Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 31 Disember 2013

CERITA TENTANG BUKU





         Novel berat atau ringan? Saya hendak bercerita tentang novellah, ya.  Saya memang suka membaca, bertambah-tambahlah lagi apabila saya berkawan dengan mereka yang memang gila membaca.  Sebelum ini tidak pernah saya biarkan buku yang dibeli tidak dibaca dalam kadar segera, selalunya setelah habis satu baru beli  buku yang lain pula.  Tahun ini memang sejarah dalam hidup saya, pending atau buku yang tidak dibaca, tahu beli sahaja mencecah 80 buah.  Aduhai, nasib baik tidak kena marah.  Cakap dengan suami, beli buku  sahaja, bukan minta beli barang kemas.  Sekali terjah pesta buku mesti habis ratusan ringgit, ada kawan sampai seribu.  Saya tidak tahulah bagaimana dia bawa balik buku-buku tersebut. 
Sebenarnya saya ingin bercerita tentang buku. Tidak kisahlah buku apa, novel, majalah, novel popular tidak popular.
Buku bagaimana pilihan saya?  Selalunya saya akan beli buku terbitan Alaf 21, bukan kerana saya penulis  syarikat tersebut tetapi memang sejak dahulu lagi saya beli buku keluaran syarikat tersebut.  Cuma apabila Syarikat penerbitan Kaki Novel dan Karya Seni tiba-tiba meletup dengan karya-karya mereka, saya beli juga tetapi pilih-pilih sahaja.  Saya minat cara penulisan Hanni Ramsul.  Tidak banyak karya  dari syarikat tersebut menjadi koleksi saya sebab saya ini pelik sedikit, kalau sudah suka dengan yang  satu itu,  itulah yang menjadi pilihan.  Saya juga memilih buku terbitan PTS, kenapa saya memilih dua buah syarikat ini sebagai bahan bacaan saya? Sebab gaya bahasa, pilihan pertama saya dalam memilih bahan bacaan.  Jalan cerita  pilihan kedua.    Kalau baca buku PTS terasa seperti baca buku sekolah, tetapi saya suka, kerana syarikat tersebut memartabatkan Bahasa kebangsaan.  Saya bangga memiliki buku keluaran syarikat tersebut.   Begitu juga Alaf 21.    Saya harap mereka kekalkan imej mereka. 
Kenapa bahasa?  Bukan jalan cerita?    Kerana bagi saya penulis yang baik mampu menarik pembacanya untuk membaca karyanya.  Penulis yang baik akan menghasilkan garapan bahasa yang cantik di dalamnya ada cerita yang menarik.  Bahasa bagaimana yang dikatakan menarik?  Bahasa yang membuai rasa dan mesra pembaca, bukan sekadar memberitahu tetapi bercerita tentang apa yang berlaku.    Bahasa yang cantik mampu membawa pembacanya bersama-sama ke dalam cerita, merasai susah, senang, suka, duka watak yang ada.  Menghayati jalan cerita sehingga ke akhir. Mampu ketawa, menangis dan tersenyum bersama-sama watak.  Tidak lompat katak waktu membaca.  Saya suka yang santai tetapi tidak terlalu ringan sehingga tidak mampu menjanah fikiran.  Suka karya yang mampu membina jati diri, membina sahsiah diri.  Mampu mengajak manusia membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan.    Tingginya permintaan saya, kan.  Saya punya hak memilih sebab saya pembaca dan melabur untuk buku tersebut tetapi jika saya tidak suka sesuatu  karya itu tidaklah sampai saya mengeji mereka MELAINKAN ada 18 SX.  Maaflah cakap, saya akan hentam buku tersebut.   Lain orang lain cara. Lain orang lain pula minatnya.
Sekarang ini rumah penerbitan  tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan. Para penulis juga begitu.  Lahir bagaikan disirami hujan, tumbuh melata, subur dan menghijau.  Tahniah kepada mereka.    Semoga mereka menghasilkan buku-buku yang bermutu dan mampu menjadi khazanah bahasa dan bangsa.  Jangan hanya cantik di luar tetapi buruk di dalam.  Selamat menulis dan menghasilkan karya terbaik buat pembaca seperti saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan