Cari Blog Ini
Rabu, 4 Disember 2013
DIRIKU...
Namaku Asmah Hashim, nama yang diberi oleh kedua orang tuaku sewaktu aku dilahirkan 44 tahun dahulu. Tidak seindah mana namun amat bererti buatku. Aku bersekolah hanya setakat tingkatan 5. Selepas SPM terus dipinang orang. Terus berumahtangga. Tidak sempat menikmati alam remaja. Namun kehidupanku bahagia sehingga dikurniakan 3 orang cahaya mata.
Pernah bekerja sebagai Pembantu Jururawat di Klinik Pergigian Dzul Dental Surgeri di Damansara Utama. Waktu itu aku baharu sahaja berumah tangga. Enam tahun kemudian aku dan suami berpindah ke Kedah. Waktu mula tinggal di Kedah, pendapatan suamiku tidak seberapa. Di sini bermulalah aktitiviti terbaharuku. Buat kuih-muih untuk diletakkan di gerai-gerai yang berada di persekitaran tempat tinggal kami. Tujuh jenis kuih disiapkan setiap hari. Waktu itu anak keduaku masih kecil. Waktu terus berganjak. Anak pula sudah boleh berdikari. Suami mula izinkan aku bekerja.
Aku mula membina kerjaya baharu sebagai Setiausaha Kerja Hal Ehwal Wanita ABIM Negeri Kedah Darul Aman. Lapan tahun tinggal di Kedah Darul Aman adalah perkara yang terindah dalam hidupku. Di sanalah aku mengenal kawan, teman dan sahabat. Di sana jugalah aku membina kawan menjadi ahli keluarga. Betapa rapatnya hubunganku dengan jiran tetangga.
Masa begitu cepat berlalu. Suamiku bertukar tempat kerja lagi. Kami berpindah kembali ke Kuala Lumpur. Kami bermastautin di Puchong Permai pula. Hampir lapan tahun juga kami tinggal di kawasan itu. Di sana jugalah anak bongsuku lahir. Setelah yang bongsu membesar menjadi budak yang sudah boleh berlari, memakai baju sendiri, buang air sendiri dan makan sendiri. Suamiku membenarkan aku bekerja. Dengan bantuan seorang kawan aku diterima bekerja di sebuah rumah anak yatim dengan jawatan Penolong Pengurus merangkap Pegawai Kewangan di rumah anak yatim tersebut.
Waktu itu suamiku sedang berjinak-jinak untuk membuka restoran sendiri berasaskan francise. Aku terpaksa mengambil cuti tanpa gaji demi membantunya. Hendak berhenti majikan tidak izinkan. Orang sayang, begitulah jadinya. Akhirnya aku tidak jadi berhenti. Aku diberi tempoh bercuti tanpa gaji selama 3 bulan sahaja. Bertungkus lumuslah aku membantu suami di restorannya. Pengalaman yang baharu namun ada manis dan pahitnya. Akhirnya kami memiliki restoran sendiri Ani Sup Utara Putra Jaya.
Pelbagai dugaan dan cabaran kami hadapi. Suka, duka, menangis dan ketawa bersama-sama suamiku tercinta. Pengalaman yang tidak mungkin dapatku kutip di tepi jalan. Pengalaman yang mengajarku erti sabar dan tabah. Namun bak kata orang, langit tidak selalu cerah. Perniagaan francise di bawah label Ani Sup Utara mengalami masalah termasuklah restoran kami, menyebabkan suamiku mengambil keputusan untuk menutupnya. Dengan hati yang berat dan air mata yang melimpah ruah, akhirnya restoran yang beroperasi 2 tahun setengah ditutup juga. Mungkin ada hikmah di sebaliknya, kami sama-sama redha dan pasrah kehendak takdir yang telah ditentukan kepada kami.
Aku minat sangat membaca. Tidak kira genre apa. Semuanya akan aku baca. Dalam masa yang sama aku juga minat menulis. Akhirnya aku menjadi seorang penulis novel. Karya pertamaku yang terbit di bawah syarikat Alaf 21 AKU TURUT BAHAGIA. Itulah 'baby' pertamaku.
Aku juga minat memasak. Itu kegilaanku juga. Pelbagai resepi sudahku cuba. Semuanya berkat berkongsi resepi dengan kawan-kawan di FB. Terima kasih juga kepada mereka. Hanya itu sahaja tentang diriku.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan