Nukilan: Asmah Hashim
PENGALAMAN BEKERJA
Saya mula
bekerja waktu usia saya enam belas
tahun. Ketika itu gaji yang saya terima
adalah RM1.60 sejam. Namun bagi saya
jumlah sebanyak itu adalah besar .
Maklumlah masih belajar. Lagipun
sekadar mencari pengalaman. Saya bekerja
di sebuah restoran makanan tradisi Malaysia
iaitu SATE. SATE RIA terletak
betul-betul di hadapan SG WANG PLAZA BUKIT BINTANG. Tempat kerja jauh dari rumah. Terpaksa naik dua buah bas jika hendak ke
situ. Namun saya lebih suka naik bas
dan berhenti di Hadapan Bangunan Kota
Raya selepas itu berjalan kaki dari situ ke Jalan Bukit Bintang. Memang jauh, namun terpaksa.
Saya bekerja
sebagai pelayan restoran ( Waitress).
Tugas saya adalah ambil pesanan pelanggan. Mengemas dan membersihkan restoran. Kerja tidak susahpun. Sekali dua ajar terus pandai. Saya bekerja 4 jam sehari sahaja. Umur saya masih tidak dibolehkan
bekerja. Diterima kerana restoran itu
memerlukan sangat-sangat pekerja.
Sebulan sahaja saya bekerja sebab saya masih belajar. Waktu kerja saya tidak tentu, kadang-kadang
pagi, kadang-kadang petang. Kalau kena
waktu malam adalah waktu yang paling saya tidak suka, terpaksa meredah
kesuraman malam melangkah melalui kawasan yang agak gelap di Jalan Bukit
Bintang. Saya akan melangkah selaju
boleh. Kalau masuk pertandingan jalan
kaki, rasanya saya akan menang. Jangan
sesiapa tegur, langsung saya tidak layan.
Dalam hati berbagai doa saya baca.
Takutlah oi! Saya perempuan. Waktu itu tidak ada ramai pendatang tanpa
izin seperti sekarang. Kuala Lumpur
tidak ramai warga asing. Kalau
terjumpapun jarang-jarang sekali.
Alhamdulillah
perjalanan balik sentiasa selamat. Saya
bekerja bersungguh-sungguh, seronok pula bekerja dengan orang ramai ini. Kita beramah mesra, ambil pesanan dan memesan
makanan kegemaran mereka. Bagi saya itu
satu tanggungjawab sebagai pekerja. Saya
telah terpilih sebagai pekerja cemerlang pada bulan itu. Ya ALLAH suka teramat sangat.
Tempat kedua
saya bekerja adalah du DZUL DENTAL SURGERY DI AMPANG POINT DAN DAMANSARA
UTAMA. Saya ada belajar menaip,
tujuannya hendak bekerja di pejabatlah.
Puas jugalah pergi temuduga namun tidak tercapai hajat saya. Dengan pertolongan seorang kawan saya diterima bekerja di sebuah klinik
pergigian. Klinik tersebut masih wujud
sehingga ke hari ini. Ada seorang kawan saya ROS namanya masih lagi bekerja di
situ sehingga ke hari ini. Kalau tidak
salah sudah 30 tahun lebih dia bekerja di situ.
Saya bekerja
sebagai PEMBANTU KLINIK. Saya diberi
latihan selama sebulan bagaimana menyediakan barang-barang untuk pemeriksaan
gigi. Pengalaman pertama buat saya. Saya juga diajar bagaimana menggunakan bahan
untuk buat gigi palsu dan pelbagai lagi yang bersangkutan dengan gigi, saya
sendiri sudah lupa istilahnya. Setahun saya bekerja di situ. Berhenti kerana saya mengandung dan tidak
mampu berdiri lama.
Majikan saya
seorang yang baik. Kalau hendak tahu,
dia sampai awal dari kami pekerja bawahannya.
Kalau sampai sahaja di kliniknya di Ampang. Doktor Dzul sudah ada. Dia juga bawa makanan sendiri dari
rumah. Bukan berjimat tetapi dia komited
dengan kerjanya. Tidak mahu membuang
masa dengan keluar makan. Kami yang
menjadi orang bawahannya tidak mampu berbuat demikian. Pantang waktu rehat mulalah mencari tempat
makan yang sedap dan murah. Ketika itu
di Jalan Ampang di hadapan pusat membeli belah itu ada kawasan gerai menjual
nasi campur. Sekarang sudah tiada
lagilah.
Pengalaman yang
tidak mampu saya lupakan adalah sewaktu
doktor yang bertugas mencabut gigi seorang pelajar UITM. Waktu itu tengahari. Darah pesakit itu keluar bagaikan air
pancut. Takut saya. Aduhai! Doktor itu tersalah cabutkah? Dua kali pelajar itu datang untuk
mendapatkan rawatan. Pucat muka pelajar
itu. Saya sendiri takut. Pelbagai idea doktor itu bagi agar darah itu
berhenti mengalir. Entahlah bagaimana
pelajar itu buat selepas itu. Dia tidak
lagi kembali ke klinik. Saya sempat
bekerja setahun sahaja. Terima kasih Dr.
Dzul kerana menjadikan saya pekerja yang disiplin dan menepati waktu. Terima kasih Dr. Linden ( berasal dari Australia)
kerana menjadi majikan yang memahami dan tidak pernah marah pekerja
bawahan.
Pekerjaan yang
paling saya suka dan minat adalah sebagai Setiausaha Kerja Hal Ehwal Wanita ABIM Negeri Kedah.
Kenapa saya suka, sebab saya hanya diterangkan apa tugas saya. Perkara
lain saya yang aturkan sendiri. Wah!
Sudahlah pertama kali bekerja di
pejabat, tetapi sudah disuruh atur sendiri apa yang perlu dilakukan. Jangan kata hendak buat surat, buat memo pun
saya tidak pandai. Mulalah
menyenglongkar almari pejabat mencari apa yang perlu.
Hendak tulis
surat kenalah tahu apa yang perlu ditulis.
Nasib baik Setiausaha ABIM Negeri Kedah ketika itu Ustaz Asri banyak
membantu. Sekarang dia sudah naik
pangkat menjadi MUDIR Sek. Ren. Islam ABIM Alor Setar. Waktu itu saya bekerja di zaman Ahmad Azzam
menjadi YANG DIPERTUA ABIM Malaysia.
Zaman ABIM gemilang dan banyak
aktiviti. Di Kedah YDP adalah Ahmad Kasim.
Pernah jadi wakil rakyat Kuala Kedah satu penggal. Bagi saya mereka adalah majikan-majikan yang
baik, dedikasi dan mengajar saya menjadi kreatif.
Kerja kedua saya
sambil menguruskan Hal Ehwal Wanita ABIM adalah menguruskan bulletin ABIM
Negeri Kedah diberi nama DEMI MASA.
Encik Ahmad Kasim menyerahkan bulat-bulat tugas itu kepada saya dengan
dipantau oleh Biro yang berkaitan. Lupa
pula nama bironya. Saya yang menyusun
apa perlu ada di dalam buletin itu sehinggalah sampai menghantar buletin itu
kepada pencetak. Saya yang ambil setelah siap, saya jugalah yang
mengedarkannya. Satu buletin berharga RM0.20
sen sahaja. Murahkan?
Buletin itu saya
edarkan ke setiap daerah. Setiap kali
ada mesyuarat bersama-sama ABIM daerah lain saya akan menunggu kehadiran mereka
untuk meminta sumbangan bagi membiayai
penerbitan buletin tersebut.
Sebulan dua kali. Rasanya masih
lagi tersimpan buletin yang saya
letakkan di dalam bilik YDP ABIM Negeri Kedah.
Setiap kali siap dicetak mesti disimpan beberapa keping sebagai rujukan
disatu hari nanti. Harap mereka masih
menyimpannya . itulah kenangan yang
manis buat saya sepanjang bekerja dengan ABIM Negeri Kedah. Bekerja seminggu tujuh hari. Terpulang kepada saya untuk bercuti pada hari
apa. Boleh pilih. Saya jarang bercuti kerana ABIM Negeri
sering mengadakan program di hujung minggu. Saya yang bekerja sepenuh masa bersama-sama
rakan sekerja akan dan secara automatik sebagai AJK program.
Penat namun seronok.
Di situlah saya
mengenali kemampuan saya bekerja di pejabat.
Rupanya kesungguhan bekerja akan membuahkan hasil yang baik. Saya amat berterima kasih kepada bekas
majikan saya. Mereka berjaya melahirkan
seorang pekerja yang pantas, cekal dan kreatif.
Di ABIM Alor Setar saya diajar menguruskan diri sendiri. Janji kerja jalan walaubagaimana saya
lakukan. Saya diberi kebebasan dalam
bekerja. Pertama kali agaknya pekerja
mengejar majikannya untuk tarikh akhir
(dateline). Itulah saya. Ke mana sahaja fail dikepit. Semua atas urusan kerja. Tuan Haji Ahmad Kasim beliau majikan yang
baik. Terima kasih juga kepada guru-guru
di Sri ABIM Alor Setar kerana menerima saya sebagai rakan sekerja mereka. Kalau balik ke Kedah ada rezeki pasti
singgah. Saya berhenti kerana berpindah ke Kuala Lumpur.
Pekerjaan saya
yang terakhir rasanya, sebagai PENOLONG PENGURUS di sebuah rumah anak yatim di Sg. Merab
Bangi. Waktu hendak bekerja di situ,
saya telah ditemuduga sebanyak dua
kali. Kali pertama dengan Pengurus rumah anak yatim tersebut. Temuduga kedua dengan Pengerusi rumah anak
yatim itu. Pada awalnya saya ditawarkan
bekerja selama sebulan sahaja sebab Pengurusnya hendak ke luar negara. Mengikut
suaminya. Pengerusi pula menyarankan
agar saya bekerja teruslah di tempat itu
sebab saya pernah bekerja dengan ABIM dan kebetulan rumah anak yatim tersebut
ada MOU dengan ABIM. Bertanya juga
kepada diri, mampukah aku bekerja dengan anak-anak yatim ini. Belum pernah sekalipun bekerja dengan
mana-mana rumah anak yatim.
Saya masuk kerja
8.30 pagi, setelah hantar anak bongsu ke tadika berhampiran. Biasanya saya akan bawa dua helai
baju. Sebelum masuk pejabat, saya akan
mengemas seluruh kawasan. Dari hujung pagar sehinggalah ke dalam asrama. Setiap pagi kerana anak-anak itu akan buat
sepah dan membiarkan asrama, bilik prep dan surau tidak dibersihkan sebelum
waktu tidur. Aduhai, anak-anak. Kata orang menjaga anak yatim ini syurga
menanti, neraka juga menanti. Hanya
mampu tersenyum.
Bukan mudah
menjaga anak yatim. Cabarannya
besar. Anak-anak yatim yang dibawah
seliaan saya, sekolah tidak pandai, disiplin tiada, sebabnya para penjaga
sebelum ini menggunakan hadis, bahawa anak yatim tidak boleh dipukul. Bayangkanlah.
Saya bekerja di situ hanya 2 tahun sahaja. Selepas itu saya dan suami membuka rumah anak
yatim tahfiz sendiri. Maahad Tahfiz
Yatim Miskin Maahad Azzeinn Al
Makki. Sekarang ini kami beroperasi di
Kampung Kubu Gajah, kami menumpang di tanah tersebut sebelum mendapat tanah
milik sendiri. Sekarang ini kami sedang
mencuba mencari tanah yang ingin diwakafkan oleh sesiapa sahaja atau ada hamba
ALLAH yang sudi menderma bagi kami membeli tanah dan membangungkan maahad
tahfiz anak yati kami sendiri. Bukan
senang menumpangkan? Tangan dan kaki
terikat. Maklumlah tanah orang. Namun kami tetap bersyukur
sekurang-kurangnya ada tempat untuk kami
mendidik anak-anak yang kami pilih menjadi tahfiz. Semoga usaha kami ini mendapat keberkatan dan
rahmat ALLAH SWT. Itulah pekerjaan saya
sekarang, memasak untuk anak-anak ini sambil itu saya menulis.
Pengalaman bekerja di beberapa tempat membuatkan saya memahami satu perkara, jika saya, kita bekerja jujur, bertanggungjawab, ikhlas kita akan disayangi majikan. Malah kita disenangi dan mudah diterima di mana sahaja. Bagi saya bekerja merupakan satu ibadah apa salahnya jika kita bekerja bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pahala daripada ALLH SWT. Jadi bekerjalah bersungguh-sungguh tidak kira apa jawatan kita.
Pengalaman bekerja di beberapa tempat membuatkan saya memahami satu perkara, jika saya, kita bekerja jujur, bertanggungjawab, ikhlas kita akan disayangi majikan. Malah kita disenangi dan mudah diterima di mana sahaja. Bagi saya bekerja merupakan satu ibadah apa salahnya jika kita bekerja bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pahala daripada ALLH SWT. Jadi bekerjalah bersungguh-sungguh tidak kira apa jawatan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan