Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 17 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 35

Bab 35

YUSUF HAKIMI rasa bersalah yang amat sangat pada isterinya. Dia tahu tindakannya yang seolah-olah menjauhkan diri daripada Zulaika telah membuatkan isterinya menjeruk rasa. Benarkah dia berbuat begitu semata-mata kerana marahkan Zulaika yang telah melanggar larangannya daripada bertemu dengan Fatin Adiba, adik tiri isterinya yang rosak akhlak itu?
Yusuf, dia atau kau sebenarnya yang rosak akhlak? Cuba kau renung dalam-dalam nun jauh ke sudut hatimu... wajah siapakah yang telah mula bertapak di sana? Benarlah seperti yang dikatakan oleh Taufik, temanmu itu bahawa rasa kasihan seorang lelaki terhadap lawan jenisnya adalah seumpama api dalam sekam. Amat berbahaya! Rasa kasihan yang akhirnya bertukar menjadi rasa kasih.
Yusuf, kenapa kau harus kasihan pada perempuan itu sedangkan isterimu, wanita yang selama ini paling hampir denganmu seharusnya lebih dikasihani daripada orang lain? Dia anak yatim piatu. Kau adalah dambaannya. Kau adalah pelindungnya selama ini. Hatinya akan hancur kalau kau tega menduakannya.
Apakah yang seharusnya aku lakukan? Yusuf Hakimi meraup rambutnya. Hatinya kusut. Dia sendiri tidak tahu bilakah masanya dia mula jatuh hati pada Intan Juliana.
Dengan rasa bersalah dia merapatkan tubuhnya ke tubuh Zulaika. Dia tahu sejak beberapa bulan ini dia tak berlaku adil pada isterinya yang telah mencuba sedaya upaya untuk menjadi isteri yang terbaik di sisinya. Zulaika telah banyak berkorban untuknya. Selama ini dia banyak bersabar dengan kerenah mama yang tak pernah menyukai dirinya.
“Ika, abang tahu abang salah. Abang minta maaf pada Ika.” Dia berbisik ke telinga Zulaika yang baring mengiring, memberi punggung padanya.
Zulaika berpaling lalu mengadap wajahnya. Di dalam samar-samar cahaya lampu bilik tidur itu mata mereka bertaut. Dia merapatkan tubuhnya ke sisi suaminya. Ketika itu mulut jadi bisu dan kata-kata tak perlu diluahkan lagi.
Setengah jam kemudian dia terbaring lesu dalam pelukan suaminya.
“Bang...”
“Hmmm...” lembut jemari Yusuf Hakimi menyentuh rambutnya.
“Abang cintakan dia?”
“Huh? Apa yang Ika cakapkan ni? Abang cintakan siapa?”
“Kak Ju... abang cintakan dia?” Zulaika mengulangi soalannya. Kali ini lebih detail. Jantung Yusuf Hakimi bagaikan hendak gugur.
“Apa yang Ika mengarut ni? Dahlah, kita tidur ya, sayang.” Dia memujuk dengan harapan agar Zulaika tidak membangkitkan lagi persoalan itu.
“Jawablah soalan Ika, bang. Hati Ika takkan tenang selagi abang tak jawab soalan tu.”
“Mengarutlah Ika ni! Kan Ju tu kawan abang. Ika juga tahu kan abang dah berkawan dengan dia sebelum abang kenal dengan Ika lagi. Kalau abang ada perasaan pada dia dah tentulah abang kahwin dengan dia, bukannya dengan Ika. Tapi siapa yang berada di sisi abang sekarang? Ika kan? Siapa yang beri keseronokan pada abang tadi? Ika kan?”
“Betul ke ni bang?”
“Ya, sayang...” Yusuf Hakimi memagut bibir isterinya dengan harapan agar persoalan tentang Intan Juliana akan mati di situ. Tangannya mula menjalar ke dada isterinya yang terdedah membuatkan Zulaika menggeliat kegelian. Dinihari itu dia berjaya memperdayakan Zulaika disamping menaklukinya untuk kali kedua.

“IKA ada jumpa Fatin lagi ke?” soalnya ketika sedang mengadap sarapan pagi yang telah tersedia di atas meja.
“Tak ada, bang. Kenapa?”
“Abang dah fikir masak-masak. Abang takkan halang Ika daripada berjumpa dengannya. Lagipun dia adik tiri Ika juga kan? Tapi abang minta satu aje, abang belum bersedia nak benarkan dia datang ke rumah ni.” Kata-kata Yusuf Hakimi itu membuatkan Zulaika tersenyum lebar.
“Terima kasih, bang, kerana memahami Ika. Kalau abang keberatan, Ika takkan benarkan dia masuk ke rumah ni.”
“Kalau Ika nak jumpa dia, jumpalah di tempat lain ya. Tunggu hati abang ni sejuk dulu.” Tingkah Yusuf Hakimi sambil menarik Zulaika ke atas ribaannya. “Sayang nak ikut abang naik atas tak?” usiknya.
“Buat apa naik atas?”
“Naik atas katillah!”
“Isy, abang ni! Macamlah hari ni hari cuti.” Bidasnya membuatkan Yusuf Hakimi tergelak lantang.

FATIN ADIBA terbangun dan mendapati dirinya sedang terbaring di dalam sebuah bilik yang cukup asing. Kepalanya berdenyut-denyut. Dia tidak ingat apa yang berlaku pada dirinya malam tadi bahana pil khayal dan minuman memabukkan yang ditunggang ke mulutnya.
Pintu bilik terkuak. Seorang pembantu rumah warga Indonesia melangkah masuk.
“Cik dah bangun? Kalau nak mandi, tu ada tualanya. Sebentar lagi saya bawakan sarapan ya.”
“Eh, engkau ni siapa, hah?”
“Oh ya, saya lupa memperkenalkan diri. Nama saya Susanti, orang gaji di rumah ni.”
“Eh, aku kat mana ni? Siapa pemilik rumah ni?”
“Cik dah lupa? Err... tak apalah, cik, sekejap lagi tuan saya akan naik tengok keadaan cik.” Kata Susanti sambil melangkah keluar.
Dia melompat turun dari katil. Dia benar-benar keliru dan tidak ingat langsung siapakah yang telah membawanya pulang malam tadi. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati. Dia menoleh ke arah tubuhnya yang lengkap berbaju tidur. Sekurang-kurangnya dia tahu yang dirinya tidak diapa-apakah oleh lelaki yang telah membawanya pulang.
Dia bergegas mencapai tuala lalu menuju ke bilik air. Dia mahu mandi dan membasahkan kepalanya untuk menghilangkan pening-pening lalatnya. Lima belas minit kemudian dia melangkah keluar dalam keadaan berkemban.
“Kau?” sergahnya ke arah seorang lelaki yang kelihatan tenang merenung tubuhnya.
“Apa dah jadi dengan awak ni, Fatin? Awak nak jadi perempuan jahat pulak dengan bekerja di kelab dangdut tu?” senyuman yang berlegar-legar di bibir lelaki itu ketika menelanjangi tubuhnya dengan renungannya membuatkan Fatin Adiba menyumpah-nyumpah dalam hati.
“Siapa yang buat aku jadi macam ni, kalau bukan kau! Kau yang dah buang aku kerja dulu, kau tak ingat ke?” sergahnya dengan suara separuh menjerit.
Lelaki di hadapannya sengih. “Oh, ye ke? Sorry, saya lupalah.”
“Pergi mampuslah dengan kau!” tempik Fatin Adiba. “Yang kau bawak aku balik rumah kau ni, kenapa?”
“Awak tak ingat ke, Fatin, bukankah awak yang setuju nak ikut saya balik malam tadi?” Senyuman yang berlegar-legar di bibir lelaki itu membuatkan Fatin Adiba semakin meluat memandangnya. “Hmmm... awak dah lupa ke? Agaknya awak telan pil khayal banyak sangat malam tadi kut, tu sebabnya awak lupa. Fatin, kenapa awak terpesong jauh macam ni? Saya cukup sedih tengok keadaan awak kat kelab tu, tau tak. Awak tak terfikir ke perasaan kakak tiri awak kalau dia tahu keadaan awak ni?”
“Apa kau peduli? Semua ni salah kau. Kau yang pecat aku dulu. Siapa kau nak nilai aku baik ataupun tak?” Fatin Adiba terjerit sambil melompat-lompat bagaikan budak kecil yang merajuk dengan ibunya. Dia kemudiannya kelam-kabut apabila tuala yang dipakainya nyaris-nyaris lagi melurut dari tubuh. Lelaki di hadapannya hanya tersengih-sengih memandang.
“Saya rasa elok awak pakai baju dulu. Saya tunggu awak di bawah untuk sarapan bersama.” Ujar Fauzan sambil melangkah meninggalkan Fatin Adiba bersendirian di bilik itu.

