Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 7 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 21



“BETINA MANA yang bos kita ambil bekerja kat sini tu? Bukan main getik lagi aku tengok.” Suara-suara sumbang sudah mula kedengaran.
Saerah hanya memekakkan telinganya. Dia telah cuba menasihatkan Fatin Adiba agar menjaga kelakuannya, tapi segala nasihatnya tidak diendahkan. Malah dia pula yang dituduh cemburu. Sikapnya yang ekstra peramah dengan staf lelaki mahupun pelanggan syarikat baik yang sudah beristeri mahupun yang bujang membuatkan orang yang melihat jadi meluat. Akhirnya muncullah tohmahan yang kurang enak dari mulut mereka.
“Aini, kau tak cemburu ke? Aku tengok Ray bukan main rapat lagi dengan betina tu?” tidak cukup dengan segala tohmahan, batu api juga mula memainkan peranan.
Saerah menoleh ke arah setiausaha muda bernama Aini yang telah beberapa bulan bercinta dengan anak bujang Encik Fauzan yang bernama Rayzal itu. Jelas wajahnya yang putih bersih, berubah menjadi merah.
“Aah lah... Aini! Setiap kali kemari, pasti meja penyambut tetamu yang dia terjah dulu. Bila dah puas pandang perempuan tu, baru dia naik atas jumpa kau. Kau tak cemburu ke?” sampuk batu api yang lain pula.
Seketika kemudian batu-batu api itu kedengaran terkekeh-kekeh tanpa mempedulikan satu hati yang telah rentung terbakar. Saerah menjadi kasihan melihat Aini yang tercemik-cemik wajahnya untuk menahan diri daripada menangis. Dia menjeling marah ke arah batu-batu api tersebut, tapi mereka selamba sahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Saerah melajukan suapannya. Dia mahu segera meninggalkan gerai serta kumpulan batu api tersebut.
“Awak dah sudah makan ke, Aini?” soalnya ke arah gadis yang kelihatan tidak lalu hendak menyuap nasi ke mulutnya itu. Aini angguk. “Jom, kita masuk ofis. Kalau tunggu lama-lama kat sini nanti, makin menyakitkan hati aje.” Sindirnya ke arah mereka yang bergelar batu api itu.
Aini tidak banyak cakap. Dia menolak pinggan yang masih penuh lalu bangkit dan membuntuti Saerah keluar dari gerai tersebut.
“Jangan layan cakap diorang tu, Aini. Mereka semua tu tak ada hati, tak ada perasaan.” Nasihatnya ketika mereka bergandingan pulang ke pejabat.
“Tapi memang betul apa! Sejak pompuan tu bekerja kat sini, Ray dah berubah!”
Saerah menoleh ke arah gadis di sisinya. Kasihan Aini, desis hatinya.
“Aini, saya nak nasihatkan awak sikit, boleh tak?”
“Apa dia?”
“Awak tu cantik, Aini. Awak masih lagi muda. Kalau Ray betul-betul sayangkan awak, nak serius dengan awak, dia takkan abaikan awak hanya kerana seorang perempuan lain. Kalau dia dah bersikap macam tu, baik awak lupakan aje dia. Ramai lagi orang di luar sana yang mungkin lebih layak untuk awak kalau nak dibandingkan dengan Ray.”
“Awak pernah bercinta tak, Saerah?”
“Kalau setakat kawan biasa tu, adalah.”
“Jadi awak takkan faham perasaan orang yang sedang bercinta!” desis Aini.
“Saya minta maaf, Aini. Bukannya saya memandai-mandai nak nasihatkan awak.” Tingkahnya.
Aini tersenyum. “Tak apalah. Terima kasih kerana nasihat awak tu. Saya naik ke atas dulu ya.”
Saerah mengangguk. Dia hanya memandang ke arah meja penyambut tetamu yang kosong. Fatin Adiba entah ke mana!

FATIN ADIBA menggeliat geli ketika tangan nakal Rayzal merayap di dadanya yang kembang subur. Desahan yang keluar dari bibirnya membuatkan darah panas Rayzal bagaikan menggelegak. Tak tertanggung. Dia menanggalkan kutang baju gadis itu dengan gelojoh. Fatin Adiba yang menguit di atas ribanya hanya membiarkan.
“Ray...” desahnya dalam kenikmatan yang sukar hendak digambarkan. Bibir Rayzal melekap di bibirnya. Dan dua bibir menjadi satu.
“Ray!” jeritan itu membuatkan segala keinginan batiniah yang tadinya berkobar-kobar jadi terbantut dan padam sama sekali. Kedua-duanya melompat bangun dan membetulkan pakaian masing-masing.
Di hadapan mereka tercegat Encik Fauzan dan Aini. Encik Fauzan merenung bagaikan seekor singa yang hendak menerkam mangsanya, sementara Aini yang tak dapat menahan emosinya menghambur keluar dari bilik Pengarah Urusannya itu dengan raungan yang memilukan. Lelaki itu yang kelihatan kecewa sekali dengan apa yang terpapar di hadapan matanya hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Err... papa! Err... Ray minta maaf.” Tergagap-gagap Rayzal memohon kemaafan daripada Encik Fauzan yang kelihatan benar-benar berbulu. Fatin Adiba yang berdiri di sisinya hanya tunduk diam, tak berkutik.
“Memang kurang ajar korang berdua ya, sampaikan bilik aku pun korang sanggup jadikan tempat beromen!” tempelak Encik Fauzan.
“Maafkan Ray, papa! Ray janji hal ni takkan berulang lagi...” Rayzal bikin muka sedih untuk menarik simpati ayahnya.
“Pandailah kau cakap. Fatin, awak ni baru aje bekerja kat sini tapi dah buat perangai. Awak tu perempuan, tak malu ke hah?” jerkahnya ke arah Fatin Adiba. Gadis itu hanya mendiamkan dirinya. “Awak keluar dari bilik saya sekarang juga. Kau, Ray... tunggu sini. Papa belum habis dengan kau lagi!” sebaik saja mendengar kata-kata itu, Fatin Adiba mencicit keluar dari bilik Encik Fauzan.
“Kau dari mana ni, Fatin? Kan aku dah kata kalau aku pergi makan tengah hari kau tak boleh tinggalkan meja ni?” sergah Saerah sebaik saja melihat wajah Fatin Adiba. Soalannya terbiar tanpa jawapan.

SETELAH memaklumkan pada setiausahanya, Yusuf Hakimi melangkah keluar dari pejabat. Ingat hati hendak pulang awal ke rumah. Tetapi entah mengapa di saat-saat akhir dia menukar fikiran lalu menghala ke rumah mamanya.
Ketika dia sampai dilihatnya Puan kalsom sedang berbual-bual di tepi pagar dengan Mak Intan, jiran selang tiga buah rumah. Melihat perempuan itu entah mengapa satu wajah menjelma di jiwanya. Entah! Mungkin kerana awalan nama mereka yang serupa – Intan!
“Eh, Yusuf! Dah lama Mak Intan tak nampak kau. Isteri kau mana?” Mak Intan yang memang terkenal dengan keramahannya itu segera menyapa sebaik saja dia melangkah keluar dari kereta.
Dia sengih. “Sebenarnya saya ni dari pejabat Mak Intan macam mana nak bawa orang rumah.” Sahutnya sambil menoleh ke arah mamanya. Puan Kalsom bersahaja. “Kenapa berborak kat tepi pagar aje? Tak nak masuk ke?”
“Yelah, Intan! Jemput masuk. Kita minum-minum kopi dulu.” Pelawa Puan Kalsom.
“Eh, tak payahlah susah-susah. Terlanjur nak ke kedai tadi saya singgahlah kemari kejap. Orang rumah kau apa khabar, Suf? Lama dah Mak Intan tak jumpa dia. ”
“Ika sihat.”
“Macam mana... dah berbadan dua ke?”
Yusuf Hakimi sengih lagi.
“Belum ada rezeki kami agaknya, Mak Intan.” Jawabnya.
“Eh, kenapa pulak? Orang masa muda-muda nilah nak beranak ramai-ramai. Nanti senang.” Tingkah Mak Intan.
“Insya-Allah, Mak Intan. Doakan ajelah kami. Kalau dah sampai masanya nanti, saya akan cari Mak Intan.”
Perempuan itu mengekel. Dia pun pernah muda dan asam garam alam rumah tangga di usia muda begitu masih kekal dalam ingatannya.
“Kak Som, saya balik dululah ya. Nanti kalau ayah budak-budak tu balik dan tengok saya tak ada kat rumah, bising pulak dia. Suf, kirim salah Mak Intan pada orang rumah kau. Cakap dengan dia, cepat-cepat mengandung!” usik Mak Intan sambil tergelak kecil.
“Masuklah.” Kata Puan Kalsom pada anaknya sebaik saja Mak Intan beredar.
Yusuf Hakimi hanya membuntuti mamanya melangkah masuk ke rumah. Dia duduk menyandar di ruang tamu sementara Puan Kalsom menuju ke dapur. Seketika kemudian satu gelas besar sirap dan sepinggan kecil kuih koci labu sudah berada di hadapannya. Itu yang Yusuf Hakimi paling suka tentang mamanya.
“Awal kau balik hari ni, Suf?” soal Puan Kalsom.
“Kerja kat pejabat tak berapa banyak hari ni.” Sahutnya. “Mama sihat?”
“Sihat. Isteri kau macam mana?”
“Ika sihat.”
“Jadi juga adik tirinya menumpang kat rumah kau ya, Suf?” tanya Puan Kalsom. Yusuf Hakimi mengangguk. “Berapa lama budak tu nak menumpang kat rumah kau?”
“Tengok dululah, mama. Dia masih baru lagi kat KL ni. Bila dia dah biasa nanti, Yusuf akan carikan rumah ataupun bilik sewa untuknya.”
“Jangan pula nanti kau menanggung biawak hidup!” tempelak Puan Kalsom. Yusuf Hakimi merenung wajah mamanya.
“Apa maksud mama?”
“Yelah, aku tengok semua orang nak menumpang kesenangan hidup kau. Dahlah kau terpaksa sara bini kau yang tak bekerja tu, sekarang ni adik tiri dia pula dah menumpang kat rumah kau. Esok lusa habis satu batalion saudara maranya nak menumpang di rumah kau!” Puan Kalsom meluahkan rasa kurang senang yang dipendam di sudut hatinya selama ini.
“Taklah sampai macam tu sekali, mama. Fatin tu tak ada saudara mara kat KL ni jadi Yusuf rasa tak salah kalau kami bantu dia untuk sementara waktu sehingga dia dapat menyesuaikan dirinya di KL ni dan sementara ekonominya stabil. Lepas tu nanti terpulanglah pada dia. Ika pulak dah jadi isteri Yusuf. Yusuf tak kisah sara dia sebab pendapatan Yusuf cukup untuk menyara hidupnya. Lagipun Ika tu sebenarnya ada pendapatan sampingan untuk dirinya sendiri, mama. Mama pun tahukan yang dia menulis novel? Memanglah pendapatannya kecil kerana dia baru aje terbitkan sebuah novel, tapi mana tahu rezekinya esok lusa, mama. Yusuf tak kisah dia tak bekerja di pejabat macam isteri orang lain sebab dia pun bukannya goyang kaki kat rumah. Bila Yusuf balik ke rumah hati Yusuf tenang sebab makan minum, kebersihan rumah dan pakaian Yusuf dijaganya dengan sempurna.” Melambung pujian yang diberikan oleh anak lelakinya membuatkan Puan Kalsom menjelingnya dengan jelingan meluat.
“Bukan main lagi kau puji dia?” perlinya.
Yusuf Hakimi menyengih. Zulaika memang patut dipuji, desis hatinya dan merasa kecewa kerana mamanya tidak pernah menghargai isterinya.
“Apa gunanya kalau setakat pandai masak dan kemas rumah tapi tak mampu berikan zuriat untuk kau!” hentak Puan Kalsom dengan nada tinggi.
“Mama! Apa mama cakap ni? Mana mama tahu Ika tak mampu berikan zuriat untuk Yusuf? Dia masih muda lagi, ma, dan kami pun baru aje dua tahun jadi suami isteri. Masih ada banyak masa lagilah, ma.” Belanya. Dia mula terasa hati apabila orang kesayangannya dihina sebegitu rupa.
Puan Kalsom mengherotkan bibirnya.
“Suf, perempuan kalau subur... tentu dah berbadan dua, tahu tak! Sekarang ni dah dua tahun kau kahwin dengan dia tapi tak ada sebarang tanda pun dia akan hamil. Tiap-tiap bulan asyik turun aje!” tempelaknya.
Yusuf Hakimi mula tidak selesa mencipta perbalahan itu dengan mamanya. Dia segera meminta diri untuk pulang ke rumahnya.
“Eh, awal abang balik hari ni?” soal Zulaika yang terkejut melihat suaminya sampai ke rumah agak awal petang itu. Selalunya batang hidung Yusuf Hakimi susah hendak dilihat sebelum jarum jam berdenting ke angka enam atau enam setengah petang. Dan semenjak Fatin Adiba menumpang di rumah mereka, suaminya akan menjemput dahulu adik tirinya itu sebelum pulang bersama.
“Ika tak suka ke abang balik awal?” usiknya sambil membuntuti si isteri menuju ke meja makan di mana Zulaika telah menyediakan segelas air suam di situ.
Zulaika mengekel. “Suka! Apa pulak tak sukanya. Tapi abang tak jemput Fatin dulu ke?”
“Dia SMS abang tadi, dia kata nak balik sendiri.” Sahutnya.
“Iya?” Yusuf Hakimi mengangguk. “Bang, sepanjang hari ni Ika rasa tak sedap hati ajelah...” dia meluahkan kebimbangan di hatinya. “Macam ada perkara tak baik yang akan berlaku.”
Yusuf Hakimi memeluk bahu isterinya. Wajah ego mamanya yang mempertikaikan mengapa isterinya masih belum lagi mengandungkan zuriatnya walau setelah dua tahun berkahwin menerbak ke ruang fikir. Kadangkala fikirannya jadi buntu tatkala memikirkan tentang perkara itu. Sampai bilakah mamanya hendak membenci isterinya sedangkan Zulaika si anak yatim piatu itu seharusnya disayangi dan dilindungi. Tapi mama seolah-olah hendak memisahkan dia dengan isterinya.
“Tak ada apa-apa perkara buruk yang akan berlaku, sayang. Janganlah bimbang.” Pujuk suaminya. “Malam ni kita makan kat luar nak?”
“Fatin?”
“Ala... kita berdua ajelah. Lagipun dia kan dah besar panjang. Kalau dia lapar, tahulah dia cari makanan sendiri.” Tukas Yusuf Hakimi dengan nada geram kerana keinginannya untuk berdua-duaan dengan isteri tersayang selalu diganggu oleh kehadiran Fatin Adiba.
“Kesian dia, bang, takkan kita nak tinggalkan dia?”
“Alah, sesekali kena tinggal apa salahnya. Dah, Ika jangan banyak cakap... malam ni abang nak berdua-duaan dengan isteri abang yang comel lote ni aje. Abang tak nak orang lain kacau daun,” getus Yusuf Hakimi sambil mencuit dagu isterinya. Zulaika tersenyum manis.
“Kalau macam tu okeylah, bang. Tapi Ika nak masakkan lauk sikit untuk Fatin. Dia balik nanti tentu letih.” Sahutnya membuatkan Yusuf Hakimi menggelengkan kepalanya.
“Tadi abang singgah kat rumah mama kejap. Ika kenal dengan Mak Intan, jiran mama tu tak?” soal Yusuf Hakimi ketika mereka bersantai di atas kusyen panjang di ruang tamu. Dia berbaring sambil kepalanya diletakkan ke paha isterinya.
“Mak Intan?” Zulaika ketawa kecil. “Siapa yang tak kenal dia. Mungkin dia sorang ajelah jiran mama yang sukakan Ika.”
“Jangan cakap macam tu, sayang.” Yusuf Hakimi memujuk isterinya. Mata mereka bertentangan, dan Zulaika tersenyum. Entah apa yang berlegar-legar di fikirannya ketika itu. “Mereka tu belum lagi kenal siapa Ika. Kalau mereka dah kenal nanti mereka tentu akan suka serta sayang pada Ika.”
Zulaika membelai rambut suaminya dengan sepenuh kasih sayang. Kasih sayang seorang isteri yang tak akan luak malah semakin bertambah dari hari ke hari. Tuhan, cukuplah kalau suamiku menyayangiku. Cintaku akan sentiasa penuh kalau dia menyayangiku. Aku tak kisah kalau orang lain membenciku. Malah, aku tak peduli walau satu dunia membenci... menghinaku! Tapi aku tak tahu ke mana akan kuletakkan hati ini jika suamiku sendiri mengabaikan diriku.
Sesungguhnya Tuhan, aku tak sanggup kehilangannya!
“Kita sama-sama berdoa ya, sayang. Insya-Allah suatu hari nanti mama dan mereka yang lain tu akan lebih mesra dengan Ika.” Pujuk suaminya lagi. Zulaika terharu. Dia menunduk untuk menyentuh hidung Yusuf Hakimi dengan bibirnya.
“Ehem!”
Deheman itu membuatkan Yusuf Hakimi dan juga Zulaika terkejut. Fatin Adiba berdiri di muka pintu dengan wajah yang kelat.
“Sorry ganggu!” desisnya sambil melangkah pantas menuju ke biliknya.
Zulaika dan Yusuf Hakimi berpandangan. Dia dapat melihat wajah suaminya yang mencuka. Dia tahu Yusuf Hakimi cukup bengang kalau saat-saat romantis mereka diganggu oleh orang lain.
“Sayang...” panggilnya.
“Dia tu tak tahu ketuk pintu atau bunyikan loceng ke?” terjah Yusuf Hakimi dengan marah.
“Janganlah marah, bang. Kita juga silap sebab tak kunci pintu tu tadi. Bukan aje Fatin yang boleh masuk, pencuri perompak pun boleh rempuh masuk tau.”
“Sudahlah! Ika asyik nak sebelahkan dia aje, kenapa?” marah Yusuf Hakimi.
Zulaika terhenyak di sofa sementara suaminya yang merajuk menonong menuju ke bilik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan