Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 19 Disember 2013

ULASAN KUMPULAN CERPEN E BOOK RAUTAN TAKDIR


ULASAN KUMPULAN CERPEN  E BOOK RAUTAN TAKDIR
MONALITA MANSOR


                Hijrah Kasih mengisahkan tentang kisah dua orang sahabat yang terpaksa berkahwin. Noor Asweeta binti Kamaruddin atau ‘Dung’ gelaran untuk gadis  tersebut berkahwin dengan Hijrah Kamarulzaman atau dipanggil ‘Nyet’.  Perkahwinan yang hanya dijalankan dengan akad nikah sahaja atau gelaran lain.  ‘kahwin koboi’.  Tiada paluan kompang atau kenduri kendara yang besar.  Mereka dikahwinkan atas alasan untuk mengelakkan maksiat.
                Hubungan yang didasarkan atas nama persahabatan tidak mampu membuatkan mereka membina kehidupan sebenar sebuah rumah tangga dalam erti kata yang sebenar.  Hiduplah mereka seperti seorang sahabat yang saling hormat menghormati.  Setiap hari berjumpa, bertentang mata, saling tersenyum dan bergurau senda.   Tinggal di dalam bilik yang sama.  Berlaga bahu.  Akhirnya menanamkan bibit-bibit cinta.  Sedang benih cinta lahir di hati, malang menimpa.  Hijrah Kamaruddin terlibat dalam kemalangan  sehingga membawa maut.  Noor Asweeta tidak mampu berkata apa-apa di saat cinta sedang bersemi, suami yang mula dicintai telah pergi meninggalkannya.  Hanya sekeping nota ditinggalkan. 
                Gaya bahasa yang santai dan bersahaja.  Kisah benar menurut kata penulis.  Sebuah kisah yang sedih mampu mengugat hati sesiapa sahaja yang  membacanya.  Plot yang mudah diikuti.  Watak juga tersusun dengan baik dan tidak bercelaru.  Latar tempat di sebuah kampung.  Menggunakan sudut pandangan pertama.

                Si Pemuda Tampan-   Menggunakan sudut pandangan pertama iaitu watak ‘Saya’.  Kisah yang penuh dengan tauladan dan nasihat dari segi agama.  Amalan harian.  Itulah yang cuba diketengahkan oleh penulis.  Garapan yang luar biasa daripada seorang penulis yang baru bermula sekali lagi mengorak langkah untuk terus berjaya dalam dunia penulisan.   Gaya bahasa banyak menggunakan metafora atau perbandingan yang tidak keterlaluan dan mudah difahami oleh para pembaca.  Jika tidak berhati-hati membacanya pasti kita kehilangan punca atau kurang  memahami apa yang ingin disampaikan oleh penulis.  Sekali baca pasti kita ingatkan watak mencintai seorang wanita yang ayu dan jelita. Dan wanita tersebut pula menginginkan seorang lelaki tampa menjadi teman hidupnya.  Itulah juga saya fikirkan sehinggalah ke bab terakhir.   Rupanya ‘wanita’ tersebut menyintai al-Quran yang menjadi hadiah kepada umat Nabi Muhamad SAW.  Dan seharusnya seorang manusia merasa cemburu kepada insan yang sentiasa beramal dengan isi-isi dan ayat-ayat yang terdapat di dalamnya.
                Cuma apa yang saya pelajari tentang penggunaan SI di dalam karya.  Tidak manis menggunakannya kepada manusia.  Hanya sesuai digunakan kepada  binatang atau benda mati.  Ada sesetengah  beranggapan penggunaaan SI boleh ditambah untuk mencantikkan ayat. 

                Kesasar Dalam Terang-   Kisah yang menarik dan sesuai di baca oleh generasi hari ini yang terang-terangan menjadikan ibu mereka sebagai penjaga anak mereka lantaran tuntutan kehidupan yang memerlukan kedua suami isteri bekerja.    Kecelaruan Hani dalam mengatur hidupnya membuatkan dia tersasar bersikap kasar terhadap ibu kandungnya sendiri yang dijadikan sebagai ‘babu’ tanpa disedari.  Kehadiran SAKA  seolah-olah hukuman kepada empunya diri sehingga hilang kewarasan. 
                Seperti biasa penulis  menggunakan bahasa yang mudah namun diselitkan juga metafora, perbandingan mudah difahami.  Masih mempunyai pendekatan Islamik di dalam karya.  Plot yang mudah dan cerita tidak tersangkut-sangkut.  Jalan cerita yang baik dan mempunyai nilai tauladan yang tinggi.  Ibu tidak boleh dikasari dan dihina sesuka hati
. 
                Apa Sahaja Mahumu  Mengisahkan pertemuan dua insan yang  pernah bersekolah bersama-sama.  Pertemuan yang mengubah diri masing-masing hampir tidak mengenali antara satu sama lain.  Kedewasaan mematangkan diri seseorang itu.  Begitu juga Hairiah.  Pertemuan semula dengan Dato’ Azmi rakan sekolah yang telah berjaya menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya membenihkan satu perasaan serta harapan yang begitu tinggi di hatinya.  Pertemuan kedua di atur membawanya ke rumah anak yatim milik Dato’ Azmi.  Akhirnya dia disunting menjadi suri hati  Dato’ Azmi.
                Cerita yang menarik, pancing dalam dialog yang cepat dan tidak menjemukan.  Teknik imbas semula digunakan tetapi melalui penceritaan semula oleh watak.  Gaya bahasa biasa dan mudah difahami.  

                TEH SEGELAS -    Pandangan orangtua terhadap anaknya yang berpendidikan tinggi.  Mana mungkin seorang guru berkahwin dengan penebar roti canai. Kisah seorang gadis menjadi pelanggan setia sebuah gerai yang menjual roti canai.  Kebetulan cuti semesta, hendak mengubah selera, maka gadis itu mendatangi gerai tersebut hampir setiap hari sehingga menganggu gugat perasaan ibu dan adiknya.  Timbul pelbagai spekulasi gadis tersebut menaruh hati kepada tukang tebar roti canai tersebut.  Jangan pandang seorang manusia hanya dengan menggunakan mata kasar sahaja.  Selidiki dan kaji siapa orang itu barulah buat keputusan.  Mungkin itulah yang ingin diketengahkan oleh penulis dalam karya ini.   Sikap orangtua yang takut kepada ketidakcukupan kehidupan jika berkahwin dengan suami yang tidak berpelajaran dan  kerja biasa-biasa sahaja.  Mereka lupa bahawa 9 dari pintu rezeki ada di dalam perniagaan.  Mereka juga lupa bahawa rezeki dan jodoh itu adalah ketentuan ILAHI.  

                GARISAN ABDULLAH-  Peperangan perasaan seorang cucu terhadap Wannya.  Menggunakan teknik sudut pandangan pertama.    Cerita yang membuatkan airmataku mengalir.  Sedih dan menyayat hati.  Bagaimana seorang cucu berperang dengan perasaannya sendiri apabila kehadirannya tidak dihargai.  Disisih oleh nenek sendiri.  Atas alasan apa dia dibenci sehingga ke akhir ayat neneknya tidak ketahui.l  Tiada jawapan daripada emaknya juga begitu juga ahli keluarga yang lain.  Sikap pilih kasih terhadap anak, cucu dan menantu berlaku sehingga ke hari ini.   Berjaya menjadi seorang doktor.  Rasa kasih kepada neneknya langsung tiada di hati.  Cuma perasaan kecewa dan dendam yang tidak berkesudahan.  Namun disaat akhir nenek meninggalkan wasiat agar dirinya dirawat oleh cucunya, seorang doktor yang sombong.  Ingin dimandikan oleh cucunya yang sombong itu.  Hati lelakinya tetap tersentuh dengan kehendak neneknya yang dirasakan tidak pernah menyayanginya.  Pemergiaan neneknya membulatkan pertanyaan yang tidak pernah ada jawapan di hatinya.

                INILAH DOA, INILAH PINTA-  Permintaan seorang isteri kerana sudah tidak tahan dengan sikap suaminya yang suka pulang lewat, menghabiskan masa di meja judi.  Berharap suaminya pulang ke rumah menjadi imam yang mampu memimpin keluarga.  Namun semua itu tidak terjadi.  Semakin risau apabila hatinya takut jika suaminya beralih kasih kepada orang lain.   Setiap hari dia berfikir yang bukan-bukan tentang suaminya.  Apakah ingatan itu adalah doanya terhadap suaminya?  Isteri mana yang tahan jika setiap hari suami tidak tahu pulang awal.  Anak-anak sudah bosan bertanya.  Anak-anak sudah bosan menunggu.    Lantaran jarang mendekati masyarakat di kawasan tempat tinggalnya hingga menyebabkan orang tidak kenal suaminya.    Suaminya tidak pulang tiga hari menyebabkan hatinya semakin risau.  Mula berfikir yang bukan-bukan.  Kahwin lainkah suaminya?  Dia tidak pernah pula cuba menelefon suaminya bertanyakan khabar.  Panggilan telefon yang diterima menamatkan segala andaiannya tentang suaminya yang tidak pulan gke rumah selama tiga hari.  Rupanya suaminya terlibat dalam kemalangan sehingga hilang ingatan dan tempat tuju suaminya adalah  di kedai kuda tempat suaminya sering menghabiskan masa.  Hatinya diulit pilu.  Tidak ada jawapan bagi pertanyaan, kenapa suaminya jadi begitu? 
Penulis cuba mendalami perasaan seorang isteri yang mempunyai seorang suami  tidak bertanggungjawab.  Hanya memikirkan diri sendiri.  Penulis juga menggunakan bahasa yang mudah difahami namun masih terjaga tatabahasanya dan juga Bahasa Malaysia Standard yang sering digunakan oleh kebanyakkan penulis lama. Tahniah penulis satu jalan cerita yang menarik dan santai waktu membacanya.

                MENGUAK TIRAI ITU -  Menggunakan sudut pandangan pertama. ‘AKU’ berjumpa seorang perempuan muda yang mungkin dalam pantang. Isteri kedua terhimpit dengan perasaan sendiri.  Kesakitan hati yang biasa dialami oleh wanita-wanita yang berpoligami, cemburu yang tiada bertepi.  Walaupun bukan semua mempunyai perasaan cemburu terhadap suami sendiri, namun kebanyakkannya begitu.  Penulis cuba mengetengahkan kisah Syaidatina Aishah di dalam karya ini.  Tentang kekuatan hati seorang isteri nabi yang terpaksa berkongsi suaminya dengan beberapa lagi isteri Baginda.  Sebuah karya yang baik.  Penulis banyak menggunakan kisah tauladan dalam al-Quran dalam tulisannya.  Banyak pengajaran di dalam karya ini yang dapat kita kutip untuk menjadikan diri kita  seorang isteri sebaik Syaidatina Aishah walaupun kemungkinan itu masih jauh.  Garapan bahasa yang mudah.  Plot yang seimbang dan tidak melompat-lompat memudahkan pembaca  memahami jalan cerita cerpen ini.   

                SEANGGUN CAPSICUM-   Masih mengekalkan sudut pandangan pertama sebagai pencerita.  Mungkin penulis suka dengan POV 1.  Bagi saya cara ini lebih mudah melontarkan idea ke dalam karya.  Sudut pandangan pertama seolah-olah penulis yang mengalaminya dan mudah menghayatinya.  Itu pandangan saya.  Cerpen remaja, itu pandangan saya, kerana watak-watak tersebut masih bersekolah.  Usik mengusik membawa cinta.  Cinta budak sekolah.  Idea yang bagus.   Penulis yang baik mampu mengarap apa sahaja yang dipandang, dibaca dan dilihat dengan mata hati.  Begitulah penulis ini.  Membaca rencana tentang Capsicum mampu melahirkan sebuah cerpen  yang baik. 
  
                LIRIH DOA UNTUK DIA -   Baca permulaan cerita ini sudah dapat meneka kisah siapakah yang ingin dipaparkan oleh penulis.  Kisah Zainab Anak Rasulullah SAW dan suaminya.  Kisah cinta yang amat menyayat hati.  Cinta yang terpaksa dibahagi antara kasih seorang isteri, anak kepada agama, dan ayahanda tercinta.  Satu garapan yang menarik.  Cerpen sejarah Islam.  Melibatkan Rasulullah SAW  dan anak Baginda yang tercinta.  Cinta sebenar seorang ayah terhadap anak gadisnya.  Cinta seorang anak terhadap suami. Cinta anak terhadap ayahnya.  Inilah cinta sejati.  Cinta yang tiada tolok bandingnya.  Kerana kesantunan Rasulullah sehingga mampu membawa menantunya yang tidak mahu memeluk Islam berubah hati.  Penulis berjaya membawa cerita ini dengan baik.  Membaca setiap karya beliau membuatkan diri mengenali hati penulis ini.  Kebaikan hati yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.  Melalui karya  dan tulisan kita mampu mengenali  seseorang itu.  Begitu juga dengan penulis ini.    Berkarja dengan jujur dan ikhlas mampu  melahirkan penulis yang berjaya di dunia dan akhirat.  AMIN.

                SI MANIS-   Masih mengekalkan POV 1.  Masih berunsur Islamik sesuai dengan tempat cerpen ini tersiar.   Penulis suka mengarap karya yang berbentuk Islamik.  Walaupun tidak sepenuhnya namun tetap terselit nilai tauladan dari kacamata seorang Islam.  Gaya bahasa yang baik.  Kisah seorang suami yang mengetahui tentang rahsia masa  silam isteri yang dikahwini dengan perasaan cinta dan sayang.  Isteri sedar diri, siapalah dirinya yang ingin berubah ke arah yang lebih baik.  Mengharap suami memahami dan membimbing.   Menggunakan dua watak sahaja.  Itulah cerpen tidak perlu mempunyai  watak yang  banyak.  Seorang dua sudah mampu menjalankan cerita asalkan tahu menggunakan keterbatasan itu dengan baik.

                MALASNYA MATA -    Mengisahkan tentang dua orang guru yang begitu risau akan perubahan seorang pelajar mereka.  Bagaimana mereka hendak menangani masalah ini.    Zahirah, cantik namanya tetapi mempunyai kecacatan kecil.  Dia juling.  Sukar kita hendak jumpa guru yang mengambil tahu tentang kecacatan pelajarnya sehingga mencari jalan atau solusi untuk membantu.  Walaupun niat penulis ingin  memberitahu tentang penyakit juling ini.  Namun pada pandangan saya, penulis telah berjaya mengetengahkan keprihatian yang sepatutnya ada dalam guru-guru di sekolah terhadap anak-anak murid mereka.  Bukan hanya dari segi pelajaran malah perubahan fizikal dan perasaan perlu diperhatikan.  Itulah pendidik yang sebenarnya.

                SYARAT GHASIDAH SEGARAGA -  Berlatar belakangkan cerita TIGA ABDUL, itu pandangan saya tentang  garapan karya ini.  Tahniah penulis sering menggunakan mata hatinya  untuk berkarya.  Bahasa yang agak sedikit berat namun masih mudah difahami.  Seronok membacanya sebab terbayangkan watak-watak di dalam TIGA ABDUL.   Semakin ke pengakhiran membaca cerpen-cerpen ini semakin menghormati penulis ini.  Karya-karya yang  indah bahasanya.  Menarik jalan ceritanya. 

                GULAI AYA UNTUK AYAH – Rindu seorang suami  terhadap masakan isteri yang sudah pergi meninggalkannya.  Rindu hendak bercerita tentang suka duka kehidupannya.    Kisah tanah yang menjadi pertelingkahan adik- beradik membuatkan anak-anak masuk campur untuk mengubah pendirian seorang ayah.  Penulis senang dengan tema Islamik di dalam karyanya.  Tahniah penulis.  Karya-karya yang menarik da nada nilai-nilai tauladan di dalamnya.  

                RAUTAN TAKDIR -   Pertemuan semula dengan bekas tunang kala usia meningkat ke  usia emas, membawa cerita tersendiri.    Imbas semula dan imbas masa hadapan diguna pakai oleh Penulis untuk menerangkan bagaimana kisah cinta bermula sehingga mengikat tali pertunangan.  Sehingga membawa kepada perpisahan mereka.  Satu eksperimen yang berjaya.  Tidak menghampakan.   Tahniah kepada Cikgu Monalita Mansor.  Kumpulan Cerpen Rautan Takdir mempunyai kisahnya tersendiri yang baik dari segi jalan cerita dan gaya bahasa.  Plot yang tidak tersusun sebab dimasukkan teknik imbas semula itu.  Namun masih mampu membuat pembaca memahami jalan cerita dengan baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan