Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 5 Disember 2013

PENGALAMAN MEMBUKA RESTORAN


Hiasan di dalam Restoran Ani Sup Utara Putrajaya...


     Hidup ini ada pasang dan surutnya.  Bagaikan air di lautan yang luas, begitu juga hidup manusia.  Kadang-kala airnya tenang, kadangkala bergelora.  Begitu juga kehidupanku dan suami.  Mencari pendapatan sendiri dengan pelbagai cara.  Sebagai seorang isteri, sudah semestinya kita ingin membantu jika suami kita bermasalah dalam kewangan.  Susah dia, susah kita juga.  Senang dia, senanglah kita.  Jatuh bangun dalam dunia perniagaan sudah acap kali dialami oleh suamiku.  Namun dia tabah dan terus sabar.  Tidak pernah kenal putus asa demi kelangsungan hidup.

     Kata orang hidup berlandaskan pengalaman adalah guru terbaik untuk menjadikan manusia itu matang dan kuat menghadapi hari-hari mendatang.  Begitu jugalah dengan diri kami.  Tidak pernah termimpi hendak miliki sebuah restoran.  Bukan restoran biasa tetapi francise ANI SUP UTARA.  Tiada langsung pengalaman dalam menguruskan sebuah restoran.  Suamiku memberanikan diri.  Sebenarnya aku ini kaki membantah.  Bukan kerana tidak mahu menyokong ideanya tetapi takut dia tidak mampu menguruskannya.Kenapa memilih jenis perniagaan francise?  Sebab mudah dan sudah ada nama.

     Pemilihan tempat ditentukan oleh pihak francisor.  Putrajaya dipilih untuk kami beroperasi.  Tinggal di Puchong, berniaga di Putrajaya.  Jauh perjalanannya.  Akhirnya kami mengambil keputusan untuk berpindah ke Bangi.  Dari miliki rumah sendiri, kami menyewa.  Tidak kisahlah asalkan dengan  tempat kami berniaga, dan tidak jauh dari tempat aku bekerja.  Mudah untuk kami berulang-alik dan aku pergi bekerja apabila tempoh cuti tanpa gajiku tamat nanti.  Taska anak bongsuku juga berada berhampiran.  Sekali lalu, sekali jalan.

     Pengubahsuaian bermula awal 2009.  Kain rentang untuk mendapatkan pekerja restoran juga sudah dipasang dan diwar-warkan.  Rupanya bukan mudah mencari pekerja restoran.  Bukan semua anak muda berminat bekerja sebagai Pelayan Restoran.  Apata lagi gaji yang ditawarkan tidak sebesar mana.  Namun kami terus mencuba.  Sebulan kain rentang dipasang.  Hati diulit resah.  Tiada sebarang panggilan yang diterima.  Tempoh untuk kami beroperasi semakin  hampir.  Suamiku mula gelisah. Kami berdoa setiap hari dan setiap waktu.  Semoga ALLAH bukakan pintu hati hamba-hamba yang sudi bekerja dengan kami.  Akhirnya doa kami dimakbulkan ALLAH.  Dalam pilih memilih 20 orang pekerja diambil.  Tiga orang pekerja dari Kedah diambil bekerja dengan kami dan dihantar berkursus

     Mei 2009...  Restoran kami dibuka secara rasmi.  Senyuman bangga terukir di bibir suamiku.  Setelah lima bulan berhempas pulas, berusaha mencari pekerja, hantar staf pergi kursus, termasuklah aku, aku juga turut menghadiri kursus cara menguruskan perniagaan restoran terutama di bahagian dapur.  Pengalaman yang baharu buatku.  Dalam masa yang sama, aku terpaksa mengambil cuti tanpa gaji daripada majikanku. 

     Para pekerjaku seramai 20 orang.  Ramaikan?3 dari Negeri Kedah, 3 dari Negeri Perak, yang selebihnya dari  Negeri Kelantan.  Semuanya lelaki.  Kenapa aku memilih lelaki sahaja?  senang hendak diatur dan mudah buat kerja berat.  Menjadi majikan kepada 20 orang pekerja yang berusia 19 - 28 tahun bukanlah mudah.  Di sinilah pengalaman yang sukar kami gambarkan dengan kata-kata.  Sebulan beroperasi, semuanya berjalan lancar.  Pelanggan yang datang sentiasa memenuhkan ruang di dalam restoran, di belakang dan di hadapan.  Sentiasa menjadi pilihan warga Putrajaya untuk menjamu selera.  Francisor juga berbangga dengan pencapaian kami. 

     Memiliki restoran sendiri bagaikan satu mimpi menjadi realiti.  Namun aku tetap aku, tiada langsung berubah.  Bukan memuji diri, suka buat kerja-kerja rencam.  Bilik air pun aku cuci sendiri.  Berpeluh  seluruh tubuh bekerja siang dan malam.  Sebulan bekerja tanpa henti, seminggu tanpa henti.  Terasa kaki bagaikan tidak menjejak bumi, kebas dan tidak terasa apa-apa.  Anak bongsuku sampai tidur di atas meja di ruang tempat membuat air kerana terlalu mengantuk.  Kasihan aku melihatnya, waktu itu aku langsung tidak memberi perhatian kepadanya.  Membesar bersama suka dan duka kami.

     Pekerja lari di tengah malam, pekerja lari waktu sedang beroperasi.  Itu sudah menjadi asam garam sebuah restoran.  Di mana sahaja.  Bukan mudah mengekalkan seorang pekerja sehingga bertahun-tahun. ada yang bekerja hanya seminggu sahaja kerana tidak tahan.  Bukanlah penat manapun.  Budak-budak muda, tidak mampu buat kerja berat.

     Berniaga barang makanan ini ada pasang surutnya.  Satu kelebihan restoran berkonsepkan francise ini adalah kita tidak perlukan tukang masak khusus.  Semuanya sudah disediakan oleh pihak francisor.  Perlu panaskan mengikut SOP yang telah mereka tetapkan.  Apa dia SOP, Standard Operating Prosedur.   Bahan mentah mereka sediakan.  Keburukannya pula, apabila ada francise yang pandai-pandai mengubah SOP milik Francisor.  Ketidaksamaan dari segi rasa membuatkan semua Restoran Ani Sup Utara jatuh merudum.

     Termasuklah restoran kami terkena tempiasnya.  Pemergiaan pemiliknya bagaikan membawa bersama aura Ani Sup Utara sebelum ini sentiasa menjadi tumpuan dan sebutan para pengemar sup.  Terlupa pula hendak mengkhabarkan tentang menu di Ani Sup Utara.  kalau sudah nama restoran bertemakan sup tentulah sajiannya hanya aneka sup sahaja.  Sup ayam, daging, campur, perut, tulang, kambing, ekor dan cendawan.  Nasi ayamnya adalah yang terbaik. Enak  di masak secara panggang menggunakan alat dipanggil Apollo.  Mungkin bentuk alat itu seperti Apollo yang hendak terbang ke bulan, maka dipanggil Apollo. 

     Aneka sup itu di makan bersama nasi putih, sambal belacan, ulam timun dan telur masin.  Memang enak.  Terasa rindu pula.  Kalau terliur mendengar kisah ini, moh terjah restoran Ani Sup Utara yang masih berfungsi dan beroperasi.  Namun hanya suam-suam kuku.  Entah kenapa semakin kurang pengemarnya.

     2 tahun setengah beroperasi, zaman kegemilangan dan kesukaran mendapatkan tenaga kerja menyebabkan suamiku mengambil keputusan untuk menutupnya.  Berniaga restoran ini memerlukan komitmen sepanjang masa.  Jangan diharap hanya kepada pekerja, kalau tuan tiada di restoran, para pekerja buat ikut suka sahaja.  Layan pelanggan pun endah tak endah.  Yang buruk nama adalah tuan empunya.  Itulah yang kami raasa.  Walaupun ada penyelia namun nama sahaja pekerja tiada yang mahu bekerja bagaikan restoran itu mereka yang punya.

     Rasanya kalau diberi peluang untuk membuka restoran lagi,  aku tidak akan mahu menempuh keadaan itu lagi.  Ramai yang suka berniaga, namun bukan diriku.  Tidak sesuai dengan diriku, rasanya.  Biarlah aku membina kerjaya di bidang lain.  Perniagaan bukan duniaku.  Aku lebih suka bekerja di bawah orang lain.  Mungkin lebih mudah tetapi tidak terikat dengan bidang kerja.  Bebas dan dengan caraku sendiri.  Itulah sebahagian dari pengalamanku. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan