Bab 33
“SUF, ibu... ibu...” suara sebak yang terlontar dari
bibir Intan Juliana di awal pagi itulah yang membuatkan Yusuf Hakimi
bergegas mencapai kunci kereta tanpa sempat menjamah mihun goreng yang
terhidang di atas meja.
“Bang! Nak ke mana tergesa-gesa tu?”
jeritannya tak diendahkan. Zulaika yang pelik melihatkan kelakuannya
yang tergocoh-gocoh setelah mendapat satu panggilan telefon itu,
terkejar-kejar mengekorinya. “Bang!” jeritnya lagi. Tapi Yusuf Hakimi
sudahpun masuk ke dalam perut keretanya.
Zulaika menyisih ke tepi.
Dalam keadaan suaminya yang seolah-olah tidak menyedari kehadirannya
itu, dia perlu menyisih ke tepi bimbang kalau-kalau disodok oleh kereta
suaminya sendiri.
Yusuf Hakimi memandu laju ke destinasi. Siti Asiah membukakan pintu dan membenarkannya masuk.
“Cik Ju mana?” dia menyoal. Pembantu rumah itu menudingkan jarinya ke
tingkat atas. “Katakan padanya saya datang ya.” Dia meminta. Siti Asiah
hanya mengangguk.
Seketika kemudian Intan Juliana muncul. Yusuf
Hakimi hanya memandang tatkala temannya itu menuruni tangga dan terus
meluru ke dalam dakapannya. Air matanya yang hangat hinggap ke dada
Yusuf Hakimi.
“Shhh...” desisnya sambil membelai rambut Intan Juliana.
“Suf, I cukup tak sangka bila Uncle Johan telefon I jam lima pagi tadi
untuk beritahu I tentang... tentang...” dia tak dapat meneruskan
kata-katanya. Tangisannya bergema semula, kali ini dalam dakapan Yusuf
Hakimi. “Jantungnya berhenti berfungsi secara tiba-tiba. Ibu... ibu dah
tak ada, Suf! Ibu dah tak ada!”
“Ju, sabarlah. Semua ni dah takdir.” Dia memujuk.
BENGKEK! Itulah yang dirasai oleh Zulaika kalau ada sesiapa yang
bertanyakan keadaannya pagi itu. Tapi dia tahu takkan ada sesiapa yang
akan bertanya padanya soalan sebegitu rupa kerana dia hanya tinggal
sendirian di rumah. Tak ada siapa yang akan melihat mimik wajahnya.
Sejak peristiwa memalukan yang dicipta oleh Fatin Adiba, Yusuf Hakimi
seolah-olah hambar dengannya. Puas sudah dia merayu-rayu agar dimaafkan
oleh suaminya tapi nampaknya lelaki itu seolah-olah menyimpan dendam
dengannya. Kenapa suaminya sanggup memperlakukannya sebegitu rupa?
Kalau dahulu, lelaki itu sering mahu dibelai dan dimanja. Dahulu, Yusuf
Hakimi suka menyakatnya; gurau sendanya menghiasi kesunyian rumah besar
itu. Tapi kini segala gurau senda dan kemanjaan seorang suami terhadap
isterinya bagaikan hanya tinggal memori. Ya, lelaki itu tetap melayannya
sebagai seorang isteri tapi ‘semangat cinta yang membara di antara
Zulaika dan Yusuf’ bagaikan telah hilang di antara mereka berdua.
“Ya Allah, kembalikanlah semula rasa cinta yang membara itu dalam rumah
tanggaku!” dia mengangkat tangannya dengan linangan air mata.
Hanya
kepada-Nyalah dia mengadu kerana tiada siapa yang tahu masalah yang
sedang melanda hidupnya. Dan dia juga bukanlah seperti sesetengah orang
yang kalau ada masalah dengan pasangan akan segera mencari orang lain
untuk mengadu hal.
“KAU ni aku tengok makin rapat dengan Intan
Juliana tu, ada apa-apa ke?” soal Taufik membuatkan Yusuf Hakimi
merenungnya dengan tajam.
“Kenapa? Salahkah kalau aku bersimpati
dengannya? Ibunya baru aje meninggal dunia dan dia sedang bersedih.” Dia
membela dirinya.
Taufik hanya tersenyum sambil mengangguk perlahan.
Simpati? Jawapan yang cukup klise, desis hatinya. Bukan dia tak tahu
betapa kerapnya lelaki itu mengunjungi Intan Juliana tak kiralah sama
ada di galeri lukisan mahupun di banglonya yang tersergam itu? Dia
sebagai lelaki cukup arif betapa rasa simpati bila-bila masa saja akan
bertukar menjadi cinta. Apapun Yusuf Hakimi dan Intan Juliana tetap
manusia. Dan sebagai manusia berlainan jantina mereka tetap dibekalkan
dengan nafsu dan keinginan.
“Baik kau berjaga-jaga, Suf. Kalau kau
bujang aku tak kisah, tapi kau dah beristeri. Jangan persiakan isteri
kau. Aku bukannya nak jaga tepi kain orang tapi sebagai kawan, aku cuma
nak mengingatkan aje...”
“Hey, Taufik! Kau jangan cuba nak berlagak
pandai dengan akulah. Kau tu dulu apa kurangnya, sampaikan kekasih aku
pun kau sanggup goda!” Yusuf Hakimi melontarkan suaranya dengan agak
keras.
Taufik hanya sengih. Dia tahu pasti lelaki itu akan
mengungkit kisah silam mereka semasa menuntut di universiti dahulu.
Manusia memang sukar menerima kritikan walaupun yang membina.
“Sorrylah kalau kata-kata aku tadi dah menyakitkan hati kau. Okeylah,
Suf, I got to go. Kalau lambat nanti merajuk pulak Si Ayu tu.” Taufik
segera berlalu meninggalkan Yusuf Hakimi.
“TAK BAIK kita
berburuk sangka, bang.” Kata Atika Ayuni. Dia menjadi risau setelah
mendengar cerita dari mulut bakal suaminya itu. Wajah Zulaika yang polos
terbayang di ruang hatinya. Bagaimana nasib Zulaika kelak kalau
benarlah seperti apa yang diceritakan oleh Taufik sebentar tadi? Dia
jadi gerun memikirkan segala kemungkinan itu.
“Entahlah, Ayu...
abang pun risau sebenarnya. Memang dulu abang ada ramai teman wanita
tapi tu sebelum abang berkahwin. Tapi abang ni lelaki juga Ayu, tak
boleh nak dabik dada, tak pasal-pasal nanti Tuhan terbalikkan hati kita,
habis cerita!” tingkahnya sambil tergelak kecil melihatkan reaksi
tunangnya.
“Abang jangan nak ulang sikap playboy abang dulu. Ayu tak rela!” Atika Ayuni mengingatkan.
“Insya-Allah abang takkan ulanginya.”
“Cantik ke perempuan tu, bang?”
“Intan Juliana? Hmmm... cantik!”
“Kalau dibandingkan dia dengan Ika, siapa yang lebih cantik?”
“Kenapa Ayu tanya macam tu?”
Atika Ayuni mengerutkan keningnya yang hitam lebat. “Saja nak tau.” Sahutnya.
“Ika lagi cantik. Lagipun dia masih muda.” Sahut Taufik.
“Hmmm... kalau macam tu, takyah risaulah, bang. Siapa yang lebih
cantik, dialah yang menang! Zulaika tu cantik orangnya, bang. Dahlah
cantik, baik hati pulak tu. Pompuan tu, dahlah tak cantik, dah tua pulak
tu! Bodohlah Abang Yusuf kalau buat hal dengan dia.” Senang dan ringkas
saja ulasan yang terkeluar dari mulut Atika Ayuni membuatkan Taufik
terkerisin.
“Tapi Ayu kena ingat juga, cinta tak semestinya berputik berdasarkan pada paras rupa.”
“Huh, apa lagi yang kurang pada Ika tu, bang? Bagi Ayu, dia sempurna.
Sebagai seorang wanita, dia ada segala-galanya yang patut dimiliki oleh
seorang wanita, paras rupa ada... budi pekerti pun ada. Dia pandai
memasak, rajin kemas rumah. Walaupun dia tak bekerja pejabat macam orang
lain, tapi kalau setakat nak beli coli atau seluar dalam, dia ada
pendapatan sendiri yang diperolehinya dari kerjanya sebagai penulis
novel. Malah, Ayu yang yang kerja pejabat ni pun pernah sesak dan pinjam
duit dari dia tau, bang!” beria-ia dia membela Zulaika.
“Yelah,
sayang. Abang tak nafikan kata-kata Ayu tu. Mungkin abang yang tersilap
tafsir agaknya. Mungkin memang betul antara Yusuf Hakimi dengan Intan
Juliana tu, hanya teman biasa aje. Kita fikir yang baik-baik ajelah ya,
Ayu. Hmmm... Ayu kena ingat nasihat abang ni, hal ni habis antara kita
berdua aje. Jangan sampai ke telinga Ika pulak.” Taufik mengingatkan
tunangnya. Risau juga dia kerana telah terlepas cakap dengan tunangnya
tentang hal tersebut.
Atika Ayuni angguk tidak, geleng pun tidak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan