baiknya.
            Wajah temannya itu dipandang seketika sebelum dia beralih memandang wajah anak-anaknya semula.  Dia menahan sebak.  Apa yang diharapkan, belum lagi bakal terjadi.  Bukan ingin menjadi isteri derhaka, tetapi dia tidak mahu lagi membela mayat hidup yang langsung tidak berguna. 
            “Belum! Selagi dia tidak bayar pada aku jumlah yang aku minta, jangan harap aku akan tinggalkan rumah ini!”  sampuk seseorang.
            Riana dan Rafeah serentak memandang ke arah pintu utama. 
            Razif menyengih menampakkan barisan giginya yang berwarna kekuningan.   Dia melangkah masuk.  Matanya tajam menikam wajah Riana dan Rafeah.  Dia mencebik. Langkah diatur terus ke dalam bilik.
“Ayah…”  tegur Marlia, cuba mendekati Razif, lalu dihalang oleh Riana. 
“Mari sayang,”  panggil Razif.
Marlia dan Iqmal menolak tangan Riana dan memeluk Razif. 

            Riana dan Rafeah memandang dengan wajah penuh kebencian dan dengan hati yang sebal.
“Kalau kau sanggup bayar segera, hari ini juga aku boleh ceraikan kau!”  Razif menyengih lagi.
Rasa meluat menumbuk hati Riana.  Dia mengetap bibir.  Sudah hampir enam bulan dia tidak lagi sebilik dengan suaminya itu.  Dia tahu perbuatannya berdosa, tetapi apa dayanya.   Hatinya tawar, tidak mampu bertaut kasih yang layu dengan janji manis suaminya itu.  Dia tidak mampu menahan lelaki itu pulang ke rumah, kerana lelaki itu masih lagi suaminya yang sah.
“Anak-anak ayah pergi tengok tv, ayah nak masuk berehat.”Razif mencium pipi kedua orang anaknya sebelum berlalu meninggalkan mereka semua di ruang tamu.  Dia hanya melemparkan senyuman sinis kepada Riana dan Rafeah yang memerhatikan bagaikan  beruang lapar.
            “Rin…”  Rafeah mengenggam erat tangan Riana.  Tahulah dia apa yang berlaku. 
            “10 ribu Feah!  Aku kena bayar dia 10 ribu, baru dia akan lepaskan aku!”  kata Riana sedikit tegang. 
            Marlia dan Iqmal kembali menonton televisyen setelah disuruh oleh Razif.              “Subhana-ALLAH… apa kau nak buat sekarang?”  Rafeah mengerut dahi.  Simpati menyinggah. 
            “Aku tak tahulah Feah, tapi aku cadang nak jual kereta aku tu… lebih baik aku susah naik turun tangga bas, dari susah hati melihat suami yang tidak menguntungkan itu,” luah   Riana, tidak mampu bertahan lagi.
            “Sayanglah… kau kan suka sangat dengan kereta tu?”  Rafeah mengeluh.
            “Apa lagi yang aku nak buat?  Duit simpanan aku tak ada sebanyak itu…  hanya itu sahaja caranya Feah,”  getus Riana.
            “Sabarlah Riana, nanti kita fikirkan sama-sama.  Kau jangan putus asa ya,” pujuk Rafeah.
            “11 tahun aku bersabar, Feah… mana mampu  untuk aku bertahan sehari sahaja lagi,” keluh  Riana, sebak dadanya. 
            Rafeah mengusah belakang Riana.  Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak membantu.  Dahinya berkerut.
            Riana menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan.  Inikah dugaan hidup untuknya.  Selama ini dia impikan sebuah rumah tangga yang bahagia, harmoni dan aman.  Biarpun tidak senang, bersederhana, itu sudah cukup, asalkan hatinya tenang dan bahagia.  Suaminya pula seorang yang bertanggungjawab, walaupun tidak bergaji besar atau berpangkat.  Tidak kisahlah jika hanya pekerja kilang.  Kalau pun ada harta berkepuk, tapi penagih dadah, tiada siapa yang mampu mengapai bahagia?

2 comments:

  1. Baru temui blog kak Asmah Hashim, memilih untuk mula dengan membaca cerita ini. Jalan cerita yang sangat menarik & penulisan yang mudah difahami. Moga terus maju berkarya! :)

    ReplyDelete