HATINYA tak juga berjumpa tenang. Walaupun setelah dinafikan oleh Yusuf Hakimi, dia masih berasa ragu. Kalaupun hendak mempercayai, jangan sesekali mempercayai seratus peratus, desis hatinya.
Wajah Intan Juliana terbayang-bayang di ruang matanya. Dari dulu lagi dia cuba untuk menangkis rasa cemburu yang bertapak di hatinya terhadap wanita itu – wanita yang menjadi teman baik suaminya – tapi tetap juga gagal. Kini syak wasangkanya terhadap hubungan sebenar di antara mereka semakin memuncak.
Dia tidak tahu apakah suaminya bercakap benar dengannya lewat malam tadi. Tapi dia harus mendapatkan sendiri kepastian daripada siapa lagi kalau bukan Intan Juliana. Ya, dia harus bersemuka dengan ‘teman baik’ suaminya itu.
Setelah Yusuf Hakimi berangkat ke tempat kerja, dia segera bersiap-siap.
“Kak Ju, ni Ika...” katanya di corong telefon.
“Ya, Ika, apa halnya pagi-pagi dah telefon Kak Ju ni?”
“Emmm... Ika nak jumpa Kak Ju. Pukul berapa Kak Ju akan berada di galeri?”
“Err... apa hal Ika nak jumpa Kak Ju?”
“Adalah halnya tapi Ika tak boleh cakap dalam telefon. Pukul berapa Kak Ju nak ke galeri?” dia mendesak.
“Err... apa kata kalau kita jumpa dalam pukul sepuluh.”
“Okeylah Kak Ju, kita jumpa kat sana ya. Assalamualaikum.” Dia segera meletakkan telefon lalu menoleh ke arah jam di dinding. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul sembilan pagi.

YUSUF HAKIMI naik pelik melihatkan renungan yang dilemparkan oleh Intan Juliana ke arahnya. Dikenyitkan matanya ke arah wanita itu.
“Apa halnya ni?” dia menyoal.
“Tahu tak siapa yang baru aje call I tadi?”
“Siapa?”
“Your wife.”
Ada riak terkejut pada wajah lelaki di hadapannya. Dan juga gusar!
“Kenapa dia call you? Apa yang dia nak?”
“Dia nak jumpa I kat galeri.”
“Habis... you setuju?”
“Mestilah! Takkan I nak menolak pula.”
“Tapi kenapa dia nak jumpa you?”
“Hey, you ni! Manalah I tau.” Sahut Intan Juliana. Yusuf Hakimi mencapai Nescafe tariknya lalu menyisipnya perlahan-lahan.
“I tahu kenapa dia nak jumpa you, Ju. Dia syak yang kita ada hubungan istimewa.”
“What? Apa maksud you?” mata Intan Juliana terbeliak.
“I dengan dia dah lama juga perang dingin disebabkan oleh adik tirinya tu. Malam tadi bila I balik ke rumah dia confront dengan I tentang hubungan kita. Lepas tu, dia tanya apakah I cintakan you...”
“Habis tu, you jawab apa?”
“Dah tentulah I nafikan! Kan kita hanya kawan biasa, Ju. Entah siapalah yang racun hati dia agaknya sehingga timbul syak wasangka di hatinya terhadap kita berdua.” Yusuf Hakimi menggelengkan kepalanya sambil menyisip sedikit minumannya yang masih panas. “Agaknya... ni mesti kerja Si Taufik.”
Intan Juliana hanya mendiamkan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan