Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 9 Disember 2013

TSUNAMI CINTA ... 26 Disember 2004




CERPEN                :               TSUNAMI CINTA… 26 Disember 2004

                 Disember  datang lagi.  Sudah sepuluh tahun berlalu.  Bagaimana mungkin dia melupakan orang yang disayangi ghaib tanpa kubur, tanpa tanda, tanpa kata-kata dan tanpa pesanan untuk dirinya.   Hanya air mata menjadi peneman setia.  Ibu dan ayah sudah mula riuh rendah.  Menyuruhnya cepat-cepat berumah tangga.  Usia sudah menganjak ke senja, kenapa masih  sendiri tanpa teman di sisi menemani setiap masa.  Bukan tidak sudi, bukan memilih namun hati kecilnya masih belum terbuka lagi.
                “Ayu tidak perlulah pergi…  penting sangat ke hendak ke  Banda Acheh tu?  Bukan cantik manapun.”  larang  Husin.  Ayu menyengih, menampakkan baris giginya yang tersusun kemas dan putih bersih.
                “Ala… Bang Husin, Ayu hendak cari pakaian nikah di sana.  Kata orang kain ela di sana cantik-cantik, malah murah pula.  Lagipun tiket sudah dibeli, takkan nak tolak.  Rugilah.  Tambang murah, bukan selalu.  Sambil menyelam minum air.  Sambil berjalan boleh cari barang hantaran.”  Ayu tersenyum manis.  Rombongan rakan-rakan sekerja  bercuti ke Banda Acheh sudah lama dirancang.  Tempahan tiket sudah dibuat.  Bayaran juga sudah diselesaikan.  Bukannya lama, hanya seminggu.  Rakan-rakan sekerja mengambil peluang  bercuti sempena cuti umum menyambut Krismas.  Majikannya beragama Kristian jadi cuti yang diberi selama seminggu.  Tidak mungkinlah cuti yang lama itu dihabiskan hanya di rumah. 
                “Tidak kasihan ke tinggalkan  abang?  Nanti abang  rindu dengan Ayu, macam mana?”  rajuk Husin. Ayu  mencebik. 
                “Seminggu sahajalah bang.  Takkan itupun nak rindu sangat.  Nanti Ayu telefonlah.”  Kata Ayu lagi.
                “Macam mana kalau Ayu tidak balik?  Jatuh hati kepada pemuda di sana.  Melepaslah  abang?”  Husin mencebik.  
                “Apalah abang  ini?  Takkanlah sampai macam itu sekali?  Kami pergi semuanya perempuan, bang.  Bukan  hendak mencari pasangan hidup.”  Ayu menjuihkan bibir.  Dia mencubit lengan Husin, manja.  Husin mencuit hidung Ayu, mesra.
                “Abang bimbanglah Ayu,”  hatinya berdebar-debar hendak melepaskan tunangnya pergi bercuti ke Banda Acheh.  Entah kenapa hatinya berbelah bahagi.  Sedangkan dia juga yang membenarkannya sebelum ini. 
                “Abang, jangan fikir yang bukan-bukan.  Doakan sahaja, Ayu dan kawan-kawan selamat pergi dan selamat kembali ke pangkuan abang,”  pujuk Ayu, manja dan ceria.  Dia akan merindui wajah itu, kemanjaan dan keceriaan tunangannya itu. 
                “Amin…  Insya-ALLAH.
                Beg pakaian Ayu ditarik dengan laju menuju ke bahagian pendaftaran masuk.  Seramai lima belas orang mengikuti rombongan tersebut.   Wajah Ayu dan kawan-kawannya begitu ceria.  Bercerita tentang tempat yang akan mereka lawati.  Riang sungguh mereka.  Husin hanya mampu menumpang senyum.  Dia tidak boleh ikut kerana hanya perempuan sahaja yang pergi.    Tidak manislah jika dia turut ikut bersama.  Dilepaskan Ayu pergi dengan hati yang berat.  Dengan lambaian terakhir di kaki tangan menuju ke bahagian berlepas.  Senyuman Ayu masih terbayang sehingga kini.  Melihat Ayu menghilang sehingga ke perut kapal terbang. 
                Setiap hari dia menelefon Ayu, bertanyakan khabar dan ingin juga mengetahui tempat-tempat yang dilawati oleh tunangnya itu.  Kain ela yang akan digunakan waktu majlis akad nikah mereka juga sudah dibeli oleh Ayu,  Warna biru muda menjadi pilihan tunangnya itu.  Dia melihat sendiri kain tersebut melalui telefon tangannya.  Memang cantik.  Sesuai sangat dengan Ayu yang berkulit putih bersih itu.
               “Cantikkan bang?  Abang suka tak?” tanya Ayu manja  sewaktu mereka bersembang di talian.
             “Cantik, pandai Ayu pilih,”  puji Husin.  Bukan berpura-pura, memang cantik.  Bunganya terserlah.   Kerawangnya tebal.  Tentu cantik dijadikan kebaya moden.  Lebih cantik pakaian itu dipakai oleh Ayu.
                “Abang  sudah tempah baju melayu ke?  jangan lewat sangat, nanti tidak sempat pula,”  tegur Ayu.  Dia tahu benar sikap Husin yang suka menangguh kerja.  Kalau sudah terlalu lewat nanti tukang jahit, menjahit cincai sahaja.
                “Sudah, mama yang hantarkan ke kedai.  Abang sibuk sikit minggu ini.  Sahaja sibukkan diri bila kekasih hati tiada di sisi,”  kata Husin berbasa basi. 
                “Apalah abang ini,  Menyusahkan mama sahaja.”  Ayu menggelengkan kepala.               
                “Ayu…  abang rindulah dengan Ayu,”  Husin meluahkan perasaannya.  Memang dia rindu sangat dengan tunangnya itu.  Siang malam berjumpa.  Sebulan lagi mereka akan diijabkabulkan.  Tidak sabar menunggu hari yang bersejarah itu.
                “Ayu rindu juga dengan abang…  tinggal beberapa hari lagi sahaja, bang.  Nanti Ayu baliklah,”  kata Ayu mesra seperti selalu.  Tiada sedikitpun perubahan  pada kekasihnya itu.  Mana dia tahu malam itu adalah malam terakhir dia mendengar suara manja itu.  Dia seperti tidak percaya perkara itu berlaku dalam hidupnya.  Diwaktu  dia sedang mengutip  bunga-bunga bahagia.  Siapa sangka bunga-bunga bahagia itu direntap dengan kasar sehingga terburai kalungannya.  Hancur lebur hatinya.  Hilang separuh daripada dirinya. 
                Husin ke tempat kerja seperti biasa.  Hatinya bernyanyi riang  memikirkan Ayu akan pulang lusa.  Tidak sabar untuk menyambut kepulangan kekasih hatinya.    Dia sudah merencanakan hendak mengajak Ayu keluar makan malam.  Restoran kegemaran Ayu, itulah yang akan menjadi pilihan. 
                “Amboi, lebar senyuman kau?  Sebelum ini macam orang mati bini sahaja,” tegur rakan sekerjanya.  Husin tersenyum.
                “Kau ini Zali, aku senyum salah, aku masam pun kau tegur,”  Husin ketawa nipis.
                “Bila Ayu balik?”  tanya Zali sambil duduk  mengadap Husin yang sedang menyemak fail tender yang telah dihantar kepadanya.
                “Lusa…,” jawab Husin. Matanya masih menumpukan  pada tugas-tugas yang diamanahkan.
                “Padanlah suka sangat,” usik Zali.  Telefon Husin berdering  mengalihkan perhatian Husin dari tugas-tugasnya.  Zali memberi ruang kepada Husin menjawab panggilan tersebut.  Dengan bahasa isyarat dia bermohon keluar dari bilik rakan sekerjanya itu.  Husin hanya mengangguk perlahan.
                “Mama?  Ada apa mama?” tanya Husin.    Suara mamanya di talian sedikit ganjil.  Bagaikan orang susah hati.  Tersekat-sekat, teragak-agak, takut-takut.  Risau menerjah di hatinya.  Dahi Husin berkerut tanpa dipaksa.
                “Husin ada tengok berita tak?”  tanya Puan Halimah. 
                “Husinkan kerja, mama… macam mana hendak tengok berita?”  Husin mengeluh.
                “Husin…  Banda Acheh tenggelam!”  kata Puan Halimah terjerit sedikit. 
               “Banda Acheh tenggelam?  Kenapa?  Mama tak main-mainkan?”  Husin mula resah.  Sebut Banda Acheh sahaja sudah cukup membuatkan hatinya gundah gulana. 
                “Gempa bumi kemudian dilanda tsunami, banyak negara dan tempat kena musibah, negara kita  juga menerima nasib yang sama  Husin.  Di bahagian utara, Pulau Pinang dan beberapa bahagian di Langkawi.  Maknanya di persisir pantai.  Thailand juga teruk, nak.  Ramai yang terkorban.  Mama tidak tahu sama ada   Ayu selamat atau tidak. “ Puan Halimah mula menangis.  Husin tersandar di kerusi.  Bibirnya bergetar.  Badannya menggigil.
                “Mama tidak main-mainkan?” Husin tidak percaya.
                “Buka Internet, tengok sendiri,” kata Puan Halimah. 
                “Husin…  Husin!” Zali menerpa masuk.  Husin memandang wajah  rakan sekerjanya.
                “Banda Acheh, lumpuh…  tsunami!”  kata Zali, wajahnya muram.  Husin terdiam. Telefon bimbit jatuh ke lantai. 
                “Kau juga berguraukan, Zali?”  Husin masih tidak percaya.  Zali membuka internet.  Dia menunjukkan apa yang terjadi.  Gambar-gambar di tempat kejadian di Banda Acheh.  Hanya sebuah masjid sahaja yang selamat dan mereka yang berlindung di dalam masjid itu sahaja dapat menyelamatkan diri.  Husin tidak  terkata apa-apa.  Dia tidak mampu bersuara.  Hotel tempat Ayu menginap tidak berapa  jauh dari masjid tersebut.  Dia amat pasti, Ayu juga yang telah memberitahunya.  Ya ALLAH! Padanlah hatinya  begitu risau melepaskan tunangnya pergi bercuti. 
                “Zali! Macam mana?  Apa harus aku lakukan?”  Husin kehilangan punca.  Hilang sudah senyuman di pagi hari.  Hilang sudah keriangan di hati.  Semuanya diambil pergi.  Terasa ingin meraung ketika itu juga.  Mahu sahaja dia pergi ke Banda Acheh mencari Ayu.  Tidak mungkin kekasih hatinya juga terkorban?    Baharu malam semalam mereka bersembang, ketawa riang.  Saling melepaskan rindu yang sarat di dada.  Hari ini berita yang diterima  menghancurkan terus hatinya.  Membunuh jiwanya.  Membenam semua  angan-angannya.  Membutakan terus impiannya.  Mencarik-carik  cita-citanya. 
                “Cuba telefon Ayu…  mana tahu dia terselamat,”  cadang Zali. Tanpa berfikir Husin terus mendail no telefon Ayu, tiada jawapan.  Hatinya semakin takut, bimbang dan bingung. 
                “Tiada jawapan!” kata Husin cemas.  Zali memandang wajah temannya yang sudah bertukar wajah.  Pagi tadi wajah itu ceria bagaikan bunga kembang pagi disirami embun pagi. 
                “Sabar, Husin…  berdoalah semoga Ayu dan kawan-kawannya selamat.”  Pujuk Zali.  Husin mendengus kasar.  Dia menahan air mata dari mengalir.    Tidak tahu apa yang harus dia lakukan.
                “Bagaimana jika aku ke sana?” 
               “Mana boleh! Rasanya semua penerbangan ke sana dibatalkan.  Kawasan  lapangan terbangnya juga lumpuh.”
                “Ya ALLAH, bagaimanalah nasib Ayu dan kawan-kawannya?”
                “Berserahlah kepada takdir, Husin.”
                “Aku sudah larang dia pergi, tapi dia degil!”  Husin benar-benar kesal.  Kalaulah dia berkeras. 
                “Tiada guna kau marah-marah sekarang.  Berdoa adalah jalan terbaik.”  Nasihat Zali.
                “Di mana aku hendak cari Ayu, Zali?  Di mana harus aku mulakan?”  Husin  sebak.  Wajah keriangan kekasih hati bermain-main di ruangan mata.  Suara lembut Ayu bagaikan menendang-nendag cuping telinga. 
                “Pergi ke kedutaan, cuba bertanya.  Berikan maklumat tempat Ayu dan kawan-kawannya menginap…  mungkin dia sempat menyelamatkan diri.”  Terus menasihati.  Sedih pula melihat keadaan rakan sekerjanya itu.
                Dia bagaikan orang gila ke sana ke mari bertanyakan tentang tunangnya itu.  Tiada siapa yang mampu membantu.  Banda Acheh jadi padang jarak, padang  terkukur. Sehingga ke hari ini tiada langsung berita tentang Ayu dan kawan-kawannya.  Malah hotel tempat Ayu menginap ranap langsung.  Menurut orang di sana, tiada siapa yang selamat di hotel tersebut. Harapan tinggal harapan.
                Sepi datang lagi.  Gambar Ayu dan dirinya sewaktu bertunang masih baik di dalam simpanan.  Itulah teman setiap setiap malam.  Menanti dan mengharap kepulangan orang tersayang sehingga makan bertahun-tahun.  Masih mengharap sehingga ke hari ini.  Biarlah orang mengatakan dia menunggu buah yang tidak gugur atau menunggu kucing bertanduk.  Bagaikan pungguk rindukan bulan.  Dia tidak peduli dengan kata-kata orang sekeliling.  Selagi nyawa di kandung badan hanya nama Ayu tertanam di hati.  Tsunami sudah lama pergi.  Begitu juga Ayu, namun hatinya masih setia menunggu.  Biar setiap tahun disember datang lagi.  Hanya Ayu di hati.
               

Tiada ulasan:

Catat Ulasan