Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 21 Disember 2013

SUAMIKU, DI MANAKAH KAU?











Hanya air mata yang mengalir keluar.  Melihat wajah –wajah mereka yang berada di dewan itu benar-benar menyayat hatinya.  Dia tinggal sehelai sepinggang.    Tiada suatu apapun dapat di selamatkan.  Semuanya lebur menjadi abu.  Hanya tinggal tiang-tiang kongkrit yang tidak dijamah api. Satu kampong terbakar.  Kejadian tengah malam.  Semua penghuni kawasan setinggan itu sedang enak menjamu mata.  Mana mungkin  mereka sedar berlakunya kebakaran di kawasan tersebut. Dia sendiri sedang enak dibuai mimpi.  Setelah mendengar jeritan jiran sebelah rumah baharulah dia sedar dari tidurnya.  Terkocoh-kocoh mereka keluar dari ruman tanpa membawa apa-apapun.  Nyawa lebih penting dari segala harta benda yang ditinggalkan. Kebanyakan yang terlibat adalah jiran-jirannya. 
        Dia perlu tabah, sabar dan tenang.  Menangis?  Ya, dia menangis.      Menangis sedih, bukan kecewa atau hampa.  Inilah ketentuan ILAHI kepadanya.  Bertabahlah hati hendaknya.  Mastura mengesat air mata yang mengalir tanpa dipinta di tubir mata dengan kain tuala yang kemas di tangannya.
            Mangsa kebakaran di tempatkan di Dewan Seroja, dewan orang ramai tidak berapa jauh dari tempat kejadian.  Suasana di dalam dewan berbagai ragam manusia dapat dilihat.  Ada yang sudahpun melelapkan mata.   Tidak kurang juga yang bercakap sesame sendiri menceritakan apa yang sedang berlaku.  Mastura mengendung anak kecilnya.  Dia berdiri, memerhati.  Kebanyakkan penghuni di dewan itu ramai yang dikenalinya.  Maklumlah sekampung.  Kejadian itu benar-benar menguji mereka.
            Matanya liar mencari seseorang.  Ke manakah dia?  Bukankah tadi lelaki itu ada bersama-sama dengannya?  Tidak perasan pula bila suaminya menghilangkan diri.  Anak di sisi cepat-cepat dicempung dan dikendung.  Dia bingkas bangun, berjalan sekeliling dewan mencari kelibat orang tersayang.  Para penghuni dewan ada yang saling bercakap sesama sendiri. Tidak kurang sudah enak dibuai mimpi.  Mata yang mengantuk, badan yang letih dan fikiran yang kacau, lebih baik bawa berehat.
            Mastura tertunduk-tunduk, terjengah-jengah mencari kelibat suaminya.  Dia berjalan melalui celahan orang ramai.  Namun kelibat tersebut tidak juga kelihatan.  Mahu sahaja di meraung di situ juga.  Sudah hilang  perasaan malu.  Apa yang sedang berlegar difikirannya ketika itu adalah suaminya.  Orang yang diharap menjaganya sehingga ke syurga.  Harapan seorang isteri yang sentiasa setia.
            “Encik… nampak tak suami saya?  Tadi dia datang dengan saya, dia.  Tapi, tiba-tiba dia hilang.  Encik, ada nampak dia tak?”  Tanya Mastura hiba. Lelaki yang juga sukarelawan yang membantu mangsa kebakaran mengerutkan dahi.
            “Suami akak?  Saya tak kenal suami akak.  Lagi pun keadaan sesak seperti ini mana mungkin boleh jumpa sesiapa.”
            “Kenapa Mas?” Tanya seorang perempuan.  Berbaring, matanya memandang ke arah Mastura.
            “Saya cari Abang Hassan, tiba-tiba sahaja menghilangkan diri.” Cerita Mastura sedih. 
            “Mungkin dia tengok rumah kut?” teka perempuan itu.
            “Entahlah, Kak Timah, saya sendiri tak tahu.” Keluh Mastura.  Dia menahan sebak. 
            “Kejap lagi baliklah dia tu.  Hendak ke mana lagi.  Rumah kita semua sudah hangus di makan api.  Tidak bersisa langsung,”  sampuk seorang lelaki yang berada di belakang Mastura.  Anak dan isteri lelaki itu sudahpun lena di sisisnya. 
            “Harap-harap begitulah, Pak Ali.  Risau saya,”  Anak yang dikendung kemas dalam pelukan.  Nyenyak pula tidurnya.  Anak kecil, apa yang dia tahu tentang hati dan perasaan.  Kalau lapar, menangis sahaja.  Ibu akan berikan.
            “Sudahlah, Mas.  Pergilah tidur.  Meh tidur sini.  Tempat Kak Timah inipun kosong.  Pak Karim kau tidur di sebelah sana.”  Pelawa Kak Timah, jiran sekampung Mastura.
            “Terima kasih Kak Timah.  Puas saya cari tempat hendak berehat tadi.  Semuanya sudah dipenuhi orang.  Apa yang tinggal hanyalah laluan untuk kita berjalan sahaja.  Suara yang riuh-rendah tadi sudah semakin kurang.  Masing-masing sudah melelapkan mata.
            “Ke mana pula perginya Hassan?  Takkan dia pergi begitu sahaja.  Kau dah makan?” Tanya Kak Timah.  Matanya tepat memandang wajah Mastura.  Tangannya lembut membelai rambut anak kecil Mastura yang berusia dua tahun.
            “Entahlah, Kak Timah.  Pelik juga rasanya.  Mungkin kata Pak Ali ada benarnya.  Dia kembali ke kawasan kampong.  Malam-malam ini apa yang hendak dicari?  Bukan nampakpun?”
            “Sudahlah, tak usah difikirkan.  Hassan sudah besar panjang.  Nanti tahulah dia kemari cari Mas,”  pujuk Kak Timah.  Mastura hanya mengangguk.  Dengan beralaskan tikar dan toto, Mastura terus merebahkan diri.  Matanya benar-benar mengantuk.  Terasa pedih teramat sangat.  Sudah hampir menjengah subuh. 
            Suara riuh-rendah menterjah cuping telinganya semula.  Suara anak-anak bermain, menjerit dan menangis semakin kedengaran.  Matanya dibuka perlahan-lahan  Jam di tangan dilihat dengan teliti.  Sudah pukul 8.30 pagi.  Ya, ALLAH dia terlepas waktu subuh.  Mastura beristighfar. Mata anak kecilnya masih tertutup rapat.  Masih belum mahu melihat cahaya mentari yang sudah menerbit tinggi.  Pejamkanlah matamu saying, mama tidak akan menganggumu, detik hati kecil Mastura sambil tangannya mengusap lembut pipi anaknya.
            “Sudah bangun?  Ini ada nasi lemak dan kopi panas.  Kak Timah saja ambil lebih untuk Mastura.  Makan ya,”  Kak Timah  menyerahkan dua bungkus nasi lemak dan segelas kopi panas kepada Mastura.
            “Terima kasih Kak Timah. Ada Kak Timah Nampak Abang Hassan?” sambil membuka bungkusan nasi lemak.  Perutnya benar-benar lapar.  Tidak sempat ke bilik air, menggosok gigi pun tidak. 
            “Tak adalah pula.  Mungkin dia ke kampong tak?” teka Kak Timah.  Mastura mengeluh.  Kenapa suaminya tidak ada juga pagi ini.  Ke mana?  Semakin berserabut perasaannya.  Duit di tangan tiada.  Pakaian sehelai sepinggang.  Adik-beradik atau saudara-mara tentu sudah mengetahui tentang kejadian ini.  Mungkin sebentar lagi mereka akan datang mencarinya.  Harapannya begitu tinggi.
            “Mas nak pergi mandi ke?  Biar Kak Timah tengok-tengokkan Maria.”  Tawar Kak Timah.
            “Hendak mandi bagaimana, Kak Timah?  Saya keluar rumah sehelai sepinggang sahaja.  Tiada satupun sempat kami ambil.” 
            “Ya ke?”  Kak Timah simpati.
            “Pakai sahajalah baju Kak Timah.  Sempat juga sambar beberapa helai pakaian dan barang-barang penting.”  Pelawa Kak Timah.
            “Terima kasih Kak  Timah,”  Mastura menghabiskan nasi lemak berlaukkan telur goreng.  
            “Pergilah mandi  Bagi segar sikit badan itu dan kepala.  Jangan fikir yang bukan-bukan.”  Pujuk Kak Timah.  Mastura mengangguk perlahan.  Kak Timah menyerahkan baju kelawar yang selalu dipakainya.  Baju itu bertukar tangan.
            “Saya ke bilik air dahulu, ya Kak Timah.  Tolong tengok-tengokkan Maria.”  Mastura terus ke bilik air.  Hampir sejam dia di situ.  Orang begitu ramai.  Ada yang hendak mandi atau mandikan anak-anak mereka.  Kenalah mengikut giliran. 
            “Sudah bangun anak mama?”  Mastura mendekati Maria yang sedang menjamah nasi lemak sambil ditemani Kak Timah.  Pak Karim suami Kak Timah turut berada di situ.  Mastura amelemparkan senyuman.
            “Hassan tak balik lagi, Mas?” Tanya Pak Karim.  Mastura menggelengkan kepala.  Mengingatkan suaminya membuatkan hatinya pilu.
            “Tak tahu dia ke mana Bang Karim,”  adu Mastura.   Dahi Pak Karim berkerut.  Sewaktu dia ke kawasan  kampong yang sudah musnah dijilat api, dia tidak nampakpun kelibat Hassan.
            “Tak apalah, berehat sahajalah di sini.” Pujuk Pak Karim.  Simpati dengan keadaan Mastura yang kehilang suaminya secara tiba-tiba.  Ke mana pula perginya Hassan? Pak Karim menggaru kepalanya yang tidak gatal.  Pening memikirkannya.
            Sudah 24 jam dia berada di dewan orang ramai tersebut.  Bayang suaminya masih tidak kelihatan.  Ke manakah kau, suamiku, kata hati kecil Mastura.  Untung bantuan daripada orang kampong sebelah menjengah tiba.  Ada pakaian untuknya dan Maria.  Makanan juga banyak.  Dia tidak perlu bimbang tentang keperluan hariannya.  Namun dia mahu suaminya berada di sisi.  Ke manakah dikau, perkataan itu bermain-main di benaknya.
            Makan tengahari turut di sediakan oleh badan sukarelawan yang membantu mangsa-mangsa kebakarang Kampung Sg.  Melur.  Mastura masih cuba menenangkan dirinya.  Dia masih lagi bertanya kepada jiran tetangga yang menjadi penghuni dewan tersebut.  Manalah tahu mereka jumpa suaminya di tempat tinggal mereka yang sudahpun menjadi abu.  Kak Timahlah yang rajin melayannya berbual.  Bagaikan memahami perasaanya ketika itu.  Maria pula tidak merenggek walaupun tidak dapat bermanja dengan ayahnya.  Kehilangan bagaikan tidak terasa kepada dirinya.  Leka dia bermain.  Hanya menghampiri apabila lapar dan ingin ke bilik air. 
            “Hassan masih tak nampak kelibatnya, Kak Timah.  Penat sudah saya menunggu.  Keluarga saya pun tidak datang menjengah.  Terasa seolah-olah diri saya dibuang dan terbuang.”  Air mata merembas keluar.  Kak Timah mengusap belakang Mastura.  Hiba pula hatinya.
            “Jangan cakap macam tu Mas, mungkin Hassan ada kerja di luar, sebab itu tidak sempat beritahu apa-apa,”  pujuk Kak Timah.  Mastura mengesat air matanya.  Semakin difikir semakin terasa pedih di hatinya.
            “Sabarlah, Mas.”
            “Entahlah Kak Timah.  Hairan sungguh saya. Suami hilang tiba-tiba.  Tidak ke pelik?”
            “Nanti dia baliklah,”  terus memujuk.
            “Saya hendak balik ke mana?  Duit tiada.” 
            “Tak apa…  nanti pakai dahulu duit Kak Timah.”
            “Saya sudah banyak menyusahkan akak dan suami.”
            “Kitakan berjiran.  Apa salahnya saling membantu.”  Kak Timah mengusap belakang Mastura. 
            “Kak Timah hendak tinggal di man? Sementara menunggu rumah kita dibina semula.”
            “Mungkin tinggal di rumah -anak kakak.”
            “Alhamdulillah,”  Mastura melemparkan senyuman.  Matanya sudah sembab sebab banyak menangis. Menangisi nasib diri dan anaknya.
            Kehadiran ahli keluarga membuatkan Mastura mampu tersenyum bahagia.  Kak Timah sudahpun mengikut anak sulongnya pulang ke rumah mereka.  Ramai juga jiran tetangga sudah keluar dari dewan tersebut.  Masing-masing pulang ke rumah saudara-mara atau keluarga mereka.  Dia masih tidak ke mana-mana.  Masih menunggu kehadiran suami dan ahli keluarga.
            “Kenapa lambat sangat mak nak datang ke mari?” Tanya Mastura, meluahkan isi hati.
            “Ada urusan yang perlu mak selesaikan.  Maaflah terlambat sampai menjenguk Mas dan Maria.”  Mak Yam membantu Mastura mengemas pakaian yang telah diberi oleh penyumbang.  Ramai yang simpati dengan nasib mereka. 
            Mak Yam memandang wajah pucat anaknya.  Dia mengeluh.  Apa yang harus diberitahu kepada ibu seorang anak itu.  Tidak tergamak rasanya.  Dia sendiri terkejut mendengar berita yang mampu menghancurkan hati anaknya. Hendak beritahu takut pula berlaku perkara yang tidak diingini.  Dapatkah anaknya  menerima berita tersebut?
            “Mak kenapa? Gelisah sahaja,”  Mastura memerhatikan emaknya. 
            “Mak, kenapa?  Gelisah sahaja?”
            “Mak ada perkara nak beritahu Mas,” perlahan.  Mastura duduk mengadap Mak Yam.  Maria masih lagi bermain.  Biarlah. 
            “Apa dia mak?”  Mastura tidak sabar ingin mengetahuinya.
            “Harap Mas sabar ya?”          
            “Kenapa ini mak?  Pelik benar sikap emak.”
            “Hassan, suami kau,” Mak Yam diam seketika.  Hati Mastura semakin tidak keruan.
            “Cakap sahajalah mak,”  paksa Mastura.
            “Dia sudah berkahwin lagi!”  cerita Mak Yam.  Mastura tergamam.  Terdiam.  Matanya memandang tepat wajah Mak Yam, tidak berkelip.  Apakah dia salah dengar?
            “Mak cakap apa ini?” Mastura tersenyum, namun kelat.  Sekelat hatinya ketika itu. 
            “Mak mentua kau yang beritahu, takkan mak nak bohong pula?”  kata Mak Yam.  Mastura memandang ke arah Maria yang masih bermain.  Setitis demi setitis mutiara jernih mengalir keluar di pipi.  Suasana di dalam dewan yang semakin kurang penghuninya dipandang sekeliling dengan mata yang berkaca.  Di manakah suamiku, hanya itu yang mampu dikatakan di dalam hatinya.  Bagaikan air terjun yang mengalir laju seusai hujan, begitulah air matanya ketika itu.  Dadanya berat, sakit dan perit.  Suara jiran tetangga yang bertanya khabar, tidak langsung singgah di telinganya.  Sudahlah jatuh, kemudian ditimpa tangga pula. Suamiku, di manakah kau? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan