Cari Blog Ini
Jumaat, 7 Februari 2014
RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 20
AROMA minyak wangi jenama Paloma Picasso yang menyapa deria hidunya sebaik saja dia melangkah masuk ke ruang pejabat membuatkan dia segera teringatkan seseorang. Dia menoleh ke arah Nur Ain yang sedang berteleku di mejanya. Setahunya, gadis itu memakai minyak wangi jenama Avon.
Menyedari kehadirannya, Nur Ain segera menghadiahkan senyuman lebar ke arahnya.
“Selamat pagi, Encik Yusuf. Nampaknya pagi-pagi lagi dah ada tetamu menunggu encik di bilik.” Tukas gadis itu dengan senyum penuh makna.
“Tamu? Siapa?” dia sengaja menyoal walaupun haruman Paloma Picasso membuatkan dia sudah dapat mengagak siapa yang datang bertemu dengannya pagi itu. Nur Ain hanya menyengih. Dan Yusuf Hakimi malas hendak tunggu lama-lama lagi di depan meja setiausaha genit itu.
Dia memulas tombol pintu biliknya. Intan Juliana sudah sedia menunggu dengan senyuman yang juga bersira madu. Serba putih dia hari itu. Daripada blaus, slack sehinggalah kepada kasut dan tas tangannya. Hanya skaf berbunga-bunga yang dililitkan di lehernya yang jenjang menjanjikan warna kontras pada fesyen serba putih itu.
Setelah seminggu lebih tidak bersua muka, wajah di hadapannya kelihatan lebih cantik daripada biasa. Dan tanpa disedarinya dia rasa seronok kerana yang menyapa paginya di ruang pejabat hari itu adalah teman baik bernama Intan Juliana.
“I dah agak mesti you yang datang!” tukasnya sambil tergelak kecil. Dia berjalan ke mejanya lalu meletakkan briefcase warna hitam di situ.
“Mana you tau?” soal Intan Juliana yang duduk bersilang kaki di atas kusyen sambil memandangnya dengan penuh minat.
“Bau yang you bawalah!” lelaki itu tergelak lagi. “Tapi jangan salah sangka, bukan bau hapak atau bau ketiak... tapi bau manis haruman yang you pakai.”
Mata mereka bertentangan seketika. Intan Juliana kelihatan agak gabrah. Yusuf Hakimi hanya tersenyum memandangnya.
“Ada-ada ajelah!” desis gadis itu. “Kenapa you gantung lukisan tu kat sini, Suf?” soalnya sambil merenung hasil seninya yang tergantung di dinding pejabat lelaki itu. “Isteri you tak suka ke?”
“Macam mana nak cakap ya? Hmm... I harap you tak kecil hati dengan sikap Ika tu. Memang dia tak berapa suka bila I bagitau dia you yang lukis lukisan ni. So, I malas nak panjangkan cerita, I bawa baliklah ke ofis dan gantung kat dinding. Cantik juga dan sejuk mata memandang. Setiausaha I kat luar pun kata macam tu.” Terangnya.
Intan Juliana kerut kening yang berpantis cantik.
“Kenapa Ika tak suka kalau I yang lukis?” soalnya dengan rasa kurang puas hati.
“Ni hal orang perempuanlah, Ju. Cemburu tak bertempat. Ada ke dengan you pun dia nak cemburu? Tapi you just forget it lah, Ika tu masih mentah lagi. Lama-lama nanti dia fahamlah tentang hubungan kita ni.” Pujuknya.
“I tak kisah. Bagus juga you gantung lukisan I kat ofis you ni. Asal jangan you campak ke dalam tong sampah, dahlah!” tukas Intan Juliana dengan wajah berseri-seri.
Yusuf Hakimi tergelak kecil.
“Hey, you dah sarapan?”
Gadis di hadapannya menggeleng.
“Kalau macam tu jom kita turun sarapan. I belanja.” Tingkah Yusuf Hakimi walaupun dia sudah menjamah Nescafe panas dan roti bersalut jem yang disediakan oleh isterinya sebelum berangkat ke pejabat tadi.
Intan Juliana mengangguk. Dia tidak akan sama sekali menolak kalau yang mempelawa itu adalah jejaka bernama Yusuf Hakimi. Ketika mereka bergandingan keluar dari ruang pejabat, dia perasan yang mata setiausaha lelaki itu merenung tajam ke arah mereka, tapi dia tak mengendahkannya. Lantaklah apa orang lain nak kata atau fikir tentang mereka berdua, desis hatinya.
Yusuf Hakimi memesan nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang serta segelas kecil Nescafe tarik. Intan Juliana pula hanya memesan satu set roti bakar bersalut kaya dan air suam. Dia keberatan hendak makan makanan kegemarannya iaitu lontong ataupun nasi lemak kerana takut mengotorkan busana putih yang dipakainya. Itu membuatkan dia menjadi mangsa sindiran lelaki di hadapannya.
“Mother you apa khabar?” soal Yusuf Hakimi setelah puas mengusiknya.
“Semakin sihat. Mungkin hujung bulan depan baru dia akan dibedah.”
“Alhamdulillah. Jadi you balik sendirianlah kemari?” soal Yusuf Hakimi.
Gadis itu menggeleng. “I balik dengan Uncle Johan. You kenal dia kan?”
“Ye ke? Dia pun jenguk mother you kat London?” Yusuf Hakimi yang mengenali lelaki bernama Johan itu bertanya. Dia tahu serba sedikit kenapa dan bagaimana Intan Juliana boleh rapat dengan lelaki itu.
Menurut ceritanya, semasa mudanya dahulu Johan pernah menaruh hati pada Puan Nuraini iaitu ibu Intan Juliana tapi cintanya ditolak kerana wanita itu mencintai Kamarul yang sudahpun beristeri. Mereka bernikah juga tanpa pengetahuan isteri pertama Kamarul. Malangnya Kamarul adalah seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Ibunya yang sedang hamil ditinggalkan begitu saja oleh Kamarul.
Johan yang kebetulan telah berkahwin dengan gadis pilihan orang tuanya, masih mempunyai hubungan yang baik dengan wanita yang pernah dicintainya itu. Atas rasa kasihan dia telah mengambil Intan Juliana sebagai anak angkatnya. Hubungan mereka terus akrab sehingga kini membuatkan Yusuf Hakimi terfikir kenapakah lelaki itu tidak menyunting sahaja Puan Nuraini sebagai isterinya.
“Ya.” Jawab Intan Juliana.
“I wonder kenapa Datuk Johan tak nikah aje dengan mother you sedangkan mereka begitu akrab.” Tukas Yusuf Hakimi.
“Akrab sebagai teman biasa, Suf. Mother I adalah seorang perempuan yang bermaruah. Dia pernah cakap dengan I, dia takkan sesekali menerima lamaran lelaki yang bersimpati dengan penanggungannya. You tahukan dulu dia pernah ditinggalkan suami dalam keadaan sarat mengandung dan kini dia diserang penyakit barah pula. Sesiapa yang berada di sisinya pasti akan jatuh kasihan padanya termasuklah Uncle Johan.”
“Tapi I rasa Datuk Johan masih mencintainya.” Tingkah Yusuf Hakimi.
Gadis di hadapannya jungkit bahu.
“Tu I tak tahu pulak. Yang I tahu mereka berdua hanyalah teman biasa... mungkin macam kita berdua sekarang ni!” mata Intan Juliana menikam tepat ke retina mata Yusuf Hakimi. Dan, untuk beberapa detik... masa seakan terhenti!
ENTAH MENGAPA hatinya rasa tidak keruan. Jantung berdegup laju. Segala yang dibuat rasa serba tak kena. Oleh kerana tak mampu menumpukan seluruh perhatian pada penulisannya, dia mengambil keputusan untuk menutup saja suis laptopnya.
Dia beralih ke ruang tamu. Hajat hatinya hendak menonton televisyen. Tapi drama siri yang ditayangkan langsung tidak menarik minatnya. Kebetulan dia tinggal sendirian setelah Fatimah pulang ke kampung dua hari lepas.
Dalam keadaan bosan dan gelisah begitu, ingin rasanya dia menghubungi suaminya di pejabat. Tapi dia takut kalau-kalau mengganggu kerja Yusuf Hakimi. Akhirnya dia membatalkan niatnya itu.
Telefon yang berdering membuatkan hatinya melonjak riang kerana menyangka itu adalah panggilan daripada suaminya. Dia bergegas mengangkat gagang dan memekapkannya ke telinga.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Ika, ni akulah... Ayu.”
“Hey, Ayu! Apa khabar?”
“Baik. Kau tak ke mana-mana kan hari ni?”
“Tak! Ika ada kat rumah aje.”
“Baguslah kalau macam tu. Ayu dalam perjalanan ke sana sekarang ni. Ayu dengan Abang Taufik, tapi Abang Taufik tak singgah. Boleh kan, Ika?”
“Apa salahnya. Ika pun tengah boring sekarang ni. Seronok juga kalau Ayu ada bolehlah temankan Ika.”
“Okeylah, dalam lima minit lagi Ayu sampai. Bye, Ika!” kata Atika Ayuni sebelum menamatkan perbualan.
Rasa bosannya terubat apabila mendengar bahawa Atika Ayuni dalam perjalanan melawatnya di rumah. Setelah memaklumkan pada suaminya tentang kedatangan gadis itu, dia segera menukar pakaian. Seketika kemudian kedengaran bunyi loceng di muka pintu. Dia bergegas membukanya.
“Apa khabar, Ika?” soal Atika Ayuni sambil memeluknya seolah-olah terlalu rindu setelah lama tak bersua muka.
“Baik.” Sahutnya sambil menjengah ke luar. Kelibat Taufik tidak kelihatan.
“Abang Taufik hantar Ayu sampai kat luar pagar aje. Dia ada kerja.” Atika Ayuni menerangkan setelah perasan keadaan teman baiknya yang seolah-olah sedang mencari seseorang. “Ika, Ayu ni belum sempat sarapan lagi. Ada apa-apa yang boleh dikunyah tak?”
Zulaika tergelak kecil.
“Dah pukul sepuluh setengah tapi Ayu masih belum sarapan?” soalnya. Atika Ayuni angguk. “Pagi ni kita orang sarapan roti dengan jem aje. Tapi kalau Ayu nak makan maggi goreng, Ika boleh buatkan.”
“Tu pun dah cukup okey, Ika.” Kata Atika Ayuni sambil mengekorinya ke perut dapur.
Seperti biasa, Zulaika begitu pantas menyiapkan hidangan tersebut. Tidak sampai sepuluh minit menunggu, semangkuk maggi goreng dan segelas besar Milo ais telah berada di hadapan Atika Ayuni.
“Macam mana hubungan Ayu dengan Taufik?” soal Zulaika.
“Nampaknya semakin baik, Ika. Bagi Ayu Abang Taufik tu seorang lelaki yang matured sangat, tak macam Man dulu.”
Zulaika menyengih. Nampaknya pujian melambung diberikan oleh Atika Ayuni terhadap Taufik.
“Wah, bukan main puji lagi nampaknya, dulu bukan main jual mahal!” dia sempat mengusik. Atika Ayuni mengekel. Terserlah kegembiraan di wajahnya. “Tak adil kalau Ayu nak samakan Taufik dengan bekas kekasih Ayu tu sebab umur mereka berdua jauh bezanya. Man masih terlalu muda dan sebab tulah mungkin agak kurang matang kalau nak dibandingkan dengan Taufik.” Zulaika memberikan pendapatnya.
“Yelah Cik Ika! Hmm... apa ceritanya Si Fatin?”
“Dah beberapa hari dia kerja kat ofis Encik Fauzan. Agaknya tengah seronoklah dengan kerja barunya tu.”
“Jaga-jaga dengan dia tu, Ika. Bukannya apa, Ayu takut kalau dia buat perangai lamanya tu! Jadi suami kau setujulah dia tinggal kat sini?”
Zulaika angguk. “Mungkin untuk sementara waktu sehingga dia dapat sesuaikan diri dengan keadaan hidup di kota ni. Lepas ni kalau dia nak cari rumah sewa ke... bilik sewa ke... terpulanglah pada dia. Ika dan Abang Yusuf tak ada halangan.”
Atika Ayuni mengangguk.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan